Bab 26

Drama Series 23172

"Mommy, kita nak pergi mana? Siap kena pakai baju cantik-cantik macam ni." Soal Khaira Eryna yang duduk di sisi Camilla di tempat duduk penumpang belakang.

Sambil tersenyum Camilla capai tangan Khaira Eryna, lalu tangan gadis itu digenggam erat.

"Kita nak ke rumah kawan baik daddy. Dia jemput kita dinner dekat rumah dia."

"Pergi dinner pun nak kena pakai cantik-cantik macam ni juga ke?" Soal Khaira Eryna polos.

Danish Xavier yang fokus pada pemanduannya turut sama mengulum senyum saat mendengar pertanyaan gadis itu.

"Sebab kawan baik daddy tu bukan calang-calang orangnya. Dia buat majlis untuk rakan-rakan niaga dia juga. Jadi, kita kenalah bersiap cantik-cantik macam ni untuk hormati majlis kawan daddy tu. Dinner ni bukan dinner yang macam biasa-biasa tu." Jelas Camilla.

Khaira Eryna sekadar mengangguk faham. Dia diam buat seketika. Tidak lama kemudian, dia kembali mengutarakan soalan.

"So, mommy kenal jugalah kawan baik daddy ni?"

"Tak kenal sangat. Sebab lepas mommy kahwin dengan daddy dia berpindah ke luar negara. Baru setahun lebih ni dia balik semula ke Malaysia. Sebab tu dia buat majlis ni. Untuk jumpa semula dengan kenalan dia."

"Ooh....Faham." Balas Khaira Eryna.

Danish Xavier yang mengintai dari cermin pandang belakang hanya menggeleng kecil. Tercuit dengan keletah gadis yang duduk di belakangnya itu.

"Khaira, banyaknya soalan Khaira malam ni. Ada apa-apa lagi tak yang Khaira nak tahu? Biar abang Darwish pula yang tolong jawabkan." Celah Darwish Xayden yang duduk di sebelah Khaira Eryna.

Khaira Eryna menjeling Darwish Xayden dengan ekor matanya. Bibirnya menarik muncung.

"Khaira tanya je. Mommy, salah ke kalau Khaira nak tahu pasal kawan daddy tu?"

Camilla ketawa kecil.

"Tak salah pun sayang. Abang Darwish ni je saja nak sakat Khaira. Dah cantik-cantik macam ni, muka kena manis. Tak naklah masam-masam. Nanti hilang cantik anak mommy ni." Pujuk Camilla.

Khaira Eryna pantas menarik senyum lebar. Riak wajahnya dimaniskan.

"Baru nampak cantik. Kalau tidak tadi dah macam muka Angelina Jolie dalam filem Maleficent." Ujar Darwish Xayden sambil ketawa.

Bahu Darwish Xayden dipukul kuat.

"At least, Angelina Jolie tu still nampak cantik dalam cerita tu." Balas Khaira Eryna sambil berpeluk tubuh. Rambutnya yang dilepas bebas dikibas ke belakang.

Mendengar kata-kata Khaira Eryna itu, semua yang berada di dalam kereta itu melepaskan tawa. Terhibur dengan tingkah Khaira Eryna malam itu.

Tidak lama kemudian, kereta Noah yang dipandu oleh Danish Xavier membelok memasuki kawasan banglo yang berdiri megah bagaikan istana. Seni binanya sangat indah. Menarik perhatian sesiapa sahaja yang melihat. Termasuklah Khaira Eryna. Ternganga mulutnya melihat banglo sebesar itu. Pertama kali dalam hidupnya melihat rumah kediaman sebesar itu. Dua kali ganda saiz villa Noah yang dia diami.

Noah, Camilla dan Darwish Xayden sudah pun berlalu masuk ke dalam banglo terlebih dahulu. Hanya tinggal Khaira Eryna dan Danish Xavier yang masih berada di luar. Itu pun setelah Danish Xavier menawarkan diri untuk menemani Khaira Eryna di situ.

Kaki mula mengorak langkah mendekati banglo besar itu saat Khaira Eryna keluar dari perut kereta. Tidak berkelip matanya menatap banglo tersebut. Rasa teruja terlakar di wajahnya. Danish Xavier yang berada di sisi kereta turut menapak mendekati Khaira Eryna saat melihat gadis itu masih bergeming di tempat yang sama.

"Tutup mulut kau tu. Aku tahulah kau excited tengok banglo ni. Tapi janganlah nampak sangat." Tegur Danish Xavier yang sudah berdiri di sebelah Khaira Eryna sambil kedua-dua tangannya dimasukkan ke dalam kocek seluar. Turut menatap ke arah yang sama.

Pantas Khaira Eryna menutup mulutnya sebelum bibirnya mengoyak sengeh. Sempat dia mengerling seketika Danish Xavier yang berdiri di sisinya.

"Jom, masuk. Majlis dah nak mula tu." Ujar Danish Xavier. Tangannya laju memaut pinggang Khaira Eryna dari sisi. Menarik tubuh kecil itu rapat dengannya sebelum mengatur langkah masuk ke dalam banglo.

Khaira Eryna yang terpempan dengan perlakuan Danish Xavier lambat-lambat menuruti langkah lelaki itu. Langsung tidak membantah. Entah apa yang merasuk dirinya, dia sendiri tidak pasti. Yang pasti Khaira Eryna selesa apabila dia berada rapat dengan Danish Xavier, lebih-lebih lagi di majlis keramaian seperti itu.

"Itu pun mereka dah datang. Danish, Khaira, come! Daddy nak kenalkan kamu berdua dengan kawan baik daddy." Panggil Noah saat melihat kelibat Danish Xavier dan Khaira Eryna di ruang pintu utama.

Danish Xavier yang masih merangkul erat pinggang Khaira Eryna menapak mendekati Noah. Lalu tangannya dihulur bersalaman dengan sahabat-sahabat Noah yang turut berada di situ. Khaira Eryna yang setia di sisi Danish Xavier hanya menunduk sedikit sambil mengukir senyuman nipis sebagai tanda hormat.

"Wah, dah besar-besar anak kau, Noah! Dah lama kita tak jumpa. Anak-anak kau pun dah sama macam kau. Kacak dan berkarisma. Yang cantik ni, menantu kau ke?" Soal Shakil, sahabat baik Noah.

"Ooh...ini anak angkat aku. Khaira namanya. Anak kepada arwah kawan lama aku. Masa aku study dulu. Tapi kalau satu hari nanti, dia jadi menantu aku pun, Alhamdulillah. Sebab aku dah kenal hati budi dia."

Khaira Eryna yang mendengar hanya tersenyum hambar. Sempat dia melirik ke arah Danish Xavier. Ingin melihat riak wajah lelaki itu. Namun, Danish Xavier langsung tidak terkesan dengan usikan Noah dan Shakil. Roman wajahnya kelihatan bersahaja.

"Daddy, Danish teman Khaira pergi jumpa mommy sekejap. Nanti Danish datang balik." Ujar Danish Xavier meminta izin untuk beredar sebentar.

Setelah mendapat persetujuan daripada Noah, Danish Xavier melelar tangan Khaira Eryna sebelum mengatur langkah ke arah Camilla yang sedang asyik bersembang berhampiran dengan taman. Matanya sempat melilau mencari kelibat adiknya, Darwish Xayden.

"Mommy..." Sapa Khaira Eryna.

Camilla menoleh ke arah anak angkatnya sambil tersenyum lebar.

"Mommy, Danish tinggalkan Khaira dekat mommy. Danish nak jumpa daddy. Er...mommy ada nampak Darwish tak?"

"Boleh je. Darwish...rasanya dia ada dekat buffet table tu agaknya. Dia kata nak ambil air tadi."

"Kalau macam tu, Danish pergi cari Darwish dulu." Ujar Danish Xavier sebelum berlalu mencari Darwish Xayden.

Camilla sekadar memerhati sebelum kembali menyambung perbualannya.

"Kenalkan, ini anak angkat I. Khaira namanya. Anak arwah kawan baik Noah masa study dulu."

"Wah, cantiknya! Tak sangka anak you cantik macam ni. Kalau auntie ada anak lelaki, dah lama auntie kenenkan dengan Khaira." Ujar seorang wanita yang berdiri di hadapan Camilla.

"Auntie pun sama. Nasib baik anak auntie tu kecil lagi. Kalau tak, auntie pun nak jadikan Khaira menantu auntie." Usik wanita di sisi Camilla pula.

Khaira Eryna sudah tersipu malu. Pipinya terasa bahang mendengar pujian mereka.

"Khaira biasa-biasa je auntie." Balas Khaira Eryna merendah diri.

"Anak I ni baru je habis SPM. Biarlah dia sambung belajar dulu. Lambat lagi rasanya kalau nak fikir bab kahwin ni. Biarlah I puas jaga dia dulu. Kalau boleh, I tak nak dia jauh daripada I." Luah Camilla.

"I faham perasaan you, Camilla. You dah lama inginkan anak perempuan. Bila dah dapat, mestilah you susah nak lepaskan. So, you kena hargai setiap masa you bersama dia. Khaira pun sama tau."

Khaira Eryna angguk kepala.

"Insyaa-Allah, Khaira takkan tinggalkan mommy. Khaira beruntung sebab dapat keluarga angkat yang sanggup terima Khaira dan sayang Khaira macam ni." Balas Khaira Eryna ikhlas. Tangannya pantas memaut tubuh Camilla sebelum ibu angkatnya itu dipeluk lembut dari sisi.

Camilla membalas pelukan Khaira Eryna. Air mata yang hampir gugur pantas diseka. Terharu mendengar balasan daripada anak angkatnya itu.

"Dah, tak maulah sedih-sedih. Kita dekat sinikan nak happy, nak enjoy. Dah lama tak jumpakan?"

"Yalah. Sorry. I terbawa-bawa dengan perasaan pula. Jomlah kita pergi meja buffet tu. Kita ambil apa yang patut buat isi perut. Asyik berborak je. Sampai lupa nak makan." Ujar Camilla kepada rakan-rakannya.

Mereka yang lain hanya menurut. Baru sahaja Camilla dan Khaira Eryna mahu melangkah mengekori rakan-rakan Camilla, nama Camilla diseru dari belakang. Khaira Eryna dan Camilla terhenti langkah. Lalu menoleh ke arah belakang. Jarak yang tidak jauh dari tempat mereka berdiri, kelihatan Noah sedang melambaikan tangan memberi isyarat untuk mereka ke sana. Camilla yang memahami akan isyarat suaminya pantas menarik lembut tangan Khaira Eryna menuju ke arah Noah.

"Dato', kenalkan wife I, Camilla. Ini pula anak angkat kami, Khaira Eryna. Honey, Khaira this is Dato' Sofea, Shakil's sister." Noah mula memperkenalkan Camilla dan Khaira Eryna kepada seorang wanita yang berdiri di sisinya.

Camilla menghulurkan tangan untuk berjabat tangan dengan wanita itu. Begitu juga dengan Khaira Eryna. Huluran tangan mereka disambut mesra.

"Tak perlulah panggil Dato'. Panggil Sofea je. Gembira dapat berkenalan dengan semua." Ujar wanita yang bernama Sofea itu dengan ramah. Matanya tidak lepas dari memandang ke arah Khaira Eryna. Ada sesuatu yang seakan menarik perhatiannya tatkala melihat wajah cantik gadis itu.

Camilla yang perasan akan pandangan Sofea itu mula tertanya-tanya.

"Sofea, sorry I nak tanya. Kenapa you asyik pandang Khaira dari tadi? Ada yang tak kena ke dengan anak I?"

Tersentak dengan pertanyaan Camilla, Sofea pantas mengalihkan pandangannya. Bibirnya mengorek senyum.

"Tak, I rasa muka dia macam familiar. Mungkin I pernah terserempak dengan Khaira dekat mana-mana kot?"

"Ooh....mungkin pelanduk dua serupa?" Duga Camilla.

"Tak, I rasa I pernah ternampak dia dekat rumah Datin Sri Mona. Am I right, Khaira? You ada ke sana sebelum ni?"

Lambat-lambat Khaira Eryna angguk kepala. Walhal dia langsung tidak mahu mengingati peristiwa malam itu. Cuma yang menarik minat Khaira Eryna ialah wajah Sofea saling tidak tumpah dengan wajah seseorang yang amat dia kenali. Pelbagai persoalan bermain di benaknya. Ingin diluah, namun lidah seakan kelu untuk bertanya. Mungkin benar, kata orang dan ibu angkatnya, pelanduk dua serupa.

"Dalam dunia ni ada tujuh orang wajah yang seakan sama. Mungkin dia salah seorang daripada mereka. Nama hampir sama pun kebetulan juga ke? Ish, Khaira...orang dah mati mana boleh hidup balik?" Omel Khaira Eryna di dalam hati.

"Khaira, Khaira okay tak?" Soal Camilla yang melihat Khaira Eryna seakan terpegun melihat wajah Sofea.

Tidak dinafikan Sofea memiliki paras wajah yang cantik. Tetapi sayang, dengar khabar dia masih hidup sendiri hingga ke hari ini. Camilla sendiri terpegun melihat Sofea, inikan pula gadis muda seperti Khaira Eryna yang lebih teruja dengan kecantikan.

Mereka saling beramah-mesra dan berbual kosong. Namun, sekali-sekala Khaira Eryna dan Sofea saling mencuri pandang. Seakan ada sesuatu yang mengikat mereka berdua menyebabkan mereka tidak dapat melarikan pandangan antara satu sama lain.

Majlis pada malam itu berjalan dengan lancar. Para tetamu semakin ramai yang beransur pulang. Hinggalah tiba giliran keluarga Noah. Shakil dan Sofea mengiringi Noah sekeluarga ke pintu utama. Sama seperti tetamu yang lain.

"Thanks untuk malam ni. Makanan semuanya sedap. Terima kasih sebab jemput aku dan keluarga aku." Ucap Noah sambil bersalaman dengan Shakil.

"Sama-sama. Aku pun nak ucap terima kasih sebab kau sekeluarga sudi terima jemputan aku. Aku pun rasa seronok dapat kenal dengan keluarga kau semua." Balas Shakil sambil menepuk-nepuk bahu Noah.

Melihat suaminya sudah mahu beransur pulang, Camilla turut sama meminta diri daripada Sofea. Mereka turut saling bersalaman. Begitu juga dengan Danish Xavier, Darwish Xayden dan Khaira Eryna juga turut meminta diri untuk pulang. Namun, baru sahaja Khaira Eryna ingin meleraikan pegangan tangannya, Sofea pantas menghalang. Rantai tangan yang tersarung di pergelangan tangan Khaira Eryna ditilik seketika. Melihat perlakuan Sofea itu, Khaira Eryna berkerut kening. Pelik dengan tingkah wanita itu.

"Kenapa auntie?"

"Mana Khaira dapat rantai tangan ni?"

"Er...arwah ibu Khaira yang punya. Kenapa auntie?"

"Ooh...tak ada apa-apa. Cantik. Mesti custom-made. Tengok reka bentuk dia lain daripada rantai tangan yang dijual dekat luar."

"Mungkin. Tapi ini jelah kenangan yang Khaira ada dengan ibu. Sebab Khaira tak pernah jumpa ibu." Lirih suara Khaira Eryna membalas. Kepalanya menunduk menahan sayu.

"Kalau auntie boleh tahu, ibu Khaira dekat mana sekarang?" Soal Sofea lagi. Perasaan ingin tahunya semakin membuak-buak.

Khaira Eryna mengangkat wajah. Bibirnya naik mengorek senyuman nipis.

"Ibu dah meninggal."

Sofea terpempan. Wajah Khaira Eryna ditatap redup.

"Oh, auntie minta maaf." Ucap Sofea simpati. Namun, perasaan kecewa melebihi perasaan simpati saat mendengar balasan Khaira Eryna itu.

"Tak apa. Khaira okay. Dah biasa dah dengan soalan tu semua. Er...kalau tak ada apa-apa lagi Khaira minta diri dulu. Lagi pun mommy dan daddy dah tunggu tu. Assalamualaikum, auntie, uncle." Ucap Khaira Eryna sebelum mengatur langkah ke arah kereta.

Sofea dan Shakil hanya memerhati hingga kereta Noah bergerak keluar dari perkarangan banglo mereka. Terbit keluhan berat meniti di bibir Sofea saat bayangan kereta Noah hilang dari pandangan. Shakil yang berada di sebelah menoleh ke arah adiknya.

"Pia, Pia masih mengharap lagi ke?" Soal Shakil.

"Pia tak pernah putus asa cari mereka, bang. Mereka keluarga Pia. Tapi lepas Pia jumpa Khaira, Pia dapat rasakan sesuatu daripada dia. Wajah dia, nama dia. Takkan itu semua kebetulan?"

"Mungkin pelanduk dua serupa. Berhentilah mengharap Pia. Jangan bazirkan hidup Pia lagi."

"Hidup Pia dah lama hancur lepas apa yang arwah papa buat pada Pia dulu. Pia takkan putus asa cari mereka. Pia akan siasat pasal Khaira. Hati Pia kuat mengatakan yang Khaira tu ada kena mengena dengan masa silam Pia. Pia yakin dia orangnya."

Shakil sudah berkerut kening.

"Kenapa Pia yakin sangat? Sebab nama dia dan wajah dia?"

Sofea geleng kepala.

"Sebab ada sesuatu yang ada pada Khaira tak ada pada orang lain. Sebab itu Pia yakin Khaira adalah orangnya. Pia harap kali ni Pia berjaya temui apa yang Pia cari selama ni."

Bahu Sofea disentuh lembut. Sofea menoleh ke arah Shakil. Menancap wajah abangnya.

"Abang doakan kali ni adik abang akan temui kebahagiaan yang dia cari. Doa abang tak pernah putus untuk Pia." Ucap Shakil ikhlas.

Sofea hanya tersenyum nipis membalas kata-kata abangnya.

"Pia pun harap begitu juga." Doa Sofea di dalam hati.

Share this novel

Zai Zai
2024-09-16 20:13:26 

lagi


NovelPlus Premium

The best ads free experience