BAB 35

Horror & Thriller Completed 32488

Seminggu berlalu. Bedah siasat ke atas mayat Zamrul sudahpun selesai dilakukan dan jenazah Zamrul sudah selamat dikebumikan di sebuah tanah perkuburan di kampung Zamrul di Kuala Selangor. Danish, Shuib dan Danial sempat menghadiri pengebumian jenazah Zamrul dan sedekahkan al Fatihah. Sejak berita kematian Zamrul tersebar, keluarga Zamrul sering menjadi bahan ejekan masyarakat setempat. Mereka menuduh Zamrul mengamalkan ilmu sihir sehingga dibalas sedemikian rupa. Rupanya kes Zamrul juga diklasifikasikan sebagai kes misteri dan bunuh diri kerana tiada senjata ditemui di tempat kejadian dan tiada juga senjata atau apa-apa bukti ditermui dari beberapa orang yang disyaki dalam kes kematian Zamrul.

“Pakcik...sabarlah pakcik. Allah lebih sayangkan Zamrul.” Danish menghampiri ayah Zamrul yang sudah termengguk di kubur Zamrul yang masih merah.

“Anak pa kcik tak ada musuh dan dia tidak pernah amalkan apa-apa yang pelik. Ini semua fitnah!”

Danish usap bahu ayah Zamrul yang sudah menangis di kubur anaknya. Dia faham apa perasaan seorang ayah yang kehilangan anak sulung yang menjadi harapan keluarga. Zamrul adalah satu-satunya anak lelaki di dalam keluarganya.

“Pedulikan apa orang kata, yang penting kita selalu sedekahkan doa buat arwah.” Danial pula mencelah. Hiba dan sebak melihat keluarga Zamrul yang berduka.

Dari cerita orang kampung dan jiran-jiran sebelah rumah sewa Zamrul, mereka mengatakan Zamrul mempunyai ilmu hitam. Jiran-jiran selalu melihat Zamrul bercakap seorang diri pada waktu tengah malam dan selepas itu menjerit terlolong. Kadang-kadang Zamrul dilihat termenung dan tak akan bercakap dengan sesiapa bila ditegur. Mungkin perubahan sikap itulah yang menyebabkan Zamrul dituduh gila dan mengamalkan ilmu sihir dan mungkin sebab itu jugalah keadaan mayat Zamrul dilihat pelik dan penuh misteri.

“Pakcik, kami minta diri dulu.” Danish bersalam dengan ayah Zamrul. Begitu juga Shuib.

Danial masih bersembang dengan ayah Zamrul.

Danish dan Shuib mula menapak ke kereta semula. Sebelum beredar, sekali lagi Danish melihat kesedihan ayah Zamrul meratapi kematian Zamrul yang meninggal dalam keadaan yang sungguh pelik dan mengerikan. Masih jelas terbayang di mata kejadian malam itu. Dia sendiri tidak sanggup melihat keadaan Zamrul ketika itu tambah lagi ketika Zamrul masih tinggal nyawa-nyawa ikan.

“Danish, aku takut la. Sekarang ni tinggal kita berdua je..” Shuib berkata perlahan. Matanya liar memandang sekitar perkuburan itu. Bimbang ada telinga yang mendengar. Danial pula diperhatikan masih berada di sebelah ayah Zamrul di kubur arwah.

“Aku tahu...jadi apa kita nak buat sekarang ni?” Danish sandar di kereta. Dia betulkan songkok di kepala yang hampir melurut.

“Aku rasa semua yang berlaku ni, perempuan tu yang punya angkara. Kalau bukan dia, takkan kita berlima je yang jadi target dia. Kau sendiri tahu kan apa yang telah kita buat pada perempuan tu dulu.” Shuib masih berkata perlahan.

Danish terdiam sektika. Memang apa yang dikatakan oleh Shuib ada benarnya. Hanya mereka berlima saja yang diganggu dan diancam dengan kematian. Bermula dengan Razif, kemudian Jefri, lepas itu Zamrul. Mangsa seterusnya sudah tentu dia dan Shuib. Apa yang masih menjadi persoalan adalah siapa dulu yang dikejar antara dia dan Shuib. Yang pasti mereka berdua akan menjadi mangsa seterusnya.

“Cuba kau tengok, kematian Razif, Jef dan Zamrul, semuanya penuh misteri. Tidak ada bukti kukuh yang dijumpai yang mengaitkan mereka mati dibunuh. Semuanya diklasifikasikan sebagai kes bunuh diri. Pihak hospital pula buat kesimpulan, mati mengejut! Kau tak rasa pelik ke?” Shuib sudah pucat. Dia semakin gelisah. Kini hanya tinggal dia dan danish sahaja lagi yang bakal menjadi mangsa bunuh diri!

Danish angguk-angguk.

“Shuib..malam tu sebenarnya aku dan abang aku ada pergi ke sana. Selepas aku terima panggilan dari Zamrul, aku terus ajak abang aku ke rumah dia tapi kami sudah terlambat. Zamrul sudah nazak masa tu. Kau tahu, Zamrul sempat beritahu aku sesuatu...” Danish terhenti kata-kata seketika. Dia jeling Shuib yang masih memandangnya tidak berkelip.

“Apa?”

Danish melepaskan keluhan sebentar sebelum menyambung semula kata-katanya tadi.

“Masa aku sampai tu...dia seolah menahan sesuatu dari terus menyeksanya. Dengan suara tersekat-sekat dia cuba beritahu aku ada sesuatu sedang menyeksanya tapi aku tak nampak apa-apa. Aku nampak tangan Zamrul memegang lehernya sendiri seolah Zamrul sendiri yang mencekik dirinya sendiri. Habis saja dia beritahu aku, aku tengok tangannya terus mencekik lehernya semakin kuat. Aku nak tolong tapi aku tercampak di tepi dinding. Masa tulah aku tengok lidah Zamrul sudah terjelir panjang.” Danish mula berterus terang apa yang dia lihat pada malam kejadian itu.

...bersambung

Bab akan datang:

Siapakah yang menyihir Zamrul sehingga dia membunuh dirinya?

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience