BAB 8

Horror & Thriller Completed 32488

Baginya hidup hanya untuk berseronok.

‘Sudahlah bang. Kalau abang datang ni nak berceramah agama macam ni, baik abang balik je la.” Danish bingkas bangun. Dia menapak ke meja pejabatnya semula.

Danial hanya menjeling tajam. Perangai Danish sudah jauh berubah. Dulu semasa di sekolah menengah, Danish rajin solat dan mengaji quran. Sempat mereka berdua belajar di sekolah pondok di sebuah negeri di pantai timur semasa menunggu keputusan SPM. Selepas masing-masing masuk universiti, dia sudah tidak tahu sangat kehidupan Danish selepas itu kerana universiti mereka yang berlainan. Bila pulang bercuti sekali sekala sahaja dia dan Danish berada di rumah. Waktu itu dia memang nampak Danish menunaikan solat.

“Ingat! Kalau abang dapat tahu kau ada rahsiakan apa-apa dari abang, siap kau!” Danial mula beri amaran sebelum melangkah keluar dari bilik Danish.

Danish hempas pen ke atas meja. Fail yang tersusun di atas meja ditolak sehingga jatuh ke lantai.

“Damn it! Siapa perempuan tu??” Danish tumbuk meja. Dia segera menghubungi Jefri, Shuib dan Zamrul. Mereka perlu berjumpa. Apa yang diberitahu oleh abangnya tadi mungkin juga benar. Semua itu berkemungkinan.

Tadi sengaja dia buat tidak percaya apa yang disampaikan oleh Danial. Dia tidak mahu Danial mengesyaki apa-apa. Memang sebelum ini dia sudah ada rasa seperti itu. Tentu ada sesuatu yang merasuk Razif sehingga Razif begitu mudah merodok perutnya sendiri!

DANISH melangut menunggu Jefri dan kawannya yang lain sampai di tasik itu. Tadi dia sudah berjanji akan berjumpa di pondok di tepi tasik Titiwangsa. Dia jeling jarum jam di pergelangan tangan. Hampir enam petang.

“Danish!”

Danish menoleh. Dia tersenyum. Nampaknya Jefri, Zamrul dan Shuib sudah berpakat. Serentak mereka datang. Naik satu kereta agaknya. Dia turut melambai.

“Apa hal kau nak jumpa ni? Kat tasik macam ni..sepatutnya jumpa awek!” Gurau Zamrul. Tersengih sambil melabuhkan punggung di atas pangkin pondok.

“Kau ni tak habis-habis pasal awek. Kau dah nak nikah ke?” Jefri pula mencelah.

“Aku nak enjoy dulu bro. Bila dah nikah nanti, mana boleh dah ke hulu ke hilir macam ni.” Zamrul sengih sumbing.

Danish masih diam dari tadi. Dia hanya mendengar celoteh kawan-kawannya yang lain bercerita hal perempuan. Memang sejak dulu hal perempuan tak akan terlepas dari topik perbincangan mereka. Memang kasanova semuanya! Tak perlu tunggu kahwin untuk merasa semua tu!

“Weh! Kau diam dari tadi ni apa hal? Kau yang nak jumpa kita orang kan?” Shuib pula mencelah.

Zamrul dan Jefri turut angguk mengiakan kata-kata Shuib tadi.

“Aku ada cerita terbaharu pasal kematian Razif.” Danish pandang kawannya seorang demi seorang.

“Berita terbaharu?” Zamrul berkerut kening.

Danish mula bercerita apa yang telah diceritakan oleh Danial semasa di pejabat tadi. Dia jeling Zamrul yang sudah ketawa terbahak-bahak. Shuib dan Jefri pula hanya sengih.

“Kau ni otak je bijak tapi bodoh sebenarnya! Kau percaya ke semua tu?”Zamrul masih ketawakan Danish.

“Aku serius ni beb. Abang aku yang beritahu semua tu. Ayah Razif yang tanya sendiri dengan ustaz tu. Yang paling aku rasa tak sedap hati, bila ustaz tu kata, bayangan tu adalah jelmaan seorang perempuan!” Danish pandang lagi seorang demi seorang. Kali ini di wajah masing-masing sudah pucat. Terdiam semua.

“Perempuan?” Jefri menelan liur.

Danish angguk.

“Kau rasa perempuan tu ke beb?” Shuib mula gelisah.

Masing-masing diam seketika. Tiada lagi suara ketawa dan sengih tadi.

“Aku rasa baik kita pergi semula ke Kampung Keladi tu. Kita siasat apa yang sebenarnya berlaku.” Usul Danish.

“Kau gila ke? Kau nak mampus! Kau tahu selepas kejadian tu, kita terus balik kampus dengan alasan ada exam. Budak perempuan tu kita tinggal macam tu je. Mana tahu lepas tu, dia beritahu mak bapak dia dan mereka mula cari kita? Sudah sah-sah mereka hanya tunggu masa saja nak bunuh kita. Kau pulak nak serah diri dengan pergi ke sana! Gila!” Jefri merengus.

Masing-masing diam lagi. Sudah buntu apa yang perlu dilakukan.

“Jef..perempuan yang ugut kau hari tu, dia ada call lagi tak?” Danish mula teringat kes Jefri yang diugut perempuan yang tidak dikenali.

Jefri menggeleng.

“Ugut? Siapa ugut kau?” Zamrul terpinga-pinga tidak tahu hujung pangkal cerita.

Shuib turut mengangguk.

“Aku dan Jef ada terima panggilan dari seorang perempuan. Perempuan tu beri amaran pada aku. Jef pulak, dia kata Jef akan jadi mangsa seterusnya.” Danish terpaksa berterus terang.

Zamrul dan Shuib terdiam.

“Kau percaya kata-kata dia tu?” Zamrul pandang Danish tidak berkelip.

Danish jongket bahu. Jefri juga turut geleng.

...bersambung

Bab akan datang:

Apakah kaitan perempuan itu dengan mereka semua? Apakah dendam yang dimaksudkan itu?

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience