Bab 47

Drama Series 43782

Baju kurung moden jenis sutera jacquard yang bercorak bertanahkan warna merah jambu lembut menjadi pilihan Khaira Eryna. Selendang tanpa corak yang senada warna dengan warna bajunya elok terletak menutup sebahagian rambut menjadi pelengkap persalinannya malam ini. Khaira Eryna membelek-belek tubuhnya di hadapan cermin. Setelah berpuas hati dengan penampilannya, Khaira Eryna mengatur langkah keluar dari bilik tidur menuju ke tingkat bawah.

Langkah kaki diatur perlahan-lahan menuruni anak tangga. Tidak berkelip mata-mata tetamu yang hadir terpukau dengan keayuan dan kecantikan Khaira Eryna malam itu. Sedar dirinya menjadi perhatian, Khaira Eryna pantas mempercepatkan langkah sambil mengitari sekeliling mencari susuk tubuh si ibu. Melihat sahaja susuk tubuh Sofea berada di muka pintu, Khaira pantas berlari mendapatkan ibunya. Sempat juga Khaira Eryna menghadiahkan senyuman manis buat para tetamu yang menyapanya.

"Ibu..." Sapa Khaira Eryna sambil tangan menyentuh lembut bahu Sofea.

Sofea yang leka berbual dengan rakan seperniagaannya menoleh saat namanya diseru. Bibirnya terus sahaja mengorek senyum saat melihat anak perempuan tunggalnya sudah berada di hadapan mata. Kelihatan cantik berbaju kurung. Lebih manis dan ayu.

"Aira... Kenalkan ni kawan baik ibu, auntie Mariam. Dia juga merangkap partner ibu dalam syarikat. Mar, ni anak dara I. Satu-satunya anak I. Anak yang lama I cari dulu." Sofea mula memperkenalkan Khaira Eryna kepada sahabat baiknya itu.

"Aira, nice to meet you. Cantik. Saling tak tumpah macam wajah you, Fea." Puji Mariam ikhlas.

"Nice to meet you too, untie Mar. Terima kasih. Tapi bagi Aira, Aira ni gadis biasa je. Ramai lagi perempuan yang cantik dekat luar sana tu. Mungkin sebab malam ni Aira make up tu yang nampak berseri." Gurau Khaira Eryna.

"Taklah. Auntie cakap yang betul. Kalau tak, takkanlah tetamu-tetamu yang datang tu tak berkelip tengok Aira. Aira ni terlampau merendah diri."

Khaira Eryna hanya senyum. Malu dipuji sebegitu.

"Dahlah tu. Mar, masuklah dulu. Kejap lagi majlis dah nak mula. Nanti kita boleh berborak panjang lagi." Sela Sofea.

Mariam hanya menurut, lalu meminta diri masuk ke dalam rumah. Kini, hanya Sofea dan Khaira Eryna yang masih kekal di muka pintu untuk menyambut tetamu yang lain yang hadir.

"Aira, rasanya semua tetamu dah sampai. Mari kita masuk. Nanti lama pula tetamu dekat dalam tu menunggu." Ujar Sofea tatkala melihat tiada lagi tetamu yang menantinya di luar.

Khaira Eryna menggeleng kecil. Ajakkan Sofea ditolak lembut sambil matanya masih terpasak di hadapan pagar rumah agam tersebut. Menanti dengan sabar tetamu yang ditunggu-tunggu sejak petang tadi.

"Ibu masuklah dulu. Ibu mulakan je majlis. Kejap lagi Aira menyusul. Lagipun mommy dan daddy tak sampai lagi. Aira nak tunggu dia orang."

"Mungkin mommy dan daddy ada hal lain kot. Sebab tu dia orang lambat. Aira tak call dia orang ke? Atau Aira nak ibu yang tolong call mommy atau daddy?"

Khaira Eryna hanya menggelengkan kepala.

"Tak apa, ibu. Mungkin betul mommy dan daddy ada hal lain. Kalau lagi sepuluh minit dia orang tak sampai, Aira call. Ibu masuklah. Tetamu semua dah menunggu tu."

Sofea hanya mengiyakan kata-kata Khaira Eryna. Kaki diatur melangkah masuk ke ruangan di mana para tetamu sedang duduk menanti. Meninggalkan Khaira Eryna di muka pintu sendirian.

Jam di pergelangan tangan dilirik lagi. Entah yang keberapa kali. Akhirnya, Khaira Eryna pasrah. Telefon pintar yang setia digenggamannya kini ditatap sebelum hujung jarinya menatal skrin telefon mencari nama yang ingin dihubungi. Namun, belum sempat hujung jarinya menekan nombor di skrin telefon, terdengar suara seseorang memberi salam. Pantas sahaja wajahnya dinaikkan memandang ke depan.

"Mommy!"

Tanpa menunggu lama Khaira Eryna terus menerpa ke arah Camilla dan Noah yang sedang berjalan ke arahnya. Lalu, tubuh Camilla dipeluk erat. Seakan sudah lama dia tidak bersua dengan wanita itu. Camilla membalas pelukan Khaira Eryna. Tanpa sedar air mata Khaira Eryna mengalir.

"Khaira, maafkan mommy sebab lambat. Daddy ada urusan tadi. Lepas daddy selesai semuanya baru kami ke sini." Ujar Camilla. Tidak mahu Khaira Eryna bersangka yang bukan-bukan tentang kelewatan mereka.

Khaira Eryna meleraikan pelukan. Air mata yang bersisa pantas diseka. Segaris senyuman terukir di bibirnya.

"Tak apa, mommy. Khaira faham. Mommy dan daddy dah sampai ni pun Khaira dah gembira sangat."

Mendengar kata-kata Khaira Eryna membuatkan Noah dan Camilla menarik nafas lega.

"Er.. Mommy dan daddy datang berdua je ke?"

"Eh, taklah. Abang Da.."

"Abang Darwish pun ada sekali ni. Takkanlah hari penting adik abang ni abang tak datang pula." Sela Darwish Xayden yang muncul secara tiba-tiba mematikan bicara Camilla.

"Ingat abang Darwish tak datang. Terima kasih abang sebab sudi datang untuk majlis malam ni. Kalau macam tu marilah masuk. Ibu dan tetamu yang lain semua dah ada dekat dalam." Pelawa Khaira Eryna setelah melihat tiada lagi bayangan sesiapa di luar rumah agam ibunya. Dia sedikit hampa. Namun riak wajahnya dikawal agar tidak kelihatan oleh sesiapa.

Tanpa berlengah Camilla dan Noah mengatur langkah masuk ke dalam rumah, diikuti oleh Darwish Xayden dari belakang. Kaki Khaira Eryna turut melangkah sama masuk ke dalam rumah, namun, kepalanya sempat menjengah ke arah luar perkarangan rumah. Hatinya masih berharap agar wajah yang dinanti akan muncul di hadapan mata walaupun untuk terakhir kali.

Darwish Xayden yang perasan akan tingkah adik angkatnya itu pantas berpaling semula ke arah Khaira Eryna sebelum melangkah merapati gadis itu. Dia tahu pasti gadis itu menantikan seseorang dan dia yakin orang yang dinantikan oleh Khaira Eryna adalah abang kandungnya. Perlahan-lahan dia menyapa.

"Khaira, sudahlah. Mari masuk. Dia tak akan datang. Abang rasa Khaira pun tahukan dia tak akan datang jumpa Khaira lagi. Abang minta maaf bagi pihak dia. Mesti Khaira kecewa sangat." Luah Darwish Xayden dengan rasa bersalah.

"Tak... Abang tak perlu minta maaf. Khaira tak harap pun dia datang. Lagipun antara kami dah tak ada apa-apa lagi. Khaira cuma nak pastikan yang tak ada tetamu lagi yang datang. Tu sahaja. Khaira okay. Khaira dah lupakan semuanya." Khaira Eryna mencipta alasan. Bibirnya dipaksa menarik senyum.

"Baguslah kalau Khaira dah move on. Abang rasa semua tetamu dah sampai. Marilah. Mesti semua orang dah menanti Khaira dekat dalam."

Khaira Eryna akur. Kepalanya diangguk sebelum kakinya diatur melangkah mengekori langkah Darwish Xayden.

Majlis berjalan dengan lancar. Selesai sahaja tahlil dan bacaan Yassin serta doa selamat, para tetamu yang hadir dijamu dengan makanan yang telah disediakan di perkarangan rumah. Khaira Eryna tidak ketinggalan membantu Sofea melayan para tetamu yang datang. Hilang rasa kekok tatkala dia berhadapan dengan rakan-rakan Sofea yang kebanyakan mereka semuanya mesra dan peramah.

Setelah itu, majlis diteruskan dengan memotong kek bagi menyambut hari kelahiran Khaira Eryna buat pertama kali di rumah agam itu. Khaira Eryna yang pada mulanya berasa canggung dan malu, akhirnya tersenyum bahagia setelah melihat kegembiraan yang ditunjukkan oleh Sofea dan keluarga angkatnya dalam meraikan hari kelahirannya.

Usai memotong kek, semua tetamu yang berdiri kembali ke tempat duduk masing-masing. Begitu juga dengan Khaira Eryna yang mahu berlalu mendapatkan keluarga angkatnya. Namun, belum sempat dia melangkahkan kaki, tangannya pantas dilelar oleh Sofea. Khaira Eryna yang sedikit terkejut dengan perlakuan ibunya sekadar menurut.

"Alhamdulillah... Terima kasih buat semua tetamu yang hadir pada malam ini. Saya amat berbesar hati kerana kita semua dapat bersama-sama meraikan hari lahir anak tunggal saya yang dah lama saya nantikan. Di sini saya juga ingin mengambil kesempatan untuk mengumumkan satu berita gembira buat semua. Terutamanya buat anak saya, Khaira Eryna." Sofea mula menyusun kata-kata. Wajah Khaira Eryna di sisi ditatap redup.

Khaira Eryna yang agak terkejut dengan ucapan ibunya hanya setia mendengar. Dadanya yang tenang sejak tadi kini sudah mula bertukar irama. Seakan ada sesuatu yang bakal mengganggu ketenangan hatinya. Lengan Sofea dipaut lembut. Cuba mencari kekuatan andai berita yang bakal didengarinya akan membuat dia rasa tidak selesa.

Sofea yang melihat perubahan pada riak wajah Khaira Eryna hanya tersenyum nipis. Pegangan tangan Khaira Eryna pada lengannya turut disentuh lembut. Memberi sedikit ketenangan pada gadis itu. Setelah itu, pandangan Sofea beralih pula pada meja yang berada di hadapannya. Meja yang dihuni oleh sahabat baiknya, Katrina dan anak lelakinya, Fayyadh serta keluarga angkat Khaira Eryna.

"Fayyadh, mari ke sini sekejap." Seru Sofea.

Fayyadh yang terkejut dengan panggilan Sofea hanya akur. Dia bangun dari duduknya sebelum perlahan-lahan mengatur langkah ke arah Sofea. Khaira Eryna yang masih bergeming di sisi Sofea sekadar memerhati.

"Memandangkan anak saya ini sudah dewasa, dan akan datang bakal menggantikan tempat saya di syarikat, saya dan kawan baik saya yang saya sudah kenali sejak kami belajar di luar negara dulu telah sepakat untuk menjodohkan anak-anak kami. Melihat keakraban mereka berdua membuat saya yakin akan keputusan yang saya ambil ini merupakan keputusan yang terbaik buat mereka. Lagipun selain mengeratkan lagi hubungan antara dua keluarga, dengan ikatan yang akan dibina ini diharap dapat mengukuhkan lagi empayar perniagaan keluarga kami kelak. Oleh itu, saya berbesar hati ingin mengumumkan bahawa anak saya Khaira Eryna akan ditunangkan dengan anak kepada kawan baik saya iaitu Fayyadh dalam masa terdekat ini. Saya harap semua yang hadir pada malam ini dapat mendoakan yang baik-baik untuk hubungan mereka."

Mendengar sahaja pengumuman yang diutarakan oleh Sofea, para tetamu semua bertepuk tangan dan mengucapkan tahniah kepada mereka sekeluarga. Berlainan pula dengan reaksi yang diberikan oleh Khaira Eryna dan Fayyadh yang saling berpandangan. Bukan kerana mereka merelakan tetapi lebih kepada terkejut yang teramat sangat. Khaira Eryna kelu untuk bersuara. Jantungnya sudah mula berdetak tidak sekata. Nafas dihela panjang. Cuba menenangkan hati.

Bukan Fayyadh dan Khaira Eryna sahaja yang beriaksi sebegitu, malah Camilla, Noah dan Darwish Xayden turut terkejut sama. Darwish Xayden mula teringat akan abang kandungnya, Danish Xavier. Kini, dia sudah tahu mengapa tiba-tiba sahaja abangnya berubah watak. Tidak hairanlah jika abangnya bertindak sedrastik itu. Ada sesuatu yang abangnya pendam selama ini. Darwish Xayden mula jatuh simpati pada abangnya dan juga Khaira Eryna. Namun, siapa dia untuk menghalang semua ini. Sedangkan tuan empunya badan sendiri tidak mampu berbuat apa-apa.

"Ibu.. Ibu tak rasa keputusan ibu ini tergesa-gesa ke?" Bisik Khaira Eryna di telinga Sofea. Dia tidak mampu menunggu sehingga majlis selesai. Hatinya meronta-ronta ingin menolak keputusan yang dibuat oleh ibunya itu.

"Kenapa? Aira tak suka pada Fayyadh ke?" Soal Sofea dengan kening yang sedikit berkerut.

"Tak. Bukan itu maksud Aira. Cuma... Aira terkilan sebab ibu tak berbincang dulu dengan Aira. Hal jodoh bukan perkara remeh, ibu."

"Kalau Aira suka jadi kenapa Aira nak pertikaikan? Lagipun ibu tengok Fayyadh pun sayang sangat dengan Aira. Baik dan bertanggungjawab. Ibu pun dah tanya pendapat abang angkat Aira. Dia pun setuju dengan ibu."

Mendengar sahaja perkataan abang angkat meniti di bibir ibunya, Khaira Eryna pantas beralih pandangannya pada Darwish Xayden.

"Maksud ibu, abang Darwish ke yang setuju Aira bertunang dengan Fayyadh?" Tanya Khaira Eryna seakan tidak percaya.

"Eh, bukan Darwish. Tetapi Danish. Dia sokong bila ibu beritahu yang ibu berkenan dengan Fayyadh. Dia pun cakap yang ibu tak salah memilih. Fayyadh memang sesuai untuk Aira. Lepas tu dia kata, Aira akan setuju kalau ibu nak satukan Aira dengan Fayyadh. Jadi... Aira tak menolakkan?"

Khaira Eryna terkedu dengan kenyataan yang dia dengari. Sekarang barulah dia faham mengapa Danish Xavier melayan dia sebegitu rupa. Kerana ibunya, Danish Xavier rela melepaskan dia. Tetapi pernahkan Danish Xavier sedar bahawa keputusan yang dibuat oleh Sofea telah menghancurkan hati dia dan lelaki itu sendiri?

"Aira... Aira okay tak? Ibu ada salah cakap ke?" Sofea mula tidak sedap hati tatkala melihat anak perempuannya diam tanpa sebarang bicara. Bahu Khaira Eryna digoyang lembut.

Tersedar dirinya sudah mengelamun jauh, Khaira Eryna menatap kembali wajah Sofea. Perlahan-lahan dia menggelengkan kepala.

"Aira okay. Cuma tiba-tiba je Aira rasa sakit kepala. Ibu jangan risau. Mungkin Aira penat sikit. Aira setuju sahaja dengan keputusan ibu. Mana yang baik untuk ibu, baik juga untuk Aira. Aira ikut sahaja." Akhirnya Khaira Eryna mengalah. Dia tidak sanggup melukakan hati ibunya. Jika Danish Xavier yang tiada sebarang pertalian darah denga ibunya sanggup korbankan cintanya, mengapa tidak dia sebagai anak melakukan hal yang sama?

"Alhamdulillah... Lega hati ibu. Tak apalah. Apa kata Aira duduk berehat. Nanti biar pembantu yang kemas semua ni. Hal yang lain biar ibu uruskan. Fayyadh, boleh tolong teman Aira? Risau pula auntie tengok dia."

"Boleh, auntie. Jom Khaira. Saya teman awak. Nanti kalau awak pengsan susah pula hati saya." Sempat Fayyadh bergurau memecahkan suasana dua beranak itu.

Mendengar gurauan Fayyadh, Khaira Eryna hanya menarik senyuman tawar. Namun, kakinya tetap diatur mengekori langkah Fayyadh ke meja makan. Darwish Xayden, Camilla dan Noah yang perasan akan riak wajah Khaira Eryna yang sedikit keruh itu hanya mampu melihat tanpa bersuara. Bukan kerana mereka tidak berperasaan, cuma mereka ingin memberi ruang agar Khaira Eryna bertenang.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience