BAB 31

Horror & Thriller Completed 32488

“Dahlah...mari kita lakukan solat taubat. Ambil wudhuk. Lepas reda dan tenang sikit, cerita kat abang apa yang sebenarnya terjadi..” danial pujuk Danish yang sudah menangis teresak-esak.

Danish dipapah ke bilik air dan untuk pertama kalinya Danish melakukan solat zuhur bersama dengan Danial dan selepas itu mereka berdua menunaikan pula solat taubat

Malam itu, Danish mula merasa tenang. Betapa selama ini dia terlalu jauh tersasar dari landasan asal. Ternyata kembarnya begitu memahami dirinya yang sudah banyak berdosa. Danial sedikitpun tidak memarahi atau menengkingnya tadi selepas semuanya diluahkan kecuali yang satu itu. Ya, rahsia yang masih disimpan kemas dalam hidupnya dan kawan-kawan rapatnya yang lain. Tidak berani dia beritahu hal itu pada Danial. Dia tidak mahu dipersalahkan nanti jika rahsia itu dibongkar kepada Danial.

Usai solat isyak tadi, Danish masih di tikar sejadah. Menangis lagi mengenangkan semua dosa yang telah dilakukannya selama ini. Quran di atas rak yang hanya menjadi perhiasan selama ini dicapai perlahan. Dia mula membelek halaman pertama. Surah al-Fatihah dibaca penuh khusyuk. Kemudian beralih pula kepada surah Al-Baqarah. Tanpa sedar air matanya menitis laju. Terharu dan sebak bila mengenangkan dirinya masih boleh membaca dan mengalunkan ayat-ayat Allah lagi. Kalau ditakdirkan dia terus hanyut dalam dunia maksiat itu lagi, mungkin bagaimana untuk membaca ayat-ayat itu pun dia sudah lupa. Sekali lagi Danish meraup muka. Bersyukur kerana masih diberi peluang untuk bertaubat dan kembali ke jalan yang diredhai.

Telefon bimbitnya berdering kuat. Danish bingkas bangun. Sejadah dilipat dan diletakkan di atas katil. Dia jeling nama yang tertera di skrin telefon. Zamrul?

“Hello! Zamrul!! Kenapa ni?? Zamrul!!!” Danish menjerit kuat. Suara Zamrul di hujung talian sudah tersekat-sekat. Seperti dicekik. Danish cuba menghubungi Zamrul semula. Tidak berjawab.

“Zamrul!!!!”

Danial segera ke bilik Danish. Jeritan kuat dari bilik Danish memecah keheningan malam. Papa dan mama pula sudah ke luar negara semalam. Tinggal mereka berdua sahaja malam itu.

“Danish! Danish! Buka pintu ni!!” Danial mengetuk berkali-kali.

Pintu bilik dibuka.

“Kenapa Danish?” Danial terus bertanya sebaik pintu dibuka.

“Zamrul bang! Zamrul mungkin dalam bahaya!” Danish mengesat air mata.

“Jom! Cepat kita ke rumah dia!”Danial segera mengajak Danish. Tergopoh gapah mereka menuju ke kereta. Menderum laju kereta Toyota kelabu milik Danial membelah keheningan malam menuju ke Petaling Jaya.

*******

SEMENTARA ITU, di rumah teres setingkat, Zamrul masih berdiri di tepi dinding biliknya. Matanya terbeliak melihat kepulan asap di tengah-tengah biliknya. Asap itu mula merebak ke segenap ruang biliknya. Dia semakin rapat dengan dinding dekat dengan almari pakaian. Dia mula terasa lemas dengan asap yang sudah mula memenuhi ruang biliknya.

Zamrul berlari keluar dari bilik. Dia mengundur ke belakang bila perasan asap itu mengikutnya keluar dari bilik itu. Kini asap itu memenuhi pula ruang tamu. Jelas Zamrul melihat bentuk asap itu seakan tubuh seorang perempuan yang sedang berkepul-kepul berlegar di ruang tamu. Dia menelan liur berkali-kali.

“Si..siapa kau?” Zamrul beranikan diri bertanya walaupun dia sendiri tidak pasti apa sebenarnya yang berlaku.

Senyap. Asap itu dilihat masih berpusar di ruang tamu. Bau kemenyan mula memenuhi ruang tamu. Begitu menusuk hidung. Zamrul mula menekup hidung. Dia mula cemas. Seingatnya bila ada bau kemenyan seperti itu, mungkin ada makhluk halus di situ. Itu juga yang selalu diceritakan oleh nenek sewaktu dia kecil dulu.

“Ah! Persetan itu semua! Aku tak percaya benda karut ni!” Zamrul berkata sendiri, ingin menyedapkan hati. Dia masih memerhati kepulan asap yang berbentuk tubuh seorang perempuan yang masih berlegar di tengah-tengah ruang tamu pula.

Asap itu dilihat semakin menghampirinya. Semakin dekat. Zamrul terasa kakinya sangat berat untuk melangkah keluar dari rumah itu. Dia cuba angkat sekuat hati tapi masih tidak berganjak. Terasa ada batu besar menghempap kakinya ketika ini. Dia pandang lagi kakinya. Memang tidak ada apa pun. Sekali lagi dia cuba mengangkat kakinya untuk beredar dari situ, masih tidak berjaya. Asap itu semakin dekat dengannya. Zamrul cepat-cepat menutup mata. Bau kemenyan semakin kuat. Rasa nak muntah dan pening.

“Hai Zamrul...”

Zamrul pantas buka mata. Membuntang melihat apa yang berada di depannya. Dia genyeh mata berkali-kali. Mana tahu dia bermimpi atau mengigau. Tidak! Memang sah suara tadi milik perempuan yang berdiri di depannya sekarang ini.

“Si..siapa kau?”

...bersambung

Bab akan datang:

Apakah yang perempuan itu mahukan daripada Zamrul? Apakah kesalahan Zamrul?

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience