Bab 36

Drama Series 24421

Seperti yang dirancang, majlis kesyukuran dan doa selamat berjalan dengan lancar. Ramai tetamu hadir memeriahkan majlis. Malam ini, villa Noah kelihatan terang-berderang dan lebih meriah berbanding kebiasaan. Semua tetamu yang hadir adalah daripada kalangan rakan-rakan seperniagaan Noah dan Danish Xavier. Ada juga beberapa tetamu daripada kenalan Camilla dan juga sahabat-sahabat baik Darwish Xayden. Khaira Eryna yang tidak mengenali mereka hanya mampu tersenyum membalas sapaan daripada para tetamu.

Melihat ahli keluarga angkatnya agak sibuk melayan para tetamu yang hadir, Khaira Eryna mengambil keputusan untuk merehatkan diri di dapur. Dia rasa lebih selesa berada di ruangan itu berbanding bergaul dengan para tetamu di luar villa. Khaira Eryna pantas menapak menuju ke dapur sambil mencari kelibat Cik Moon di sana.

"Cik Moon buat apa tu?" Sapa Khaira Eryna yang melihat susuk tubuh pembantu rumah di meja dapur.

Cik Moon yang sedang leka memotong buah-buahan menoleh ke arah Khaira Eryna.

"Eh, Khaira. Buat apa Khaira dekat dapur ni? Bukan sepatutnya Khaira kena layan tetamu dekat depan ke? Nanti mommy dan daddy cari Khaira pula." Balas Cik Moon sebelum menyambung tugasnya.

Khaira Eryna menyusun langkah mendekati Cik Moon. Punggungnya dilabuhkan di kerusi bersebelahan dengan wanita itu.

"Malaslah. Lagipun ramai sangat tetamu yang datang malam ni. Khaira bukan kenal dia orang. Baik Khaira duduk dekat sini teman Cik Moon."

Khaira Eryna sudah berura-ura untuk menggantikan tugas Cik Moon memotong buah. Namun belum sempat pisau di tangan Cik Moon diambilnya, Cik Moon terlebih dahulu menghalang.

"Tak payah, Khaira. Cik Moon boleh buat. Inikan tugas Cik Moon. Takkan Khaira pula yang nak buat kerja Cik Moon? Lagipun tinggal sikit je buah yang belum potong. Kejap lagi siaplah ni. Apa kata Khaira tolong puan dan tuan layan tetamu. Kesian dia orang. Mesti tak menang tangan." Tolak Cik Moon lembut.

"Khaira tak nak. Khaira nak duduk sini. Khaira tak tahulah nak berbual apa dengan tetamu-tetamu tu semua. Khaira tak biasa." Khaira Eryna terus-menerus memberi alasan. Dia menarik muka masam sambil menghempas belakang tubuhnya di dada kerusi.

Cik Moon mengeluh kecil. Kepalanya digeleng beberapa kali dengan senyuman nipis terukir di bibir.

"Sebab tak biasalah Khaira kena biasakan. Khaira kenal-kenal dulu dengan diorang tu. Nanti lama-lama Khaira akan selesa." Pujuk Cik Moon.

Namun pujukan Cik Moon langsung tidak diendah. Tiada tanda-tanda Khaira Eryna akan beredar dari situ. Melihat tingkah Khaira Eryna itu, akhirnya Cik Moon mengalah. Dibiarkan sahaja Khaira Eryna duduk menemaninya di situ.

Memandangkan Cik Moon tidak membenarkan dia membantu kerja-kerja di dapur, Khaira Eryna mengambil keputusan untuk bermain dengan telefon pintarnya. Aplikasi permainan dibuka. Lantas jari-jemarinya laju menekan-nekan skrin telefon menikmati permainan di gajet tersebut.

"Khaira, Cik Moon nak keluar hantar buah-buahan ni. Nak tengok makanan dekat luar, sama ada masih ada atau tidak. Khaira okaykan duduk dekat sini sorang-sorang?" Tanya Cik Moon yang sedang menatang pinggan berisi buah-buahkan di tangan.

"Cik Moon nak Khaira tolong ke?" Khaira Eryna sudah berura-ura bangun dari duduknya mahu membantu Cik Moon.

"Tak apa. Cik Moon boleh buat sendiri. Cik Moon risau je nak tinggalkan Khaira sendirian dekat sini."

"Tak payah risaulah. Khaira ni dah besarlah Cik Moon. Bukan budak kecil lagi. Tak apa, Khaira okay je duduk dekat sini. Cik Moon pergilah."

"Yalah. Cik Moon keluar sekejap." Ujar Cik Moon. Lalu dia berlalu keluar dari dapur meninggalkan Khaira Eryna di situ.

Danish Xavier yang sejak tadi mencari kelibat Khaira Eryna segera menyembunyikan diri di sebalik dinding yang memisahkan ruang makan dan dapur. Matanya memerhati gerak-geri Cik Moon yang baru sahaja keluar dari dapur. Setelah memastikan tiada sesiapa yang berada di ruangan itu, Danish Xavier pantas menapak masuk ke dalam dapur. Lega hatinya saat melihat gerangan yang dicari berada di situ.

"Dekat sini rupanya kau menyorok." Sapa Danish Xavier sambil berdiri berpeluk tubuh menatap ke arah Khaira Eryna.

Khaira Eryna yang kenal akan suara parau itu pantas menoleh. Spontan, bibirnya melakar senyuman.

"Awak buat apa dekat sini? Tak takut ke kalau kena tangkap nanti? Dahlah kita berdua je dekat sini." Duga Khaira Eryna.

Danish Xavier yang langsung tidak terkesan dengan kata-kata Khaira Eryna itu terus menapak mendekati cinta hatinya. Menarik kerusi di sebelah Khaira Eryna sebelum melabuhkan duduk di sisi gadis itu. Songkok yang berada di atas kepala ditanggalkan, lalu diletakkan di atas meja. Rambutnya yang kelihatan sedikit kusut diperkemaskan dengan hujung jari sebelum dilurut ke belakang. Khaira Eryna sekadar memerhati.

"Tak ada sesiapalah yang nak tangkap kita. Bukan kita buat perkara yang bukan-bukan pun. Lagipun orang ramai dekat luar tu. Masing-masing tengah sibuk berbual. Tak ada siapalah yang nak kisah pasal kita berdua. Yang kau pula, kenapa duduk dekat sini sorang-sorang?"

"Saja..." Balas Khaira Eryna dengan riak bersahaja. Pandangannya dihalakan kembali pada skrin telefon.

Danish Xavier naik kening sebelah. Matanya tidak lepas menatap wajah ayu Khaira Eryna yang manis berselendang menutupi rambutnya.

"Saja?"

Khaira Eryna mengangguk kecil. Tiada sepatah pun perkataan yang keluar dari mulutnya.

"Kau bosan ke?" Tanya Danish Xavier.

Khaira Eryna angguk lagi.

"Kalau bosan, kenapa kau tak cari aku?"

Khaira Eryna angkat bahu. Matanya hanya fokus pada skrin telefon. Sedikit pun tidak mengendahkan Danish Xavier yang duduk di sebelahnya. Setiap pertanyaan Danish Xavier hanya dibalas dengan gelengan dan anggukan sahaja.

"Kau dah makan?"

Khaira Eryna angguk.

"Kau nak minum tak? Kalau kau nak, aku boleh tolong ambilkan."

Khaira Eryna geleng kepala.

"Kau nak buah?" Danish Xavier cuba bertanya lagi.

Namun, Khaira Eryna tetap tidak bersuara. Hanya gelengan kepala yang diberikan. Melihat tingkah Khaira Eryna itu, Danish Xavier mula merengus halus. Geram dengan respon yang diberikan oleh buah hatinya itu. Tanpa sebarang amaran, pantas telefon pintar di tangan Khaira Eryna dirampas.

"Apa ni?!" Nada Khaira Eryna sedikit meninggi. Terkejut dengan tindakan Danish Xavier yang merampas telefonnya secara tiba-tiba. Dia menoleh ke arah Danish Xavier di sebelah. Matanya tajam merenung Danish Xavier yang tidak memaparkan sebarang riak.

"Kau tu. Leka sangat tengok telefon. Sampaikan apa yang aku cakap, yang aku tanya kau buat tak endah je."

"Ish, mana ada? Saya jawabkan bila awak tanya tadi." Balas Khaira Eryna tidak puas hati.

"Kau cuma mengangguk, tak pun kau geleng.Entah apa yang seronok sangat dengan telefon ni agaknya. Nak juga aku tahu. Manalah tahu kalau diam-diam kau ada simpan gambar lelaki lain ke..." Tebak Danish Xavier. Saja mahu memanaskan hati Khaira Eryna. Sempat hujung jarinya menatal skrin telefon pintar tersebut.

"Mana ada! Bagilah balik telefon saya tu... Saya tengah main gamelah. Habislah nyawa saya nanti. Bak balik telefon tu..." Rayu Khaira Eryna. Dia cuba untuk menggapai telefon pintarnya yang berada di tangan Danish Xavier. Namun gagal. Semakin dia cuba mengambil semula telefonnya, semakin tinggi Danish Xavier mengangkat tangan melayangkan telefon gadis itu ke atas.

Akhirnya, Khaira Eryna mengalah. Dia merengus geram. Lalu, pandangannya dipaling ke arah lain. Memeluk tubuh sambil menarik muncung tanda protes.

Danish Xavier tertawa kecil. Terhibur melihat wajah cemberut gadis di sebelahnya. Lantas, telefon pintar Khaira Eryna dihulurkan semula pada gadis itu. Tidak mahu membiarkan rajuk Khaira Eryna berpanjangan.

"Nah! Ambillah balik telefon kau ni. Tak adalah seronok mana pun game yang kau main tu. Game budak-budak je."

Khaira Eryna hanya menjeling. Huluran Danish Xavier langsung tidak disambut. Kali ini dia mahu lihat sejauh mana lelaki itu menyayangi dirinya dan ingin melihat usaha lelaki itu untuk memujuknya. Tidak sewenang-wenangnya dia ingin menyerah kalah.

Terdengar keluhan kecil daripada Danish Xavier. Telefon pintar Khaira Eryna diletakkan di atas meja. Betul-betul di hadapan Khaira Eryna. Lalu, bahu Khaira Eryna dipaut lembut sebelum tubuh gadis itu dipusingkan ke arahnya. Khaira Eryna masih mengekalkan mood merajuk walaupun dia agak sedikit terkejut dengan tindakan spontan Danish Xavier itu. Cepat-cepat pandangannya dialihkan ke arah lain. Tidak mahu bertentang mata dengan Danish Xavier. Takut hatinya cair saat menatap sepasang mata hazel milik lelaki itu.

"Kau marah aku ke sebab kacau kau main game?" Soal Danish Xavier lembut.

Khaira Eryna tidak membalas. Dia hanya berterusan membisu.

"Okay, aku minta maaf kalau dah buat kau marah. Kau sambunglah main game tu. Aku janji tak ganggu kau. Tapi please... Jangan merajuk dengan aku." Danish Xavier merayu. Cuba menarik perhatian Khaira Eryna.

Khaira Eryna tersentuh dengan rayuan Danish Xavier. Tidak jadi meneruskan rajuknya, lambat-lambat Khaira Eryna menoleh semula ke arah Danish Xavier yang sedang redup merenungnya.

"Okay, saya tak merajuk dah. Awak tu yang suka kacau saya. Saya tengah fokus main game tadi tau."

"So, game tu lagi penting daripada akulah ni?" Giliran Danish Xavier pula menarik muka.

"Mana ada. Awak lagi pentinglah."

"Habis tu kau marah aku pasal aku ambil telefon kau tadi. Bukan maksudnya kau lagi utamakan game tu ke?"

Khaira Eryna sudah garu kepala. Rasa bersalah menyelubungi diri. Ibarat mahu diluah mati mak, ditelan mati bapak. Kerana baginya saat itu kedua-duanya penting.

"Er... Itu tadi. Sekarang dah tak. Awak lagi penting. Sekarang saya fokus dekat awak. So, sekarang ni kita nak berbual pasal apa?" Khaira Eryna pantas mengalihkan topik perbualan. Tidak mahu perbalahan kecil menjadi besar.

Danish Xavier tidak terus membalas. Sebaliknya dia berjeda seketika. Nafasnya dihela panjang sebelum bibirnya kembali menarik senyuman.

"Kita cerita pasal kita."

"Pasal kita? Pasal apa? Awak nak kita berterus-terang dekat semua orang pasal hubungan kita ke?" Khaira Eryna rasa teruja.

"Bukan. Belum masanya lagi."

Khaira Eryna beriak sedikit kecewa.

"Ooh... Kalau bukan pasal tu, pasal apa?"

Tangan Khaira Eryna diraih. Lalu Danish Xavier bawa tangan gadis itu ke dadanya.

"Kau dengar degupan jantung aku?"

Khaira Eryna angguk kepala.

"Dengar. Tapi kenapa awak tanya? Awak jangan cakap yang awak.... Oh my god!" Khaira Eryna menutup mulutnya dengan sebelah tangan. Matanya membulat seakan terkejut.

"Hey, kau fikir apa ni?" Kening Danish Xavier sedikit berkerut saat melihat riak wajah Khaira Eryna.

"Awak ada masalah jantung ke?" Soal Khaira Eryna polos.

Danish Xavier tepuk dahi. Lain yang ingin diluah. Lain pula yang disangka. Hilang mood romantik.

"Bukanlah sayang... Aku sihat. Jantung aku pun sihat."

Khaira Eryna sudah tersipu malu. Mendengar sahaja panggilan 'sayang' daripada Danish Xavier, spontan wajahnya terus sahaja membahang. Orang yang disayang panggil panggilan manja, mahu tak berterbangan rama-rama dalam perut.

"Kalau bukan pasal tu, kenapa awak tanya saya macam tu? Awak ni buat saya takut je."

"Aku baru je nak sweet-sweet dengan kau tadi. Tak apalah. Abaikan je. Tapi kenapa muka kau merah tiba-tiba ni? Kau malu ke bila aku panggil kau sayang?" Danish Xavier tersungging senyum. Suka melihat wajah malu Khaira Eryna.

Khaira Eryna meraba-raba wajahnya. Kepalanya digeleng beberapa kali.

"Er... Tak adalah. Panas kot dekat dapur ni. Mungkin sebab tu muka saya naik merah." Khaira Eryna cipta alasan. Mahu menutup rasa malunya.

"Ala... Mengaku jelah kau malu. Tapi sweet jugakan kalau aku panggil kau sayang?" Danish Xavier senyum sendeng sambil menaikkan kedua-dua keningnya.

"Tak payahlah. Awak panggil saya macam biasa je. Mana tahu nanti kalau awak tersasul depan orang lain nanti. Tak pasal-pasal kita kantoi." Khaira Eryna menolak dengan baik. Tidak mahu jika Danish Xavier terasa hati dengan penolakannya itu.

"Betul juga. Tapi tak apa. Kalau time kita berdua, aku akan panggil kau dengan panggilan yang sweet-sweet. Barulah manis hubungan kita ni."

Tidak larat mahu menolak, Khaira Eryna akur.

"Yalah... Suka hati awaklah. Ni awak duduk lama-lama dekat sini, mommy dan daddy tak cari ke? Kawan-kawan awak tu tak cari awak?" Tanya Khaira Eryna sedikit risau. Sempat kepalanya menjengah ke arah luar kawasan dapur. Takut ada yang lalu-lalang di situ.

"Kawan-kawan aku dah balik. Yang tinggal cuma kawan-kawan dan kenalan daddy je. Itu pun dah tak ramai sangat."

"Ooh... Mm.. Awak haus tak? Saya buatkan air panas nak?" Tawar Khaira Eryna yang sudah bangkit dari duduknya. Tiba-tiba tekaknya terasa kering. Malas mahu mengambil air di luar, dia berhajat mahu membancuh air panas sahaja di dapur.

Danish Xavier hanya mengangguk kecil. Khaira Eryna sudah menyusun langkah menuju ke arah kabinet dapur. Namun, kerana tidak perasan hujung kain Khaira Eryna tersangkut di kaki kerusi, tubuh Khaira Eryna hilang kawalan. Tangan cuba mencapai permukaan meja. Malangnya pegangannya terlepas. Khaira Eryna hampir tersembam menyembah lantai. Khaira Eryna terjerit kecil.

"Aahh!!.."

Namun, nasib Khaira Eryna baik. Untung sahaja tangan Danish Xavier sempat melingkar ke pinggang Khaira Eryna. Menyelamatkan gadis itu dari jatuh. Spontan, tubuh Khaira Eryna ditarik rapat ke tubuhnya. Masing-masing menghela nafas lega. Tanpa sedar ada sepasang mata yang melihat adengan mereka itu.

Share this novel

Normala Normala
2024-11-01 15:29:51 

Bilalah dpt baca next episod ni..


NovelPlus Premium

The best ads free experience