BAB 48

Horror & Thriller Completed 32488

“Eh, kau nak pergi sungai ke apa ni?” Lehernya panjang menjenguk ke arah kiri kanan jalan.

“Kita berhenti di sini.” Shuib berhentikan keretanya di tepi jalan yang menuju ke lorong kecil yang hanya memuatkan pejalan kaki sahaja.

Danish terpaksa mengikut rentak Shuib yang telah mula keluar dari perut kereta. Shuib dilihat masih berdiri di tepi kereta sambil memandang ke arah satu lorong kecil.

“Wei!Kau nak ke mana ni? Dalam hutan macam ni!” Danish berjalan beriringan dengan Shuib yang tidak menghiraukan kata-kata Danish. Langkahnya semakin laju meredah semak kecil yang semakin menutupi lorong kecil itu.

Danish masih membuntuti Shuib yang sudah laju ke depan. Langkah Shuib tiba-tiba terhenti di satu simpang tiga lorong jalan kaki tadi.

Shuib melihat semula skrin telefon bimbitnya. Langkahnya kembali diatur. Dari simpang tiga itu, dia melangkah ke arah kiri. Danish yang dari tadi masih terpinga-pinga hanya mengikut rentak Shuib. Langkah mereka terhenti di sebuah rumah yang agak usang dengan atap rumbia dan dinding pula separuh papan dan separuh buluh. Nampak berbalam api pelita di dalam rumah itu.

“Shuib, rumah siapa ni?” Danish masih bingung.

Shuib tidak menjawab pertanyaan Danish. Dia terus mengatur langkah ke arah tangga rumah itu yang juga diiperbuat daripada kayu. Ada sebuah tempayan di tepi tangga dengan sebiji gayung disangkut di tiang juga tereltak di sebelah tangga.

“Tok! Tok!” Shuib mula memanggil tuan rumah.

Pintu dikuak perlahan. Terjongol seorang lelaki dengan pakaian jingga dan tasbih yang melilit di pergelangan tangan. Di leher lelaki berkepala botak itu pula ada dua rantai yang diperbuat daripada benang hitam dan kayu rotan.

“Kamu Shuib?” Dia terus bertanya.

Shuib mengangguk.

Shuib dan Danish disuruh masuk. Danish masih berdiri di tepi tangga. Dia masih sangsi dengan semua itu. Dari penampilan lelaki berkepala botak tadi, dia dapat mengagak lelaki itu adalah seorang bomoh.

“Shuib, kau nak buat apa ni?” Danish sudah gelisah.

“Aku nak jumpa bomoh ni. Kalau kau tak nak, kau boleh balik.” Shuib pula jeling Danish yang sudah berpeluh di sebelahnya.

Shuib mula melangkah menaiki anak tangga. Pintu ditutup.

Danish masih berdiri di tepi tangga. Dia mundar -mandir di situ. Sudah setengah jam dia menunggu Shuib yang masih berada di dalam rumah usang itu. Puas berdiri, Danish duduk. Seketika kemudian kelihatan Shuib mula menapak keluar dari rumah bomoh itu.

Shuib hanya senyum memandang Danish yang masih menunggunya di tepi tangga. Mereka berdua mula meninggalkan kawasan rumah bomoh itu menuju ke kereta semula.Sepanjang perjalanan pulang semula ke Kuala Lumpur, Shuib hanya diam membisu.

“Shuib, apa yang kau minta dari bomoh tu? Kau nak sihir perempuan tu balik?” Danish mula bertanya.

Shuib menoleh.Dia meneruskan pemanduannya dengan senyuman lebar terukir di bibirnya.

“Weh! Aku tanya ni!” Danish sudah geram.

“Aku bukan nak sihirkan balik perempuan tu pun! Tadi aku minta pendinding dari bomoh Jawa tu!” Shuib sengih.

“Pendinding?” Danish tercengang.

Shuib hanya angguk.

“Pendinding untuk apa?”

“Supaya jelmaan perempuan tu tak datang ganggu aku dan aku akan selamat dari dibunuh perempuan gila tu!” Shuib ketawa terbahak-bahak.

“Kau jangan yakin sangat! Mana tahu bomoh tu saja nak mainkan kau!” Danish pandang Shuib yang masih ketawa.

Shuib tidak menjawab apa-apa sebaliknya pedal minyak keretanya ditekan semakin kuat dan meluncur laju menuju ke pusat bandaraya semula.

Sampai di Kuala Lumpur, Shuib menghantar Danish dahulu sebelum dia memandu pulang ke rumah. Hatinya mula lega. Segala apa yang berlaku pada Razif, Jefri dan Zamrul tidak akan berlaku lagi padanya. Pendinding yang diambil tadi akan dipakai sentiasa. Itu pesan bomoh tadi. Shuib senyum sendiri. Dia yakin jelmaan perempuan itu tidak akan berani datang mengganggunya lagi. Dia melihat tangkal hitam yang tergantung di lehernya. Sebaik selesai jampi mentera tadi, tangkal itu terus dipakai dan untuk keselamatan dirinya nanti, tangkal itu perlu diasap kemenyan setiap malam jumaat. Keretanya menderum laju menuju ke rumahnya yang terletak di sebuah kawasan elit di Taman Melawati.

Danish rebahkan tubuhnya di sofa. Terasa agak penat bila terpaksa menapak jauh ke dalam untuk sampai ke rumah bomoh itu tadi. Lehernya diurut seketika. Kaki dan lututnya pula terasa sangat lenguh. Pulang dari Sabak Bernam tadi, dia tidak banyak bertanya pasal bomoh itu. Sepanjang perjalanan pulang itu, Shuib hanya diam dan hanya menjawab mana yang perlu sahaja. Otaknya ligat memikirkan tindakan Shuib tadi. Ternyata Shuib begitu nekad buat semua itu walaupun dia tahu semua itu adalah syirik!

...bersambung

Bab akan datang:

Adakah rantai bomoh itu benar-benar membantu atau Shuib juga akan dibunuh?

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience