BAB 16

Horror & Thriller Completed 32488

“Betul tu. Cuma aku masih keliru sikit, dia tu orang melayu ke apa?”Danial mula berminat untuk mengetahui kisah selanjutnya mengenai gadis misteri itu. Siasatannya dulu tidak sampai ke penghujung. Sebaik tamat belajar, cerita gadis itu turut terkubur.

“Aku rasa dia ada darah kacukan. Mungkin melayu campur cina, atau mungkin cina campur India. Dia bukan melayu tulen, aku pernah dekat dengan dia dulu. Aku rasa dia tu seorang gadis yang cantik sebenarnya. Kalau tak kerana dia gila, rasanya ramai yang nak mengurat gadis tu.” Johari mula membayangkan wajah Irene yang sebenar. Selama mereka berdua berada di kampus, tidak pernah sekalipun mereka melihat gadis itu bersihkan mukanya. Muka gadis itu selalu diconteng dengan gincu dan alat solek lain yang boleh ‘mencacatkan’ wajah cantik gadis itu. Sampai pelajar lain sering mengejek gadis itu tidak kira di mana pun. Malah di papan putih untuk pelajar menampal iklan apa jua kenyataan di situ pun menjadi tempat untuk menghina gadis itu dengan tulisan-tulisan yang cukup meloyakan bila membacanya.

“Aku ingat nak siasat balik la gadis tu. Mana tahu aku boleh sambung semula cerita aku semasa di universiti dulu. Ramai juga yang merungut sebab di ruangan slot kehidupan dalam majalah UNIK tu macam tergantung. Takkan aku nak reka cerita sendiri. Irene tu pun dah hilang entah ke mana selepas tamat belajar.” Danial sedikit mengeluh.

“Bagus juga tu Dan. Kalau kau buat novel lagi bagus. Aku akan jadi orang pertama yang baca novel kau!” Johari pula ketawa kali ini.

“Bukan baca saja, kau kenalah beli!” Danial turut ketawa.

Mi goreng yang dipesan baharu tiba di meja. Joe mula menikmati dengan penuh berselera. Dari petang tadi dia tidak mengisi perut.

“Emm..back to our topic before this, maklumat apa yang kau nak beritahu aku?” Danial mula bertanya.

Johari menyeluk poket seluarnya dan menghulurkan sekeping kertas kepada Danial.

“Ni, aku terima nota tu pagi semalam, masa aku nak keluar dari rumah aku. Nota tu dimasukkan ke dalam peti surat aku.” Joharimenopang dagu sambil mata menala ke arah Danial.

Danial mula membaca nota yang diberikan oleh Joe tadi. Satu persatu apa yang tertulis dia atas kertas sekeping itu dibaca. Dia mula berkerut. Riaknya sudah keliru.

“Kenapa? Kau tahu siapa yang hantar? Aku tengah pening sekarang ni. Nota tu macam nak beritahu aku yang satu hari nanti, akan ada satu pembunuhan berlaku.” Johari menjelaskan kandungan nota yang diterimanya tanpa disuruh.

“Hmm...aku pun ada terima nota macam ni tapi dia kata satu pembunuhan sudahpun berlaku. Siang tadi, aku ada pergi ke satu rumah. Aku terima sekeping nota macam ni juga. Sekejap.” Danial capai beg sandangnya dan mengambil sesuatu dari poket beg. Sekeping nota dihulur kepada Johari.

Johari hanya melihat sekilas apa yang tertulis di atas kertas sekeping yang telah dilipat itu.

“Menurut nota tu, dia mengatakan di rumah tu ada satu pembunuhan kejam. Dia kata polis pun belum tahu lagi. Jadi aku nakkan kepastian, aku pergi seorang diri mengikut alamat yang diberi. Bila aku sampai di sana, tiada apa yang berlaku.Tiada mayat. Tiada darah.” Danial meneguk lagi kopi o panas perlahan-lahan.

Muka Johari sudah berkerut. “Kau pasti alamat ni?”

Danial angguk. “Itu yang ditulis di situ.”

Johari letak sudu dan garfu di tepi pinggan. Dia baca dengan penuh teliti apa yang tertulis di atas kertas itu. Mukanya berkerut-kerut.

“Macam mana dia tahu ada pembunuhan di rumah tu?” Johari mendongak semula ke arah Danial.

“Itu yang aku kena siasat tu sebab sebelum ni apa yang saja maklumat yang dia beritahu aku semuanya betul. Kau ingat tak kes seorang doktor lelaki yang ditikam dengan alat pembedahan di klinik?” Danial pandang Johari tidak berkelip.

“Hmm..ya aku masih ingat.”

“Aku dapat maklumat dari dia la. Bila aku pergi ke tempat kejadian, memang aku nampak doktor tu tinggal nyawa-nyawa ikan masa tu. Pembantu klinik pula semuanya tak ada. Sempat doktor tu beritahu aku yang dia kenal siapa pembunuh tu. Belum sempat aku tanya lagi, dia sudah mati. Lepas tu baharu kereta polis sampai. Dan aku nampak juga pembantu klinik tu berlari masuk ke dalam klinik melihat keadaan doktor tu.” Danial putarkan kembali kisah sebulan yang lalu. Kematian Dr. Razif yang mengerikan. Sampai sekarang pembunuh doktor itu tidak berjaya dikesan dan ditangkap.

“Ya..aku ingat. Kes tu masih menjadi tanda tanya. Tiada saksi. Aku rasa polis pun ada panggil kau kan untuk siasatan?” Johari pandang Danial yang menghabiskan kopi o panas yang sudah tinggal separuh.

...bersambung

Bab akan datang:

Adakah Danial memberitahu tentang maklumat yang diterimanya daripada seseorang itu?

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience