BAB 58

Horror & Thriller Completed 32488

“Ichah??” Danish menelan liur berkali-kali.

Kali ini dia pasti, gadis itulah yang dilihatnya dulu di tempat letak kereta di depan pejabatnya. Danish segera menghampiri gadis itu yang sudah selesai melayan peminatnya dan juga selesai menurunkan autograf.

“Ichah...” Danish beranikan diri menegur.

Irina mendongak. Membuntang melihat Danish tercegat di depannya. Dia mula pucat.

“A..awak?” Irina bingkas bangun.

“Ya saya. Boleh kita cakap sebentar?” Danish pandang sekeliling.

Irina hanya mengangguk. Dia dan Danish mula menapak ke sebuah restoran di pusat beli belah itu.

Danish masih memerhati Irina yang semakin cantik dan dewasa. Tidak lagi seperti dulu. Lebih kepada kebudak-budakan. Irina dilihat sudah tunduk. Air mata mengalir deras di pipinya.

“Ichah...saya minta maaf atas apa yang telah terjadi. Saya juga minta maaf bagi pihak kawan saya. Saya betul-betul menyesal. Sudah lama saya cari awak untuk minta maaf. Saya pergi ke kampung awak tapi tok ketua kata awak dah pergi dari kampung tu.” Danish mula bersuara setelah mereka diam dari tadi.

“A..apa yang tok ketua beritahu?”Irina mencerlung.

“Pasal keluarga awak, tok ketua hanya beritahu awak dan keluarga awak sudah berpindah dari kampung tu. Itu saja. Bila saya tanya pindah ke mana, tok ketua pun tak tahu. Ichah, saya rasa bersyukur sangat kerana dapat berjumpa awak di sini. Rupanya Allah mendengar dan makbulkan doa saya selama ni. Ichah..saya nak minta maaf dengan awak. Sungguh!” Danish pandang Irina yang masih tunduk. Titis jernih masih mengalir deras di pipi gadis itu.

“Awak tak bersalah. Awak tak rogol saya pun masa tu. Malah awak yang menutup tubuh saya dan selamatkan saya. Saya malu dengan awak, dengan orang tua saya dan orang kampung.” Irina mula bercerita.

“Tapi macam mana Razif boleh mulakan semua tu? Setahu saya, awak begitu jaga pergaulan awak. Walaupun saya tahu, awak banyak kali keluar dengan Razif tu di tepi sungai tu.” Mata Irina diperhatikan lagi. Wajah gadis itu sudah lain.

Irina tunduk dan cuba menahan tangis. Air mata diseka perlahan. Dia menarik nafas seketika. Danish yang masih duduk di depannya ditatap lama. Lelaki itu memang tidak bersalah. Memang dia tahu sikap dan perangai lelaki itu yang juga tidak ubah seperti lelaki lain tetapi hari kejadian itu, Danish tidak turut serta melakukan perkara terkutuk itu.

“Hari tu, sebelum ke sungai, Razif ada pesan pada saya yang dia nak berkelah di sungai. Dia suruh saya bawa makanan sekali. Masa di sungai tu, selepas makan bersama Razif, saya rasa kepala saya seperti pening dan rasa seperti separuh sedar. Lepas tulah Razif ajak saya mandi dan...” Irina tunduk. Air matanya semakin laju menitis.

“Saya faham apa yang berlaku selepas itu...dan saya tahu kenapa awak jadi macam tu. Sebelum tu, Razif ada beritahu saya yang dia nak awak serah diri. Jadi hari tu, Razif ada tunjuk sejenis ubat yang dibawanya. Saya rasa itu mungkin ubat khayal. Sebenarnya saya ingin melarang awak pergi ke sungai tu tapi saya tengok awak terlalu teruja bertemu Razif. Awak cintakan Razif ke?” Danish masih memerhati Irina yang sudah kemerahan matanya.

“Saya hanya suka saja, bukan cinta tapi orang tua saya yang menyuruh saya layan Razif tu. Kalau boleh mereka nak Razif tu jadi menantu mereka.” Irina berterus terang.

“Apa nama sebenar awak? Ichah ke Irina?” Danish bingung. Setahunya gadis itu dikenali dengan nama Ichah semasa di kampung dulu.

“Dua-dua bukan. Ichah nama timangan saya di kampung. Irina nama pena saya sebagai penulis. Nama sebenar saya, Izara Rina.”

“Apa??” Danish menelan liur.

Irina tercengang dengan riak Danish.

“Jadi..jadi awaklah adik Johari? Kawan abang saya?”

Irina terdiam. Kalaulah Danish tahu, Johari yang membunuh semua kawan rapatnya dulu, sudah tentu Danish akan mengamuk dan menghinanya.

“Err..jadi Danial tu abang awak?” Irina berpura-pura tidak tahu. Sebenarnya dari dulu lagi dia sudah dapat mengagak yang Danial ada kaitan dengan Danish kerana wajah mereka berdua agak seiras.

Danish mengangguk. “Jadi selama ni awak teman wanita Danial?”

Irina tunduk. Pertanyaan Danish tidak dijawab.

“Saya tak pernah anggap saya teman wanita dia kerana saya sedar siapa saya. Danial berhak mendapat perempuan yang jauh lebih baik dari saya.” Irina merendah diri lagi. Rasa dirinya tidak layak untuk sesiapa pun.

“Jadi sebab tulah awak hantar mesej tu? Awak tahu tak, abang saya berubah sekelip mata selepas awak tak datang hari tu. Dia jadi pendiam dan hanya bercakap apa yang penting saja. Saya yang bersusah payah memujuknya kembali kepada Danial yang asal.” Danish mengetap bibir.

...bersambung

Bab akan datang:

Adakah Irina tidak akan berkahwin dengan Danial walaupun dia telah mengetahui semuanya?

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience