Khaira Eryna berjalan terencut-encut memasuki ruang makan. Cik Moon yang menyedari kehadiran Khaira Eryna segera mendapatkan gadis itu. Membantu memapah Khaira Eryna ke arah meja makan.
"Khaira, kenapa tak duduk je dekat bilik? Khaira dah lapar sangat ke? Maaflah. Cik Moon baru je siap masak. Nanti cik Moon hantarkan makanan dekat bilik Khaira. Lagipun kaki Khaira belum baik lagi tu. Nanti makin bengkak pula. Opahkan dah pesan jangan banyak bergerak."
Pantas Khaira Eryna menggeleng laju.
"Eh, taklah cik Moon. Khaira tak lapar lagi. Cuma rasa bosan je asyik terperap dekat bilik tu. Kaki Khaira ni bukanlah teruk sangat pun. Boleh berjalan lagi." Ujar Khaira Eryna usai melabuhkan punggung di atas kerusi.
"Bagi Khaira memanglah nampak tak teruk. Tapi cuba Khaira tengok. Bengkak lagi tu."
Khaira Eryna pantas membelek hujung kakinya yang kelihatan sedikit bengkak di bahagian buku lali.
"Sikit je ni cik Moon. Esok lusa bengkak ni surutlah. Khaira pun dah tak rasa sakit sangat pun."
Namun belum sempat cik Moon membalas, kedengaran suara garau seseorang mencelah.
"Kau ni memang jenis degilkan? Sakit pun masih tak tahu nak duduk diam."
Cik Moon dan Khaira Eryna menoleh ke arah belakang. Melihat gerangan yang bersuara. Kelihatan Danish Xavier sedang bersandar di muka pintu dapur sambil berpeluk tubuh. Merenung tepat ke arah Khaira Eryna. Sedar akan pandangan tajam Danish Xavier padanya, Khaira Eryna pantas melarikan anak matanya ke arah lain. Tidak sanggup bertembung mata dengan lelaki itu. Lebih-lebih lagi perasaan malu yang masih belum hilang membuatkan dia tidak mahu berhadapan dengan Danish Xavier. Terbit rasa kesal di hatinya. Jika dia tahu Danish Xavier tidak ikut sama keluar dengan ibu dan bapa angkatnya, pasti kala ini dia akan memerapkan diri di dalam bilik sahaja.
"Danish janganlah marah Khaira. Cik Moon dah nasihatkan dia tadi. Kesian juga sebenarnya dekat Khaira ni asyik terperap je dalam bilik tu. Kalau cik Moon jadi dia pun cik Moon akan rasa yang sama juga. Tak apalah, memandangkan Danish pun ada dekat sini, apa kata Danish teman Khaira sekejap. Cik Moon nak siapkan hidangan makan tengahari ni. Nanti kesian pula yang lain lambat makan tengahari. Khaira tunggu sini sekejap tau. Nanti kita boleh makan sama-sama.Kejap lagi mereka semua baliklah tu."
Namun, belum sempat cik Moon melangkah pergi, tangannya sudah dilelar Khaira Eryna. Cik Moon menoleh ke arah Khaira Eryna semula. Keningnya sedikit berkerut saat melihat perlakuan Khiara Eryna itu.
"Kenapa, Khaira? Khaira sakit ke?"
Khaira Eryna menggelengkan kepala.
"Kalau tak sakit, Khaira nak minta cik Moon tolong buat apa-apa ke?"
"Mm...boleh cik Moon teman Khaira berbual tak? Rasanya macam dah lama kita tak berborak panjang-panjang. Khaira rindulah dengan cik Moon."Ujar Khaira Eryna sambil mengerdipkan matanya beberapa kali. Riak wajahnya penuh berharap.
"La...rasanya baru je semalam kita berborak panjang. Masa cik Moon teman opah urut kaki Khairakan? Takkanlah Khaira dah rindu?"
"Itu semalam. Hari ni lainlah cik Moon."
"Boleh pula macam tu? Khaira, bagi cik Moon siapkan kerja cik Moon. Nanti lepas cik Moon dah siap kerja, cik Moon teman Khaira, okay?"
Wajah Khaira Eryna berubah mendung. Nampaknya pujukannya tidak mendatangkan hasil.
"Tapi..."
"Tak payah nak tapi-tapi. Cik Moon pergilah siapkan makanan.Danish boleh teman Khaira dekat sini.Jangan ikutkan sangat kehendak budak kecil ni. Mengada-ngada je lebih tu." Celah Danish Xavier yang sejak dari tadi hanya memerhati perlakuan Khaira Eryna. Seakan tidak senang dengan kehadirannya di situ.
Mendengar kata-kata Danish Xavier, cik Moon hanya senyum segaris sebelum berlalu menyambung tugasnya kembali. Terdengar keluhan kecil meniti di bibir Khaira Eryna. Khaira Eryna mencebik bibir. Dia duduk membatukan diri. Sedikit pun tidak menoleh ke arah Danish Xavier. Sakit pula hatinya tatkala mendengar kata-kata lelaki itu sebentar tadi.
Danish Xavier mula mengatur langkah mendekati Khaira Eryna. Bibirnya tersungging senyum saat melihat Khaira Eryna yang bergeming tanpa sedikit pun memandang ke arahnya.
"Kau marahkan aku?" Soal Danish Xavier saat punggungnya sudah berlabuh di atas kerusi berhadapan dengan Khaira Eryna.
Khaira Eryna tidak menjawab. Sekadar menggelengkan kepalanya membalas pertanyaan Danish Xavier. Tiada langsung niat untuk beramah mesra dengan si jejaka. Tanpa berlengah, Khaira Eryna pantas mengangkat punggung. Berniat mahu segera beredar dari situ. Tidak betah berlama-lamaan menghadap wajah beku Danish Xavier.
"Kejap, kau nak pergi mana? " Tanya Danish Xavier saat melihat Khaira Eryna yang sudah berdiri dari duduknya.
"Nak balik ke bilik."
Tanpa menunggu balasan daripada Danish Xavier, Khaira Eryna perlahan-lahan cuba mengatur langkah keluar dari ruang makan. Namun, sempat dihalang oleh Danish Xavier.
"Tunggu! Biar aku tolong hantar kau ke bilik." Tawar Danish Xavier.
"Eh, tak apalah. Saya boleh je jalan sendiri. Lagi pun dari sini nak ke bilik saya tu bukannya jauh mana pun."
"Memanglah tak jauh. Tapi dengan keadaan kau macam ni, aku rasa kau nak sampai ke pintu dapur tu pun dah makan masa. Inikan pula kau nak naik tangga tu nanti. Dah, jangan degil! Aku temankan kau."
Danish Xavier sudah pun berada di sisi Khaira Eryna. Sebelah tangannya sudah memaut lengan Khaira Eryna. Mahu membantu memapah gadis itu berjalan ke arah bilik. Tetapi sekali lagi pertolongan Danish Xavier ditolak Khaira Eryna. Tangan Danish Xavier ditepis lembut.
"Ish, saya dah cakap saya boleh jalan sendiri. Saya tak nak susahkan awak." Khaira Eryna tetap dengan kedegilannya.
Tanpa mempedulikan Danish Xavier, Khaira Eryna mula menapak perlahan-lahan meninggalkan Danish Xavier. Baru beberapa tapak Khaira Eryna berjalan, kakinya mula terasa berdenyut. Langkahnya terhenti seketika. Tangan Khaira Eryna sudah berpaut pada dinding. Menahan kedudukan tubuhnya daripada jatuh. Melihat perlakuan Khaira Eryna itu, Danish Xavier senyum sumbing. Kepalanya digelengkan beberapa kali.
"Susah betul kalau orang degil ni." Gumam Danish Xavier sendiri.
Tanpa berlengah, Danish Xavier terus sahaja mendekati Khaira Eryna. Lantas tangannya laju dibawa memaut pinggang Khaira Eryna. Khaira Eryna yang terkejut dengan tindakan Danish Xavier itu terjerit kecil.
"Danish, awak buat apa ni?"
"Aku buat apa? Nak tolong papah kaulah."
Khaira Eryna pantas menolak tubuh Danish Xavier menjauhinya.
"Saya boleh jalan sendiri."
"Macam ni kau kata boleh jalan sendiri? Muka kau yang berkerut tu dah cukup buat aku tahu yang kau tengah tahan sakitkan? Sekarang aku nak kau pilih..."
Khaira Eryna berkerut kening. Menatap Danish Xavier dengan roman wajah tidak puas hati.
"Pilih? Awak nak suruh saya pilih apa pula ni? Dahlah, saya malas nak layan awak ni. Baik saya masuk bilik daripada berteka-teki dengan awak."
Namun, pertanyaan Danish Xavier membuatkan Khaira Eryna membatalkan niatnya.
"Awak cakap apa?" Soal Khaira Eryna sambil menoleh semula ke arah Danish Xavier.
"Aku cakap kau nak aku papah kau atau kau nak aku dukung kau macam semalam?"
"Huh, memang taklah saya nak pilih! Dua-dua pun saya tak nak. Saya boleh uruskan diri saya sendiri. Terima kasihlah dengan tawaran awak tu. Saya betul-betul tak berminat." Ujar Khaira Eryna. Dia sudah memusingkan tubuh untuk kembali menyambung langkahnya.
Namun baru sahaja selangkah dua Khaira Eryna menapak, tiba-tiba tubuhnya terasa berada di awangan. Terkedu Khaira Eryna saat dia sedar yang kini dia berada di dukungan Danish Xavier. Spontan kedua-dua tangannya melingkar pada belakang batang leher Danish Xavier.
"Danish, turunkan saya! Rasanya tadi saya tak ada pun cakap yang saya setuju dengan tawaran awak."
Danish Xavier senyum segaris.
"Sorry, aku tarik balik tawaran aku tu. Maknanya, kau tak diberi sebarang pilihan. So, baik kau duduk diam-diam sebelum aku buat sesuatu yang kau sendiri tak akan jangka." Danish Xavier memberi amaran. Kali ini nadanya sedikit tegas.
Khaira Eryna akur. Dia hanya membatukan diri. Rasa sakit hatinya kini melebihi rasa sakit di kakinya.
Dengan berhati-hati tubuh Khaira Eryna diletakkan di atas katil. Bantal yang berada di sisi Khaira Eryna dicapai sebelum dijadikan alas untuk menahan belakang tubuh Khaira Eryna. Melihat gadis itu seakan selesa dengan kedudukannya, Danish Xavier pantas duduk berlutut di hadapan Khaira Eryna. Kaki Khaira Eryna yang masih kelihatan bengkak diangkat lalu diletakkan di atas ribanya. Khaira Eryna cuba untuk menghalang perlakuan Danish Xavier itu, namun pandangan tajam lelaki itu membuatkan Khaira Eryna terdiam. Dia akur. Sekadar memerhati setiap gerak-geri dan tingkah Danish Xavier dengan sorotan matanya.
Perlahan-lahan tangan Danish Xavier mengurut lembut kawasan buku lali di kaki Khaira Eryna. Khaira Eryna sedikit berkerut menahan kesakitan. Mengetap bibirnya rapat.
"Sakit?" Soal Danish Xavier saat dia terpandang wajah Khaira Eryna yang sedikit berkerut itu. Kelihatan jelas renik-renik peluh di dahi gadis itu.
"Sakit sikit."Balas Khaira Eryna tanpa berselindung.
"Tahan sikit. Aku janji aku urut perlahan-lahan. Kau tunggu kejap aku ambil minyak urut."
"Eh, tak apalah. Nanti opah balik, saya minta tolong opah urutkan."
"Tak apa. Opah mungkin balik lambat lagi. Dia pergi rewang rumah jiran. Ada kenduri katanya. Kau duduk diam-diam dekat sini. Kejap lagi aku datang semula."
Tanpa berlengah, Danish Xavier kembali bangkit dari duduknya. Dia pantas menuju ke arah pintu yang terbuka. Suis kipas dihidupkan sebelum dia melangkah ke arah biliknya. Selang beberapa ketika, Danish Xavier kembali semula mendapatkan Khaira Eryna. Kali ini dengan sebotol minyak urut di tangannya.
Danish Xavier kembali duduk di lantai bilik. Menghadap Khaira Eryna yang berada di birai katil. Kaki gadis itu kembali diangkat lalu dilabuhkan di atas ribanya. Penutup botol minyak urut dibuka. Lalu dituang sedikit ke atas telapak tangannya. Dengan lembut, Danish Xavier mengurut kaki Khaira Eryna. Khaira Eryna hanya memerhati tingkah Danish Xavier itu tanpa sebarang bicara. Seakan selesa dengan urutan Danish Xavier, sedikit pun dia tidak mengaduh kesakitan.
"Okay, done. Kau rehatlah. Aku keluar ambil makanan untuk kau. Lepas ni, kalau kau rasa ada apa-apa keperluan atau kau nak minta tolong, panggil aku. Kalau kau tak nampak kelibat aku, mesej aku atau call aku. Aku akan cuba datang. Faham?"
Tidak ubah seperti burung belatuk, Khaira Eryna hanya mengangguk. Sedikit pun dia tidak membantah. Seakan terpukau dengan layanan Danish Xavier sebentar tadi.
"Good girl. Tunggu aku." Ujar Danish Xavier. Tangannya lembut mengusap rambut panjang Khaira Eryna. Lalu Danish Xavier mengatur langkah keluar dari bilik itu. Dia segera menuju ke dapur mencari kelibat cik Moon.
Melihat Danish Xavier yang sudah beredar, Khaira Eryna menyentuh dadanya. Getaran di jantungnya berdetak tidak seperti biasa. Ini bukan kali pertama dia merasa seperti itu. Setiap kali dia berhadapan dengan Danish Xavier, automatik degupan jantungnya berubah irama. Berdebar-debar secara tiba-tiba.
"Khaira, tenang. Tarik nafas....hembus....Itu semua mainan perasaan kau sendiri." Khaira Eryna cuba menenangkan dirinya. Lebih kepada memujuk hati agar tidak melampaui batas. Sentiasa mengingatkan dirinya bahawa Danish Xavier adalah abang angkatnya. Tidak lebih daripada itu.
Tidak lama kemudian Danish Xavier datang semula dengan menatang dulang berisi hidangan makan tengahari buat Khaira Eryna. Dulang itu kemudiannya diletakkan di atas meja di sisi katil. Punggung dilabuhkan di sisi Khaira Eryna. Pinggan yang sudah berisi nasi dan lauk-pauk dicapai. Dengan sudu yang sudah tersedia, dikaut nasi dan lauk lalu disua ke mulut Khaira Eryna. Sekali lagi Khaira Eryna terkedu. Terkejut dengan perlakuan Danish Xavier.
"Kenapa kau pandang je nasi tu. Makanlah. Buka mulut. Sedap tau lauk cik Moon hari ni. Menyesal kalau kau tak makan."
Sudu yang berisi nasi dan lauk itu ditolak lembut ke bibir Khaira Eryna. Memaksa Khaira Eryna membuka mulut. Tidak selesa dilayan seakan puteri, Khaira Eryna pantas mencapai sudu di tangan Danish Xavier.
"Tak apa. Saya boleh suap sendiri. Yang sakit kaki saya. Tangan saya masih sihat lagi."
Tersedar dengan perlakuannya itu, sudu di tangan diserahkan kepada Khaira Eryna.
"Sorry. Aku ingat kau tak larat nak makan sendiri tadi. Er...kalau tak ada apa-apa, aku keluar dulu. Lepas makan biarkan je dekat atas meja ni. Nanti aku suruh cik Moon ambil semula dulang ni. Makan sampai habis." Pesan Danish Xavier.
Danish Xavier sudah berura-ura untuk beredar. Namun Khaira Eryna menahan. Danish Xavier menoleh ke arah Khaira Eryna.
"Kau nak apa-apa ke?" Tanya Danish Xavier dengan riak sedikit risau.
Khaira Eryna menggelengkan kepala.
"Kenapa awak baik sangat dengan saya?" Soal Khaira Eryna tiba-tiba.
"Salah ke aku baik dengan kau? Bukan ni ke yang kau nak? Yang semua orang nak?" Duga Danish Xavier.
Khaira Eryna tidak membalas. Dia hanya menundukkan kepala. Nasi tadi langsung tidak bercuit.
"Kau makanlah. Aku keluar dulu."
"Awak anggap saya sebagai adik angkat awak ke?"
Sekali lagi kata-kata Khaira Eryna mematikan langkah Danish Xavier.
"Aku pernah cakap dekat kau sebelum nikan? Kau bukan adik aku. Sampai bila-bila pun kau tak akan jadi adik aku. Yang kau perlu tahu, aku ikhlas tolong kau. Aku...sayang kau."
Usai kata-kata itu meniti di bibir Danish Xavier, dia terus menyambung langkahnya keluar dari bilik yang menempatkan Khaira Eryna. Tanpa sedikit pun menoleh ke arah gadis itu. Khaira Eryna terpempan. Wajahnya diangkat. Merenung ke arah pintu yang masih terbuka dengan seribu satu perasaan.
Share this novel
next
next
next