BAB 14

Horror & Thriller Completed 32488

Kelihatan keadaan di luar rumah terutama di lantai depan pintu utama agak bersepah dengan daun kering. Sebuah kerusi rotan yang diletak di hujung koridor di luar rumah juga kelihatan agak usang.

Klik! Klik! Klik!

Danial mula merakam gambar di setiap sudut koridor. Tidak ada satu pun yang tertinggal. Langkahnya diteruskan beberapa tapak menuju ke depan pintu utama. Tombol pintu dipulas perlahan. Dia tersenyum. Nampaknya pintu tidak berkunci. Daun pintu ditolak ke arah dalam. Sekali lagi lensa kameranya dihalakan ke arah runag tamu yang agak berhabuk dan gelap. Klik! Klik! Klik!

Dia mengatur langkah perlahan ke ruang tamu yang hanya ada set sofa dan sebuah meja kecil di tepi dinding. Lama dia memerhati sekitar ruang tamu. Tidak ada apa yang pelik atau ganjil seperti yang tercatat dalam nota kecil yang dihantar kepadanya. Mukanya mula berkerut. Mungkin suasana dalam rumah itu yang agak suram menyebabkan dia tidak melihat sebarang keganjilan dalam rumah itu. Langsir tingkap dan pintu diselak luas bagi memberi laluan cahaya masuk ke situ.

“Hmm...tak ada apa berlaku di rumah ni. Semuanya bersih dan tidak bersepah. Perabot pun agak tersusun.” Danial mengusap dagu sambil berfikir. Matanya meliar melihat apa-apa di dalam ruang tamu itu yang boleh menarik lensa kameranya untuk merakamkan gambar.

Sekali lagi dia melihat sekitar rumah itu. Dia memerhati di setiap ruang dan sudut mencari apa-apa yang pelik. Memang tidak ada langsung!

“Hmm...betul ke apa yang dia tulis seperti dalam nota tu? Entah-entah saja dia nak mainkan aku.” Sekali lagi dagunya diusap. Dahi sudah berkerut berfikir.

Sebelum meninggalkan rumah itu, sekali lagi lensa kameranya dihala ke segenap sudut rumah. Klik! Klik! Klik!

Danial mula melangkah keluar dari rumah itu. Pintu ditutup rapat. Dia terus ke keretanya semula. Sebelum beredar dia capai pen dari dalam poket baju dan nota kecil dari poket seluar. Dia mula mencatatkan sesuatu di kertas putih dalam nota kecil itu.

Kereta Toyota kelabunya dipandu perlahan meninggalkan rumah itu menuju ke jalan besar.

DARI JAUH, di sebalik pokok yang agak rendang dengan sekitar agak bersemak, seorang gadis asyik memerhati Danial dari awal lelaki itu sampai sehinggalah lelaki itu keluar semula dari rumah itu dan meninggalkan kawasan rumah yang agak usang itu.

“Kau akan tahu juga satu hari nanti!”

Gadis itu mengetap bibir.Stereng kereta ditumbuk kuat. Keretanya dipandu laju meninggalkan kawasan itu setelah dia pasti Danial sudah lenyap dari pandangannya.

DI RUMAH PANGSA di tengah ibukota, Danial masih meneliti maklumat yang tertulis di atas nota kecil itu. Jenuh otaknya berfikir kesahihan maklumat yang diterima. Nota kecil tadi diletakkan atas meja. Dia capai pula kamera canon dan disambungkan ke komputer riba. Sebaik semua gambar di muatnaikkan di dalam foto galeri komputernya, Danial mula meneliti satu persatu gambar yang sempat dirakam di rumah itu tadi.

“Pelik...apa yang aku nampak dan apa yang aku rakam tidak ada satu pun yang sama seperti yang dicatatkan dalam nota tu. Betul ke maklumat yang dia beri pada aku ni?” Danial menopang dagu. Mata masih merenung skrin komputer.

Telefon bimbitnya berdering kuat.

“Hello! Hah! Kau pergi mana? Aku call kau banyak kali. Ok, jumpa di tempat biasa.”

Talian diputuskan.

Komputer riba ditutup. Dia segera capai kunci kereta dan bergegas ke tempat letak kereta di rumah pangsa tiga belas tingkat. Rumah pangsa yang dihuni sejak zaman universiti lagi itu kini sudah sah menjadi miliknya. Kalau dulu dia hanya menyewa di situ bersama dua lagi rakan satu universiti tetapi bila masing-masing sudah tamat belajar dan bekerja, rumah itu hanya dia seorang yang menghuni. Dua lagi rakannya yang lain sudah berpindah mengikut tempat kerja masing-masing.

Kereta Toyota kelabu sekali lagi dipecut laju menuju ke destinasi yang dijanjikan. Sebaik tiba di tempat yang telah dijanjikan, Danial masih menunggu di dalam kereta. Jam di pergelangan tangannya dijeling seketika. Hampir sembilan malam. Lama dia menunggu di dalam kereta sambil mendengar lagu sentimental yang mendayu-dayu dari corong radio kereta.

Tuk! Tuk! Tuk!

Danial berpaling. Cermin kereta diturunkan sedikit. Dia tersenyum. Cermin kereta ditutup semula dan dia mula melangkah keluar dari perut kereta.

“Kau dah lama tunggu?” Johari senyum.

Danial hanya mengangguk. Mereka berdua mula menuju ke sebuah restoran mamak di hujung deretan kedai.

AGAK ramai pelanggan di restoran mamak malam itu. Joe mula memesan mi goreng dan segelas teh tarik. Danial pula hanya pesan kopi o panas. Mereka mula bersembang dari satu bab ke satu bab.

...bersambung

Bab akan datang:

Siapa pula perempuan yang memerhati Danial keluar masuk dari rumah itu

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience