BAB 6

Horror & Thriller Completed 32488

Jefri hanya angguk.

Danish mula menghubungi kawan-kawannya yang lain.

Suasana di rumah keluarga arwah Razif begitu hiba dan muram. Di ruang tamu rumah banglo dua tingkat itu dipenuhi dengan sanak saudara yang datang dari dekat dan jauh. Jenazah Razif sudah selamat dikebumikan sebaik selesai bedah siasat di hospital berdekatan. Suasana hiba masih menyelubungi keluarga arwah.

Danish memerhati ayah dan ibu Razif yang meratapi pemergian anak kesayangan. Razif adalah anak harapan keluarga mereka dan Razif juga adalah anak pertama yang berjaya bergelar doktor dan menjadi kebanggaan keluarga.

“Makcik, saya dan kawan saya juga rasa kehilangan Razif. Kami rapat dulu dari universiti sampailah sekarang. Tak sangka dia pergi dengan cara macam ni. Cuma...kami tak faham dengan apa yang telah berlaku. Selama ini dia periang dan ceria orangnya.” Danish menghampiri ibu Razif yang sudah bengkak matanya menangis seharian agaknya.

“Makcik pun tak nak percaya semua ni. Razif budak yang baik. Dia tak ada musuh. Minggu depan dia akan bertunang.”

Danish terdiam. Ibu Razif masih menangis teresak-esak. Dia jeling pula pada Jefri, Zamrul dan Shuib. Rasa sangat bersalah pada keluarga Razif yang selama ini tidak tahu siapa Razif sebenarnya. Rahsia yang disimpan mereka berlima sehingga ke hari ini masih kukuh dan tidak akan dibongkar.

“Shuib..anak pakcik ada musuh ke?” Ayah Razif pula bertanya Shuib yang mengambil jurusan yang sama dengan Razif semasa di universiti. Sudah tentu ayah Razif kenal dengan Shuib.

“Err..setahu saya tak ada pakcik. Kami tak ada musuh.” Tergagap-gagap Shuib menjawab pertanyaan ayah Razif. Sempat dia jeling kawan-kawannya yang lain. Masing-masing beri isyarat supaya zip mulut!

“Oh..pakcik tak boleh terima dia bunuh diri. Pakcik rasa ada sesuatu yang tak kena. Menurut siasatan polis, Razif sendiri yang menikam perutnya dengan gunting. Anak pakcik bukan macam tu. Dia masih waras lagi nak buat perkara gila macam tu!”

Danish pandang ayah Razif yang sudah meraup muka. Jelas ada titis jernih mengalir ke pipi tua itu. Siapa yang tidak sedih bila anak yang dijaga dan dibanggakan selama ini pergi dengan cara macam tu.

“Sudahlah pakcik. Terimalah takdir Allah dengan hati terbuka.” Danish cuba tenangkan ayah Razif. Tubuh tua itu dipeluk seketika.

Zamrul, Shuib dan Jefri turut memeluk ayah Razif yang sudah sugul. Mereka mula minta diri.

BALIK dari rumah keluarga Razif tadi, Danish masih berfikir. Dia berehat di sofa di ruang tamu rumahnya. Terasa semua itu berlaku terlalu cepat. Baharu semalam mereka bersuka ria di kampus. Terasa baharu semalam juga mereka bergembira dengan kejayaan masing-masing menamatkan pengajian di universiti. Razif dan Shuib bergelar doktor, Jefri bergelar akauntan. Dia dan Zamrul pula bergelar jurutera. Semua itu masih segar dan indah sehingga malam kejadian meragut nyawa Razif dalam keadaan tragis dan ngeri.

Teringat kata-kata nasihat kepada ayah Razif tadi. Takdir Allah? Begitu senang dia mengungkap kata-kata itu sedangkan selama inipun dia tidak pernah kenal tikar sembahyang. Tidak hiraukan halal haram! Ya, jauh terpesong dari kehidupan Islam. Ketika itu, kejadian di tepi sungai itu mula terbayang kembali di ruang mata. Betapa masa itu mereka melakukannnya tanpa ada rasa bersalah dan tanpa ada rasa berdosa sedikitpun!

Danish meraup muka. Dia mula pejam mata. Sekarang sudah jelas apa yang terjadi pada Razif adalah balasan Allah.

“Ya Allah...aku bersalah. Aku berdosa..” Danish bingkas bangun. Dia duduk di birai katil sambil menundukkan wajah. Mengingati semua itu lebih membuatkan hatinya rasa semakin bersalah. Baharu sekarang perasaan itu menerjah di hatinya. Terasa menyesal yang amat!

DUA MINGGU berlalu. Kes kematian Razif sudah siap disiasat. Kematian Razif dikaitkan dengan kes bunuh diri. Razif disahkan mengalami tekanan kerja sehingga membunuh diri dengan gunting bedah yang berada di dalam bilik rawatan di kliniknya ketika itu.

Danish letak suratkhabar di atas meja. Dia melepaskan keluhan panjang. Bingung memikirkan kematian Razif yang langsung tidak masuk akal. Telefon bimbitnya berdering kuat. Dia jeling skrin telefon. Sejak kematian Razif, dia sudah fobia dengan bunyi deringan telefon.

“Hello abang! Nak jumpa? Bila? Ok!”

Danish duduk di kerusi di bilik pejabatnya. Sekejap lagi Danial akan datang. Tentu ada hal mustahak kalau Danial hendak datang ke pejabat. Kalau bukan kerana urusan kerja di pejabat, tentu urusan keluarga. Dia sudah faham sangat dengan sikap abang kembarnya itu.

Danish kembali menyambung kerjanya yang tertangguh tadi. Berita di suratkhabar itu yang membuatkannya merasa tidak senang duduk.

Tuk! Tuk! Tuk!

“Masuk!’

Danish senyum sebaik terpandang Danial sudah mula menapak masuk ke bilik pejabatnya. Dia turut bangun dan melabuhkan punggung di sofa.

...bersambung

Bab akan datang:

Benarkah Razif mati akibat tekanan kerja?

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience