BAB 4

Horror & Thriller Completed 32488

Danish hanya mengangguk. Dia mengajak kawan-kawannya beredar dari situ. Mereka mula menaiki kereta menuju ke restoran mamak tadi. Kereta Zamrul masih di kawasan restoran tadi. Danish terus pulang ke rumah sebaik sahaja menghantar Zamrul ke restoran itu.

Tiba di rumah, papa dan mama sudah lama tidur. Hanya Mak Jah sahaja yang masih sibuk mengemas di dapur.

“Mak Jah belum tidur lagi?” Tegur Danish. Dia jeling jam. Sudah hampir satu setengah pagi.

“Belum..ada sikit lagi ni.” Mak Jah senyum. Dia menghabiskan membasuh pinggan dan mengelap meja makan sebelum masuk tidur.

Danish masih termenung di meja makan. Segelas air kosong yang diambil dari peti sejuk tadi diteguk seketika. Otak ligat memikirkan kematian Razif yang secara tiba-tiba. Apa yang memeningkan lagi, panggilan dari seorang perempuan yang tidak dikenali tadi. Perempuan itu ketawa terbahak-bahak memberitahu kematian Razif. Bila diingatkan kembali kejadian yang baharu sahaja berlaku tadi, dia mula rasa seram dan takut. Itulah pertama kali dia menerima panggilan pelik dan benar seperti itu.

Sekali lagi telefon bimbitnya berdering kuat mengejutkannya dari lamunan. Danish jeling nama yang tertera di skrin telefon. Sah! Nombor yang sama yang menghubunginya tadi. Perlahan dia dekatkan telefon di telinga.

‘Kau sudah tengok bukan? Kau tunggu giliran kau dan kawan-kawan kau!!’

Telefon bimbitnya terjatuh ke atas meja. Suara ketawa dari hujung talian jelas menerjah ke lubang telinga. Muka Danish semakin pucat. Dia terkedu di kerusi. Banyak kali dia menelan liur. Peluh semakin laju menitik. Perempuan itu sudah mula mengugutnya pula. Danish bangun perlahan dan mula menapak ke singki. Dia membasuh muka beberapa kali. Lama dia termenung di tepi singki. Kata-kata perempuan tadi masih terngiang-ngiang di telinga.

Danish melangkah lemah menaiki anak tangga ke tingkat atas rumah banglo dua tingkat itu. Dia menapak ke biliknya. Sempat dia menjenguk bilik Danial, kembarnya yang dilahirkan dua puluh tujuh tahun yang lalu. Walaupun dilahirkan sebagai kembar tidak seiras tetapi ramai yang mengatakan dia dan Danial mempunyai wajah yang agak seiras. Danial hanya lima minit tua darinya. Semua kerja dilakukan bersama. Dari hobi sehinggalah kepada aktiviti sukan. Cuma selepas tamat SPM, dia dan Danial mula berpisah. Danial melanjutkan pelajaran di universiti Malaya dan dia pula menyambung pelajaran di Universiti Utara Malaysia. Namun begitu minat mereka tetap sama. Mereka sama-sama mengambil jurusan kejuruteraan.

Di bilik, Danish merebahkan tubuhnya di atas katil. Mata masih menala ke siling putih. Segala yang terjadi pada Razif cukup membuatnya terkedu. Entah motif apa perempuan itu memberitahunya semua itu. Dari kata-kata perempuan itu, sudah jelas yang dia mempunyai motif membunuh Razif. Dia mungkin terlibat secara tidak langsung dalam kes kematian Razif.

“Pelik..kenapa Razif bunuh diri? Macam mana perempuan tu tahu yang Razif mati bunuh diri?” Danish masih berfikir. Sarat di benaknya dengan persoalan yang tidak mungkin dapat dijawab dengan mudah.

“Macam mana perempuan tu tahu aku sudah tengok kejadian tu?” Danish menelan liur. Mungkin perempuan itu ada sekali semasa dia sampai di tempat kejadian.

Lampu bilik ditutup.

Pagi lagi Danish sudah bangun dan bersiap untuk ke tempat kerja. Dia tidak perlu menyesakkan otaknya dengan kejadian malam tadi. Selepas bedah siasat ke atas mayat Razif nanti, dia sudah berkira untuk menziarahi keluarga Razif yang sudah tentu akan terkejut menerima berita kematian Razif yang sungguh tidak masuk akal. Razif dikatakan membunuh diri kerana masalah tekanan kerja. Setahunya, Razif bahagia dengan kehidupan yang dilaluinya malah tidak lama lagi Razif akan bertunang.

“Mama, Danish pergi dulu.” Danish mula mencium tangan Datin Zaharah.

“Tak sarapan dulu ke?”

“Tak, abang mana? Dia balik tak semalam?” Danish melihat sekitar ruang tamu.

“Entah! Dia kan suka tinggal di rumah pangsa dia tu!” Datin Zaharah mula duduk menikmati sarapan yang dibuat oleh Mak Jah.

Danish hanya senyum. Dia faham dengan memek muka mama yang tidak suka kembarnya tinggal berasingan. Papa pula sibuk menyuruh Danial bekerja di syarikat mereka di Mutiara Damansara. Sejak Danial terlibat dengan penerbitan majalah di universiti dulu, Danial seolah suka melibatkan diri dalam dunia penyiasatan sehingga sanggup menjadi wartawan sambilan di bahagian jenayah di sebuah syarikat media. Malam tadi, Danial mendapat arahan untuk mengambil gambar di tempat kejadian dan kesemua gambar itu akan diserahkan kepada pihak polis untuk simpanan. Bermakna Danial secara tak langsung sudah menjadi sebahagian warga polis dalam setiap kes kematian yang berlaku di negara ini.

Danish mula menaiki kereta BMW hitamnya menuju ke Mutiara Damansara. Dia perlu berhati-hati sekarang ini.

...bersambung

Bab akan datang:

Adakah mereka semua mempunyai musuh yang mahukan mereka mati?

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience