BAB 9

Horror & Thriller Completed 32488

Petang itu pertemuan mereka menemui jalan buntu. Masih tidak percaya apa yang telah berlaku. Tambah lagi dengan cerita terbaharu yang didengar tadi.

Seminggu berlalu. Selama seminggu itu tiada apa-apa yang pelik berlaku. Danish, Zamrul, Jefri dan Shuib melalui kehidupan biasa. Sibuk dengan kerja masing-masing. Danish sibuk dengan projek di Kajang yang sudah bermula. Zamrul pula sibuk dengan persidangan perakaunan yang tidak pernah habis. Shuib yang juga mempunyai klinik sendiri juga sibuk dengan pesakit yang sentiasa memenuhi klinik dua puluh empat jam yang dibuka bersama seorang lagi rakan kongsi. Jefri, jurutera kapal terbang, sibuk mengendalikan enjin dan apa-apa kerosakan bahagian kapal terbang di KLIA.

Tiada lagi gangguan telefon atau pun kes kematian yang serupa seperti Razif. Kehidupan mereka berempat sudah kembali seperti sediakala. Apa yang berlaku pada Razif sudah mula dilupakan.

Danish seperti biasa, selepas kerja dia akan menghabiskan masa di kelab malam bersama Jefri. Zamrul dan Shuib pula agak terbatas waktu mereka untuk melepak bersama. Tugas doktor yang sentiasa sibuk dengan pesakit dan tugas seorang akauntan yang selalu kena hadir persidangan membuatkan jarang Shuib dan Zamrul dapat bersama untuk lepak dan berhibur seperti dulu.

“Jef, aku dengar kau dah serius dengan Rozie tu?” Danish senyum. Sehingga ke hari ini hanya arwah Razif sahaja yang ingin serius dengan perempuan dan ingin melangkah ke gerbang perkahwinan.Dia teguk kopi ais yang dipesan tadi.

“Macam tulah..minggu depan aku nak bertunang. Dia tu anak kenalan ayah aku. Aku ni mana nak serius dengan mana-mana perempuan. Perempuan yang aku jumpa semuanya mudah sangat!” Jefri sengih.

“Betul tu. Selama ni pun, bila aku ajak keluar makan je, terus dia orang angguk. Padahal baharu je kenal tak sampai satu jam.” Danish ketawa.

Jefri turut ketawa. Menganguk-angguk mengiakan kata-kata Danish. Bagi mereka memang mudah sangat nak dapat perempuan. Tabur duit sikit sudah dapat satu malam!

“Jef, aku kena balik dah ni. Abang aku dah janji nak jumpa kat rumah nanti.” Danish mula minta diri.

Jefri angguk. Mereka berdua mula beredar dari situ.

KERETA BMW hitam milik Danish sudah mula memasuki ruang laman di banglo dua tingkat itu. Dia jeling kereta Toyota kelabu milik Danial. Kereta Mercedes papa juga turut tersadai di situ. Perlahan dia keluar dari perut kereta dan mula menapak ke dalam rumah. Kelihatan papa,mama dan Danial sudah menunggunya di sofa di ruang tamu.

Danish melabuhkan punggung sebelah Danial. Dia perhatikan wajah setiap mereka yang ada di situ. Ada riak serius di wajah mereka. Lama dia menunggu bicara dari mereka. Masing-masing masih diam membisu.

“Apa hal abang nak jumpa?” Akhirnya terpaksa Danish memulakan bicara.

“Kau ada rahsia apa-apa yang kami tak tahu?” Danial merenung kembarnya di sebelah.

“Rahsia?” Danish berpura-pura tidak faham.

“Ya. Abang dapat rasa kau ada rahsiakan sesuatu. Sebelum abang tanya banyak, baik kau ceritakan pada kami.” Danial mula mengugut.

“Rahsia apa? Tak ada apa rahsia pun! Apa yang abang merepek ni?” Danish berkerut kening. Dia pandang pula papa dan mama yang juga turut merenung tajam ke arahnya.

“Jangan nak sorokkan apa-apa dari kami.” Papa pula menyampuk.

“Rahsia apa papa? Danish tak ada rahsiakan apa-apa pun!” Danish sudah menyinga.

“Semalam, ada seseorang telefon papa. Dia kata dia tahu rahsia Danish dan dia nak Danish buat pengakuan terbuka sebelum apa-apa jadi nanti. Bila papa tanya rahsia apa, dia kata tanya Danish sendiri. Apa rahsia yang Danish cuba sembunyikan dari kami?” Suara papa sudah tegas.

Danish terdiam seketika. Siapa yang telefon papa? Apa yang dia tahu pasal rahsia tu? Aduih! Serabut otak aku ni!!

“Kenapa diam? Betul ke ada rahsia apa-apa?” Danial pula mencelah. Sudah banyak kali dia tanya Danish.

Danish masih diam. Masih berfikir macam mana hendak menjawab soalan yang begitu payah untuknya menjawab. Rahsia yang disimpan kukuh selama ini tidak akan terbongkar dengan mudah! Tidak! Dia perlu tahu siapa yang menelefon papa.

“Siapa yang telefon papa tu?”

“Itu tak penting. Sekarang ni Danish beritahu papa, betul ke ada rahsia apa-apa yang kami tak tahu!” Papa semakin geram.

“Mana ada papa! Kalau betul dia tahu, kenapa tak dia saja yang beritahu papa! Ni, main teka teki pulak!” Danish mula berdalih, cuba mencari alasan.

“Kau jangan nak biadap dengan papa Danish! Kalau kau betul-betul ada rahsia, kau beritahu sajalah! Apa kau dah bunuh orang ke apa??” Danial mengetap bibir.

Danish mencerlung. Kata-kata abangnya tadi sudah melampau! Aku bukan pembunuh!

...bersambung

Bab akan datang:

Siapakah yang menelefon papa Danish? Betulkah ada rahsia yang disembunyikan Danish?

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience