BAB 20

Horror & Thriller Completed 32488

“Kematian mereka ni macam ada persamaan. Doktor Razif, menikam dirinya sendiri dengan gunting bedah. Jefri, macam dipukau, berlari ke arah tingkap di rumahnya dan terjun.” Danial masih menatap keratan akhbar di dalam album itu.

Dia baca ayat demi ayat. Selepas pihak polis sudah buntu dengan penyelesaian kedua-dua kes itu, kes itu ditutup dengan hanya satu kesimpulan. Semua mangsa membunuh diri akibat tekanan kerja. Namun pihak keluarga masing-masing tidak dapat menerima cara kematian mangsa. Dulu, dia pernah membuat liputan tentang kes itu dan berjumpa sendiri dengan pihak keluarga mangsa. Dua bulan selepas kes itu ditutup, keluarga mangsa mula mencari alternatif lain bagi mengesan punca sebenar kematian anak mereka. Ternyata keluarga arwah Dr. Razif menyatakan ada perkara mistik dalam kematian anak mereka dan keluarga Jefri juga turut mendapat khidmat ustaz untuk mengetahui apa yang sebenarnya berlaku. Kedua kes kematian Dr. Razif dan Jefri mempunyai unsur mistik!

“Hmm... keluarga mereka ni macam percaya yang anak mereka dibunuh dengan menggunakan kuasa mistik. Mungkin ilmu pukau..” Mata Danial masih melekat pada keratan akhbar. Teringat penyiasatannya dulu tentang kedua kes itu. Menurut kedua belah keluarga, mangsa telah dipukau dan disihir oleh seseorang yang berdendam sekian lama. Itu menurut bomoh yang ditemui oleh keluarga arwah Dr. Razif dan yang peliknya keluarga arwah Jefri juga mempunyai cerita yang sama.

Paling tidak sangka sama sekali, rupanya Dr. Razif dan Jefri adalah rakan sekampus Danish dulu semasa di universiti. Memang dia tidak pernah ambil tahu hal adiknya dulu, siapa kawan Danish. Sebaik tamat SPM, dia dan Danish mula berpisah dan belajar di universiti yang berlainan. Pernah sekali dia dianggap sebagai Danish kerana mempunyai rupa yang agak seiras walaupun mereka dilahirkan kembar tidak seiras. Danial tersenyum sendiri bila mengingatkan semua itu. Danish yang lebih peramah dan suka mengusik perempuan ternyata mempunyai ramai peminat. Teman wanita keliling pinggang. Berbeza dengannya yang pemalu dan tidak pernah hiraukan hal perempuan sehinggalah dia bertemu dan berkasih dengan Irina. Itupun selepas setahun bekerja.

Lamunan Danial terhenti dengan bunyi deringan telefon bimbitnya yang kuat melalak. Dia segera intai nama yang tertera di skrin telefon.

“Danish! Panjang umur kau!” Danial senyum lebar. Dia hanya berbahasa aku kau dengan Danish.

“Nak jumpa? Bila? Ok!”

Telefon bimbitnya diletak semula atas meja. Suara Danish seperti ada sesuatu yang menggangu fikiran. Esok dia perlu ke pejabat Danish. Entah apa yang penting sangat yang Danish hendak beritahu. Kedengaran di hujung talian tadi seperti ketakutan.

Danial menatap kembali pada keratan akhbar di dalam album. Berita kematian itu dibaca penuh teliti. Masih bingung memikirkan kematian kedua kawan Danish itu. Hanya selang sebulan selepas kematian Dr.Razif, Jefri pula menerima nasib yang sama. Masih jelas di ruang fikirannya, masa itu Danish seperti orang yang hilang akal. Berkurung di dalam bilik sejak dia tahu kawan rapatnya, Razif dan Jefri sudah mati. Jenuh papa dan mama memujuk Danish untuk kembali bekerja di syarikat papa. Sejak kematian Razif dan Jefri, hampir dua minggu Danish tidak ke mana-mana.

“Entah-entah semua ni ada kaitan dengan Danish juga. Danish macam gelisah je masa dia mula-mula terima berita kematian Razif dan Jefri.” Danial menopang dagu. Mata masih menala pada keratan akhbar.

Esok dia perlu mendapat kepastian dari Danish walaupun benda itu sudah hampir setahun berlalu. Tadi dari suara Danish di dalam telefon, dia merasa tidak sedap hati.

Jam sepuluh pagi. Danial bergegas menaiki kereta menuju ke Mutiara Damansara. Kereta Toyota vios kelabu dipecut laju meninggalkan kawasan rumah pangsa Sri Intan. Tiba di simpang dari jalan besar, dia membelok ke kiri menuju ke deretan bangunan pejabat. Kereta diparkir jauh dari bangunan pejabat, dekat dengan sebuah restoran mamak yang terletak di hujung bangunan.

Danial mendongak melihat bangunan tiga tingkat milik ayahnya. Tersergam indah papan tanda syarikat ‘LUKMAN SDN BHD’ di tingkat dua bangunan itu. Dia tersenyum. Kakinya diatur perlahan melangkah ke pintu utama. Dari luar dia sudah nampak gadis penyambut tetamu tersenyum manis kepadanya.

“Assalamualaikum, saya nak jumpa Encik Danish Hakim Lukman, dia ada?” Danial mula bertanya sebaik tiba di meja gadis itu. Kaca mata hitam ditanggalkan dan disangkut di poket baju.

“Wa’alaikumussalam. Encik Danial ni buat lawak pula. Jumpa je la!” Zurin senyum sengih. Dia faham sangat dengan tingkah tuan muda syarikat itu yang hanya muncul sekali sekala di situ. Kalau tidak ada hal penting, payah melihat kelibat Danial di pejabat itu.

“Kan saya kena ikut peraturan. Minta kebenaran di sini dulu sebelum berjumpa dengan sesiapa dari syarikat ni.” Danial kenyit mata.

...bersambung

Bab akan datang:

Apakah perkara penting yang ingin dibincangkan Danish bersama Danial?

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience