MALAM itu, Danial tidur di rumah orang tuanya. Dia perlu temankan Danish kalau apa-apa jadi nanti. Danish mudah patah semangat bila berlaku perkara yang dia tidak suka. Perkara yang terjadi pada Dr. Razif tidak boleh dianggap remeh.
Danial mula menatap skrin komputer riba. Semua foto yang diambil di tempat kejadian jenayah diperhatikan satu persatu. Setakat hari ini, sudah banyak kes yang dia kendalikan untuk mengambil gambar dan bahan berita termasuk yang terbaharu, kes kematian bunuh diri Dr. Razif. Sesekali dia menggeliat kecil. Lehernya dipusingkan ke kiri dan ke kanan bila terasa lenguh. Dia jeling jam di atas meja. Menghampiri dua belas tengah malam.
“Pergi!!! Jangan kacau aku!!!”
Danial tersentak. “Eh, itu suara Danish!”
Bergegas Danial melangkah ke bilik Danish. Berkali-kali dia mengetuk pintu. Masih tiada jawapan.
“Danish! Danish! Buka pintu ni!” Danial ketuk bertalu-talu.
“Abang...Jef..Jef..” Danish terus peluk Danial sebaik pintu bilik dibuka.
Danial masih terpinga-pinga. Jef? Siapa Jef? Dia biarkan Danish memeluknya dengan erat. Dia tahu Danish masih bersedih di atas kematian Dr. Razif, sahabat baiknya. Tadi suara menjerit Danish yang kuat jelas di telinganya.
“Danish...siapa Jef? Kenapa dengan dia?”Danial mula bertanya bila keadaan mula reda.
Danish tarik tangan Danial masuk ke dalam biliknya. Pintu bilik dikunci rapat. Mereka berdua duduk di birai katil.
“Jef, kawan saya. Tadi..saya ada terima call dari seorang perempuan. Dia pernah call saya dulu masa kematian Razif.” Danish mula cerita apa yang telah berlaku tadi.
Danial pula masih setia mendengar.
“Perempuan tu kata malam ni Jef akan mati bunuh diri. Dulu perempuan tu juga call saya dan dia cakap Razif mati bunuh diri di klinik. Saya takut la..” Danish tunduk.
“Sudah call Jef?” Danial juga sudah bingung.
Danish angguk.
“Jadi?”
“Dia tak jawab. Lepas perempuan tu call, saya terus call Jef banyak kali tapi tak jawab. Saya risau la.” Danish menekup muka.
“Tahu kat mana Jef tinggal?” Danial mula menelan liur. Turut risau.
Danish angguk lagi.
“Jom kita kena pergi ke rumah Jef sekarang. Cepat!!” Danial tarik tangan Danish yang sudah sugul di birai katil.
Mereka mula menaiki kereta Toyota kelabu milik Danial menuju ke rumah Jefri yang terletak di Kota Damansara. Kereta meluncur meredah suasana tengah malam. Sesekali Danial berpaling kepada Danish yang sudah kusut masai rambutnya. Riak Danish sudah berserabut. Pedal minyak ditekan semakin kuat.
Tiba di kondominium Dahlia, Danial parkir di luar kerana pengawal di pondok keselamatan tidak membenarkan kereta mereka masuk ke dalam kawasan kondominium. Terpaksa mereka menapak dari luar pagar ke pintu lif. Danial jeling lagi Danish yang sudah tidak bermaya. Nampak jelas di wajah Danish ada riak gelisah dan kebingungan.
Mereka mula menaiki lif. Butang nombor sebelas ditekan. Rumah Jefri terletak di tingkat sebelas di kondominium yang mempunyai lima belas tingkat itu.
“Yang mana satu rumah Jef?” Danial terus bertanya sebaik pintu lif terbuka di tingkat sebelas.
Danish hanya menarik tangan Danial ke arah sebuah unit rumah di hujung koridor di tingkat sebelas itu. Danial memerhati sekeliling. Memang kondo itu berjaga. Pokok bunga yang segar berderet diatur di sepanjang koridor dan di setiap pintu rumah disediakan ‘water cooler’ dan ‘water heater’. Memang nampak mewah.
Tiba di rumah hujung, Danish mula menekan loceng beberapa kali. Tiada jawapan. Dia tekan lagi sambil melaung memanggil nama Jefri. Masih tiada jawapan.
“Kau call dia.” Danial suruh Danish menghubungi pula Jefri.
“Tak jawab...” Danish semakin gelisah.
Mereka berdua mundar-mandir di depan pintu rumah Jefri. Sekali lagi Danish menghubungi Jefri. Masih tidak berjawab. Dia mula gelisah.
“Macam mana ni?” Danish sudah bingung. Dia pasti Jefri dalam bahaya.
“Cuba tanya guard kat bawah tu. Dia boleh buat apa-apa tak nak buka pintu ni?” Danial mula menyuruh Danish turun ke bawah semula.
Danish menapak semula ke pintu lif. Danial pula masih menunggu di depan pintu rumah Jefri. Sekali lagi dia menekan butang loceng. Masih tiada jawapan. Mundar- mandir Danial di depan pintu rumah Jefri. Dia masih memikirkan apa yang bakal berlaku.
“Entah-entah dia tidur kut?” Danial cuba sedapkan hati sendiri. Sekali lagi dia menekan butang loceng. Telefon bimbitnya mula berdering. Nombor Danish yang tertera di skrin.
“Ya Danish! Apa??”
Bergegas Danial menapak ke lif. Nasib baik sudah larut malam. Lif lengang. Sampai di bawah, dia terus ke tempat Danish. Kelihatan beberapa orang penghuni kondominium itu sudah berkerumun di tepi bangunan kondo itu dekat dengan tempat letak kereta.
...bersambung
Bab akan datang:
Mengapa ramai berkerumun di tepi kondominium itu? Apa yang telah berlaku?
Share this novel