BAB 26

Horror & Thriller Completed 32488

“Apa yang mama dan papa senyum-senyum ni?” Danial akhirnya bersuara. Dari tadi suasana di meja makan itu seperti kena tuba. Senyap semuanya.

“Papa dengar Danial dah ada teman istimewa? Betul ke?” Datuk Lukman jeling isterinya di sebelah kemudian beralih pula pada Danial.

Danial sengih. Oh itu rupanya yang mereka asyik senyum saja dari tadi. Dia jeling Danish yang masih mengelamun. Nasi dalam pinggan hanya dikuis. Tidak luak sedikit pun.

“Insya Allah papa, mama. Kalau semua dah okey nanti, Danial akan kenalkan dengan papa dan mama. Insya Alllah, kalau ada jodoh, tahun ni juga Danial nak masuk meminang.” Senyuman Danial semakin lebar.

“Alhamdulillah...dia kerja apa? Kat mana?” Datin Zaharah pula bertanya anak bujangnya.

“Dia sebenarnya pegawai kerajaan tapi dia juga penulis novel.” Teruja Danial bercerita kisah kekasih hati kepada orang tuanya.

“Oh really? Novelistla ni! Bagus! Sesuailah dengan Danial yang suka menyiasat dan jadi wartawan!” Datuk Lukman pula mencelah.

“Lebih kurang macam tulah papa.” Danial mula malu-malu.

“Danish,macam mana? Sudah ada?” Datin Zaharah berpaling pula pada anak bujangnya yang seorang lagi, saudara kembar Danial.

“Danish! Mama tanya tu!” Danial cuit lengan Danish yang masih mengelamun dari tadi.

“Hah? Apa dia mama?” Danish mendongak.

“Budak ni kalau dah mengelamun, tak ingat apa dah! Tak baik mengelamun depan rezeki.” Datuk Lukman geleng.

Danish sengih. Dia jeling Danial di sebelah, memberi isyarat apa yang ditanya oleh mama tadi.

“Mama tanya ni, Danish dah ada calon ke?” Ulang Datin Zaharah.

“Calon apa mama?” Danish masih terpinga-pinga. Memang tadi dia mengelamun jauh. Otaknya sarat dengan kejadian yang menimpa Razif dan Jefri. Tak lama lagi, giliran Zamrul.

“Laa..calon isteri la takkan calon pilihanraya pula!” Datuk Lukman geleng lagi.

“Oh...itu ke..tak ada lagi..” Danish kembali tunduk. Nasi di dalam pinggan disuap ke mulut. Memang selama ini dia tidak pernah serius dengan perempuan. Baginya perempuan hanya untuk berseronok sahaja. Sehingga ke hari ini tidak ada lagi perempuan yang berjaya membuatkan hatinya tertawan atau jatuh hati.

“Kenapa ni Danish....mama tengok sejak akhir-akhir ni Danish muram dan tak ceria. Masalah apa, cuba cerita dengan mama.” Datin Zaharah pula menyampuk.

“Mama tak tahu ke, kes kematian kawan rapat Danish?” Danial pula mencelah.

“Tahu apa?” Datin Zaharah tercengang.

Datuk Lukman dan Danial saling berpandangan. Sudah heboh orang bercerita kisah kematian Razif dan Jefri yang penuh misteri. Datin Zaharah boleh pula tanya soalan macam tu?

“Dr.Razif dan Jefri sudah meninggal lebih sebulan lepas.” Danial pandang mama dengan riak pelik.

“Hmm....kalau yang tu mama dah tahu. Apa yang peliknya?” Datin Zaharah mencebik.

“Mama...mereka bukan mati biasa tapi mereka tu bunuh diri!” Danish mula bersuara. Dari tadi dia hanya membiarkan sahaja keluarganya bersembang.

“Bunuh diri?” Datin Zaharah terkejut. Dia pandang Danish tidak berkelip. Anak bujang bongsunya itu memang berkawan dengan Razif dan Jefri.

“Awak ni, orang dah sampai ke bulan, awak baru terhegeh-hegeh nak merangkak naik jet!” Datuk Lukman senyum sengih. Memang isterinya selalu ketimggalan dalam apa jua perkara.

“Hish! Abang ni!” Datin Zaharah cubit lengan suaminya.

Danial dan Danish hanya senyum melihat gelagat kedua orang mereka. Memang dari dulu papa suka mengusik mama.

“Kalau Danish belum ada calon, mama dah ada calon untuk Danish. InsyaAllah, hujung minggu depan mama jemput dia makan malam kat rumah kita.” Datin Zaharah senyu lebar. Dia jeling suaminya di sebelah.

Danial turut senyum sambil mata melirik pada Danish yang sudah membuntang mendengar kata-kata mama tadi. Memang dia tahu dari riak muka Danish, tentu Danish tidak suka pilihan orang tua. Yalah lelaki macam Danish lebih suka mencari calon isteri sendiri. Tidak susah untuk Danish mencari bakal isteri. Teman wanitanya keliling pinggang. Tinggal pilih saja lagi. Kalau tanya mereka itu semua, rasanya semuanya sanggup menjadi isteri Danish.

“Suka hati mamalah...” Suara Danish sudah lemah. Nasi di dalam pinggan masih tidak luak.

Danial berkerut kening. Sikap Danish nyata sudah banyak berubah. Selalunya kalau soal permpuan atau calon isteri, Danish akan membantah habis-habisan tapi kali ini Danish seolah sudah mula putus harap. Lemah semangat untuk hidup. Mungkin di fikiran Danish sarat dengan persoalan kawan-kawannya yang sudah menyahut panggilan lllahi. Kalau kematian mereka secara biasa mungkin Danish boleh terima tetapi mereka mati dengan cara yang cukup misteri!

“Danish...dah la. Nanti abang akan tolong kau siasat apa yang berlaku. Makan cepat. Tak luak nasi tu.” Danial memujuk adik kembarnya yang sudah sugul sejak tadi.

...bersambung

Bab akan datang:

Mungkinkah akan ada petunjuk seterusnya yang diberikan kepada Danial?

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience