BAB 49

Horror & Thriller Completed 32488

Kepalanya disandarkan di sofa. Terdongak wajahnya mengadap siling putih di ruang tamu itu. Shuib begitu yakin dengan pendinding itu kononnya pendinding itu boleh memberi perlindungan kepadanya dan boleh menghalang dari diganggu jelmaan perempuan itu. Ah! Memang Shuib sudah gila! Tidak pernah terfikir olehnya tentang itu semua. Baginya semua itu adalah karut! Meletakkan kepercayaan dan keyakinan pada benda lain selain Allah adalah satu perbuatan yang sungguh hina baginya. Sudah jelas dan terang, perbuatan itu adalah syirik!

“Kau dari mana tadi?”

Danish menoleh bila terasa bahunya disentuh. Danial sudah tersenyum berdiri di sebelahnya.

“Oh abang...err..saya jumpa kawan tadi.” Danish teragak-agak menjawab. Dia tahu jika Danial tahu tentang itu semua, sudah tentu dia akan memarahinya berapi-api nanti. Sudah banyak kali Danial berpesan kepadanya tentang hal itu.

Danial hanya angguk. Dia turut melabuhkan punggung di sebelah Danish. Suratkhabar dari atas meja ditatap seketika.

“Err..bila abang nak kenalkan Irina tu pada mama dan papa?” Danish cepat-cepat ubah topik. Bimbang Danial akan bertanya lebih banyak lagi soalan nanti.

“Hmm..mungkin bulan depan. Dia nak siapkan novelnya dulu.” Danial senyum lebar. Bercakap tentang Irina, hatinya terus rasa berbunga. Ikutkan hati hari ini juga dia ingin masuk meminang gadis itu tapi syarat yang diberikan gadis itu dulu perlu dituruti. Jadi terpaksalah dia mengikut rentak gadis itu kalau tidak mahu berputih mata.

“Tentu cantik kan?” Usik Danish.

Danial hanya senyum. Padanya bukan kecantikan yang dicari tetapi biarlah baik akhlaknya dan hormat orang tua selain taat pada suruhan Allah terutama solat. Semua itu ada pada Irina walaupun sehingga saat ini Irina masih tidak menutup aurat dengan sempurna. Dan dia juga sudah ada niat, setelah Irina sah menjadi isterinya nanti, Irina akan disuruh berhijab.

“Shuib macam mana?” Danial melontarkan soalan pula.

Danish mula menggelabah. Dia cuba mengawal emosi dan riak mukanya agar tidak ketara di mata Danial. Bimbang Danial akan perasan perubahan rona wajahnya nanti. Dulu lagi Danial sudah dapat mengagak tingkah dan sikap Shuib yang masih seperti dulu. Tidak pernah ingin berubah dan bertaubat.

“Abang tanya ni, Shuib macam mana?” Ulang Danial. Danish dilihat masih diam dari tadi.

Macam mana apa?” Danish garu kepala. Buat-buat tidak faham.

“Kehidupan dia la. Rasanya sudah hampir dua bulan sejak kematian Zamrul. Tiada apa-apa yang berlaku.” Danial pandang Danish yang kembali menatap siling. Kepalanya terdongak.

“Abang nak dia pun jadi mangsa ke?” Danish cepat-cepat berpaling.

“Bukan macam tu. Abang hanya nak mengingatkan saja. Keadaan sudah semakin reda. Jadi eloklah kau nasihatkan dia supaya kembali ke jalan Allah. Sudah-sudahlah buat kerja maksiat tu.” Danial jeling Danish yang sudah tercengang.

“Maksud abang?”

“Minggu lepas, abang ternampak Shuib tu berkepit dengan seorang perempuan seksi di lobi hotel. Masatu abang ada janjitemu dengan klien dari Jepun. Abang nampak dia check in di hotel tu. Siap peluk perempuan tu. Kau rasa dia nak buat apa?” Danial letak suratkhabar tadi di atas meja sofa.

“Entahlah bang..saya pun tak tahu nak nasihat macam mana lagi. Saya ni hanya kawan saja. Terpulang pada dia nak dengar atau tak. Dah banyak kali saya nasihat bang.” Danish mula mengeluh..

“Minggu depan kita kena jumpa klien dari Perancis. Papa dah buat temujanji. Kita kena hadir bersama papa nanti. Ingat esok pukul sepuluh pagi tepat kita ada mesyuarat pasal projek di Hulu Langat tu. Jangan pula bangun lambat!” Danial bingkas bangun dan mula menapak ke biliknya.

Danish masih di sofa memikirkan satu-satunya kawan rapatnya yang masih tinggal. Kehidupan Shuib masih tidak berubah. Benarlah hidayah itu milik Allah. Allah akan kurniakan kepada sesiapa saja yang Dia kehendaki. Begitu juga dengan hati yang boleh berbolak balik. Mengingatkan itu semua, Danish mula merasa takut. Takut jika Allah bolak-balikkan hatinya semula. Danish mula menekup muka. Dia tak sanggup lagi melalui kehidupan hitamnya dulu. Dia mula melangkah ke bilik untuk menunaikan solat asar yang sudah lama masuk waktu.

SEMINGU berlalu, Danish semakin sibuk dengan kerja di pejabat. Tadi, usai mesyuarat dengan wakil dari Perancis, Danish menyambung kerjanya semula. Petang nanti, dia perlu berjumpa Shuib. Sejak pulang dari Sabak Bernam hari itu, Shuib seperti sudah lupa pada semua kejadian yang menimpa Razif, Jefri dan Zamrul. Teringat pula pada kata-kata Danial. Apa yang dikatakan oleh Danial adalah untuk kebaikan Shuib sendiri juga.

Danish lihat jam di dinding pejabatnya. Setengah jam lagi menghampiri lima petang. Dia perlu siapkan kertas kerja yang diberikan papa tadi. Danial pula sibuk dengan projek terbaharu, projek pembinaan jambatan di Hulu Langat.

Tuk! Tuk! Tuk!

“Masuk!”

...bersambung

Bab akan datang:

Adakah Danish akan meneruskan lagi usahanya untuk mencari gadis tersebut?

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience