BAB 30

Horror & Thriller Completed 32488

Danial melepaskan keluhan seketika. Selama ini dia payah untuk mendekati perempuan. Bila sudah ada yang berkenan di hati, gadis itu pula seperti ingin menjauhkan diri darinya. Dia jeling jam. Hampir masuk waktu zuhur. Irina diajak menunaikan suruhan wajib itu di masjid As-Syakirin. Dia terpaksa pulang awal bila mendapat panggilan dari Danish tadi.

Danial melangkah ke arah bilik Danish. Tadi sebaik tiba di rumah, papa dan mama tidak ada. Hanya Mak Jah sahaja yang berada di dapur. Danial berdiri di depan pintu bilik Danish. Pintu diketuk perlahan.

“Masuk!”

Danial senyum. Pintu dikuak. Kelihatan Danish sedang melihat sesuatu di skrin komputer riba. Dia menghampiri Danish di atas katil. Muka Danish sudah pucat.

“Buat apa?” Danial melabuhkan punggung sebelah Danish. Dia juga turut bersila di atas katil.

“Abang pergi mana tadi?” Danish mendongak. Dari tadi dia asyik merenung skrin komputer riba.

“Keluar jumpa kawan sekejap. Ada apa call abang tadi?” Danial pandang Danish yang masih menatap skrin komputer.

“Tadi, Zamrul ada call saya. Dia kata dia dengar satu suara yang menyuruhnya bunuh diri.” Danish mula pandang Danial di sebelah.

Danial diam seketika. Nampaknya benda itu kembali mengganggu. Seingatnya sudah hampir dua minggu berlalu selepas Zamrul terima nota itu dulu. Setakat hari ini, masih lagi tidak tahu siapa perempuan yang menghubungi Danish dulu. Dia sendiri sudah buntu dengan semua itu. Pihak polis pun tidak dapat mengesan motif sebenar kematian Razif dan Jefri, inikan pula mereka yang memang tidak arif tentang hal itu. Memang dia suka pada siasatan macam ni tetapi kes ini memang rumit. Tiada siapa yang akan percaya kalau dikaitkan dengan perkara mistik. Zaman moden macam sekarang, kalau diberitahu semua itu ada kaitan dengan perkara mistik, bukan mereka akan percaya malah diketawakannya pula.

“Zamrul kat mana sekarang ni?”

“Ada kat rumah dia..dia pun tinggal seorang diri di rumah sewa.” Danish tutup komputer ribanya. Kali ini dia mengalihkan posisi tubuhnya dan mula mengadap Danial.

“Abang..saya takut. Sekarang ni Zamrul akan jadi mangsa seterusnya seperti dalam nota yang diterima dulu. Entahlah, saya tak nak percaya semua benda karut ni. Bayangan jelmaan perempuan dan suara halus tu semua adalah mengarut!” Danish meraup muka.

“Danish..kita kena ingat, jin dan syaitan juga makhluk ciptaan Allah. Tidak mustahil ada manusia yang bersekongkol dengan jin dan syaitan semata-mata untuk memenuhi kehendak mereka. Macam jelmaan perempuan dan suara halus tu, itu semua ilmu sihir yang digunakan untuk menyakiti orang dan mungkin juga untuk mengenakan seseorang.” Danial sentuh lembut bahu danish yang sudah tunduk.

Danish masih tunduk. Terasa selama ini dia telah banyak melakukan dosa. Besar atau kecil semuanya dilakukan tanpa rasa bersalah pada tuhan sedikitpun. Hidup hanya untuk berseronok. Kehidupan itu semuanya bermula sejak dia mula menjejakkan kaki ke universiti dan tinggal satu asrama dengan Razif, Zamrul, Jefri dan Shuib. Mungkin dia terikut-ikut dengan cara kawan-kawannya yang suka berfoya-foya. Sedikit demi sedikit tikar sejadah ditinggalkan. Dia mula tahu togok minuman setan dan mula berjinak dengan perempuan. Semua itu dilakukan tanpa rasa sedikit pun berdosa.

“Abang...selama ni saya banyak buat dosa. Saya terikut-ikut rentak kawan. Dan disebabkan itu juga mungkin kami dibalas dengan kejadian pelik ni.” Danish meraup muka sekali lagi. Dia sudah mula sugul. Ada titis jernih mengalir di pipi.

“Pintu taubat sentiasa terbuka untuk orang yang ingin bertaubat. Allah maha penyayang. Belum terlambat untuk kau bertaubat.” Danial menenangkan Danish yang sudah teresak-esak.

“Saya terlalu banyak dosa. Sudah lama saya tinggalkan suruhan Allah. Solat, puasa dan yang lebih teruk saya tambah dosa dengan melakukan larangan Allah. Saya berzina dan minum arak!” Danish menarik rambutnya sambil menekup muka ke lutut.

Danial terkedu mendengar pengakuan Danish. Tak sangka sampai begitu sekali Danish jauh tersasar. Selama ini Danish dilihat sentiasa riang dan ceria. Di rumah pula, Danish tak pernah tinggal solat tetapi selepas mereka berpisah bila usia menginjak dua puluhan, masing-masing bawa haluan sendiri. Tidak pernah dia tahu sejauh itu Danish terpesong.

“Kau... kau dah jauh terpesong Danish. Kau kena bertaubat dengan taubat nasuha!” Danial pegang kuat bahu Danish yang masih tunduk. Jelas kedengaran sendu Danish.

Danish masih menekup muka. Dia mula merasa satu bala mula menimpa dia dan kawan-kawannya akibat bebas dalam kehidupan yang penuh tipu daya. Segala apa yang terjadi pada Razif dan Jefri adalah satu peringatan buat dirinya dan yang lain. Mungkin itu balasan Allah untuk hambaNya yang mengingkari dan melampaui batas. Mungkin juga jelmaan perempuan dan suara halus yang didengar Zamrul itu adalah juga satu bentuk pembalasan yang Allah beri sebagai pengajaran.

...bersambung

Bab akan datang:

Siapakah jelmaan perempuan itu? Adakah Danish mempunyai apa-apa hubungan dengan jelmaan tersebut?

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience