Khaira Eryna mempercepatkan langkah kakinya saat lif berhenti di aras yang ingin dituju. Sempat matanya melirik jam di pergelangan tangan. Takut andai dia tersalah waktu. Namun, melihat jarum jam belum menginjak ke angka dua belas, Khaira Eryna merasa sedikit lega walaupun jantungnya sejak tadi berdetak hebat.
Saat kakinya melintasi pintu utama, mata Khaira Eryna terus sahaja terarah pada daun pintu bilik pejabat yang dihuni oleh pengarah urusan Syarikat Xay Holding Sdn Bhd. Setelah beberapa bulan dia tidak menjejakkan kakinya di situ, kali ini dengan tekad yang ada Khaira Eryna memberanikan diri untuk berhadapan dengan pengarah urusan syarikat tersebut semata-mata kerana ingin mendengar penjelasan dari mulut lelaki itu sendiri.
Khaira Eryna dengan selamba melintasi meja yang menempatkan setiausaha kepada pengarah urusan syarikat tersebut, tanpa sedikit pun menghiraukan kewujudan wanita itu di situ. Sedar akan kehadiran Khaira Eryna, Zila yang baru sahaja bersiap untuk berangkat ke cafe pantas menangguhkan niatnya. Cepat-cepat dia menghalang gadis itu dari merempuh pintu bilik di hadapannya.
"Khaira! Khaira nak ke mana?" Halang Zila dengan mendepakan kedua-dua belah tangan.
Khaira Eryna yang terkejut dengan kemunculan Zila, terus sahaja memberhentikan langkah.
"Kak Zila. Sorry, Khaira tak perasan kak Zila ada tadi. Er... Khaira nak jumpa boss kak Zila. Dia adakan?" Laju Khaira Eryna memberi alasan walhal dari pintu utama tadi dia sudah kelihatan keberadaan wanita itu.
"Ada. Tapi kejap lagi waktu lunch. Jadi Encik Danish awal-awal dah inform akak supaya tak ada sesiapa yang ganggu dia. Dia busy sangat hari ni."
"Tapi kak, Khaira betul-betul ada perkara penting nak bincang dengan dia. Please kak Zila, bagi Khaira masuk. Sekejap je."
"Tak boleh, Khaira. Bukan akak tak nak tolong. Tapi Khaira tahu sendiri boss akak tu macam manakan? Khaira nak akak kena buang kerja ke? Khaira tak kesian dekat akak?" Zila cuba menarik simpati Khaira Eryna.
"Tapi ini soal hidup dan mati. Khaira mesti jumpa dia sekarang juga." Tegas Khaira Eryna. Rayuan Zila langsung tidak diendahkan.
"Memang tak boleh. Apa kata Khaira call dia sendiri. Kalau betul dia nak jumpa Khaira baru akak izinkan." Zila cuba memberi cadangan. Harap-harap gadis di hadapannya ini akan mendengar kata-katanya itu.
"Tak guna pun, kak. Dia tak akan angkat. Mesej Khaira pun dia tak balas. Inikan pula telefon. Emm... Tak apalah kalau tak boleh. Maafkan Khaira sebab dah ganggu kerja akak. Khaira balik dululah macam tu." Ujar Khaira Eryna dengan riak kecewa.
"Maafkan akak tau. Akak cuma ikut perintah." Balas Zila dengan rasa bersalah.
"Tak apa, kak. Tapi... Kalau Khaira nak minta tolong sikit boleh?"
Zila sudah berkerut kening.
"Khaira nak minta tolong apa?" Soal Zila sambil menggaru keningnya yang tidak gatal.
"Khaira nak minta tisu. Hidung Khaira rasa tak selesa. Akak ada tisu ke?"
Zila yang sedikit polos hanya menurut permintaan Khaira Eryna tanpa sedikit pun ada perasaan curiga dengan tindak-tanduk gadis itu. Dia dengan pantas kembali ke meja kerjanya untuk mendapatkan tisu yang diminta. Dengan peluang yang ada, Khaira Eryna segera memusingkan tubuh sebelum melangkah laju ke arah pintu sebelum merempuh masuk ke dalam bilik tersebut. Zila yang baru tersedar akan khilafnya pantas berlari mendapatkan Khaira Eryna.
"Danish, we need to talk!" Ujar Khaira Eryna setelah berjaya menjejakkan kaki di dalam bilik lelaki itu.
Danish Xavier yang leka dengan kertas kerjanya pantas mengangkat wajah.
"Sorry, Encik Danish. Kak Zila tak sempat nak halang Khaira..."
"Tak apa, kak. Biarkan. Akak boleh keluar." Ujar Danish Xavier tanpa sempat Zila menghabiskan bicara.
Mendengar arahan Danish Xavier, Zila hanya angguk kepala sebelum menutup daun pintu bilik. Lalu, dia pantas beredar meninggalkan majikannya bersama Khaira Eryna.
"Kau nak apa sampai jumpa aku dekat sini? Aku rasa tak ada apa yang kita perlu bincangkan. Oh, by the way, congrats! Sebab aku dengar kau dah nak tunang. Mesti kau tengah sibuk uruskan barang-barang hantaran untuk majlis tu nanti. Bertuah kau dapat lelaki macam Fayyadh tu. He is a nice man." Ucap Danish Xavier tanpa memandang ke arah Khaira Eryna. Dia kembali menyibukkan diri dengan menyelak satu persatu kertas kerja yang berada di hadapannya.
Mendengar kata-kata Danish Xavier, Khaira Eryna tergelak kecil.
"Hahaha... Ya, dia memang lelaki yang baik. Memang tak dinafikan. Tapi..." Khaira Eryna berjeda seketika. Nafas dihela panjang sebelum dia meneruskan bicaranya. Dadanya sakit bagai mahu meletup saat memandang riak Danish Xavier yang bersahaja. Seakan tidak terkesan dengan keadaan yang menimpa diri mereka.
"Tapi apa?" Tanpa sedar, laju sahaja mulut Danish Xavier bertanya. Seakan tidak sabar menunggu kata-kata yang ingin diluahkan oleh gadis di hadapannya itu.
Khaira Eryna perlahan-lahan menapak mendekati meja kerja Danish Xavier. Sedikit pun matanya tidak beralih dari menatap Danish Xavier. Lelaki yang pernah bertakhta di dalam hatinya dulu hingga sekarang.
"Tapi apa hak awak buat keputusan untuk saya? Apa hak awak, Danish?!" Lengking suara Khaira Eryna memuntahkan kata-kata. Persoalan yang sudah lama disimpan dan sudah tidak dapat dibendung lagi. Kerana itu dia berada di hadapan lelaki itu sekarang ini.
"Awak rasa saya gembira? Bahagia? Apa perasaan awak, Danish? Awak bahagia ke bila tengok saya menderita macam ni? Saya dah cuba, Danish. Saya cuba untuk bukakan hati saya untuk dia. Saya cuba untuk terima semua ni. Tapi saya tak boleh. Saya tak boleh nak tipu diri saya! Saya tak boleh nak terus berpura-pura yang saya bahagia dengan semua ni!" Luah Khaira Eryna dengan air mata yang berlinangan. Di saat itu, Khaira Eryna merasakan dia sangat letih. Kekuatan yang dia ada hilang tiba-tiba. Kakinya mula terasa lemah. Lalu, Khaira Eryna terus jatuh terduduk menghemburkan tangisannya.
Danish Xavier terpana. Terkejut saat melihat Khaira Eryna tiba-tiba jatuh di hadapannya. Dia pantas berdiri dan berlari mendapatkan Khaira Eryna. Namun, langkah kakinya terhenti ketika matanya terpasak pada tubuh Khaira Eryna yang sedang menangis sambil memeluk lutut. Hatinya terasa goyah saat melihat gadis yang dicintainya dalam keadaan sebegitu. Mahu sahaja dia mendakap tubuh gadis itu, agar gadis itu tenang. Ingin dia hapuskan air mata gadis itu agar gadis itu boleh senyum kembali. Tetapi dia cuba cekalkan hati agar tidak terlalu ikutkan perasaan. Dia harus kuat pertahankan keputusannya. Biarlah dia dikatakan ego, dia rela.
"Kenapa? Kenapa awak seksa saya macam ni, Danish? Kenapa lepas awak bagi saya harapan, awak musnahkan harapan tu? Berbulan-bulan saya tahankan diri daripada bertemu dengan awak. Saya pujuk diri saya untuk benci awak. Saya cakap pada diri saya yang saya dah move on. Tapi setiap kali saya pujuk diri saya, setiap kali itulah hati saya terluka. Sakit sangat... Sakit sangat sebab saya terpaksa tanggung beban perasaan saya." Lirih Khaira Eryna dengan suara yang bergetar. Dia kembali mengangkat muka memandang ke arah Danish Xavier yang sekarang ini sedang berdiri membisu sambil menatapnya.
"Macam mana awak boleh lalui semua ni? Atau memang betul hati awak dah berubah? Awak memang dah benci saya ke, Danish? Sebab tu awak pilih Tiara untuk jadi suri hidup awak?" Duga Khaira Eryna. Perlahan-lahan dia bangkit dari duduknya. Berdiri dan berdepan dengan Danish Xavier dengan tatapan yang tajam.
"Kenapa awak diam? Terkejut sebab saya dapat tahu pasal pertunangan awak dengan dia? Huh! Kalau saya tak ikut ibu pergi ke rumah mommy dan tak jumpa dengan Tiara dekat sana, mungkin sampai sekarang saya tak tahu bahawa lelaki yang saya tunggu, lelaki yang saya sayang akan jadi milik orang. Bodoh ke saya? Bodoh ke saya Danish sebab cintakan awak?!" Khaira Eryna kembali melepaskan amarahnya. Kolar baju kemeja yang dipakai oleh Danish Xavier dicengkam kuat. Lalu, wajahnya disembam ke dada Danish Xavier. Semakin berjuraian air mata Khaira Eryna. Tubuhnya tersengguk-sengguk menahan sendu.
Danish Xavier masih diam membisu. Membiarkan gadis itu melepaskan kemarahan dan kesakitan padanya. Dia rela andai itu dapat menenangkan Khaira Eryna. Dibiarkan sahaja kepala gadis itu bersandar di dadanya. Tangan sebelahnya sudah naik ingin menyentuh rambut Khaira Eryna. Namun, dia segera membatalkan niatnya saat Khaira Eryna sudah bergerak menjarakkan tubuh. Cepat-cepat Danish Xavier menjatuhkan tangan. Matanya kembali memerhati perlakuan Khaira Eryna.
Sedar Danish Xavier masih tidak beriak, Khaira Eryna akhirnya memilih untuk bertenang. Air mata yang bersisa diseka kasar. Nafas dihela panjang sebelum dia kembali menatap Danish Xavier.
"Awak memang tak nak cakap apa-apa ke, Danish? Saya teringin nak dengar awak pujuk saya. Tenangkan saya. Saya nak sangat awak cakap yang awak terpaksa buat semua tu untuk buat awak lupakan saya walaupun hati awak tak mampu. Saya harap sangat awak cakap macam tu pada saya, Danish. Tolonglah sedarkan saya dari mimpi ngeri ni. Saya tak boleh hidup dengan orang yang saya tak cinta. Awak boleh ke hidup dengan Tiara walhal hati awak tak ada pun pada dia?" Khaira Eryna masih lagi cuba mendesak. Dia perlukan kejujuran. Dia yakin bahawa Danish Xavier masih cintakan dia dan lelaki itu sanggup buat semua ini kerana ingin menggembirakan hati orang sekelilingnya.
"Kenapa kau yakin sangat yang aku tak cintakan Tiara? Takkan aku sanggup terima dia kalau hati aku ni tak ada pada dia? Dahlah, Khaira. Terima takdir ni. Takdir yang dah tertulis untuk kita. Kau doakan aku bahagia dengan Tiara dan aku juga akan doakan kau bahagia dengan Fayyadh. Kau anggaplah apa yang berlaku pada kita dulu tu semua adalah satu kesilapan. Aku minta maaf sebab dah bagi kau harapan. Sepatutnya aku halang perasaan kau pada aku sejak dulu lagi. Kita memang ditakdirkan sebagai abang dan adik angkat. Tak lebih daripada itu. Aku harap kau boleh terima semua ni. Lagipun aku dah buat pilihan aku. Nama kau tak pernah ada dalam hati aku, Khaira. Mungkin apa yang terjadi sebab khilaf aku sendiri. Sekarang aku dah sedar yang kau bukan untuk aku, tetapi Tiara. Sekarang kau dah dengar kebenarannyakan? Aku rasa kau dah boleh balik. Lagipun aku banyak kerja yang nak disiapkan, sebab lepas ni aku akan sibuk uruskan majlis perkahwinan aku dengan Tiara." Balas Danish Xavier panjang lebar. Dia berharap dengan kata-katanya ini akan membuatkan Khaira Eryna melupakan perasaan cinta gadis itu padanya dan seterusnya menerima pilihan Sofea dengan hati yang terbuka. Sama sepertinya juga. Walaupun pahit hendak ditelan, namun dia perlu reda dan pasrah. Begitu juga harapannya pada gadis itu.
Khaira Eryna terdiam seketika. Terkedu mendengar bicara Danish Xavier. Mudah sungguh lelaki itu berkata-kata. Seakan perasaannya satu mainan. Namun, apa lagi dayanya untuk pertahankan perasaannya pada lelaki itu andai lelaki itu sendiri sudah menyangkal segala-galanya. Kecewa? Ya, dia kecewa. Harapan yang dibawa sudah hancur berkecai. Ibarat kaca yang jatuh terhempas di lantai.
Khaira Eryna pantas memusing tubuh. Dia seakan pasrah dalam terpaksa. Dengan langkah yang berat, kaki diatur beredar dari bilik itu. Namun saat tangannya ingin menyentuh tombol di pintu, namanya diseru oleh Danish Xavier. Lambat-lambat Khaira Eryna berpaling semula ke arah lelaki itu.
"Aku harap kau bahagia disamping Fayyadh seperti mana yang ibu kau harapkan. Kau pun tolong doakan kebahagiaan aku juga."
Khaira Eryna melakar senyuman hambar. Walaupun perit namun dia tetap mengungkapkan ucapan buat Danish Xavier.
"Semoga awak bahagia dengan pilihan awak. Selamat tinggal, abang Danish." Khaira Eryna terus sahaja keluar dari bilik itu tanpa sedikit pun menoleh ke belakang.
Mendengar panggilan yang keluar dari bibir Khaira Eryna tadi membuatkan Danish Xavier terkedu. Andai dulu dia menidakkan panggilan 'abang' buat Khaira Eryna padanya, tetapi kini dia sendiri yang mencipta panggilan itu sebagai batas untuk hubungan mereka.
Khaira Eryna mempercepatkan langkah kakinya saat bertembung dengan Darwish Xayden. Dia cuba mengelak daripada abang angkatnya itu. Sememangnya waktu dan ketika ini, dia ingin bersendirian. Dia tidak mahu diganggu.
"Khaira, tunggu!"
Langkah Khaira Eryna terhenti saat tangannya sudah dicapai oleh Darwish Xayden. Lalu, Darwish Xayden pantas memusingkan tubuh Khaira Eryna menghadapnya.
"Khaira nak ke mana? Kenapa mengelak daripada abang?" Soal Darwish Xayden.
Khaira Eryna yang sejak tadi menunduk perlahan-lahan mengangkat wajah. Air mata yang ditahan akhirnya mengalir membasahi pipi. Darwish Xayden yang melihat air jernih di wajah Khaira Eryna merasa cemas. Lalu, Darwish Xayden pantas menuntun tangan Khaira Eryna ke arah lobi.
"Abang Darwish, abang nak bawa Khaira pergi mana?" Soal Khaira Eryna yang terkejut dengan perlakuan abang angkatnya itu. Dia cuba meleraikan pegangan Darwish Xayden. Namun, pegangan tangan lelaki itu semakin utuh.
"Abang nak bawa Khaira ke tempat yang Khaira boleh bertenang." Balas Darwish Xayden dengan nada yang dingin.
"Tapi Khaira...."
"Abang tak nak dengar alasan. Khaira ikut je abang kalau Khaira tak nak mommy dan daddy tahu pasal Khaira dan abang Danish." Potong Darwish Xayden.
Khaira Eryna terdiam. Dia akur. Kakinya hanya diayun mengekori langkah Darwish Xayden dari arah belakang.
Share this novel