BAB 45

Horror & Thriller Completed 32488

“Tok pun tak pasti. Tak baik menuduh orang yang kita tak pasti. Masa tu jenuh jugalah kami tanya kat budak perempuan tu, dia tak nak cakap apa-apa pun. Jadi kami pun tak boleh buat apa. Kalau kami tahu siapa yang punya angkara, tentu kami dah tangkap dan serah pada pihak polis. Siapa kami untuk menghukum mereka tu semua?” Tok Ketua mengeluh seketika. Mengingati peristiwa itu samalah juga seperti membuka pekung di dada sendiri. Memburukkan nama kampung sendiri.

Danish menarik nafas lega tetapi dalam masa yang sama dia masih gelisah. Gadis itu sudah hilang dari kampung itu.

“Kenapa tanya pasal keluarga tu?” Tok Ketua mula kembali ke topik asal.

“Err...kawan saya yang jadi anak angkat pada keluarga tu terambil sesuatu dulu. Dia lupa nak pulangkan. Sekarang kawan saya tu dah meninggal, jadi saya datang ni mewakili pihak dia untuk serahkan benda tu.” Danish mula berbohong. Terpaksa!

“Oh...nampaknya hajat kawan Danish tu tak kesampaian la. Mereka dah lama tak ada di kampung ni.” Tok Ketua pandang Danish dan Danial dengan wajah sayu.

Masing-masing diam seketika. Melayan perasaan sendiri. Danish masih memikirkan apa kesudahan kisah hidupnya nanti. Tentu gadis itu akan meneruskan niatnya untuk membalas dendam padanya dan Shuib. Razif , Jefri dan Zamrul sudahpun meninggal dunia dan sudah terbalas dendam gadis itu pada mereka bertiga.

“Err...tok, kami minta diri dulu.” Danial bingkas bangun.

“Eh, tak bermalam kat sini ke? Esok ada kenduri. Tak pun minumlah dulu. Isteri pakcik dah buat air tu ha..” Tok Ketua tuding ke arah isterinya yang sedang melangkah ke arah mereka sambil menatang dulang yang berisi kopi o panas dan sepinggan kuih.

Danial terpaksa duduk semula. Dia dan Danish mula menikmati juadah yang sudah dihidangkan. Usai menjamu selera sekali lagi Danial minta diri. Danish hanya mengikut rentak Danial.

“Danial, kita ke sungai sekejap boleh tak?” Danish ajak Danial ke sungai yang terletak di hujung kampung.

Danial hanya angguk. Mereka berdua mula berjalan menelusuri jalan kecil menuju ke sungai di hujung kampung. Danish hanya memerhati sekitar kawasan jalan masuk ke sungai. Kiri kanan sepanjang jalan menuju ke sungai itu sudah terang ditebas. Jalan kecil tadi juga sudah tidak bersemak samun seperti empat tahun dulu. Sudah banyak perubahan.

Tiba di sungai, Danial dan Danish mula mengambil udara segar di situ. Bunyi kicauan burung dan unggas jelas bersahutan. Deruman air yang mengalir juga sungguh menenangkan jiwa. Danish senyum melihat Danial sudah mula masuk ke dalam sungai melalui celah batu yang pelbagai saiz. Dia turut mengikut Danial yang sudah mula duduk di salah satu batu besar di situ.

“Cantik tempat ni. Kalau tahu tadi, abang dah bawa baju lebih. Mandi best juga ni!” Danial sudah teruja. Dia sentuh air yang mengalir dengan jarinya.

Danish masih memerhati sekitar sungai. Masih seperti dulu. Tenang dan bersih. Hanya penduduk kampung sahaja yang mandi- manda di situ. Tentu sungai itu tidak tercemar dengan segala sampah. Pernah dia pergi ke tempat perkelahan sungai yang lain. Kotor dan penuh dengan sampah sarap yang dibuang pengunjung yang datang.

Matanya tertancap pada satu kawasan yang terselindung di sebalik batu besar dan pokok tinggi yang lebar batangnya. Di situlah segalanya berlaku dulu. Dia melepaskan keluhan berat.

“Apa yang kau fikir?” Danial sentuh bahu Danish.

Danish hanya senyum kelat. Rasanya tak terluah untuknya menceritakan detik kejadian itu. Dari cerita Tok Ketua tadi pun sudah cukup membuatkan hatinya rasa sebak dan bersalah. Bayangkan gadis itu ditimpa malang yang bertimpa-timpa.

“Pasal apa yang diberitahu tok ketua tadi, gadis tu diperkosa. Abang rasa, itu tentu kau dan kawan-kawan kau yang buat semua tu kan?” Danial pandang Danish tidak berkelip.

Danish melepaskan keluhan seketika. Dia menarik nafas dan dihembus perlahan.

“Itulah yang sebenarnya saya nak beritahu abang masa di pejabat dulu. Segalanya bermula di kawasan tu.” Danish menuding ke arah batu besar di depannya.

Danial turut berpaling melihat batu besar itu. Di sebalik batu besar itu ada kawasan lapang dan di kelilingi pokok tinggi.

“Masa tu.. kami berlima datang mandi di sini. Waktu tu sudah hampir pukul lima petang. Sedang asyik kami mandi-manda di sini, budak perempuan tu datang membawa bekalan makanan. Dia melaung nama Razif.

...bersambung

Bab akan datang:

Bagaimanakah keadaan gadis itu sekarang? Apa yang ingn mereka lakukan sekarang?

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience