Bab 18

Drama Series 24421

"Okay, done! Semua dah siap ke?" Soal Darwish Xayden yang sedang menapak ke arah ruang tamu.

"Dah, kami dah siap." Ujar Cik Moon di belakang Darwish Xayden. Sedang jalan beriringan bersama Mak Esah.

"Kalau macam tu kita dah boleh gerak sekaranglah." Ujar Darwish Xayden sambil menoleh ke arah Mak Esah dan Cik Moon.

Baru sahaja mereka mahu mengatur langkah, terdengar suara Camilla datang menyapa.

"Dah nak gerak ke?"

"A'ah mommy." Balas Darwish Xayden.

"Tapi...mana Khaira? Bukan dia nak ikut sekali ke?" Soal Camilla sambil mengitari sekeliling. Mencari kelibat anak angkatnya itu.

Darwish Xayden, Cik Moon dan Mak Esah saling berpandangan.

"Yalah, Cik Moon pun baru perasan. Kalau puan tak tanya tadi memanglah kami tak perasan yang Khaira tak ada."

"Mungkin Khaira tengah bersiap agaknya. Tak apalah biar mommy pergi panggil Khaira kejap."

Camilla pusing tubuh. Belum sempat dia menapak ke arah bilik Khaira Eryna, Khaira Eryna sudah pun berdiri di hadapan bilik. Semua mata terarah padanya. Termasuklah Danish Xavier yang baru sahaja keluar dari biliknya. Matanya tidak lepas memandang Khaira Eryna. Yang pasti dia terpegun dengan penampilan gadis itu. Kelihatan cantik berkebaya labuh serta mengenakan solekan tipis pada wajahnya. Khaira Eryna yang perasan dengan pandangan Danish Xavier pantas menoleh ke arah mereka yang lain.

"Amboi, cantiknya anak mommy ni! Takut nanti orang tak tahu mana satu pengantin mana satu tetamu." Puji Camilla.

"Ish, mommy ni! Puji melambung sangat. Baju ni yang cantik. Khaira biasa je. Tak secantik mommy." Khaira Eryna tersipu malu. Cepat-cepat dia menapak mendekati Camilla. Lengan Camilla dipaut lembut. Mahu sahaja dia bersembunyi di belakang tubuh ibu angkatnya itu kerana tidak selesa dengan pandangan mata-mata di situ.

"Mommy ni dah tua. Khaira tu muda lagi. Tapi sumpah mommy tak tipu. Ni kalau pemuda-pemuda dekat kampung ni tengok mesti ada yang tak berkelip mata."

"Ada-ada jelah mommy ni. Over sangat ke baju Khaira ni? Atau ada yang tak kena ke dekat muka Khaira?" Bisik Khaira Eryna di sisi Camilla.

Camilla menggeleng kecil.

"Tak ada apa-apa pun dekat muka Khaira. Elok je mommy tengok. Kenapa Khaira tanya macam tu?"

"Sebab....semua orang tengok Khaira macam ada yang tak kena dengan Khaira."

Camilla dan yang lain ketawa kecil.

"Kami terpegun tengok Khaira. Khaira nampak cantik dan manis je. Sejuk mata Cik Moon tengok."

"Isk, ada-ada je Cik Moon ni."Khaira Eryna sudah membahang menahan malu.

"Kalau semua dah ada, marilah kita gerak sekarang. Kejap lagi waktu pengantin nak berarak. Dapat kita tengok pengantin bersanding." Ujar Mak Esah.

Mereka yang lain hanya mengangguk setuju. Cik Moon dan Mak Esah mula menapak ke arah luar rumah. Camilla pula menemani Khaira Eryna dan Darwish Xayden hingga ke pintu utama. Danish Xavier tidak terkecuali.

"Mommy betul tak nak ikut kita orang ke?" Soal Khaira Eryna inginkan kepastian. Mana tahu ibu angkatnya itu berubah fikiran?

"Betul. Mommy dengan daddy duduk rumah je. Just enjoy yourself. Lagipun abang Darwishkan ada temankan Khaira tu. Tak adalah Khaira bosan nanti."

"Mommy jangan risau. Darwish akan tengok-tengokkan anak kesayangan mommy ni."

"Yalah. Hati-hati jalan tu. Apa-apa call mommy."

"Baik mommy."

Khaira Eryna dan Darwish Xayden mula menyarung kasut di kaki mereka. Khaira Eryna terlebih dahulu menapak mendapatkan Mak Esah dan Cik Moon yang sedang menanti di hadapan rumah. Darwish Xayden pula hanya mengekori mereka dari arah belakang. Namun, baru beberapa tapak Darwish Xayden melangkah, dia kembali semula mendapatkan Danish Xavier.

"Ada apa? Ada barang tertinggal?" Soal Danish Xavier yang pelik dengan perlakuan adiknya itu.

Darwish Xayden tersengih kecil. Dia merapatkan tubuhnya ke arah Darwish Xayden lalu memaut bahu abangnya erat. Bibirnya didekatkan dengan cuping telinga Danish Xavier sebelum membisikkan sesuatu pada abangnya.

"Kau betul tak nak ikut ke bang? Aku bukannya apa. Risau kalau ada orang lain cuba nak tackle Khaira nanti. Dahlah hari ni dia nampak cun habis. Jangan kau gigit jari nanti sudahlah."

"Ish, kau ni! Aku ingatkan apalah tadi..."

Laju sahaja tangan Danish Xavier mengetuk kepala adiknya. Darwish Xayden mengaduh sakit. Kepalanya digosok lembut.

"Apa ni bang? Main luku kepala pula! Dahlah. Aku gerak dulu. Bye mommy!" Darwish Xayden melambaikan tangannya kepada Camilla sebelum berlari anak mendapatkan Khaira Eryna yang sudah jauh meninggalkannya di belakang.

Melihat keletah anaknya itu, Camilla geleng kepala. Dia kembali masuk ke dalam rumah. Danish Xavier melabuhkan punggung di anak tangga rumah. Kata-kata adiknya tadi terngiang-ngiang di telinganya. Hatinya mula rasa tidak tenteram. Namun, cepat-cepat dia membuang rasa sangsi di hati. Menepis perasaan yang datang. Tidak mahu terus melayan rasa tidak enak di hati, Danish Xavier kembali menapak masuk ke dalam bilik. Menyambung tugasnya semula.

Bunyi notifikasi telefon pintar di atas meja menyentak Danish Xavier yang sedang leka menatap skrin komputer ribanya. Membuatkan tumpuannya sedikit terganggu. Danish Xavier pantas mencapai telefon pintarnya. Mengalihkan tatapannya pada skrin telefon. Dahinya berkerut.

"Darwish hantar mesej? Mimpi apa budak ni tiba-tiba? Mesti tengah bosanlah tu dekat sana." Bisik Danish Xavier sendiri.

Lalu aplikasi WhatsApp dibuka. Mesej yang dihantar oleh Darwish Xayden dibaca. Kelopak matanya terus terbuka luas. Paparan gambar mesra Khaira Eryna bersama seorang jejaka menarik perhatiannya. Danish Xavier mengepal jari-jemarinya. Terbit rasa cemburu di dalam hati. Pantas jari-jemarinya laju menaip membalas mesej Darwish Xayden.

"Khaira, jom kita ambil gambar dengan pengantin? Nak tak?"

"Eh, tak apalah. Seganlah. Lagi pun saya tak kenal pun keluarga awak." Tolak Khaira Eryna lembut.

"Tadi tak kenal. Tapi sekarangkan awak dah kenal saya." Ujar lelaki yang bernama Luthfi itu. Bibirnya merkah dengan senyuman menampakkan lesung pipit di kiri dan kanan pipinya.

"Tak apa. Awak pergilah. Lagipun keluarga awak dah panggil tu."

"Okay, saya pergi sekejap. Tapi awak janji tunggu saya dekat sini. Saya tak puas nak berbual dengan awak lagi."

Khaira Eryna angguk kepala. Melihat balasan Khaira Eryna, Luthfi terus sahaja berlalu ke arah pelamin untuk bergambar bersama keluarganya. Sempat dia menoleh ke arah Khaira Eryna memberi isyarat agar gadis itu tidak ke mana-mana.

"Mesra nampak? Macam dah lama kenal. Siapa tu?"

Sapaan suara garau di sisinya menyentak Khaira Eryna yang leka melihat ragam Luthfi dan keluarganya di atas pelamin. Dia menoleh ke arah lelaki yang berdiri di sebelahnya. Melihat wajah beku lelaki itu membuatkan Khaira Eryna berkerut kening.

"Danish? Awak buat apa dekat sini? Bukan sepatutnya awak dekat rumah dengan mommy dan daddy ke? Macam mana pula awak boleh ada dekat sini?" Soal Khaira Eryna bertalu-talu.

"Banyak betul soalan kau ni? Kau nak aku jawab mana satu? Soalan aku tadi pun kau tak jawab lagi." Soalan berbalas soalan. Danish Xavier berdiri di sisi Khaira Eryna sambil berpeluk tubuh. Matanya tajam memandang ke arah seorang lelaki yang dilihatnya di dalam gambar yang dihantar oleh Darwish Xayden menerusi aplikasi WhatsApp sebentar tadi. Kerana itu jugalah dia berada di majlis ini. Sanggup meninggalkan segala tugasnya semata-mata tidak dapat menahan diri daripada perasaan cemburu.

"Mana abang Darwish? Bukan dia kata nak ambil air ke tadi?" Khaira Eryna mula tercari-cari kelibat abang angkatnya itu.

Melihat tingkah Khaira Eryna, Danish Xavier tersenyum sinis.

"Baru sekarang nak cari Darwish? Sibuk sangat layan lelaki entah dari mana, sampai Darwish dah balik pun kau tak sedar."

Khaira Eryna membesarkan bola matanya.

"Apa? Abang Darwish dah balik? Dia tak beritahu saya pun?"

Danish Xavier angkat bahu. Malas untuk menjawab pertanyaan gadis di sebelahnya itu. Tanpa sebarang bicara tangan Khaira Eryna dicapai sebelum ditarik mengikuti langkahnya. Khaira Eryna terjerit kecil kerana terkejut. Cepat-cepat dia memberhentikan langkah. Cuba melepaskan genggaman tangan Danish Xavier padanya.

"Awak nak bawa saya pergi mana? Saya belum nak balik lagilah. Lagipun saya dah janji dengan Luthfi nak tunggu dia habis bergambar."

"Ada aku kisah? Aku nak kau teman aku makan. Ingat kau sorang je ke yang craving nasi minyak? Lagipun aku dah lapar sangat ni. Tadi tak sempat nak makan dekat rumah opah."

Tanpa menghiraukan kata-kata Khaira Eryna, dia terus menarik gadis itu menuju ke bawah khemah. Untung sahaja tetamu ramai yang sudah pulang. Jadi tidak perlulah Danish Xavier bersesak-sesak untuk mengambil makanan. Khaira Eryna yang berada di sisinya hanya mampu menarik muka. Tidak suka dipaksa sebegitu rupa.

"Nah, pinggan!"

Danish Xavier menghulur pinggan kepada Khaira Eryna. Khaira Eryna berkerut kening. Huluran Danish Xavier tidak disambut.

"Saya dah makan tadi. Dah kenyang."

"Ni bukan untuk kau. Tapi untuk aku. Kau tolong ambilkan aku makanan. Tangan aku ni tiba-tiba je rasa lenguh."

"Tadi elok je saya tengok."

"Itu tadi. Dah, cepatlah! Aku dah lapar ni."

Dengan terpaksa Khaira Eryna menyambut huluran pinggan pada tangan Danish Xavier. Dia mula menyusuri meja yang menyediakan pelbagai juadah buat tetamu.

"Awak nak lauk apa?"

"Kau ambillah semua lauk yang ada tu. Tapi letak sikit-sikit je." Ujar Danish Xavier yang setia mengekori Khaira Eryna dari belakang.

Khaira Eryna mula mengambil nasi bersama beberapa lauk-pauk lalu diletakkan di atas pinggan. Gelas berisi air sirap turut dicapai sebelum dibawa ke meja makan.

"Makanlah. Saya dah ambil untuk awak. So, boleh saya pergi dekat sana balik tak? Mesti Luthfi tengah cari saya."

Danish Xavier hanya menggeleng. Wajahnya kelihatan sedikit tegang. Sakit telinganya saat mendengar nama lelaki lain asyik meniti di bibir Khaira Eryna.

"Kalau kau pergi sana, siapa nak teman aku makan dekat sini?"

"Selalu elok je awak makan sendiri. Kenapa sekarang nak berteman pula?" Soal Khaira Eryna tidak puas hati.

"Itu dekat rumah. Dekat majlis macam ni aku memang tak biasa. Apa salahnya kau teman aku? Kenapa? Kau takut lelaki tu cemburu bila nampak kau dengan aku?"

"Ish, mana ada! Saya dengan Luthfi tu kawan je. Lagipun saya baru je kenal dia. Itu pun opah yang kenalkan saya dengan dia tadi. Luthfi tu anak saudara Mak Melah." Terang Khaira Eryna bersungguh-sungguh. Tidak mahu Danish Xavier terus salah faham.

"Tak kisahlah Luhtfi ke, bruti ke, yang penting aku tak nak kau rapat sangat dengan lelaki tu. Kau kena berhati-hati. Lelaki ni nampak je baik. Tapi kita tak tahu hati budi dia. Dahlah, duduk. Teman aku makan. Lepas tu kita boleh balik." Arah Danish Xavier.

Khaira Eryna akur. Kerusi di sebelah Danish Xavier ditarik. Punggungnya dilabuhkan di sisi Danish Xavier. Sambil berpeluk tubuh dia menanti Danish Xavier menjamu selera dengan penuh sabar. Walaupun dalam hati dia sudah mendongkol geram.

Setelah selesai menjamu selera, Danish Xavier terus melelar tangan Khaira Eryna keluar dari khemah tersebut. Mak Esah dan Cik Moon dicari.

"Kau tahu opah dengan Cik Moon dekat mana?"

"Kenapa?"

"Aku nak beritahu dia orang yang aku nak bawa kau balik. Nanti dia orang tercari-cari pula kau dekat sini."

Khaira Eryna pantas menghentikan langkahnya.

"Kenapa kau berhenti?"

"Saya tak nak balik lagi."

"Kau tak nak balik?"

Khaira Eryna angguk kepala.

"Kau nak tidur dekat sini ke?"

"Bukan tu maksud saya. Saya datang dengan opah dan Cik Moonkan tadi. So, biarlah saya balik pun dengan dia orang juga."

"No! Aku sebenarnya ada sesuatu nak kau buat untuk aku. Jadi, nak tak nak kau mesti ikut aku balik sekarang. Kau pilih sama ada secara rela atau kau nak aku paksa."

Khaira Eryna merengus geram. Sempat dia menjeling tajam ke arah Danish Xavier.

"Suka paksa oranglah dia ni! Yalah. Saya ikut awak balik. Tapi kita jumpa opah dan Cik Moon dulu. Mak Melah sekali. Sebab tadi mommy ada kirim duit. Suruh bagi Mak Melah."

"Ya. Dah cepat! Aku rasa opah ada dekat situ kot. Tengah berbual dengan Mak Melah."

Tanpa membuang masa, Danish Xavier terus membawa Khaira Eryna ke arah rumah Mak Melah. Kelihatan Mak Esah dan Cik Moon turut berada di situ. Sedang leka berbual dan bergelak ketawa.

"Opah, Cik Moon, Khaira balik dulu. Abang Danish nak minta tolong Khaira siapkan kerja pejabat dia."

"Danish, bila sampai? Dah makan?" Soal Cik Moon.

"Baru pun tak baru jugalah. Tapi sempatlah makan sekejap tadi. Kalau tak ada apa-apa Danish bawa balik Khaira dulu."

"Yalah. Hati-hati balik tu."

"Mak Melah, ni mommy ada kirim duit sikit. Terima kasih. Sedap lauk-pauk Mak Melah."

"Sama-sama. Terima kasih juga sebab sudi datang majlis Mak Melah. Ni ada goodies sikit untuk Khaira dengan keluarga."

Khaira Eryna menyambut huluran Mak Melah. Setelah itu, mereka meminta diri untuk pulang. Baru beberapa tapak mereka melangkah, terdengar suara seseorang memanggil nama Khaira Eryna dari arah belakang. Khaira Eryna dan Danish Xavier menoleh ke arah gerangan yang memanggil. Melihat Luthfi yang sedang berlari anak ke arah mereka, Danish Xavier pantas mencapai tangan Khaira Eryna sebelum menggenggam erat jari-jemari gadis itu. Tanpa sedikit pun menghiraukan pandangan Khaira Eryna padanya.

"Khaira, awak dah nak balik ke?"

Khaira Eryna hanya senyum segaris. Dia mengangguk kecil.

"Er...siapa ni? Tak nak kenalkan dengan saya?" Tanya Luthfi saat melihat Danish Xavier di sisi Khaira Eryna.

"Oh, ini..."

"Hi, aku Danish. Tunang Khaira." Balas Danish Xavier tanpa sempat Khaira Eryna menghabiskan kata-katanya.Tangannya dihulur ke arah Luthfi tanda salam perkenalan.

Khaira Eryna menoleh ke arah Danish Xavier dengan riak terkejut.

"Tunang? Bila pula aku jadi tunang dia ni?" Gumam Khaira Eryna di dalam hati. Mahu sahaja dia mencantas kata-kata Danish Xavier itu. Namun kerana memikirkan air muka lelaki itu dia hanya mendiamkan diri.

"Ooh...hi, saya Luthfi. Anak saudara Mak Melah." Balas Luthfi sambil menyambut huluran tangan Danish Xavier.

"Saya tak tahu pula awak dah bertunang?" Nada Luthfi sedikit kecewa.

"Khaira tak beritahu kau ke? Sorrylah bro. Tunang aku ni segan nak mengaku. Yalah diakan muda lagi. Takut kalau orang cakap bukan-bukan pasal dia. Okaylah bro. Kalau tak ada apa-apa kita orang minta diri dulu. Assalamualaikum."

"Baiklah. Nanti kalau dah tiba majlis kau orang berdua jangan lupa jemput. Hati-hati. Waalaikumsalam."

Usai bersalaman, Danish Xavier terus menarik tangan Khaira Eryna menyambung langkah pulang ke rumah Mak Esah. Sepanjang perjalanan pulang, mereka langsung tidak bercakap. Masing-masing hanya membisu mendiamkan diri. Lebih-lebih lagi Khaira Eryna yang masih terkejut dengan kata-kata Danish Xavier sebentar tadi.

Share this novel

Normala Normala
2024-08-18 07:35:19 

Wah semakin best jln cerita ni. Danish dah berani mengaku Khaira tunang dia. So next plsss x sabar nak tau selanjutnya...


NovelPlus Premium

The best ads free experience