BAB 2

Horror & Thriller Completed 32488

Kereta polis mula tiba dengan seorang pembantu klinik yang sudah tergesa-gesa masuk ke dalam klinik. Dia segera menghubungi seseorang. Keretanya mula bergerak keluar dari kawasan itu setelah dia pasti semuanya sudah berakhir.

Danishsudah gelisah, pucat dan serba tidak kena. Baharu tadi dia terima panggilan telefon dari seseorang yang tidak dikenali. Jelas suara di hujung talian itu memberitahunya tentang kematian Razif. Mundar mandir Danish di dalam bilik. Peluh dingin mula menitik di dahi. Walaupun biliknya sejuk dengan suhu 16 darjah celcius, dia merasakan keringat begitu galak menitik di dahi dan terus mengalir ke pipi. Jam di dinding dijeling seketika. Hampir dua belas malam.

Dia capai telefon bimbit dan terus menghubungi seseorang. Bergegas Danish mencapai kunci kereta dan mula melangkah keluar dari biliknya. Dia perlu berjumpa dengan seseorang. Sepanjang perjalanan menuju ke destinasi yang dijanjikan, Danish tidak henti berfikir. Panggilan yang diterima tadi bukan sebarangan panggilan. Nada perempuan itu cukup membuatnya tidak senang duduk. Jelas perempuan itu ingin memberi amaran kepadanya tentang kematian Razif. Pedal minyak ditekan semakin kuat, menderum kereta BMW hitam miliknya meluncur menuju ke pusat bandaraya.

Tiba di destinasi, melilau dia mencari kelibat Jefri. Tadi dia sudah berjanji akan berjumpa di situ. Danish tunggu di tepi kereta. Sesekali dia melihat sekitar tempat letak kereta di sebuah restoran mamak yang dibuka 24 jam. Dia lihat jarum jam dipergelangan tangan. Hampir dua belas setengah malam. Bibirnya mula mengukir senyum sebaik terpandang kereta Jefri memasuki kawasan letak kereta di depan restoran mamak itu. Laju sahaja dia menapak ke kereta Jefri.

“Jef, kau sorang je ke?” Danish intai ke dalam kereta Jefri.

Jefri buka pintu dan mula berdiri di sebelah Danish yang sudah kelihatan pucat mukanya. Nampak gelisah dan ketakutan.

“Aku ada call Zamrul tadi. Dia belum sampai?” Jefri pandang sekitar restoran.

“Belum. Shuib macam mana?” Danish bertanya pula kawan mereka seorang lagi.

“Mana aku tahu? Kau ada call dia ke tadi?” Jefri mula mengajak Danish ke restoran.

“Tak... aku ingat kau yang call dia.” Danish turut mengikut Jefri, beriringan menuju ke restoran.

Tiba di restoran mereka mula memesan minuman sejuk. Jefri masih memerhati Danish yang kelihatan pucat dan gelisah. Tadi dia terima panggilan dari Danish. Jelas ada sesuatu yang tidak kena telah berlaku. Riak Danish sudah lain.

“Kenapa dengan kau ni? Apa yang penting sangat kau nak beritahu aku ni?” Jefri betulkan duduknya. Dia pandang Danish yang masih gelisah. Kunci kereta diputar-putar di hujung jari telunjuk.

“Kita tunggu Zamrul dan Shuib sampai dulu.” Danish pandang sekitar restoran. Tiada kelibat Zamrul dan Shuib.

Air yang dipesan sudah mula tiba di meja. Laju sahaja Jefri meneguk teh ais sampai habis setengah gelas. Dari tadi tekaknya terasa haus. Sekali lagi dia melambai ke arah pelayan restoran dan memesan segelas lagi teh ais. Matanya melirik melihat Danish yang masih kelihatan gelisah dan resah. Nampak jelas peluh di dahi Danish menitik ke sehingga ke pipi.

“Hah..tu dia orang dah sampai!” Jefri melambai ke arah Zamrul dan Shuib yang nampaknya sampai berdua dengan sebuah kereta.

“Hey guys! Dah lama tunggu?” Zamrul menegur. Dia melabuhkan punggung di sebelah Danish.

Shuib pula duduk di sebelah Jefri.

Mereka berdua mula pesan minuman dari seorang pelayan restoran yang sudah tercongok di depan meja.

“Guys, apa hal nak jumpa malam-malam ni?” Zamrul mula bertanya. Dia mula berkerut kening melihat Danish sudah pucat.

“Tadi..aku terima panggilan dari seseorang. Dari suara tu, dia perempuan. Dia beritahu aku Razif sudah mati.” Danish mula buka cerita.

Semua yang lain hanya ketawa mendengar cerita Danish yang dianggap hanya berjenaka. Danish sudah mula geram bila kawan-kawannya tidak pernah hendak serius dalam apa jua hal sekali pun. Sejak di kampus lagi mereka berlima bersikap bergitu. Semua perkara dianggap remeh!

“Aku serius ni bro!” Suara Danish sudah naik satu oktaf.

Mereka bertiga mula terdiam. Riak Danish sudah lain. Memang serius! Zamrul pandang lagi Danish yang sudah kemerahan mukanya. Agaknya menahan marah bila diketawakan kata-katanya tadi. Razif mati??? Baharu semalam dia berjumpa dengan Razif bagi mendapatkan rawatan sakit kakinya yang terseliuh.

“Kau kata Razif dah mati? Kau okey ke ni bro?” Zamrul sengih. Bahu Danish ditepuk-tepuk.

“Aku serius ni! Perempuan tu call aku. Dia kata Razif sudah mati di klinik. Razif bunuh diri! Dia tikam dirinya sendiri dengan gunting bedah!” Danish berterus terang. Itu yang diceritakan oleh perempuan yang membuat panggilan tadi.

...bersambung

Bab akan datang:

Siapakah yang dengki dengan Razif sehingga membomohnya sampai mati?

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience