BAB 42

Horror & Thriller Completed 32488

“Betul?” Danish semakin pelik. Selalunya bila sudah mengaku begitu, ramai perempuan akan menjauhkan diri dan tidak akan menjadikan orang sepertinya sebagai suami.

“Malah saya bersyukur kerana awak telah dipilih oleh Allah untuk bertaubat dengan sebenar-benar taubat. Dulu pun saya akan terima bekas tunang saya tu jika dia benar-benar insaf dan bertaubat tetapi sayang dia masih meneruskan perkara tu. Jadi, kes awak ni, saya terima awak seadanya. Sepatutnya saya yang tanya awak soalan itu. Awak sanggup terima saya yang pernah jadi sasau dan gila?” Irene pula lontarkan soalan yang sama kepada Danish.

Danish hanya senyum hambar. Sasau dan gila gadis itu tak akan sama dengan dirinya yang terlalu banyak dosa dan maksiat. Jauh beza dirinya kalau hendak dibandingkan semua itu.

“Awak lebih bernasib baik. Kalau awak gila sekarang ni sekali pun, kalau itu jodoh yang ditetapkan oleh Allah kepada saya, saya redha kerana saya tahu saya terlalu banyak dosa. Siapalah saya..” Danish mengakui hakikat dirinya yang sudah lama hanyut dalam dunia maksiat.

Mereka berdua serentak berpaling ke arah runag tamu bila dipanggil. Danish dan Irene beriringan berjalan masuk ke ruang tamu dan turut sama berbual dengan mereka yang lain. Dalam perbualan ringkas dan mesra itu, kedua belah pihak sudah membuat keputusan untuk menjodohkan danish dengan Irene dan majlis pertunangan akan diadakan dalam masa yang terdekat.

Danish dan Irene pula hanya menerima apa jua keputusan dari orang tua mereka. Danish masih memerhati tingkah Irene yang nyata begitu tabah mengharungi hidup. Apakah aku juga setabah Irene dalam menempuh hidup yang penuh dugaan ini? Apakah aku mampu bertahan dengan semua ini setelah apa yang berlaku kepada kawan-kawan rapatnya. Razif, Jefri dan Zamrul, semuanya sudah kembali kepada pencipta sebelum sempat bertaubat dan kini tinggal aku dan Shuib. Dia mula resah bila memikirkan apa yang bakal berlaku nanti. Apakah Irene akan menerimanya juga jika perkara seperti itu terjadi padanya nanti?

********

Majlis pertunangan Danish dan Irene dilangsungkan dengan sederhana. Itu kehendak Irene dan Danish sendiri walaupun kedua belah pihak mampu mengadakan majlis yang mewah. Danish pandang kalendar. Sudah seminggu dia menjadi tunang Irene. Sesekali dia meraup muka. Bimbang perkara buruk menimpanya tidak lama lagi kerana dia tahu gilirannya akan sampai juga nanti. Tunggu masa dan ketika sahaja.

“Apa yang termenung panjang tu?”

Danish menoleh. Danial dilihat sudah menapak ke arahnya.

“Oh abang...jadi tak kita pergi Kampung Keladi?” Danish senyum. Dia perlu ke sana secepat mungkin dan cari semula gadis itu dan keluarga gadis itu. Dia perlu minta maaf atas semua yang berlaku dulu.

“Jadi la. Bila nak pergi?” Danial melabuhkan punggung sebelah Danish di birai katil.

“Hari ni pun boleh. Baru pukul lapan pagi kan? Hulu Perak tu sekejap je. Tak sampai tiga jam pun. Lagi pun hari ni kan hari minggu.” Danish perhatikan semula kalendar tadi.

Danial menganguk-anguk. “Macam mana dengan Shuib?”

“Entahlah bang. Dia tak nak ikut. Dia kata takut nak berdepan dengan perempuan tu dan keluarga perempuan tu. Dia lebih suka balas balik apa yang telah dibuat oleh perempuan tu.” Danish tunduk. Itulah yang dikatakan oleh Shuib dulu masa hari pengebumian arwah Zamrul dulu.

“Balas?” Danial tidak faham.

“Ya..dia nak guna bomoh untuk balas semula. Dia kata kalau perempuan tu boleh guna ilmu sihir, dia juga boleh balas dengan ilmu sihir!” Danish mengetap bibir.

“Itu kan syirik! Nauzubillah! Segala kejahatan yang kita terima biarlah Allah saja yang membalasnya nanti. Kalau orang tu terlepas di dunia ni, dia tidak akan terlepas di akhirat kelak. Janganlah kau pun nak ikut sama dengan Shuib tu!” Danial jeling tajam Danish yang masih melihat kalendar.

“Abang ni! Saya masih waras lagi la! Saya tahulah saya ni banyak dosa tapi saya tak akan sampai gadaikan akidah saya untuk itu!” Danish turut menjeling tajam abang kembarnya.

“Dah la! Jom kita pergi.” Danish bingkas bangun dan mula mengemas barang.

Danial juga turut sama mengemas barangnya.

Pagi itu, mereka berdua mula menaiki kereta menuju ke utara tanahair. Meredah lebuhraya PLUS.

Sepanjang perjalanan, Danial perasan riak Danish pucat sejak dari rumah lagi. Ada rasa takut dan gelisah. Kalau aku pun, aku akan berperasaan macam Danish juga. Bukan senang untuk mengaku di depan orang yang telah kita aniaya. Silap haribulan, kita juga yang akan dibelasah atau diapa-apakan nanti. Itu semua kemungkinan yang akan berlaku.

...bersambung

Bab akan datang:

Adakah Danish benar-benar sudah bersedia menceritakan apa yang berlaku dahulu?

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience