BAB 21

Horror & Thriller Completed 32488

Zurin hanya ketawa mengekek. Dia sebenarnya senang bersembang dengan Danial yang tidak sombong dan mempunyai sikap humor. Tidak seperti Danish yang suka menggatal dan tidak jemu mengajaknya keluar bersuka ria. Sikap Danial dan Danish nyata jauh berbeza. Danish suka berfoya-foya dan suka berlagak sombong dengan pangkat dan kekayaan. Danial pula sungguh merendah diri. Malah kalau bukan kerana rupa Danial yang agak seiras dengan Danish, dia tentu menyangka Danial adalah pekerja biasa di syarikat itu atau mungkin tidak ada kena mengena langsung dengan keluarga Datuk Lukman Hashim.

“Encik Danish ada. Tadi dia sudah siap pesan pada saya. Kalau Encik Danial dah sampai, suruh je encik Danial masuk pejabat.” Zurin melemparkan senyuman manis kepada Danial yang masih tercegat di depannya. Danial dilihat sungguh kacak dengan baju kemeja jenama polo dan seluar denim hitam. Ada gaya maskulin, sama dengan Danish yang setiap hari mengenakan pakaian yang mahal-mahal, siap dengan blesser dan tali leher bagai. Tidak seperti Danial yang hanya ringkas berpakaian. Tidak kawal macho seperti Danish.

Danial menapak ke pintu lif.

Pintu diketuk perlahan. Danial masih berdiri di luar bilik pejabat Danish. Dia perhatikan sekitar ruang pejabat. Semakin bertambah pekerja di pejabat Danish. Kebanyakannya perempuan. Dia geleng. Memang Danish tidak pernah berubah sejak dulu. Entah berapa ramai agaknya teman wanita Danish sekarang ini.

“Eh, Danial!!”

Danial berpaling. Papa sudah tersenyum di sebelah.

“Papa! Ingatkan papa ke Jerman! Kan minggu lepas papa beritahu ada persidangan di sana.” Danial peluk ayahnya seketika.

“Tak jadi. Conference tu dah ditunda. Ni, nak jumpa Danish ke?” Datuk Lukman senyum. Dia pandang bilik Danish yang bertutup.

Danial angguk.

“Dia ada tu. Minggu lepas, dia macam tak nak datang pejabat. Puas papa pujuk. Papa bimbang, perkara macam dulu tu berlaku pada dia. Berkurung dalam bilik. Jadi, papa harap sangat Danial pujuk dia.” Datuk Lukman pegang bahu Danial.

“InsyaAllah papa.” Danial melemparkan senyuman hambar.

“Ni, sampai bila Danial nak jadi wartawan? Kerja kat pejabat ni banyak yang perlukan tangan dan fikiran Danial.” Datuk Lukman mula bertanya soal kerja Danial yang dia sendiri tidak suka Danial menceburkan diri dalam dunia kewartawanan. Tambah lagi bahagian jenayah. Dari dulu dia lebih senang Danial menolongnya di pejabat. Syarikat yang menguruskan projek perumahan dan bangunan kedai itu memang memerlukan seorang jurutera seperti Danial.

“Kan Danial datang juga tolong papa?” Danial sengih. Memang selama ini dia akan datang ke pejabat itu dalam seminggu untuk menolong mana yang patut. Minatnya pada bidang kewartawanan lebih daripada kerja di pejabat itu. Bosan bila terpaksa terperap dalam bilik pejabat dari pukul sembilan sampai pukul lima. Dia lebih suka ke sana ke mari. Kerja luar. Kalau di pejabat, hanya sekali dua sahaja dia keluar melihat tapak pembinaan.

“Memanglah tapi papa lebih suka Danial kerja sepenuh masa di sini. Sekarang ni kita dapat tender besar. Papa tak cukup orang berpengalaman. Jadi, papa harap sangat Danial kerja di sini. Bukan part time tapi full time!” Datuk Lukman masih mengharapkan anak sulungnya bekerja di syarikat itu.

“Eh, Danial, papa!” Danish senyum sebaik dia membuka pintu.

“Kau tu yang lambat buka pintu! Abang dan papa dah lama tercongok kat depan pintu ni.” Danial senyum. Dia mula menapak masuk ke bilik Danish.

Datuk Lukman pula tidak mahu masuk campur urusan anak-anak bujangnya. Dia terus ke biliknya yang terletak selang dua bilik dari bilik Danish.

Danial melabuhkan punggung di sofa. Dia memerhati sekitar bilik pejabat Danish. Warna dinding yang dicat merah dan hitam jelas menunjukkan citarasa Danish sejak dulu. Warna itulah yang menjadi kegemaran Danish sejak di sekolah lagi.

“Ada apa nak jumpa abang?” Danial mula bertanya.

Danish tidak menjawab sebaliknya dia menuju ke pintu dan mula mengunci pintu bilik pejabatnya. Dia kembali duduk di sofa di sebelah Danial.

“Saya mimpi lagi..” Danish pandang Danial yang sudah bersandar di sofa.

“Mimpi? Maksud kau, mimpi kena bunuh lagi?” Danial menelan liur, Sebelum ini, sudah banyak kali Danish memberitahunya mengenai mimpi yang dialaminya boleh dikatakan hampir setiap minggu selepas kejadian kematian Razif dan Jefri.

Danish mengangguk. Mukanya sudah pucat.

“Danish, cuba beritahu abang. Apa sebenarnya yang berlaku?” Danial semakin rapat dengan adik kembarnya, tangan diletakkan atas bahu Danish yang sudah tunduk ke lantai.

“Saya pun tak faham. Semalam, saya terima panggilan dari kawan saya, Zamrul. Dia beritahu, dia terima nota yang mengugut untuk membunuhnya. Saya takut la abang. Dulu, Razif dan Jefri yang mati. Sekarang ni Zamrul pula yang kena ugut.” Danish menekup muka.

...bersambung

Bab akan datang:

Apakah yang akan dilakukan mereka? Dapatkah mereka menghalang Zamrul daripada dibunuh?

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience