BAB 22

Horror & Thriller Completed 32488

Danial terdiam seketika. Dia masih tidak faham apa yang berlaku sebenarnya. Seolah apa yang berlaku pada Razif dan Jefri akan berlaku pada kawan Danish yang lain.

“Err..nota macam mana maksud kau?” Danial kembali bersuara.

“Entah, tak berapa jelas. Sekejap lagi Zamrul datang ke sini. Saya sudah call dia tadi. Abang kena tolong saya. Abangkan wartawan bahagian jenayah. Tentu abang boleh siasat hal ni.” Danish mendongak, mengharapkan abangnya dapat membantunya menyelesaikan masalah yang semkain parah dan merebak itu.

“Kau ingat senang ke nak siasat? Abang bukan polis. Lainlah kalau abang ni polis, abang boleh siasat tanpa ada rasa bersalah dan sekatan mana-mana.” Danial luku kepala Danish.

Danish sengih.

“Tolonglah. Saya dah buntu ni. Saya tak nak polis tahu sebab benda ni macam pelik sikit. Razif dan Jefri mati tanpa ada bukti kukuh mereka dibunuh. Macam ada perkara mistik. Sekarang ni entah apa yang berlaku pada Zamrul.” Danish menekup muka. Dia semakin takut. Sesekali dia jeling Danial di sebelah. Patutkah aku beritahu Danial tentang rahsia itu?

Tuk! Tuk! Tuk!

Danish pandang ke arah pintu bilik pejabatnya. “Siapa?”

“Aku Zamrul!”

Danish mula bingkas bangun dan menapak ke arah pintu. Dia senyum sebaik melihat Zamrul sudah terpacak di depan pintu. Mereka beriringan masuk ke bilik dan melabuhkan punggung di sofa.

“Abang, ni Zamrul, kawan Danish.” Danish mula kenalkan Zamrul kepada Danial.

Danial jeling Danish. Matanya menala pula pada Zamrul. Ya, lelaki itu juga pernah dilihat semasa di klinik Dr. Razif dulu.

“Saya Danial.” Tangan dihulur. Mereka berjabat seketika.

“Err..Rul, mana nota tu?” Danish cuit lengan Zamrul yang duduk di sebelahnya.

Zamrul menyeluk poket seluar dan menghulurkan sekeping kertas yang berlipat kepada Danish. Danish pula menyerahkan nota itu kepada Danial.

Danial mula membuka kertas berlipat itu dan membaca setiap apa yang tertulis di atas kertas sehelai itu.

‘Tak lama lagi giliran kau Zamrul!!’

Dahi Danial berkerut. Enam patah perkataan itu cukup jelas dan terang. Jelas kenyataan itu seperti ada kaitan dengan kematian Razif dan Jefri dulu. Hasil siasatan polis dulu, pihak polis menjumpai sekeping nota di dalam poket baju Razif dan Jefri yang juga tertulis ayat yang sama maksud dengan nota yang diterima Zamrul.

“Hmm...pelik. Siapa yang hantar nota ni?” Danial perhatikan nota yang tidak bernama itu.

“Kalau kami tahu, sudah lama kami buat laporan polis. Ni, dia ugut macam tu.” Zamrul mula bersuara.

“Macam nilah. Beri saya masa untuk meneliti nota ni. Macam mana Zamrul dapat nota ni? Maksud saya, nota dipos ke atau letak kat mana-mana?” Danial pandang zamrul yang juga sudah sugul dan sedikit pucat.

“Nota tu diletak dalam letter box saya di rumah sewa.”

Danial tergamam. Dia amati nota itu sekali lagi. Tulisan bertaip itu jelas menggunakan font yang sama dengan nota yang diterimanya sebelum ini yang juga diletakkan dalam peti surat. Ia juga sama dengan nota yang Joe terima dulu. Bermakna mungkin orang yang sama yang memberi maklumat tentang setiap kejadian itu.

“Kenapa bang?” Danish pula kaget dengan riak Danial.

“Tak ada.. nanti abang beritahu. Abang minta diri dulu. Jangan risau. Kalau keadaan memaksa, buat saja laporan polis. Biar polis yang siasat benda ni.” Danial mula minta diri.

Danish dan Zamrul hanya memerhati Danial menapak keluar dari bilik pejabat. Danish berpaling pada Zamrul yang sudah menundukkan wajahnya. Jelas dia melihat ada riak gelisah di wajah Zamrul yang agak kemerahan kulitnya. Memang sejak di universiti lagi mereka rapat. Zamrul, Razif, Jefri dan Shuib, kawan yang sama-sama belajar di universiti dan tinggal satu asrama di kolej Lestari. Razif ambil bidang perubatan sama dengan Shuib. Jefri pula sama bidang dengan aku, kejuruteraan mekanikal. Hanya Zamrul yang mengambil bidang perakauanan. Mereka berlima menjadi rapat selepas minggu suai kenal semasa di tahun satu di sebuah asrama kolej di universiti itu. Sejak itu ke mana saja mereka pergi atau lepak di mana-mana, mereka mesti berlima. Itu belum kira aktiviti kolej. Dari band musik sehinggalah kepada progam anak angkat di kampung-kampung pedalaman. Mereka berlima akan berpakat untuk sama-sama mengikuti aktiviti yang sama sehinggalah masuk tahun akhir. Bila sudah berada di tahun akhir, mereka mula kurangkan aktiviti luar.

Perangai mereka berlima yang cukup serasi itulah yang memudahkan segala kerja yang dilakukan bersama. Masing-masing ada rupa dan gaya tersendiri sehingga menjadi kegilaan pelajar perempuan di kampus. Pernah mereka berlima digelar ‘Geng Macho’ semasa di universiti. Razif yang paling kacak, selalu mendapat perhatian gadis di kampus malah di luar kampus.

...bersambung

Bab akan datang:

Adakah Zamrul akan dapat diselamatkan sebelum dia turut menjadi mangsa?

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience