Bab 46

Drama Series 43782

Setelah hampir seminggu Khaira Eryna menghilangkan diri, hari ini dia kembali semula ke rumah agam keluarga kandungnya. Kembalinya kini dengan semangat yang baru kerana fikiran dan hatinya lebih tenang berbanding sebelum ini.

Melihat sahaja susuk tubuh Khaira Eryna berada di muka pintu, pantas sahaja tubuh kecil itu ditarik dalam pelukan. Betapa gembira hati seorang ibu saat melihat anaknya kembali pulang ke pangkuannya. Pipi kanan dan kiri Khaira Eryna dikucup bertalu-talu melepaskan rindu.

"Ya Allah, Aira. Ke mana sahaja Aira pergi? Ibu risau sangat. Aira sihat? Dah makan?" Soal Sofea bertubi-tubi.

Khaira Eryna meleraikan pelukan ibunya. Wajahnya cuba dimaniskan. Senyuman halus terukir di bibir mungil Khaira Eryna. Melihat gelagat ibunya, dia ketawa kecil. Lalu tangan si ibu dilelar masuk ke dalam rumah.

"Ibu, Aira okay. Sihat je. Tengok ni... Makin cantikkan?" Khaira Eryna cuba berjenaka.

"Ibu tahu anak ibu ni memang cantik. Tapi ibu tengok Aira macam makin kurus je. Mesti tak cukup makankan?"

Khaira Eryna menggelengkan kepala.

"Mana ada ibu. Aira makanlah. Perasaan ibu je tu. Baru beberapa hari tak jumpa, takkanlah Aira ni boleh mendadak turun berat badan."

"Eh, anak ibu, ibu tahulah! Nasib baik Aira call ibu hari tu. Kalau lambat je sikit, ibu dengan mommy dah pergi ke balai polis, nak report pasal kehilangan anak mama ni. Macam nak gugur jantung ibu bila dapat tahu Aira tak balik-balik. Aira, please... Lain kali jangan buat macam ni lagi. Bukan setakat ibu je yang risau. Keluarga angkat Aira pun risau sama."

Mendengar nama keluarga angkat meniti di bibir ibunya, Khaira Eryna hanya mampu tersenyum kelat. Entahlah... Mungkin hatinya masih belum betul-betul menerima apa yang sudah barlaku.

"Ya, ibu. Maaf kalau Aira dah buat semua orang risau. Aira cuma pergi bercuti je. Bukannya lari dari rumah. Aira dah beritahu ibu hari tukan?"

"Memanglah. Tapi Aira beritahu pun lepas seharian Aira hilangkan diri. Manalah ibu tak fikir yang bukan-bukan."

"Okay-okay. Aira janji takkan buat macam ni lagi." Janji Khaira Eryna bersungguh-sungguh. Kedua-dua tangan diangkat umpama sedang berikrar lagaknya.

"Yalah... Ibu percaya. Aira.. Alang-alang Aira dah balik ni, ibu ada sesuatu nak beritahu Aira."

Kening Khaira Eryna sedikit berkerut.

"Beritahu pasal apa, ibu?"

"Ibu bercadang nak buat sambutan hari jadi Aira hujung minggu depan. Birthday Airakan minggu depan? Jadi, ibu nak buat majlis untuk anak ibu ni. Aira tak kisahkan? Lagipun ini kali pertama ibu nak sambut birthday anak ibu. Yalah, sebelum ni ibu tak berkesempatan nak sambut dan ucap selamat hari jadi kepada Aira. Sebab tu untuk pertama kali ini ibu nak sambut secara besar-besaran. Ibu nak perkenalkan anak ibu kepada semua orang. Boleh ya, sayang?" Rayu Sofea dengan riak wajah penuh berharap.

"Tapi Aira ni bukan budak kecil lagi, bu. Malulah bila dah besar panjang macam ni ada sambutan hari jadi."

"Apa yang nak dimalukan. Orang lain tu dah tua-tua pun ada buat sambutan hari jadi tau. Lagipun kita buat kenduri kesyukuran dan tahlil untuk arwah atok, nenek dan baba juga. Jadi, macam mana? Aira setuju tak?"

Khaira Eryna diam sejenak. Setelah dia mempertimbangkan cadangan si ibu, akhirnya Khaira Eryna bersetuju.

"Baiklah. Aira ikut je cadangan ibu tu. Kalau tak ada apa-apa lagi Aira nak naik bilik berehat. Letihlah jalan jauh."

Sofea senyum senang.

"Pergilah. Nanti lepas Maghrib kita makan malam sama-sama."

"Okay, ibu. Aira naik atas dulu."

Melihat anggukan daripada ibunya, Khaira Eryna pantas bangkit dari duduknya sebelum melangkah menuju ke tingkat atas. Sofea sekadar mengiringi langkah anak perempuannya dengan ekor matanya.

Khaira Eryna melayangkan batang tubuhnya di atas katil. Menghilangkan lelah setelah penat hampir seharian berada di dalam bas. Nafas dihela panjang. Baru sahaja kelopak matanya mahu tertutup rapat, kedengaran bunyi telefon pintarnya di dalam beg tangan. Dengan malas Khaira Eryna bangun dari perbaringan. Telefon pintarnya dicapai dari dalam beg tangan. Melihat sahaja nama yang tertera di skrin telefon, dia menarik nafas panjang sebelum panggilan itu dijawab.

"Assalamualaikum, abang Darwish."

"Waalaikumsalam. Khaira dah balik ke? Mommy beritahu abang Khaira dah sampai rumah keluarga Khaira." Soal Darwish Xayden tanpa menunggu lama.

"A'ah. Khaira baru je sampai. Er... Ada apa abang telefon Khaira? Mommy atau daddy tak sihat ke?"

"Taklah. Dia orang sihat je. Abang saja je nak call Khaira. Nak tanya khabar Khaira. Yalah, hari tu abang call banyak kali pun Khaira tak balas call abang semula. Nasib baik kali ni Khaira sudi nak jawab call abang." Ujar Darwish Xayden seakan berjauh hati.

Hujung bibir digigit kerana rasa bersalah. Tidak sepatutnya dia melayan dingin keluarga angkatnya semata-mata kerana kesalahan Danish Xavier.

"Khaira minta maaf abang Darwish. Khaira tak bermaksud pun nak ignore panggilan abang tu. Cuma waktu tu Khaira perlukan masa untuk bersendirian. Maaf kalau Khaira dah buat abang terasa hati dengan tindakan Khaira pada abang. I'm really sorry." Rayu Khaira Eryna dengan rasa bersalah.

"It's okay. Abang tak ambil hati. Abang faham. Kalau abang dekat tempat Khaira pun mungkin abang akan buat perkara yang sama. Atau sebaliknya mungkin abang tak akan sekuat Khaira."

Khaira Eryna berkerut kening. Tidak faham akan maksud kata-kata abang angkatnya itu.

"Apa maksud abang Darwish? Khaira okay je. Khaira cuma pergi bercuti tenangkan fikiran. Maaflah kalau dah buat semua orang salah faham dengan tindakan Khaira." Balas Khaira Eryna menutup kebenaran.

"Khaira, abang kenal Khaira. Khaira tak akan buat macam tu kalau Khaira tak ada masalah. Lagi-lagi masalah yang melibatkan perasaan. Walaupun Khaira dan abang Danish tak bercerita hal sebenar pada abang, tapi abang boleh tahu masalah kau orang berdua. Sebab abang dah masak sangat dengan perangai kau orang..."

Khaira Eryna terdiam saat mendengar bicara Darwish Xayden. Darwish Xayden begitu juga. Berjeda seketika seakan sedang mendalami perasaan adik angkatnya itu.

"Abang Darwish...." Seru Khaira Eryna apabila sedar keadaan seakan sunyi di hujung talian.

"Khaira..." Darwish Xayden menarik dalam nafasnya sebelum kembali menyambung bicara.

"Abang nak minta maaf bagi pihak abang Danish. Dia tak sepatutnya buat Khaira macam tu. Abang tak sangka dia akan lukakan hati Khaira. Abang minta maaf Khaira. Abang betul-betul minta maaf. Kalaulah abang ada waktu Khaira disakiti masa tu, dah lama penumbuk abang ni hinggap dekat pipi abang Danish tu. Abang akan pertahankan Khaira dan tak akan biarkan abang Danish sakiti Khaira. Abang rasa bersalah sangat." Lirih Darwish Xayden.

"Abang... Bukan salah abang Darwish. Semua ni sudah tertulis. Mungkin segala yang terjadi ni ada hikmah buat Khaira. Khaira reda. Mungkin juga abang Danish memang bukan jodoh Khaira. Dah tertulis yang dia akan kekal sebagai abang angkat Khaira. Khaira terima. Abang jangan salahkan diri abang. Terima kasih abang sebab dah jadi abang yang terbaik untuk Khaira dari dulu sampai sekarang." Luah Khaira Eryna sambil menahan sebak. Tanpa sedar air matanya mengalir di pipi.

"Ingat Khaira. Walau apapun terjadi antara Khaira dan abang Danish, jangan sesekali putuskan hubungan dengan kami sekeluarga. Khaira tahukan mommy, daddy dan abang sayang sangat dekat Khaira. Jangan berdendam dengan kami."

"Tak abang. Khaira bukan orang yang macam tu. Terlalu banyak budi keluarga abang pada Khaira. Mereka pungut Khaira dari hidup dalam kemiskinan, dari hidup bersendirian. Beri Khaira kasih sayang yang Khaira tak mungkin dapat daripada orang lain. Mana mungkin Khaira lupakan semua jasa abang sekeluarga. Khaira janji, walau apapun terjadi abang sekeluarga tetap akan jadi keluarga Khaira. Khaira sayang kau orang semua sama banyak macam Khaira sayangkan ibu dan arwah baba. Itu janji Khaira."

Mendengar luahan Khaira Eryna, Darwish Xayden merasa lega. Dia bertekad mulai hari ini dia tak akan biarkan sesiapun melukai hati adik angkat kesayangannya itu. Itu janjinya pada diri sendiri.

"Alhamdulillah... Terima kasih Khaira. Abang hargai sangat-sangat."

"Tapi... Boleh abang janji satu perkara pada Khaira?"

"Janji apa, Khaira?"

"Janji jangan beritahu apa yang terjadi pada mommy dan daddy. Biarlah semua ni kekal rahsia antara kita sama seperti sebelum ni. Khaira tak nak mommy dan daddy susah hati atau salahkan abang Danish dengan apa yang dah berlaku. Perasaan sayang dan cinta itu tak boleh dipaksa. Khaira kena terima dan cuba belajar untuk lupakan segalanya. Mungkin Khaira kena padamkan perasaan sayang dan cinta Khaira pada abang Danish. Tiara wanita yang terbaik untuk dia. Abang Darwish pun jangan salahkan abang Danish. Memang bukan jodoh kami." Air mata yang masih mengalir diseka kasar. Sendu cuba ditahan agar tidak kedengaran. Khaira Eryna tidak mahu Darwish Xayden tahu yang dia masih bersedih dengan apa yang terjadi. Dia masih dalam proses untuk menerima semuanya dengan ikhlas.

"Abang Darwish janji. Khaira jangan risau. Nanti kalau Khaira dah tenang, Khaira datanglah ke rumah. Mommy dah rindu sangat dengan Khaira tu. Khaira pasti ke Khaira okay ni? Nak abang datang jemput Khaira ke? Kita keluar jalan-jalan. Ambil angin segar." Pelawa Darwish Xayden.

"Eh, tak apa! Khaira okay. Abang jangan risau. Lagipun Khaira letih lagi ni. Sebab baru je sampai rumah. Next time kita keluar sama."

"Yalah kalau Khaira dah cakap macam tu. Ooh.. Sebelum abang terlupa. Betul ke abang dengar auntie Sofea nak adakan majlis kesyukuran dan tahlil untuk arwah baba, datuk dan nenek Khaira?"

"Cepatnya abang dapat berita. Khaira baru sahaja berbincang dengan ibu tadi."

"Abang terdengar perbualan mommy dan auntie hari tu. Tu yang abang tahu."

"A'ah. Insya-Allah ibu kata nak sambut birthday Khaira sekali. Nanti abang, mommy dan daddy datang ya. Hujung minggu depan majlisnya."

"Insya-Allah. Nanti abang bawa mommy dan daddy. Khaira nak hadiah apa sempena hari jadi Khaira? Khaira sebut je. Apa sahaja permintaan Khaira abang akan tunaikan."

"Khaira tak nak apa-apa. Abang, mommy dan daddy ada masa majlis tu nanti pun dah cukup buat Khaira. Khaira dah gembira sangat."

"Kalau macam tu abang bolehlah beli apa sahaja untuk hadiah Khaira nanti. Tapi abang akan pastikan Khaira akan suka dengan hadiah abang tu. Okaylah, kalau tak ada apa-apa lagi abang end call dulu. Khaira kalau ada sebarang masalah atau nak luahkan perasaan jangan segan-segan call abang. Ingat, abang sentiasa ada untuk dengar rintihan dan luahan hati Khaira."

Khaira Eryna tarik senyuman nipis.

"Thanks, abang Darwish. Take care abang."

"Most welcome, Khaira. Khaira pun jaga diri juga. Assalamualaikum..."

"Okay, abang. Waalaikumsalam."

Panggilan dimatikan. Skrin telefon ditatap lama. Nafas dihela panjang. Hatinya sedikit lega setelah berbual dengan seseorang. Mungkin selepas ini dia akan semakin membaik. Punggung diangkat dari birai katil. Kaki dibawa melangkah ke arah jendela yang terbuka luas. Angin petang yang bertiup sepoi-sepoi bahasa menenangkan jiwanya. Cuaca redup dan pemandangan halaman rumah ibunya yang dipenuhi dengan bunga-bungaan benar-benar merawat hatinya yang sedang lara. Walaupun tidak sepenuhnya, namun sedikit sebanyak dia merasa tenang.

"Ya Allah, semoga aku semakin kuat menempuh dugaan dalam hidupku. Semoga apa yang terjadi ini lebih mematangkan diriku. Aamiin..." Doa Khaira Eryna di dalam hati.

Share this novel

Zai Zai
2025-06-14 10:12:30 

bila nak sambung ni

Normala
2025-06-02 14:31:55 

Dah xde sambungan lg ke cita ni..


NovelPlus Premium

The best ads free experience