BAB 13

Horror & Thriller Completed 32488

Danial masih memerhati setiap gambar yang dirakam malam tadi termasuk gambar kematian Dr. Razif. Dia menyusun setiap foto itu di atas meja. Dari gambar yang sempat dirakam, memang kematian kedua lelaki itu sungguh mengerikan. Kes kematian Dr. Razif, gunting yang digunakan untuk membunuh diri itu masih terpacak di perut doktor muda itu ketika pihak polis sampai di klinik. Jelas kesan rodokan gunting itu mengenai usus mangsa. Terburai sebahagian usus dari perut mangsa. Darah memercik di setiap sudut bilik rawatan itu. Tetapi yang masih menjadi tanda tanya, bilik rawatan itu tidak bersepah. Kemas seperti sediakala. Tiada kesan pergelutan. Bermakna memang sah doktor muda itu membunuh dirinya sendiri dengan mengambil gunting dan merodok perutnya berkali-kali.

Kes Jefri pula, menurut lelaki berjaket hitam malam tadi, dia nampak Jefri buka tingkap dan mula terjun dari situ. Masa Jefri berdiri di tepi tingkap yang terbuka, keadaan Jefri masa itu seperti dia melihat sesuatu yang menakutkan di belakangnya. Seolah ada sesuatu yang menyuruhnya terjun dari tingkat sebelas itu.

“Hmm...hairan juga. Takkan sebodoh itu mereka berdua tu nak ambil nyawa sendiri. Dr. Razif, dia seorang doktor yang bijak dan ramah dengan pesakit. Menurut pesakit yang pernah dirawat oleh doktor muda itu, mereka senang dengan cara doktor itu melayan pesakit. Tiada tanda-tanda doktor itu mengalami tekanan jiwa atau tekanan kerja. Jefri pula, apa yang Danish beritahu, Jefri seorang yang periang. Suka pada kerja malah pernah digelar workerholic. Takkan tiba-tiba dia nak bunuh diri.” Danial masih berfikir. Dia mencatat semuanya dalam nota kecil.

Dia mula pening. Kes kematian kedua kawan Danish juga mempunyai unsur mistik. Dr. Razif, dikatakan nampak bayangan jelmaan perempuan dan menolak tangannya untuk merodok perut dengan gunting. Jefri pula nampak sesuatu di belakang yang menyuruhnya terjun dari tingkap itu.

“Apa yang berlaku sebenarnya? Siapa perempuan tu?” Danial bingkas bangun. Dia berjalan ulangalik di sekitar biliknya di rumah pangsa Sri Intan itu.

Dia buka pula nota kecil yang diambil dari peti surat pagi tadi. Nota yang tidak ada nama pengirim itu dibaca perlahan.

“Pembunuhan?” Danial berkerut kening. Dia baca lagi setiap ayat yang tertulis di atas kertas itu. Alamat tempat kejadian turut disertakan dalam nota kecil itu. Dia meneliti setiap maklumat yang ditulis di situ. Satu pembunuhan telah berlaku di sebuah rumah tinggal. Mangsa dibunuh dengan mengelar leher dan badan sehingga terpercik darah di setiap sudut rumah.

“Biar betul! Takkan dia bagi tahu aku maklumat ni. Dia pembunuh ke apa?” Danial belek lagi nota kecil yang bertaip dengan font Lucida handwritting itu dengan setiap perkataan dihitamkan. Lama Danial termenung di meja. Matanya melirik pula pada setiap gambar yang disusun di atas meja tadi. Perasaan kasihan dan simpati atas kematian kedua rakan Danish itu mula memenuhi ruang hati. Kedua lelaki itu masih muda tetapi sudah menjadi mangsa dendam dan mati dengan cara mengerikan. Fkirannya mula teringat pada Danish dan kawan-kawannya yang turut sama berada di klinik Dr. Razif.

“Danish tu dari mana sebenarnya? Takkan kebetulan...” Danial masih bingung memikirkan kehadiran Danish dan kawan-kawannya di situ malam itu.

Memang dia sudah mengagak kematian Dr. Razif dan Jefri ada kaitan dengan mereka semua. Perempuan yang menghubungi Danish dan Jefri juga ada kaitan dengan semua itu. Perempuan itu tentu sudah kenal dengan Danish dan kawan-kawannya.

Telefon berdering kuat. Dia jeling skrin. Tersenyum melihat nombor Joe. Petang nanti, dia akan ke rumah yang dimaksudkan dalam nota yang diterima itu. Sebelah malam pula dia akan berjumpa dengan Joe.

KERETA Toyota kelabu diparkir agak jauh dari kawasan rumah.Danial mula keluar dari perut kereta. Dengan sebuah kamera canon tergantung di lehernya, dia kemaskan baju yang dipakai dan mula memeriksa nota kecil di dalam poket. Matanya mula memerhati ke sebuah rumah. Rumah yang terletak agak jauh dari rumah lain. Dia menapak perlahan ke arah jalan depan menghala ke pintu rumah. Panggilan yang diterima tadi dari seorang yang tidak dikenali memberitahunya ada satu pembunuhan telah berlaku di rumah itu. Dia menapak perlahan ke arah anjung rumah yang agak usang. Daun kering bersepah di laman. Keadaan di sekitar lama juga penuh dengan ranting dan daun kering yang bertaburan. Suasana agak suram. Danial menapak perlahan ke pintu utama rumah. Dia masih memerhati sekeliling rumah. Halaman rumah yang tidak berpagar itu kelihatan agak tidak terurus. Rumput panjang dan pokok menjalar tumbuh liar dan menjalar sampai ke anjung rumah.

...bersambung

Bab akan datang:

Siapakah gerangan yang menulis nota kecil itu? Apakah yang disembunyikan Danish dan kawan-kawannya?

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience