BAB 10

Horror & Thriller Completed 32488

“Sabar Danial. Biar Danish yang cerita semuanya.” Mama pula menjeling Danial yang dilihat sudah mula menyinga. Dia kenal sangat kedua anak kembarnya itu. Sikap mereka berdua amat berbeza. Danial lebih suka kepada aktiviti lasak dan seni fotografi. Suka berterus terang. Danish pula suka berseronok dan suka berahsia sejak kecil. Namun begitu mereka berdua suka bidang yang sama, kejuruteraan.

“Mama, saya tak ada rahsia apa pun. Saya tak buat salah apa pun. Nak bunuh cicak pun saya takut, inikan pula nak bunuh orang bagai! Logik la sikit nak tuduh pun!” Danish pandang mama dan kemudian dia jeling tajam ke arah Danial.

“Habis tu, pokok takkan bergoyang kalau tak ada angin!” Danial semakin mengetap bibir.

“Papa percaya pada orang tu? Entah sapa-sapa dia tu! Papa, sekarang ni orang boleh fitnah macam-macam. Nak jatuhkan orang ni banyak caranya papa! Mungkin orang tu sengaja nak jatuhkan reputasi papa!” Danish cuba yakinkan papa. Tidak semudah itu dia bongkar rahsia yang selama ini disimpan kemas.

“Baiklah. Kalau papa dapat tahu Danish ada simpan rahsia apa-apa, tahulah nanti apa yang papa akan buat. Dr. Razif tu, dia kawan Danish kan?”

Danish menelan liur. Dia jeling Danial yang dari tadi asyik memandangnya. Hish! Mulut longkang betul abang aku ni! Ni mesti dia yang beritahu papa semua tu!

“Kematiannya masih menjadi tandatanya. Misteri. Papa tak percaya dia boleh bunuh diri macam tu. Tentu ada sebab lain yang menyebabkan dia bertindak bodoh macam tu. Apa yang Danial beritahu papa, mungkin ada benarnya. Kita kena percaya juga pada jin dan syaitan kerana benda ni semua juga wujud di dalam dunia ni.”

Danish pantas menoleh ke arah papa. Matanya beralih semula ke arah Danial. Jadi memang betullah Danial sudah beritahu segalanya kepada papa. Memang mulut longkang betullah! Danish mengetap bibir. Mukanya sudah kemerahan.

“Habis tu papa rasa hantu yang datang rasuk Razif tu? Macam tu?” Danish sudah geram.

“Papa tak kata macam tu tapi semua kemungkinan itu boleh berlaku. Macam orang mengamuk tu, apa yang papa tahu, mereka disuruh oleh satu suara untuk membunuh. Itu semua jin setan la yang punya kerja. Dalam kes Dr. Razif pula, mungkin dia dipaksa oleh benda tu dan papa rasa Dr. Razif tu tentu ada buat sesuatu yang tak baik pada jelmaan perempuan tu.”

Danish senyum sinis. Nampaknya papa juga seperti Danial. Mudah percaya benda tahyul tu! Tak masuk akal langsung! Ingat ini cerita hantu ke apa?

“Kalau betul apa yang diceritakan oleh Danial tu, bermakna Danish juga ada kaitan dengan semua tu. Cakap dengan papa, apa benda jahat yang telah Danish lakukan bersama Dr. Razif?” Papa tenung lagi Danish.

“Papa! Danish tak buat benda jahat apa pun! Nampaknya semua nak tuding pada Danish! Apa ni??” Danish sudah menyinga.

“Menjawab lagi! Baik kau cakap sekarang. Mengaku! Sebelum apa-apa terjadi nanti. Benda mistik macam ni bukan boleh dibuat main-main! Abang tak nak kau jadi mangsa seterusnya sama macam apa yang telah berlaku pada Dr. Razif tu!” Danial luku kepala Danish. Geramnya sudah ke tahap nak meledak.

“Papa tengok..Danish dah lama tak solat. Apa dah tebal sangat ke kulit tu dengan api?” Sindir papa. Dia mula ubah topik. Nampaknya Danish berkeras tidak mahu mengaku apa-apa.

Danish diam. Dia jeling lagi Danial. Ah! Ini semua Danial yang jadi pengadu tak bertauliah! Sibuk hal orang! Diri sendiri pula sibuk dengan kamera ke hulu ke hilir, tak pula papa sibuk nak tanya! Aku yang bertungkus lumus bekerja di syarikat papa tidak pula dihargai!

“Abang pun perasan, masa di universiti lagi. Balik cuti je, jarang lekat kat rumah. Pergi berseronok dengan kawan-kawan. Balik lewat malam. Solat entah ke mana.” Danial menambah.

“Mana abang tahu saya tak solat? Saya dah solat kat masjid dulu la sebelum balik rumah.” Danish sudah geram. Hal peribadinya jadi topik perbualan pula.

“Kalau betul baguslah.” Danial masih memandang Danish. Dia tahu kata-kata Danish tadi hanya menipu belaka. Pernah sekali dulu dia mengekori Danish. Saja nak tahu ke mana Danish lepak bila selalu balik lewat malam. Memang sah Danish lepak di kelab malam dan pub. Kalau sudah selalu lepak di situ, memang sahlah dia teguk juga air setan tu! Saja dia tak beritahu papa hal itu. Jadi perang dunia ketiga nanti!

“Sudahlah! Danish nak masuk bilik! Serabut duduk sini lama-lama.” Danish bingkas bangun dan mula menapak ke bilik.

Danial hanya geleng. Dia pasti Danish mesti ada simpan rahsia.

...bersambung

Bab akan datang:

Apakah yang sebenarnya terjadi dengan Razif dan Danish? Apa kaitannya dengan jelmaan wanita itu?

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience