Air laut yang membiru ditatap kosong. Akan tetapi, di situlah tempat yang memberinya ketenangan. Dia sendiri tidak percaya yang kini dia berada di persisiran pantai negeri Terengganu. Tempat di mana dia pernah membawa diri dahulu. Kalau dahulu ada sahabat baik yang menemaninya, tetapi hari ini dia bersendirian. Tiada siapa yang tahu keberadaannya. Biarlah... Yang penting dia mahu menyendiri merawat luka di hati.
"Danish, apa salah saya pada awak? Saya selalu rasa yang semakin hari awak semakin jauh daripada saya. Saya ingatkan itu hanya perasaan saya sahaja. Saya cuba berfikiran positif. Cuba abaikan semua andaian buruk pasal awak. Ternyata telahan saya benar dan sekarang ni kita bukan sahaja jauh, tetapi dah terus hilang dari dalam hidup masing-masing." Lirih Khaira Eryna sendiri.
Perlahan-lahan air mata yang sudah lama disimpan akhirnya mengalir laju. Tidak hairanlah jika Danish Xavier berubah sikap. Sentiasa dingin apabila bertemu dengannya. Mungkin firasat Khaira Eryna selama ini benar belaka. Lebih-lebih lagi mengenai hubungan Danish Xavier dan juga Tiara. Wanita yang kelihatan lebih elegan dan lebih matang berbanding dengan dirinya. Wanita yang boleh dikatakan lebih sepadan berdamping di sisi Danish Xavier berbanding dengan dirinya yang serba kekurangan itu.
Khaira Eryna menyeka kasar air matanya. Cuba menghapuskan air jernih yang tidak berhenti mengalir sejak tadi. Saat itu, fikirannya mula melayang mengingati kejadian semalam. Kejadian yang menjadi penyebab dia berada di sini hari ini.
Flashback...
"Prang!!"
Membulat mata Khaira Eryna melihat mug yang berada di atas meja kini sudah pecah berderai di atas lantai.
"Danish, apa masalah awak ni?!" Soal Khaira Eryna dengan nada sedikit tinggi. Terkejut dengan tindakan Danish Xavier yang tiba-tiba sahaja naik angin.
"Aku tak ada masalah. Yang bermasalahnya sekarang ni adalah kau. Sebab kau tu suka memaksa!"
"Saya? Memaksa?" Khaira Eryna berkerut dahi.
"Ya. Aku dah cakap yang aku sibuk. Tapi kau tetap juga paksa aku untuk layan kerenah kau. Boleh tak kau faham kesibukkan aku? Boleh tak lepas ni kau tak payah susah-susah hantar makanan untuk aku lagi. Aku dah cukup dewasa untuk uruskan diri aku sendiri. Kalau kau hari-hari datang dekat pejabat macam ni, macam mana aku nak fokus? Memang tak akan siaplah semua kerja-kerja aku yang berlambak ni!" Lengking suara Danish Xavier melontarkan kata-kata.
Khaira Eryna tergamam seketika. Tidak pernah dia melihat Danish Xavier semarah ini. Lebih-lebih lagi dengan dirinya. Air matanya mula bertakung di tubir mata. Namun, Khaira Eryna cuba menahan daripada gugur.
"Tapi kenapa tiba-tiba awak nak marah saya? Selama ini, awak sibuk macam mana pun awak ada sahaja masa untuk saya. Awak sanggup ketepikan kerja awak untuk makan tengahari bersama saya. Awak tak pernah pertikaikan kehadiran saya. Malah, awak sentiasa menanti saya datang untuk berjumpa dengan awak. Tapi sekarang, kenapa awak tiba-tiba berubah? Danish, awak dah tak sayangkan saya ke? Awak tak pernah tengking saya macam ni. Atau... Hati awak sebenarnya dah beralih arah?" Duga Khaira Eryna.
Danish Xavier tidak membalas. Dia hanya duduk menunduk memandang lantai. Tiada sebutir pun kata-kata yang keluar dari mulutnya untuk membalas segala pertanyaan Khaira Eryna. Batang pen yang berada di dalam pegangan tangan kanannya digenggam erat. Silap hari bulan batang pen yang keras tu pun boleh patah dikerjakannya. Panas hatinya masih belum reda. Dia sedar apa yang dia lakukan. Tapi mungkin ini sahaja caranya. Tiada cara lain yang dia mampu fikirkan. Maaf? Mungkin kata-kata itu hanya mampu disimpan di dalam hati. Yang dia mahu, Khaira Eryna tidak lagi munculkan diri di hadapannya lagi. Kerana hatinya terlalu rapuh. Jadi, biarkan sahaja dia dan gadis itu sama-sama terluka dari sekarang. Itu lebih baik.
"Kenapa awak diam? Awak takut nak berterus-terang? Yang awak memang ada hubungan dengan Tiara. Sebab tu awak tak nak mengaku yang saya ni teman istimewa awak. Tak apa, Danish. Saya faham. Tapi bukan ini caranya untuk awak buang saya! Awak betul-betul dah lukakan hati saya. Awak berjaya, Danish. Awak dah berjaya! Saya akan tunaikan permintaan awak. Saya tak akan muncul lagi dalam hidup awak. Sampai bila-bila...Saya doakan awak bahagia. Dia memang wanita yang terbaik untuk awak. Saya pergi dulu."
Khaira Eryna sudah memaling tubuh membelakangi Danish Xavier. Air mata yang mengalir di pipi pantas diseka kasar. Kaki mula diayun ke arah pintu. Tombol pintu diputar, saat dia ingin melangkah keluar sempat dia berpaling ke arah Danish Xavier yang masih duduk membatukan diri.
"Kalau awak tak nak makan makanan saya bawa tu, awak berilah kepada sesiapa yang awak nak. Kalau tak, awak boleh buang sahaja makanan tu ke dalam tong sampah. Kalau muka saya pun awak dah jijik nak pandang, inikan makanannya. Terima kasih untuk layanan terbaik awak selama ni." Khaira Eryna senyum sumbing sebelum terus melangkah keluar dari bilik pejabat Danish Xavier.
End flashback...
Air jernih semakin laju mengalir di pipi. Semakin diseka semakin deras ia mengalir. Terenjut-enjut bahu Khaira Eryna menahan sendu. Khaira Eryna pantas bangkit dari duduknya. Dia mahu segera berlalu dari situ. Malu jika ada mata-mata yang melihat keadaannya tatkala itu.
Khaira Eryna mempercepatkan langkah menuju ke arah chalet yang tidak jauh dari pantai. Tempat dia bermalam untuk selama beberapa hari ini. Pintu bilik ditutup rapat saat dia memasuki bilik, lalu dihempas tubuhnya di atas katil. Matanya tunak memandang siling. Memikirkan apa yang bakal akan terjadi selepas ini. Bagaimana hubungannya dengan keluarga angkatnya nanti? Khaira Eryna mengeluh berat. Air mata yang bersisa dibiarkan mengalir lagi.
Penat melentang, kini dia memusingkan tubuh mengiring ke kanan. Memandang sepi telefon pintar yang berskrin gelap di atas meja sisi katilnya. Tiada niat untuk mencapai telefon itu. Sebaliknya, kelopak matanya ditutup menghilangkan lelah kerana terlalu banyak menangis.
"Macam mana? Dapat call?" Soal Camilla dengan riak gelisah.
Darwish Xayden hanya menggeleng kecil.
"Tak dapatlah mommy. Handphone dia off rasanya. Mommy jangan risau. Darwish akan try call lagi nanti. Apa kata mommy rehatkan diri, tenangkan hati. Nanti mommy pula yang jatuh sakit. Darwish yakin, Khaira tak apa-apa." Pujuk Darwish Xayden menenangkan si ibu.
Camilla mengeluh halus. Punggung dihenyak di atas sofa. Pelipis diurut lembut.
"Macam mana mommy nak bertenang. Sedangkan kita tak tahu keadaan Khaira dekat luar tu macam mana? Walaupun mommy bukan ibu kandung yang lahirkan dia, tapi kasih sayang mommy pada Khaira sama macam mommy sayang anak-anak mommy. Lagi-lagi bila auntie Sofea beritahu perihal Khaira pada mommy, mommy terus rasa gelisah, resah. Khaira sayang... Mana Khaira pergi? Kami semua risaukan Khaira." Lirih Camilla dengan air mata yang berlinang.
Melihat keadaan Camilla, Darwish Xayden menghampiri ibunya. Bahu ibunya didakap erat.
"Mommy sabar ya. Darwish yakin Khaira selamat. Mungkin dia perlukan masa untuk bersendirian. Kita tak tahu kalau dia ada masalah atau ada perkara yang mengganggu perasaan dia. Mommy kenal anak mommy tu macam manakan? Kita bagi masa pada dia. Sehari dua nanti mesti dia balik. Percayalah." Darwish Xayden cuba meyakinkan ibunya.
"Mungkin juga. Tak apalah. Mommy akan cuba berfikiran positif. Darwish.." Camilla menoleh ke arah anaknya.
"Ya, mommy."
"Darwish tak masuk pejabat ke lepas ni?"
Darwish Xayden melirik ke arah jam tangannya.
"Masuk. Kejap lagi Darwish nak gerak. Kenapa mommy tanya?"
"Boleh tak mommy nak ikut Darwish? Maksud mommy, tolong hantarkan mommy ke rumah auntie Sofea."
Darwish Xayden menarik senyuman nipis.
"Boleh je mommy. Mommy pergi bersiap dulu. Darwish tunggu mommy."
Mendengar balasan si anak, Camilla segera bangun dari duduknya lalu mengatur langkah menuju ke bilik untuk bersiap.
Melihat Camilla sudah beredar, Darwish Xayden pantas mencapai telefon pintarnya semula. Ligat jari-jemarinya menaip sesuatu di skrin telefon. Tidak lama kemudian, terdengar bunyi notifikasi dari telefon pintarnya menandakan ada mesej baru sahaja diterima. Darwish Xayden segera melihat mesej yang dihantar kepadanya. Membaca mesej yang diterimanya itu, Darwish Xayden menarik senyum.
"Darwish, jom. Mommy dah siap."
Darwish Xayden menoleh ke arah ibunya yang sudah menanti di muka pintu. Tidak menunggu lama, Darwish Xayden terus sahaja mengekori langkah ibunya ke arah kereta. Lalu kereta Darwish Xayden mula bergerak menuju ke destinasi mereka.
Pintu bilik ditolak kasar tanpa ada niat untuk mengetuknya dari luar. Danish Xavier yang sedang menerangkan sesuatu kepada Tiara, pantas mengalihkan pandangan ke arah muka pintu pejabatnya dengan kening yang berkerut. Tiara turut berpaling tempat yang sama.
"Darwish, kenapa kau tak ketuk pintu dulu sebelum masuk? Kau tahukan aku tengah ada perbincangan sekarang?" Soal Danish Xavier tidak puas hati dengan tindakan adiknya itu.
"Sorry, tapi aku ada hal nak bincang dengan kau, bang. Penting sangat. Soal hidup dan mati."
Danish Xavier mengeluh kasar.
"Pasal apa pula ni? Tak boleh ke kita bincang dekat rumah je nanti? Aku sibuk."
"No! Tak boleh. Aku harap client kau faham. Lagipun ni masalah keluarga. Aku nak berbincang dengan kau sahaja. Aku tak nak ada orang luar dalam perbincangan kita." Ujar Darwish Xayden. Sempat dia menjeling ke arah Tiara yang masih setia duduk di sisi abangnya.
Faham akan maksud kata-kata Darwish Xayden, Tiara segera angkat punggung.
"It's okay, Dan. I balik dulu. Nanti kita sambung lagi. Just give me a call. You settle hal adik you dulu."
Danish Xavier tidak menghalang. Dia hanya mengangguk kecil mengiyakan kata-kata Tiara itu.
Komputer riba dan briefcase di atas meja dicapai. Tanpa menunggu lama Tiara pantas berlalu keluar dari bilik pejabat Danish Xavier.
"So, perkara apa yang penting sangat kau nak bincangkan tu?" Soal Danish Xavier setelah melihat pintu pejabatnya sudah ditutup rapat dari luar. Dia melangkah ke arah sofa. Menghenyak punggung sambil merehatkan belakang tubuh di dada sofa.
"Apa yang berlaku antara kau dengan Khaira? Kau orang berdua bergaduh lagi ke?"
Danish Xavier beriak biasa. Seakan tidak terkesan dengan pertanyaan adiknya itu.
"Aku rasa kalau pasal hal ni tak adalah penting sangat pun. Kita boleh je bincang dekat rumah. Kalau kau tak ada apa-apa lagi, kau boleh keluar. Aku nak sambung kerja. Aku tak ada masa nak bincang hal yang remeh-temeh dekat pejabat ni." Balas Danish Xavier.
Namun baru sahaja Danish Xavier mahu mengangkat punggung, Darwish Xayden pantas menghalang dengan kata-katanya. Danish Xavier terkaku di tempat duduknya.
"Kau cakap apa ni, Darwish?"
"Aku cakap Khaira hilang. Kita orang try contact dia tapi tak dapat. Auntie Sofea menangis-nangis call mommy beritahu mommy. Sekarang mommy dekat rumah auntie Sofea. Aku nak kau jawab jujur dengan aku, apa yang dah berlaku sebenarnya? Aku kenal Khaira. Dia tak akan menghilang macam ni kalau dia tak ada masalah. Lagipun semalam dia keluar dari bilik kau sambil menangis. Sampaikan Kak Zila panggil dia pun, dia tak menoleh langsung. Kau buat apa lagi pada dia?"
"Mana ada aku buat apa-apa pada dia? Mungkin dia yang terasa dengan aku sebab aku tak ada masa dengan dia. Kau tahukan sejak kebelakangan ni aku sibuk uruskan projek baru. Aku cuma minta dia bagi ruang. Itu je."
Darwish Xayden tersenyum sumbing.
"Abang, kau ingat aku budak-budak ke yang kau boleh gula-gulakan aku? Aku kenal sangat dengan kau orang berdua. Jangan tipu aku boleh tak?" Darwish Xayden masih lagi menahan sabar dengan alasan yang diberikan oleh abangnya.
"Kau nak aku bagi jawapan apa lagi? Kalau Khaira hilangkan diri je memang nak salahkan aku ke? Banyak benda aku nak fikirlah selain daripada dia tu. Buat semak kepala aku je. Kalau kau risau sangat dengan dia, apa kata kau je yang cari dia. Aku tak ada kena-mengena dengan hal dia. Aku nak sambung kerja." Danish Xavier pantas bangkit dari duduknya sebelum kembali ke arah meja kerjanya.
"Aku rasa aku dah dapat jawapan. Patutlah Khaira pergi. Aku tak sangka macam ni sekali layanan kau pada dia, bang. Aku ingat kau ikhlas sayangkan dia. Cintakan dia. Tapi aku silap. Mungkin betul sangkaan aku. Hati kau memang cepat berubah. Mungkin perempuan tadi punca semua ni terjadikan? Tak hairanlah kalau perempuan dulu tinggalkan kau. Sebab kau tak layak untuk mana-mana perempuan pun. Aku harap kau tak menyesal dengan apa yang kau buat. Aku keluar dulu."
Tanpa berlengah, Darwish Xayden terus sahaja berlalu keluar. Takut jika terus berbahas, kesabarannya akan hilang. Pintu bilik dihempas kuat.
Danish Xavier mengeluh kasar. Pelipisnya diurut menghilangkan bebanan. Batang tubuh disandarkan di dada kerusi. Pedih... Terasa ibarat dadanya ditusuk sembilu. Kata-kata adiknya itu benar-benar menyusuk ke dalam hatinya. Kelopak matanya ditutup rapat. Tanpa sedar ada air jernih mengalir di pipinya. Danish Xavier tiada niat untuk menyeka. Malah membiarkan air matanya terus mengalir supaya beban di dadanya akan berkurang. Biarlah dia sahaja yang menanggung beban ini. Walaupun dia tahu dia tidak mampu. Namun, dia harus kuat untuk orang yang dia sayang.
Share this novel