Bab 31

Drama Series 23172

Khaira Eryna membuang pandang ke arah laman rumah. Sejak semalam dia banyak menghabiskan masa di gazebo itu. Tiada apa yang mampu dia fikirkan saat ini. Hanya merenung laman itu dengan pandangan yang kosong. Entah sudah berapa banyak air matanya dibazirkan. Semakin diseka, semakin deras ia mengalir. Perlahan-lahan kelopak matanya ditutup. Cuba menenangkan diri.

"Sayang, apa yang sayang tengok tu?" Sapa suara parau seseorang di belakang Atiqah. Atiqah sedikit tersentak. Lalu menoleh ke arah figura yang menyapanya. Bibirnya melengkung kecil sebelum mengalihkan pandangannya ke arah gazebo semula.

"Sayang tengok Khaira. Dari semalam dia macam tu. Sayang risaulah, bang."

Zakri mengeluh halus. Berdiri di sisi Atiqah. Pelipisnya diurut lembut.

"Abang pun risau juga. Sayang ada call Jasmin? Beritahu yang Khaira ada dekat rumah kita."

"Ada. Dia cakap dia nak balik. Risau bila sayang cerita pasal Khaira. Tapi sayang tak bagi dia balik. Sayang cakap biar sayang yang cuba pujuk Khaira."

"Habis tu, Jasmin setuju? Anak kita tu boleh tahan juga keras kepala. Tiba-tiba nanti dia dah terpacak depan rumah ni." Soal Zakri. Riak sedikit risau.

"Abang jangan risau. Dia dah janji dengan sayang. Kali ni dia takkan bantah. Lagipun dia sibuk siapkan assignment dia dekat sana. Terengganu tu bukannya dekat. Jauh kalau dia nak balik selalu." Terang Atiqah.

Zakri hanya angguk kepala mengiyakan kata-kata isterinya itu. Tangannya diangkat menyentuh bahu Atiqah. Pantas Atiqah mengerling Zakri di sisi. Keningnya diangkat sebelah.

"Sayang pergilah bercakap dengan Khaira tu. Mana tahu hari ni dia dah tenang sikit nak cerita masalah dia. Kalau berlarutan, abang call Noah beritahu dia dekat sini."

"Eh, abang ni! Kan Khaira dah pesan tak nak sesiapa tahu dia dekat sini. Terutama sekali Noah dan keluarga dia. Sayang rasa dia ada masalah dengan keluarga tu. Atau dia lari dari rumah?" Tebak Atiqah.

Zakri diam seketika.

"Mungkin juga. Tak apa. Sayang cubalah tanya pada Khaira tu. Cakap dengan dia yang dia selamat dekat sini."

Atiqah hanya menurut. Selipar disarung ke kakinya sebelum langkah diatur ke arah Khaira Eryna yang duduk di gazebo di hadapan halaman rumahnya. Sempat dia menoleh ke arah suaminya yang setia berdiri di muka pintu utama. Melihat dia menapak ke arah gazebo.

"Khaira..."

Bahu Khaira Eryna disentuh lembut. Tersedar dengan sentuhan di bahunya, Khaira Eryna membuka kelopak mata. Air mata yang bersisa diseka. Bibir dipaksa mengukir senyuman. Sekadar senyuman hambar.

"Boleh auntie duduk?"

Khaira Eryna angguk kepala. Dia menggeserkan sedikit punggungnya memberi ruang buat Atiqah. Atiqah melabuhkan duduknya di sisi Khaira Eryna. Wajah Khaira Eryna ditatap redup.

"Khaira okay ke?" Soal Atiqah perihatin.

"Khaira okay." Dengan suara yang sedikit serak Khaira Eryna membalas. Mungkin kerana terlalu banyak menangis hinggakan suaranya hampir hilang.

"Khaira tahukan auntie dah anggap Khaira macam anak auntie sendiri?"

Khaira hanya mengangguk kecil. Atiqah senyum nipis. Rambut panjang Khaira Eryna dilurut lembut.

"Khaira boleh cerita semuanya pada auntie. Kalau auntie tak mampu nak bantu, sekurang-kurangnya Khaira boleh tenang sedikit. Dapat kurangkan beban dekat hati Khaira. Khaira sudi tak nak cerita masalah Khaira? Kongsi masalah Khaira."

Khaira Eryna tidak membalas. Hanya diam membatukan diri. Hatinya belum bersedia untuk berkongsi cerita. Melihat tingkah Khaira Eryna, Atiqah menghela nafas panjang. Kekura tangan Khaira Eryna diraih lalu digenggam kemas. Masih cuba memujuk.

"Auntie tak paksa. Tapi sekurang-kurangnya Khaira kena beritahu auntie macam mana Khaira boleh sampai ke sini. Mommy dan daddy tahu ke Khaira balik kampung?"

Lambat-lambat Khaira Eryna geleng kepala.

"Khaira lari dari rumah?"

Perlahan-lahan Khaira Eryna angguk kepala. Atiqah tidak terkejut. Seperti jangkaan dia dan suaminya. Khaira Eryna pasti ada masalah dengan keluarga itu.

"Tapi kenapa? Noah dan Camilla ada cederakan Khaira ke? Ada sakitkan Khaira?" Duga Atiqah.

"Tak. Mommy dan daddy baik sangat. Mereka sayang sangat dekat Khaira."

Atiqah kerut dahi.

"Atau anak-anak dia ada buat perkara tak baik pada Khaira?"

Sekali lagi Khaira Eryna menggeleng.

"Abang Darwish dengan Danish pun baik."

"Kalau semuanya baik, kenapa Khaira lari dari rumah? Khaira ada masalah dekat kolej?"

"Tak ada." Balas Khaira Eryna pendek.

Atiqah sudah termati kata. Ideanya sudah kering untuk mengaju soalan. Memujuk pun dia sudah tidak mahu bagaimana. Dia tidak mahu memaksa. Dia tahu gadis itu perlukan ruang dan waktu.

"Tak apalah. Nanti bila Khaira rasa Khaira perlukan seseorang untuk bercerita, auntie sentiasa ada untuk mendengar. Jangan simpan sendiri. Nanti Khaira sakit. Auntie tak nak Khaira sakit. Auntie masuk dulu."

Atiqah mengangkat punggung. Berura-ura untuk beredar. Namun, saat baru setapak dia melangkah, kata-kata yang meniti di bibir Khaira Eryna membuatkan langkahnya terhenti. Dia berpaling semula ke arah Khaira Eryna. Melabuhkan kembali duduknya di sisi gadis itu.

"Khaira cakap apa tadi?" Soal Atiqah. Ingin memastikan yang dia tidak salah mendengar.

Khaira Eryna yang sejak tadi menunduk, perlahan-lahan mengangkat wajah. Matanya berkaca.

"Ibu....ibu Khaira masih hidup."

Atiqah terpempan. Terkedu untuk berbicara.

"Khaira cakap apa ni?"

"Ibu kandung Khaira sebenarnya masih hidup. Dia tak pernah mati. Arwah baba tipu Khaira. Tapi kenapa? Kenapa baru sekarang dia muncul, auntie? Kenapa baru sekarang?!"

Tanpa dapat ditahan, air mata Khaira Eryna kembali mengalir. Semakin lama semakin deras. Walang hatinya melihat tangisan Khaira Eryna, pantas Atiqah merengkuh tubuh Khaira Eryna dalam pelukannya. Rintihan gadis itu benar-benar meruntun jiwa keibuannya. Belakang tubuh Khaira Eryna diusap lembut. Cuba menenangkan si gadis.

"Menangislah, Khaira. Menangislah sepuasnya. Lepaskan semua yang terbuku di hati tu. Auntie ada. Auntie ada untuk Khaira." Tanpa sedar Atiqah turut sama menangis. Pilu melihat kesedihan Khaira Eryna.

Setelah puas berendam air mata, perlahan-lahan Khaira Eryna meleraikan pelukan. Air mata yang bersisa diseka. Dia kembali tegak tubuh. Menatap wajah lembut Atiqah.

"Terima kasih auntie sebab dah tenangkan Khaira. Terima kasih sangat."

Atiqah senyum segaris. Bahu Khaira Eryna diusap.

"Jangan berterima kasih pada auntie. Semua ibu akan buat perkara yang sama bila nampak anak dia menangis. Auntiekan dah macam mama Khaira?"

"Tapi tak semua ibu macam auntie. Kalau Khaira ada ibu macam auntie, Khairalah anak yang paling beruntung sekali. Sayangnya, Khaira bukan anak yang bertuah. Untung Jasmin ada mama dan papa yang sayangkan dia macam auntie dan uncle."

"Khaira, tak baik cakap macam tu. Arwah baba Khaira pun sayangkan Khaira sangat-sangat.Sekali pun dia tak pernah merungut membesarkan Khaira."

"Tapi baba tipu Khaira. Tipu pasal ibu. Bukan setahun dua, tapi sudah bertahun-tahun. Patutlah bila Khaira tanya baba pasal pusara ibu, ada je alasan baba nak mengelak. Rupanya selama ni ibu Khaira tak pernah mati!" Lengking suara Khaira Eryna meluahkan rasa amarahnya. Marah pada orang yang sudah tiada.

"Khaira, auntie rasa pasti ada sebab arwah baba buat macam tu. Dia tak ada niat nak tipu Khaira. Mungkin dia terpaksa. Terdesak. Mungkin dia sendiri tak ada jawapan tentang persoalan Khaira. Kita tak tahu apa yang berlaku pada baba dan ibu Khaira. Auntie yakin arwah baba Khaira tak berniat pun nak reka cerita." Atiqah cuba memujuk. Menenangkan rasa amarah dalam diri gadis itu.

Khaira Eryna jeda. Fikirannya buntu untuk percaya. Marah, kecewa, sedih. Itu yang dia rasakan dikala ini.

"Auntie tahu auntie tak ada dekat tempat Khaira. Auntie tak tahu apa yang Khaira rasa. Tapi auntie tahu jauh di sudut hati Khaira, Khaira mesti gembira bila dapat tahu ibu kandung Khaira masih hidup, kan?"

Khaira Eryna geleng kepala.

"Khaira tak tahu. Gembira? Entahlah."

"Khaira tak nak dengar ke penjelasan ibu Khaira? Mungkin lepas Khaira dengar dan tahu kisah sebenar, Khaira akan lapang dada?"

"Khaira tak tahu. Yang Khaira tahu Khaira nak lari jauh daripada semua orang. Khaira susah nak terima. Khaira belum bersedia. Maafkan Khaira kalau kedatangan Khaira dah susahkan auntie dan uncle. Auntie jangan risau. Esok pagi Khaira akan pergi dari sini."

Atiqah terkejut. Bulat matanya memandang Khaira Eryna.

"Khaira nak pergi mana? Tinggal jelah dekat sini selama mana yang Khaira nak. Sikit pun kami tak rasa susah. Khaira, jangan pergi mana-mana. Stay je dekat sini. Kecuali Khaira nak balik ke rumah daddy dan mommy Khaira. Yang itu, auntie izinkan."

Khaira Eryna hanya memandang sepi wajah Atiqah sambil tersenyum tawar. Langsung tidak membalas. Kembali mendiamkan diri. Melihat kebisuan Khaira Eryna, Atiqah tidak terus mendesak. Sebaliknya dia meninggalkan Khaira Eryna di situ. Memberi ruang buat gadis itu.

************

"Mommy...." Sapa Danish Xavier yang melihat Camilla duduk sendirian di taman mini villa. Dia melabuhkan punggung di kerusi berhadapan dengan Camilla.

"Mommy, jom kita makan. Dah seharian mommy tak makan."

"Mommy tak ada selera. Danish makanlah dulu dengan daddy dan Darwish."

"Mommy, mana boleh macam tu. Kesihatan mommy kena jaga juga. Danish tahu mommy risaukan Khaira. Tapi kalau mommy sakit, macam mana mommy nak tolong cari Khaira?" Danish Xavier cuba memujuk.

"Danish, masih belum dapat khabar berita mengenai Khaira ke?" Soal Camilla. Ajakan Danish Xavier langsung tidak dihirau.

Danish Xavier menunduk. Kepalanya digeleng kecil. Camilla kecewa. Air matanya kembali gugur.

"Mommy, janganlah macam ni. Insya-Allah, Khaira okay. Kita bagi dia masa. Mungkin dia masih terkejut dan tak boleh terima dengan apa yang dia dengar. Danish yakin dia akan balik pada kita."

"Kalau dia tak nak balik macam mana? Danish ada try cari dekat kolej? Rumah sewa dia? Mana tahu dia sembunyikan diri dekat sana?"

"Danish dah pergi. Kawan-kawan dia kata Khaira tak balik sejak dia ikut Danish ke sini. Call pun tak ada. Tapi mommy jangan risau. Lepas ni Danish singgah rumah sewa dan kolej dia. Danish nak pastikan sama ada dia ada dekat sana ataupun tidak."

Camilla mengeluh berat.

"Manalah Khaira pergi ni? Mommy risau sangat. Call tak dapat. Mommy call dari semalam tak berangkat. Entah di mana dia tidur semalam? Entah makan atau tidak? Mommy kusut fikirkan dia." Keluh Camilla.

"Entahlah, mommy. Danish pun try call juga. Tapi phone dia off. Nampak sangat dia tak nak sesiapa ganggu dia. Tak apalah mommy. Danish janji Danish akan cuba cari Khaira sampai jumpa. Tapi mommy kena janji sesuatu dengan Danish."

Camilla berpaling menatap wajah anak lelakinya. Keningnya bertaut.

" Janji apa?"

Danish Xavier senyum segaris. Bangkit dari duduknya, dia mendekati Camilla. Duduk bertinggung di hadapan Camilla. Lalu, tangan si ibu diraih dalam genggaman.

"Mommy kena janji jaga diri mommy dengan baik. Jangan skip makan. Bukan Danish seorang je yang risau. Daddy, Darwish, Cik Moon pun risaukan mommy. Kalau Khaira balik tengok keadaan mommy macam ni mesti dia rasa kecewa. Mommy nak Khaira rasa bersalah ke?"

Pantas Camilla menggeleng.

" Mommy tak nak Khaira sedih. Mommy janji mommy takkan skip makan. Tapi Danish kena janji dengan mommy, bawa dia balik ke sini."

Lambat-lambat Danish Xavier angguk kepala. Bibirnya senyum segaris.

"Kalau tak dapat bawa Khaira balik pun tak apa. Cukup mommy tahu keadaan dia. Khaira tu perempuan. Macam-macam perkara buruk boleh jadi. At least, kalau mommy tahu dia dekat mana? Keadaan dia? Lega sikit hati ni. Tak apalah. Nanti mommy minta daddy call uncle Zakri. Tanya dia kalau-kalau Khaira ada balik kampung."

"Mommy nak Danish pergi kampung Khaira cari dia ke? Mana tahu dia betul-betul ada dekat sana?" Danish Xavier menawarkan diri. Memandangkan dia sendiri tidak lena tidur memikirkan tentang Khaira Eryna. Kecewa kerana tidak mampu berada di samping gadis itu ketika gadis itu memerlukan seseorang di sisi. Pasti Khaira Eryna sedang bersedih. Andai dia sempat menghalang....pasti kini dia sudah bersama Khaira Eryna. Menjadi pendengar setia gadis itu.

"Kerja Danish macam mana? Mesti Danish letih terkejarkan kerja dekat pejabat. Hal Khaira lagi." Soal Camilla dengan riak risau. Simpati melihat wajah lesu anak lelakinya itu. Terbit rasa bersalah dalam benak Camilla. Tangannya naik menyentuh wajah Danish Xavier.

"Mommy jangan risau pasal Danish. Danish okay. Lagipun Darwish ada tolong Danish dekat pejabat. Yang penting sekarang ni adalah Khaira. Mesti auntie Sofea pun macam mommy, kan? Risau fikirkan Khaira."

Camilla mengeluh lagi.

"Mommy pun kesian tengok auntie Sofea tu. Ibu mana yang tak sedih bila anak yang dia nantikan sejak dulu menghilangkan diri. Mommy harap Khaira akan terbuka hati menerima auntie Sofea."

"Mommy jangan fikir sangat. Esok pagi lepas Subuh, Danish bertolak ke kampung Khaira. Hal syarikat Danish akan serah pada daddy dan Darwish buat sementara waktu. Cuma Danish nak minta restu dan izin mommy untuk Danish pergi cari Khaira sampai jumpa. Boleh? Doakan Danish berjaya pujuk Khaira balik ke sini kalau Danish jumpa dia nanti."

"Mommy dah susahkan Danish ke?"

Danish Xavier geleng kepala.

"Danish tak rasa susah pun. Khaira pun tanggungjawab Danish juga. Danish dah janji dengan mommy, kan? Takkan Danish nak mungkiri janji?"

Camilla senyum segaris. Wajah Danish Xavier dielus lembut.

"Thanks sayang."

"It's okay, mommy. Jom kita masuk. Kita makan sekali." Danish Xavier cuba memujuk lagi.

Kali ini Camilla tidak menolak. Dia akur dengan permintaan Danish Xavier. Lalu, Danish Xavier kembali berdiri. Menuntun tangan Camilla menuju ke dalam villa.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience