Bab 37

Drama Series 23172

"Ehem!!"

Tersentak mendengar suara parau seseorang mendehem membuatkan Daniah Xavier dan Khaira Eryna menoleh ke arah muka pintu. Spontan, pegangan Danish Xavier pada tubuh Khaira Eryna dilepaskan. Begitu juga dengan Khaira Eryna yang pantas menjarakkan tubuh. Kelihatan Darwish Xayden sedang menapak masuk ke ruangan dapur dengan senyuman yang tidak lekang di bibir.

"Kau buat apa dekat dapur ni, Darwish?" Soal Danish Xavier ingin mengurangkan rasa canggung yang melanda diri.

Khaira Eryna hanya mampu menunduk bermain-main dengan jari-jemarinya. Jantungnya mula berdetak kencang. Namun, riak wajahnya cuba dikawal. Tingkahnya tidak ubah seperti seorang pesalah yang sedang menanti hukuman. Siapa sangka mereka akan tertangkap secepat ini.

"Aku haus. Nak minum air. Sebab tu aku masuk ke sini. Tak sangka pula..." Darwish Xayden tidak menghabiskan kata-katanya. Namun, lirikan matanya cukup menyatakan segala yang ada di dalam benaknya saat ini.

"Kau jangan salah faham. Khaira nak tolong aku buat air tadi. Tapi dia salah step. Hampir nak jatuh. Nasib baik aku sempat sambut dia." Terang Danish Xavier cuba menghilangkan anggapan negatif adiknya pada dia dan Khaira Eryna.

"Relaxlah, bang. Kenapa kau nampak gabra ni? Lagipun aku tak nampak apa-apa yang mencurigakan pun. Kalau aku nampak sekalipun, kau jangan risaulah. Aku akan pura-pura tak nampak." Balas Darwish Xayden dengan riak selamba. Tangan sibuk mencapai mug di rak sebelum mengambil air di mesin penapis air yang terdapat di kabinet dapur. Perlahan-lahan air itu diteguk membasahkan tekak.

Danish Xavier dan Khaira Eryna sekadar memerhati tanpa bicara.

"Fuh, leganya!" Ujar Darwish Xayden sambil menarik nafas lega. Mug di tangan diletakkan di atas kabinet dapur. Sementara matanya tidak lepas memandang ke arah pasangan yang masih berdiri kaku di hadapannya.

"Kenapa kau orang berdua senyap je ni? Macam kau orang ada buat salah je? Atau aku yang salah timing? Ganggu kau orang berdua?" Duga Darwish Xayden sambil mengangkat sebelah keningnya.

"Mana ada. Kita orang tak buat apa-apa pun. Kau tu je yang fikir bukan-bukan. Yang kau sibuk dekat sini, kawan-kawan kau macam mana? Dia orang dah balik ke?" Danish Xavier mengalih topik. Tidak mahu kejadian sebentar tadi terus dijadikan isu. Silap hari bulan, satu penghuni villa boleh tahu.

"Kawan-kawan aku semua dah balik. Bosan duduk lama-lama dekat luar tu. Lagipun yang tinggal semuanya kenalan daddy. Kau orang berdua memang nak bertapa dekat dapur ni je ke?Tak nak keluar?"

"Kejap lagi aku keluarlah. Aku cuma temankan Khaira tadi. Kesian dia duduk sorang-sorang dekat sini." Bohong Danish Xavier. Sempat matanya mencuri pandang Khaira Eryna yang membisu di sebelah.

"Teman ke dating?" Perli Darwish Xayden sambil tertawa kecil.

"Ish, kau ni! Kau saja je nak buat Khaira rasa malu. Kau tengok, dah naik merah muka dia." Giliran Danish Xavier pula ingin mengenakan Khaira Eryna. Sengaja mahu membuat buah hatinya itu bersuara.

Mendengar kata-kata perlian daripada Danish Xavier pantas Khaira Eryna angkat wajah. Sempat dia memegang wajahnya sebelum mencerlung tajam ke arah Danish Xavier. Danish Xavier sekadar senyum sumbing saat melihat pandangan gadis itu. Seperti jangkaannya.

Satu... Dua.... Tiga...

"Awak ni kenapa? Mana ada muka saya merah? Saja je nak kenakan saya!" Khaira Eryna menghemburkan rasa tidak puas hatinya.

Danish Xavier dan Darwish Xayden saling berpandangan. Seraya itu, ketawa mereka meledak. Tahulah Khaira Eryna yang dua beradik itu sedang mengenakannya.

"Ee... Benci! Suka sangat buat orang marah. Dahlah. Baik Khaira duduk dekat luar daripada layan awak dan abang Darwish. Huh!" Khaira Eryna tarik muka masam. Dia terus menyusun langkah. Berura-ura untuk beredar dari situ.

Namun, baru sahaja beberapa langkah sebelum sampai ke muka pintu, susuk tubuh Cik Moon sudah pun terpacak di hadapannya. Langkah Khaira Eryna terhenti.

"Khaira nak pergi mana?" Tanya Cik Moon saat melihat Khaira Eryna seakan mahu beredar dari ruangan dapur.

"Khaira nak keluar. Malas duduk dekat sini. Ada dua ekor langau kacau Khaira." Ujar Khaira Eryna sambil menjeling ke arah Darwish Xayden dan Danish Xavier.

Cik Moon menjengah kepalanya melihat ke arah dapur. Kelihatan dua beradik itu sedang bergelak-ketawa. Cik Moon sekadar menggeleng kecil.

"Bagus juga kalau Khaira nak keluar. Kebetulan puan tadi cari Khaira. Dia kata ada orang nak jumpa."

Riak Khaira Eryna sedikit terkejut. Belum sempat Khaira Eryna ingin bertanya, ada suara lain yang terlebih dahulu bersuara.

"Siapa yang nak jumpa Khaira, Cik Moon?" Sela Danish Xavier yang kini sudah berdiri di sisi Khaira Eryna. Sejak bila lelaki itu menapak ke arah mereka pun mereka tidak sedar.

Cik Moon jongket kedua-dua bahunya tanda tidak tahu.

"Cik Moon tak pastilah siapa yang nak jumpa Khaira? Cik Moon cuma sampaikan pesan mommy kamu."

"Tak apalah, Cik Moon. Biar Khaira pergi tengok sendiri. Mungkin kenalan mommy agaknya."

"Yalah. Cik Moon pun nak kemas dapur ni. Puan tunggu Khaira dekat taman mini dekat dengan pintu gelangsar ruang rehat." Terang Cik Moon sebelum menapak masuk ke dalam dapur.

"Kau nak aku teman kau ke?" Soal Danish Xavier kepada Khaira Eryna. Berat hatinya mahu melepaskan Khaira Eryna berjumpa dengan tetamu yang dimaksudkan oleh Cik Moon sebentar tadi.

"Tak apa. Saya boleh pergi sendiri. Lagipun mommykan ada teman saya. Awak pergilah layan adik awak tu. Kesian dia tak ada siapa nak teman dia." Tolak Khaira Eryna dengan rajuk yang masih bersisa.

"Kau masih terasa dengan aku ke pasal tadi? Aku minta maaf. Aku saja nak bergurau dengan kau. Dah kau senyap je macam patung cendana."

Tanpa sebarang isyarat, laju sahaja cubitan kecil hinggap di lengan sasa Danish Xavier. Danish Xavier menahan rasa bisa. Bibirnya diketap rapat. Laju tangannya menggosok lengannya yang terasa pedih kesan daripada cubitan Khaira Eryna.

"Sayang, sakitlah!" Adu Danish Xavier dalam nada berbisik. Cukup hanya Khaira Eryna yang mendengar.

"Pandang muka! Lain kali buat lagi, ya sayang..." Bisik Khaira Eryna sebelum berlalu pergi tanpa sedikit pun rasa bersalah.

Danish Xavier terkedu. Panggilan Khaira Eryna sebentar tadi benar-benar membuatkannya cair. Tidak menunggu lama, kakinya turut diatur ingin mengekori langkah Khaira Eryna. Namun, belum sempat kakinya menjejak ke muka pintu dapur, tangannya dilelar Darwish Xayden. Danish Xavier menoleh ke arah adiknya dengan kening yang berkerut.

"Kau nak ke mana?" Soal Darwish Xayden.

"Aku nak pergi tengok Khaira. Nak tengok siapa yang beria sangat nak jumpa Khaira tu."

"Ala... Kau tak payah sibuklah, bang. Aku rasa aku tahu siapa tetamu yang nak jumpa Khaira tu."

"Siapa?"

"Kau rasa?" Soalan dibalas soalan.

Danish Xavier berfikir sejenak. Tidak lama kemudian, dia sudah dapat mengagak. Pandangannya bersatu dengan Darwish Xayden.

"Auntie Sofea?" Tebak Danish Xavier.

"Mungkin."

"Habis tu, kau tak nak tahu ke apa yang dia orang nak bincangkan? Kau memang nak duduk dekat sini je?" Duga Danish Xavier. Saja mahu memancing adiknya agar mengikut keinginannya.

Darwish Xayden mengetuk-ngetuk bawah dagunya dengan hujung jari telunjuk. Seakan sedang berfikir.

"Aku nak juga tahu. Tapi tak apa ke kalau kita pergi curi-curi dengar?" Tanya Darwish Xayden yang berubah polos.

"Sejak bila adik aku ni jadi budak baik pula? Bukan selalu kau lagi nakal daripada aku ke?"

"Itu dulu. Aku sekarang dah lebih matang. Tak macam kau. Lepas bercinta, perangai pun berubah jadi macam budak-budak sekolah." Ujar Darwish Xayden selamba.

Laju sahaja tangan Danish Xavier meluku kepala Darwish Xayden. Darwish Xayden mengaduh sakit. Kepalanya digosok perlahan.

"Kepala angguk kau! Bila masa pula aku bercinta? Dahlah. Malas aku layan kau. Kau tak nak ikut aku, suka hati kau. Yang penting aku nak tahu apa yang dia orang bincangkan dekat luar sana. Aku bukannya apa, takut kalau Khaira lari lagi."

Tidak menunggu lama, Danish Xavier terus sahaja mengatur langkah ke arah ruang rehat. Ingin mencari Khaira Eryna di sana. Melihat tingkah abangnya, Darwish Xayden turut sama mengekori langkah Danish Xavier.

"Abang, tunggu aku!" Jerit Darwish Xayden sambil berlari anak mengejari abangnya.

Khaira Eryna menapak ke arah Camilla yang sedang duduk berbual dengan seorang wanita di sisinya. Bahu Camilla disentuh lembut.

"Mommy cari Khaira ke?" Soal Khaira Eryna menyapa Camilla.

Camilla menoleh. Saat itu, wanita yang berada di sebelahnya turut menoleh sama. Khaira Eryna terkedu. Kakinya mahu melangkah pergi. Namun, akalnya melarang. Hatinya pula berbelah-bagi dengan tindakannya sendiri.

"Auntie?"

Camilla dan Sofea bangkit dari duduk mereka. Memusing tubuh menghadap Khaira Eryna.

"Khaira, mommy tahu ini bukan masa yang sesuai untuk Khaira dan Sofea bertemu. Tapi mommy rasa inilah masa yang Khaira boleh luahkan segala yang terbuku di hati Khaira. Mommy tak nak perkara ni terus berpanjangan. Maafkan mommy sebab beritahu Sofea yang Khaira dah balik ke sini." Luah Camilla dengan nada sayu.

Khaira Eryna hanya mampu mengukir senyuman hambar.

"Tak apa, mommy. Khaira faham. Terima kasih." Ucap Khaira Eryna dengan nada lembut.

Camilla tarik nafas lega.

"Kalau macam tu, mommy tinggalkan Khaira dengan Sofea, ya? Kamu berdua berbincanglah dengan baik. Sofea?" Pandangan Camilla hala ke arah Sofea pula. Yang hanya menyepi sejak tadi.

"You jangan risau. Semuanya akan okay." Jawab Sofea menenangkan hati sahabatnya itu. Walaupun jauh di sudut hatinya, dia sendiri tidak pasti kesudahan babaknya bersama Khaira Eryna nanti.

"I percaya you." Ujar Camilla sebelum menapak meninggalkan Khaira Eryna dan Sofea di situ.

Sofea Dan Khaira Eryna sekadar memerhati sehingga bayangan Camilla hilang di sebalik pintu gelangsar. Keadaan kembali sepi. Masing-masing terasa canggung.

"Ehem! Aira..." Sofea mula memecahkan kesunyian antara mereka.

"Khaira... Panggil Khaira. Sebab panggilan itu bukan sebarang orang yang boleh sebut. Hanya orang yang paling istimewa dalam hidup Khaira sahaja boleh panggil Khaira dengan panggilan tu." Balas Khaira Eryna dengan nada mendatar.

"Maaf. Ibu tersasul." Riak Sofea berubah mendung. Sentap dengan kata-kata Khaira Eryna.

"Ibu? Huh! Dah lama Khaira nak sebut perkataan tu. Tapi itu dulu sebelum Khaira tahu yang ibu Khaira sebenarnya masih hidup. Sekarang panggilan tu macam tiada makna buat Khaira." Lirih Khaira Eryna. Hatinya terasa sakit. Seakan belati menikam hatinya saat ini. Tiada niat untuk menyakiti hati wanita itu, namun mulutnya ringan berkata-kata. Mungkin sekadar ingin meluah rasa sakit yang ditanggung selama ini.

Sofea menunduk seketika. Air matanya hampir tumpah. Namun, sedaya-upaya dia menahan. Nafas dihela panjang sebelum kembali mengangkat wajah memandang semula ke arah Khaira Eryna yang sedang merenung kolam ikan di hadapan mereka.

"Ibu faham kalau Khaira marah ibu. Tapi percayalah, apa sahaja yang ibu lakukan adalah untuk kebaikan Khaira dan juga arwah baba. Maafkan ibu sebab ibu tak ada waktu Khaira perlukan ibu. Ibu rasa bersalah sangat. Maafkan ibu..." Rayu Sofea yang tanpa sedar sudah mengalirkan air mata.

"Mudah untuk ungkap kata maaf. Tapi agak sukar untuk memaafkan. Bukankah sifat seorang ibu itu sentiasa ingin selalu bersama anaknya? Sanggup pertahankan dan berjudi nyawa untuk anaknya? Tapi Khaira tak dapat rasa semua itu daripada ibu Khaira? Ibu mana yang sanggup tinggalkan anaknya yang masih bayi, malah masih bergantung dengan susu ibu dia sendiri? Layak ke dia digelar ibu? Atau kita boleh panggil dia sebagai ibu yang kejam?"

Bukan sekali, tetapi berkali-kali tikaman Khaira Eryna berikan kepada Sofea saat ini. Hingga membuatkan Sofea terkedu untuk membalas. Dadanya terasa sesak. Lantas dia kembali melabuhkan duduk di kerusi. Menenangkan hatinya yang pilu.

"Ibu tahu ibu kejam di mata Khaira. Tapi Khaira perlu tahu kebenaran. Ibu buat semua itu bukan kerana ibu suka mahupun rela. Tapi kerana terpaksa. Itulah satu-satunya pengorbanan yang ibu boleh buat untuk anak dan suami ibu. Ibu sanggup mati daripada melihat anak dan suami ibu mati di hadapan mata ibu..." Lirih Sofea dengan air mata yang berlinang. Kejadian sembilan belas tahun dulu kembali terlayar di ruang mata.

Khaira Eryna yang terpempan dengan kata-kata Sofea lantas mengalihkan pandangannya ke arah ibu kandungnya.

"Mati? Apa maksud auntie?"

Sofea membalas tatapan mata anak kandungnya sebelum dia membongkarkan segala kebenaran yang selama ini dia sembunyikan. Kebenaran yang selama ini dia pendam. Tanpa sesiapa pun ketahui kecuali ahli keluarganya.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience