BAB 28

Horror & Thriller Completed 32488

Johari diam. Jemarinya diketuk-ketuk atas meja. Dia tidak berkata apa-apa. Lama dia menatap wajah Danial yang agak seiras dengan Danish walaupun dia tahu mereka bukan kembar seiras. Danial memang seorang pemuda yang baik. Sejak kenal dengan Danial di universiti dulu, satu kolej dan juga satu kursus, Danial memang seorang lelaki yang budiman. Tidak pernah mengambil kesempatan pada pelajar perempuan. Rajin dan sangat tekun dalam kerja yang yang dilakukan termasuk tugas menyiasat dan foto-foto yang diambil untuk majalah universiti dulu. Sebaliknya pula dengan kembar Danial yang ternyata mempunyai karakter yang jauh berbeza dengan Danial.

“Okeylah. Kalau aku perlukan kau, aku akan call kau lagi. Aku pun dah lambat ni.” Danial minta diri. Dia jeling jam di pergelangan tangan. Hampir sebelas pagi. Dia mula minta diri.

Johari masih berada di situ memerhati Danial yang sudah melangkah ke kedai Kinokuniya. Dia segera menelefon seseorang.

“Dia sudah menuju ke sana.”

Talian putus. Johari senyum lebar. Danial dipandang sehingga hilang dari pandangannya.

Danial menapak perlahan ke dalam kedai buku terkenal di KLCC itu. Matanya melilau mencari kelibat Irina. Hampir sepuluh minit Danial menunggu Irina di situ. Sementara menunggu kedatangan Irina, Danial mula melihat-lihat majalah dan buku yang dijual di situ. Sudah agak lama dia tidak menjejakkan kaki ke situ. Seingatnya kali terakhir dia ke situ semasa dia di tahun akhir pengajian. Itu pun kerana ingin mencari bahan rujukan untuk tesis dan projek tahun ahkir. Buku-buku rujukan di bahagain kejuruteraan di situ banyak juga yang boleh digunakan sebagai bahan rujukan.

“Haih....manalah Rina ni..” Sekali lagi Danial jeling jam di pergelangan tangannya. Sudah dua puluh minit dia melangut di situ.

Telefon diambil dari poket seluar. Dia mula menghubungi Irina. Mana tahu gadis itu masih dalam perjalanan atau tereperangkap dalam kesesakan jalanraya.

“Abang!”

Danial berpaling ke arah pintu masuk kedai buku. Irina sudah tersenyum manis di situ sambil mengatur langkah menuju ke arahnya. Irina dilihat sungguh manis dengan baju kurung warna biru air laut dan sudah tentu ada sepit berebentuk bunga daisi di kiri rambut gadis itu yang mengurai panjang melepasi bahu. Dia tersenyum lebar.

“Maaf, Rina lambat sikit. Ada kemalangan tadi.” Irina senyum.

“Kemalangan?” Danial terkejut.

“Bukan Rina yang kemalangan tapi on the way ke sini tadi, ada satu kemalangan kat jalan Tun Razak tu, jalan dibuka satu lorong je. Sebab tulah lambat sikit. Maafkan Rina ya.” Irina menjeling sejambak bunga di tangan Danial.

“Oh..tak apa. Ingatkan Rina yang kemalangan tadi. Nah!” Danial mula menghulurkan sejambak bunga ros merah kepada Irina.

“Uuntuk Rina ke?” Senyuman lebar sudah meniti di bibir Rina.

Danial angguk. Dia menemani Irina membeli beberapa buku dan novel di kedai buku itu sebelum mereka melangkah ke medan selera untuk makan tengahari bersama.

Irina hanya senyum melihat tingkah Danial yang tidak pernah mengeluh dan merungut bila terpaksa menunggunya memilih buku dan novel tadi. Sejak kenal jejaka itu, dia bagaikan tidak nampak lagi lelaki lain. Baginya Danial adalah lelaki yang baik dan serius dalam hubungan. Bonus untuknya memiliki lelaki itu yang mempunayi wajah yang kacak dan juga anak orang berada walaupun itu bukan kriteria yang dicari dari seorang lelaki. Cukuplah dengan sikap yang baik dan bertanggungjawab.

“Apa yang menung panjang tu?” Danial letak mangkuk berisi mee sup wantan di depan Irina. Untuk dia pula, dia beli Lam Mee di gerai Noodles.

“Tak ada... abang ni baik sangat. Rina tak tahu nak cakap apa..” Irina senyum. Dia lihat Danial menapak pula ke gerai minuman.

Lama dia memerhati tingkah Danial. Tenang melihat wajah lelaki itu. Sehingga ke hari ini, setiap kali keluar berdua, dia perasan Danial tidak pernah tinggal solat. Ternyata Danial seorang yang patuh pada ajaran agama. Dia mula melepaskan keluhan panjang. Dia kini terperangkap dengan perasaan sendiri. Niat asalnya hanya ingin mendekati jejaka itu hanya untuk mendapatkan bahan untuk novel dan juga untuk mendapat maklumat lain ternyata sudah jauh terpesong. Kini dirasakan dia sudah diikat dengan perasaan sendiri. Masih memikirkan apakah kesudahan hubungannya dengan Danial. Apakah tega untuknya melihat Danial merana bila semua perkara terbongkar nanti? Apakah mampu dia menahan semua rasa bila tiba harinya nanti dia terpaksa meninggalkan lelaki itu apabila segalanya sudah dilangsaikan. Apakah abangnya juga merestui hubungan itu seandainya Danial benar-benar inginkan hubungan mereka ini ke jinjang pelamin? Apakah Danial akan menerimanya dengan hati terbuka bila dia mendapat tahu apa yang sebenarnya berlaku?

...bersambung

Bab akan datang:

Mengapa Irina berfikiran sebegitu? Adakah sesuatukah yang dia lakukan hingga menyebabka dia bimbang jika Danial mengetahuinya?

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience