Khaira Eryna memerhati laluan yang dilalui oleh Noah. Dia kenal tempat ini. Takkan ayah angkatnya itu mahu bawa mereka semua bercuti di sini? Hati mahu bertanya. Namun, mulutnya berat untuk meluah. Sudahnya dia hanya membisukan diri.
"Khaira, Khaira kenal tak tempat ni?" Soal Noah tiba-tiba.
Semua mata di dalam kereta tertumpu pada Khaira Eryna. Lambat-lambat Khaira Eryna angguk kepala.
"Kenal. Takkan Khaira boleh lupa tempat Khaira membesar. Daddy nak bawa kami semua bercuti di sini ke?" Akhirnya terluah juga apa yang mengganggu fikirannya sejak tadi.
"Kita singgah sekejap. Daddy tahu mesti Khaira rindukan kampung halaman Khaira. Khaira nak singgah rumah lama Khaira ke?"
Ibarat orang mengantuk disorongkan bantal, laju sahaja Khaira Eryna angguk setuju. Teruja perasaannya saat ini. Setelah hampir lapan bulan dia tinggalkan kampung kelahirannya, tidak sabar rasanya mahu menjengah rumah peninggalan arwah bapanya itu. Tempat di mana dia dan arwah bapanya berteduh dari hujan dan panas. Terlalu banyak kenangan dia bersama arwah bapanya di situ.
Melihat balasan daripada Khaira Eryna dari cermin pandang belakang, Noah terus sahaja memandu keretanya menuju ke rumah arwah sahabat baiknya itu. Sampai sahaja di sebuah persimpangan, Noah terus sahaja membelok keretanya ke sebelah kiri sebelum menyusuri sebuah lorong kecil. Sampai di penghujung lorong tersebut kelihatan sebuah rumah kayu beratap nipah yang begitu usang di ruang mata.
Noah memberhentikan keretanya di halaman rumah tersebut. Tanpa berlengah, Khaira Eryna terus melangkah turun dari perut kereta. Laju mengayun langkah ke arah rumah tersebut. Melihat tingkah Khaira Eryna, mereka yang lain turut sama mengekori langkah gadis itu.
Pintu kayu dikuak lembut dari luar. Saat pintu kayu sudah terbuka luas, Khaira Eryna perlahan-lahan menapak masuk ke dalam rumah usang itu. Matanya mengitari keadaan sekeliling. Memerhati ruang dapur yang suram hanya disinari cahaya dari arah pintu. Tiada apa yang berubah. Semuanya masih sama seperti sebelum ini.
"Khaira..."
Bahu Khaira Eryna disentuh dari belakang. Khaira Eryna sedikit tersentak. Alpa sebentar. Baru dia tersedar yang dia bukan berseorangan di situ. Khaira Eryna menoleh ke belakang.
"Mommy..."
"Khaira okay?"
Khaira Eryna hanya mengangguk kecil. Bibir mungilnya melakar senyuman nipis.
"Jemput masuk, mommy. Inilah rumah lama Khaira. Maaflah kalau rumah ni buat mommy dan semua rasa tak selesa. Rumah ni kecil je. Buruk pula tu. Jauh dari segalanya kalau nak dibandingkan dengan rumah daddy dan mommy. Tapi Khaira tetap sayangkan rumah ni. Banyak kenangan yang ada di sini. Tak mungkin Khaira boleh lupa." Ada getar di hujung bicara gadis itu.
"Khaira, kenapa cakap macam tu? Besar ke kecil ke cantik mahupun buruk, rumah semuanya sama sayang. Tempat untuk kita berteduh. Tempat untuk kita berlindung. Mommy sebenarnya bangga dengan Khaira sebab Khaira tak pernah lupa diri. Khaira sentiasa merendah diri. Khaira tak pernah malu dengan kehidupan Khaira yang dulu. Tak semua orang ada keperibadian macam Khaira tau."
Bahu Khaira Eryna dipaut lembut. Cuba menenangkan perasaan si gadis.
"Mommy, Khaira nak masuk bilik arwah baba sekejap. Mommy ajaklah dia orang semua duduk dekat pangkin luar tu. Kejap lagi Khaira keluar.Lagi pun dalam rumah ni panas, tak ada kipas."
"Khaira tak nak mommy teman ke?"
Khaira Eryna pantas menggelengkan kepala.
"Tak apa. Khaira okay. Mommy jangan risau."
"Kalau macam tu, mommy dengan yang lain tunggu Khaira dekat luar. Kalau ada apa-apa jerit panggil kami."
"Baik, mommy. Insyaa-Allah Khaira baik-baik sahaja."
Mendengar balasan Khaira Eryna, Camilla terus mengatur langkah keluar dari rumah tersebut. Khaira Eryna pula sudah menapak ke arah bilik arwah bapanya.Mereka yang lain turut sama mengekori langkah Camilla ke arah pangkin kecuali Danish Xavier. Entah kenapa kakinya berat untuk meninggalkan Khaira Eryna berseorangan di situ. Melihat ahli keluarganya semua sudah beredar, Danish Xavier berhati-hati mengatur langkah ke arah yang dituju Khaira Eryna. Bukan niat mahu mengganggu gadis itu. Sebaliknya sekadar ingin memerhati Khaira Eryna dari jauh.
Khaira Eryna melabuhkan punggung di birai katil yang usang itu. Tangannya mengusap lembut permukaan tilam tempat di mana arwah bapanya selalu berehat melepaskan lelah. Tanpa sedar air matanya yang ditahan sejak tadi akhirnya tumpah membasahi pipi. Terdengar esakan kecil keluar dari bibir gadis itu.
"Baba... Aira rindu baba... Kenapa terlalu cepat baba pergi tinggalkan Aira. Baba tahu tak yang Aira belum puas bermanja dengan baba. Banyak perkara yang Aira nak berkongsi dengan baba. Banyak cerita yang Aira nak baba dengar."
Khaira Eryna menekup wajah dengan kedua-dua tapak tangannya. Melepaskan tangisan semahu-mahunya. Danish Xavier yang berada di sebalik dinding sekadar memerhati. Hatinya turut dipagut rasa sayu saat melihat tangisan Khaira Eryna. Mahu sahaja tubuh gadis itu didakap erat agar dia tenang. Namun, Danish Xavier tahu akan batasnya.
Puas menangis, Khaira Eryna menarik nafas sedalam-dalamnya sebelum dilepaskan perlahan-lahan. Air mata yang masih bersisa diseka dengan hujung jarinya.
"Baba... Alhamdulillah... Aira bahagia. Mommy, daddy, abang Darwish dan abang Danish, dia orang semua baik. Dia orang layan Aira dengan baik. Tak sedikit pun dia orang sisihkan Aira. Dia orang sama macam Jasmin, uncle Zakri dan auntie Atiqah. Tak pernah jijik dengan Aira. Dia orang sayang Aira macam ahli keluarga sendiri. Mommy dan daddy ikhlas jaga Aira. Sayang Aira macam baba sayangkan Aira.Baba, Aira janji Aira takkan pernah lupa jasa mereka semua."
Khaira Eryna berjeda seketika. Terdengar keluhan kecil meniti di bibirnya. Mungkin terlalu letih kerana banyak menangis. Khaira Eryna bangkit dari duduknya. Namun, saat dia mahu melangkah kaki beredar dari situ, tiba-tiba tapak kakinya seakan memijak sesuatu. Pantas kakinya dialihkan. Sesuatu yang bersinar di atas lantai menarik perhatiannya. Lalu Khaira Eryna merendahkan tubuh sebelum mencapai barang tersebut.
"Rantai tangan? Siapa punya pula ni? Baba? Tak mungkin." Desis Khaira Eryna di dalam hati.
Khaira Eryna membelek rantai tangan tersebut. Terdapat sebuah ukiran di rantai tangan itu. Khaira Eryna cuba meneliti ukiran itu. Ukiran tulisan bersambung itu dibaca.
"Bunga Sofea..."
Khaira Eryna berkerut kening.
"Ni nama ibu. Maksudnya...rantai tangan ni milik arwah ibu? Tapi... Kenapa aku tak pernah perasan pun sebelum ni?" Tanya Khaira Eryna sendiri.
Tidak mahu terus beteka-teki, rantai tangan itu disimpan di dalam kocek seluar yang dipakainya sebelum dia mengatur langkah keluar dari bilik tersebut. Melihat Khaira Eryna yang sudah menapak keluar dari bilik, Danish Xavier turut sama mahu beredar dari situ. Tidak mahu Khaira Eryna tahu akan kehadirannya. Dia segera berpaling tubuh. Namun, baru sahaja dia mahu mengatur langkah, panggilan Khaira Eryna membuatkan dia bergeming di tempat dia berdiri.
"Danish, awak buat apa dekat sini?" Tanya Khaira Eryna yang pelik melihat Danish Xavier berada di situ.
Danish Xavier sudah tertangkap. Dia menoleh ke arah Khaira Eryna. Kepala yang tidak gatal digaru kecil.
"Er... aku nak pergi toilet. Tu yang berpusing-pusing dekat sini sebab aku tak jumpa toilet dekat mana." Danish Xavier mencipta alasan.
Khaira Eryna berkerut kening.
"Cari toilet? Sampai dekat sini?"
"Kan aku dah cakap tadi. Aku tak jumpa toilet. So, aku carilah dekat area sini. Mana tahu toilet ada dekat dalam bilik."
Khaira Eryna senyum sumbing. Seakan tidak termakan dengan alasan yang dicipta oleh Danish Xavier. Kedua-dua tangannya diangkat memeluk tubuh.
"Agak-agaklah Encik Danish Xavier. Ini rumah kampung. Belum pernah lagi rumah usang macam rumah saya ni ada toilet dalam bilik. Toilet ada dekat dapur. Ke...awak intai saya?" Tebak Khaira Eryna. Sekadar ingin melihat reaksi lelaki di hadapannya itu.
"Dekat dapur?" Danish Xavier sedikit 'blur'.
Khaira Eryna naik kening sebelah. Sekadar memerhati riak Danish Xavier.
"Tak apalah. Dah hilang rasa nak membuang. Jom, kita keluar. Dia orang semua dah tunggu lama dekat luar tu." Danish Xavier pantas menukar topik. Cubaan untuk melarikan diri.
Tanpa bersoal-jawab Khaira Eryna mengatur langkahnya ke arah dapur semula. Tidak mahu membuat ibu dan ayah angkatnya serta yang lain menunggu lama. Danish Xavier menghela nafas lega. Kakinya turut diayun mengekori langkah Khaira Eryna.
"Khaira, Danish, come join us. Tadi cik Moon dengan Darwish ada beli pisang goreng dekat simpang sebelah sana. Panas-panas lagi ni. Air kelapa dan tebu pun ada. Boleh buat penyejuk tekak." Pelawa Noah yang sedang enak menjamu selera di bawah pangkin yang berada di luar rumah saat melihat kelibat Khaira Eryna dan Danish Xavier.
"Tak apalah daddy. Khaira tak lapar lagi. Mm... daddy, mommy...Khaira nak minta izin, boleh?"
"Minta izin? Khaira nak minta izin apa, sayang?" Soal Camilla di sisi Noah.
"Boleh tak Khaira nak ziarah pusara arwah baba?"
Noah dan Camilla saling berpandangan.
"Boleh. Kalau macam tu biar daddy yang hantar." Balas Noah.
"Eh, tak apa! Khaira boleh pergi sendiri. Lagi pun daddy dah penat seharian memandu. Khaira boleh je pergi sendiri." Tolak Khaira Eryna.
"Tapi kawasan perkuburan tu agak jauh dari sini? Takkan Khaira nak jalan kaki?"
"Tak apa. Khaira dah biasa. Khaira janji sekejap je. Lagi pun ada jalan pintas nak ke sana. Daddy, mommy dan yang lain rehat je dekat sini. Jangan risau. Khaira okay je pergi sendiri. Khaira gerak dulu."
Namun, tidak sempat Khaira Eryna mengatur langkah, tangan Danish Xavier sudah menghalang. Khaira Eryna menatap pelik ke arah Danish Xavier.
"Daddy, mommy, biar Danish yang temankan Khaira. Lagi pun Danish teringin juga nak jalan-jalan dekat kampung ni."
"Eh, tak payahlah. Khaira boleh..."
Danish Xavier mencerlung tajam menatap ke anak mata Khaira Eryna. Isyarat yang tidak suka dengan penolakan Khaira Eryna itu. Faham dengan pandangan Danish Xavier itu, akhirnya Khaira Eryna mengalah. Dia akur.
"Aku tunggu dalam kereta." Ujar Danish Xavier dengan nada yang sedikit dingin.
Melihat Danish Xavier sudah menapak ke arah kereta, Khaira Eryna segera meminta diri untuk beredar. Mereka yang lain sekadar memerhati tingkah pasangan itu. Camilla menggeleng kecil manakala Noah pula hanya mengangkat bahu tanda tidak mahu ikut campur urusan anak-anaknya itu. Cik Moon dan Darwish saling berpandangan sebelum kembali menyambung suapan mereka. Menikmati keenakan pisang goreng di hadapan mata.
Wajahnya diraup lembut saat selesai membaca doa. Pusara Hakim ditatap redup.
"Baba, nanti Aira datang lagi. Aira balik dulu. Aira sayang baba." Ucap Khaira Eryna sambil menyeka sisa air matanya di tubir mata. Dia tidak mahu Danish Xavier melihat dia menangis di situ.
Khaira Eryna bangkit dari tempat duduknya. Dia pusing tubuh. Sempat dia menoleh ke arah pusara arwah bapanya semula sebelum mengatur langkah ke arah Danish Xavier yang berdiri tidak jauh darinya.
"Saya dah selesai. Kita dah boleh gerak sekarang."
Lantas Danish Xavier menghulurkan kunci kereta pada Khaira Eryna. Khaira Eryna memandang pelik dengan tingkah Danish Xavier.
"Saya nak buat apa dengan kunci kereta ni?" Soal Khaira Eryna polos.
"Kau pergi masuk kereta dulu. Hidupkan enjin lepas tu kau buka aircond. Biar sejuk. Cuaca dekat luar ni panas." Arah Danish Xavier tatkala melihat kulit wajah Khaira Eryna yang sudah berubah kemerah-merahan terkena bahang matahari.
"Habis tu awak tak nak masuk sekali ke?"
"Kau pergi je dulu. Kejap lagi aku menyusul. Aku ada hal sekejap."
Khaira Eryna hanya menurut. Tidak menunggu lama, kunci yang berada di pegangan Danish Xavier dicapai sebelum kakinya dibawa menuju ke arah kereta.
Melihat Khaira Eryna yang sudah beredar, Danish Xavier menapak ke arah pusara Hakim. Dia duduk bertinggung di sisi pusara tersebut. Kedua-dua tangannya diangkat. Menadah tangan. Surah Al-Fatihah dibaca sebagai sedekahnya pada penghuni pusara tersebut. Disusuli pula dengan bacaan doa ringkas. Usai mengaminkan doa, pandangannya dibawa menatap ke arah pusara.
"Uncle, saya tahu kita tak pernah bersua sebelum ini. Melihat wajah apatah lagi. Tapi saya dapat rasakan yang uncle seorang bapa yang penyayang dan baik. Melihat Khaira, saya tahu uncle sudah mendidik dia dengan baik. Saya tak tahu kenapa saya cakap macam ni? Yang saya pasti saya rasa bersyukur kerana dipertemukan dengan anak uncle. Uncle jangan risau. Saya janji saya akan jaga Khaira dengan baik. Sakitkan hati dia? Itu saya tak boleh janji. Sebab saya suka tengok dia bila dia tarik muka atau buat muka."
Danish Xavier tertawa kecil. Kalau ada orang lain yang melihat pasti mereka sudah labelkan dia gila kerana bercakap sendiri di situ. Siap pakej ketawa lagi.
"Uncle, jujur saya tak tahu apa yang saya rasa bila saya dengan Khaira. Apa yang boleh saya katakan... I like her. Tapi ini rahsia kita. Tak ada siapa yang tahu. Saya tahu Khaira masih muda dan masih mentah. Sebab tu saya hanya mampu pendam perasaan ni. Cukuplah saya katakan yang saya akan cuba lindungi anak uncle walau apapun yang berlaku kelak.Uncle, saya balik dulu. Ada kesempatan nanti saya singgah ziarah lagi.Saya doakan semoga roh uncle tenang di sana."
Danish Xavier kembali berdiri. Dia pantas mengatur langkah ke arah keretanya.
"Awak buat apa tadi?" Soal Khaira Eryna saat melihat Danish Xavier sudah berada di tempat duduk pemandu.
"Tak ada buat apa. Ziarah pusara baba kau. Kenapa? Tak boleh?"
Khaira Eryna menggeleng laju.
"Boleh. Terima kasih."
"Sebab?"
"Sebab teman saya ke sini. Sedekahkan doa buat arwah baba."
"Sedekah itukan amalan mulia. Lebih-lebih lagi kalau kita sedekahkan Al-Fatihah kepada yang telah meninggal dunia. Sesungguhnya itu bukan perbuatan yang sia-siakan bahkan ia perbuatan yang menghasilkan pahala.So, kita dah boleh gerak sekarang?"
Khaira Eryna angguk.Bibirnya mengukir senyuman nipis saat mendengar balasan Danish Xavier itu. Dalam hatinya dia bersyukur kerana dihadirkan insan-insan yang baik seperti Danish Xavier dan keluarga lelaki itu dalam hidupnya.
Share this novel
Wc:)
Tq update..?