BAB 52

Horror & Thriller Completed 32488

Kereta dipandu laju meredah kesesakan jalanraya melalui jalan MRR2. Pedal minyak ditekan sehabis mungkin. Tiba di simpang ke kawasan perumahannya, dia segera membelok ke kiri. Laluan itu agak sunyi. Di sebelah kanan jalan hanya pokok-pokok tanjung yang ditanam sepanjang jalan menuju ke kawasan perumahannya. Di sebelah kiri jalan pula ada gaung. Kawasan rumah yang agak berbukit itu memang agak curam dengan gaung yang agak dalam di sebelah kiri jalan walaupun di tebing gaung itu ada penghadang besi.

“Adoih..kenapalah lambat sangat kereta aku ni.”Shuib membebel sendiri. Terasa kelajuan keretanya semakin lambat.

Dia jeling jam di dashboard kereta. Menghampiri dua belas tengah malam. Peluh dingin masih menitik di dahi. Suhu penghawa dingin dalam kereta dipulas sehingga habis namun dia masih terasa panas membahang.

Kriiiiiiiikkk!!

Keretanya berhenti mengejut. Kedua tangan melekat di stereng manakala mata pula membuntang melihat kepulan asap di depan keretanya. Shuib menelan liur. Dia jadi kaku dan tergamam. Kepulan asap tadi dilihat sudah mengelilingi keretanya dan tiba-tiba seluruh keretanya berbau kemenyan yang cukup menusuk hidung.

Shuib masih terdiam di dalam kereta. Matanya masih menala ke arah depan. Kepulan asap tadi sudah berada di depan keretanya semula. Jelas dia melihat kepulan asap itu membentuk tubuh seorang perempuan. Lama-kelamaan, kepulan asap itu hilang, yang tinggal hanyalah seorang perempuan cantik memakai kebaya merah tersenyum kepadanya.

Terkumat-kamit Shuib membaca mentera yang diajar bomoh Jawa itu dulu. Tangkal hitam yang tergantung dilehernya ditarik hingga ke depan dan dihembus selepas habis mentera dibaca. Seraya itu juga dia melihat perempuan berkebaya merah itu menjerit terlolong di depannya. Dia senyum. Maknanya apa yang diajar bomoh itu memang menjadi. Tidak sia-sia dia memakai tangkal hitam itu sebagai pendinding. Nampaknya jelmaan perempuan itu sudah takut bila menjerit terlolong tadi.

“Baru kau tahu siapa aku!” Dengan bongkak, Shuib ketawa melihat jelmaan itu sudah hilang.

Dia memandu semula ke rumahnya yang terletak di hujung sekali kawasan taman perumahan itu. Tiba di rumah, dia segera mendapatkan kemenyan dan tangkal hitam tadi diasapkan seketika sambil terkumat kamit membaca sesuatu.

Dia menoleh bila mendengar lolongan perempuan tadi menjerit kesakitan. Ketawa Shuib semakin kuat. Puas hati mendengar rintihan jelmaan perempuan tadi yang mengadu kesakitan.

“Puas hati aku!” Shuib pakai semula tangkal hitam tadi. Dia tersenyum puas.

Belum sempat dia bangun ke biliknya, dia terdengar suara hilai ketawa yang cukup nyaring datang dari arah luar tingkap biliknya. Sekali lagi Shuib capai kemenyan dan dia mula membaca jampi mentera. Suara hilai ketawa tadi sudah hilang tetapi diganti pula dengan suara menangis meratap dan merayu supaya tidak diapa-apakan. Jelas dia mendengar suara itu seperti budak perempuan yang dirogolnya empat tahun dulu.

“Oh! Kau nak ganggu aku ya! Rasakan!” Shuib semakin rancak mengasapkan tangkal hitam itu dengan mulut terkumat-kamit.

“Aku tak takut!”

Pantas Shuib mendongak. Perempuan berbaju kebaya itu sudah tercegat di depannya. Dia menelan liur berkali-kali. Sekali lagi dia membaca semua jampi mentera yang telah diajar kepadanya. Perempuan itu masih tercegat di situ sambil merenung tajam ke arah Shuib.

Shuib segera ke laman rumah semula dan memecut laju keretanya meninggalkan kawasan taman. Jelas dia melihat melalui cermin pandang belakang, kepulan asap mengekorinya dari belakang. Dia menekan pedal minyak semakin kuat. Matanya tidak lepas dari memandang kepulan asap itu yang sudah bertukar menjadi perempuan berbaju kebaya merah tadi yang masih berada di belakang.

“Ah! Gila! Macam mana perempuan tu boleh menjelma lagi? Kan aku dah baca semua jampi mentera! Tangkal ni pun tak guna!” Shuib semakin pucat dan berpeluh. Kereta dipecut semakin laju.

Tiba-tiba dia brek mengejut. Perempuan itu dilihat sudah berada di depan keretanya sedang merenung tajam ke arahnya.

“Kau nak sangat kacau aku kan?” Kali ini Shuib pegang dengan kuat stereng kereta dan dia menekan pedal minyak sehabis mungkin. Kereta meluncur laju merempuh perempuan itu yang masih berdiri di depannya.

“Aik! Mana dia pergi?” Melilau Shuib mencari kelibat perempuan tadi.

“Awak cari saya ke bang?”

Pantas Shuib menoleh ke kiri. Dia menelan liur berkali-kali. Pucat! Perempuan itu sudah berada di sebelah tempat duduk penumpang di sebelah pemandu.

“Kau pembunuh! Kau yang bunuh kawan aku!!” Shuib sudah hilang akal. Dia keluarkan tangkal hitam di lehernya dan ditunjukkan kepada perempuan itu.

Perempuan itu ketawa mengilai.

...bersambung

Bab akan datang:

Adakah Shuib akan dibunuh kejam oleh jelmaan gadis itu?

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience