BAB 27

Horror & Thriller Completed 32488

Usai makan malam, masing-masing buat hal sendiri. Danish sudah berkurung dalam bilik. Danial pula berehat di ruang tamu setelah selesai solat isyak tadi. Papa dan mama sudah pun masuk ke bilik setelah habis menonton berita di kaca tv.

Danial pandang jam di dinding. Hampir sepuluh malam. Dia perlu masuk tidur awal. Esok dia sudah berjanji dengan Irina bertemu di sebuah kedai buku di KLCC.

Sepuluh pagi. Danial bergegas ke arah KLCC. Sebelas pagi dia sudah berjanji dengan Irina bertemu di Kinokuniya. Kereta Toyota kelabunya dipandu meredah hutan kotaraya menuju ke KLCC. Hari minggu macam itu kereta tidak banyak. Tiada kesesakan yang teruk. Tidak sampai setengah jam, dia sudah sampai di KLCC. Dari tempat parkir kereta dia mula menaiki ekskalator ke tingkat atas. Danial bersiul-siul kecil. Hatinya berbunga riang. Tidak sabar bertemu kekasih hati.

Langkah Danial terhenti. Matanya tertancap pada satu susuk tubuh yang cukup dikenali sedang berbual dengan seseorang. Lama dia memerhati.

“Joe bercakap dengan siapa?” Danial cuba intai gadis yang bercakap dengan Johari. Gadis itu membelakanginya.Gadis itu memakai blaus dan seluar jeans. Dia mengatur langkah semula. Perlahan-lahan. Gadis itu sudah mula beredar dari situ.

Danial menghampiri Johari yang juga turut ingin beredar dari situ.

“Joe!” Sempat Danial memanggil Johari yang sudah mula melangkah.

Johari berpaling. Dia tergamam. Pantas dia mengukir senyum. Danial dilihat sudah menapak ke arahnya. Di tangan Danial ada sejambak bunga. Dia tersenyum lebar.

“Danial! Kau dari mana ni?” Johari tepuk bahu Danial. Senyuman semakin lebar di bibir.

“Aku dari rumah la. Kau tu! Siapa perempuan tadi? Makwe ke?” Usik Danial.

“Tak adalah...dia kenalan biasa saja. Kau nak ke mana ni dengan bunga bagai. Nak jumpa awek eh?” Johari kenyit mata. Dia faham dengan riak Danial yang sudah tersenyum lebar. Hari minggu macam ni, apa lagi kalau tak jumpa kekasih hati.

“Kau pulak nak ke mana?” Danial tidak menjawab soalan Johari sebaliknya dia pula yang bertanya Johari.

“Aku jumpa kawan tadi. Ada hal sikit. Pukul berapa kau berjanji dengan kekasih hati pengarang jantung kau tu?” Johari usik lagi.

“Pukul sebelas. Ada setengah jam lagi. Kita minum dulu!” danial ajak Johari ke medan selera di tingkat empat pusat beli belah itu.

Mereka berdua mula mencari meja kosong selepas membeli dua gelas jus tembikai. Danial berbual panjang dengan Johari dari satu topik ke satu topik sehinggalah kepada topik kematian Dr. Razif dan Jefri yang penuh misteri. Nampaknya Johari juga buntu dengan semua kejadian itu. Tambah lagi dia juga turut terima nota pelik.

“Joe, rasanya nota yang kau terima dulu tu dah hampir sebulan kan? Ada apa-apa nota susulan tak? Maksud aku nota yang mengatakan pembunuhan itu sudah berlaku?” Danial mula bertanyakan nota yang masih menjadi tandatanya.

“Tak ada pula...tapi aku rasa pembunuhan yang akan berlaku tu, mungkin kes Jefri tu. Entahlah..aku pun dah tak ada terima apa-apa nota lagi.” Johari teguk jus tembikai sehingga habis separuh gelas.

Danial diam seketika. Dia juga pelik. Nota yang diterima mengatakan ada pembunuhan kejam berlaku di rumah usang itu juga nampanknya hanya main-main. Beria dia pergi ke rumah itu tetapi tidak ada tanda-tanda berlaku pembunuhan di situ. Nota yang diterima Razif, Jefri dan Zamrul juga masih menjadi tandatanya. Apa yang pasti, panggilan telefon dari perempuan misteri itu memang menjadi kenyataan. Semua kejadian yang berlaku terhadap Razif dan Jefri adalah benar. Entahlah bila memikirkan semua itu fikiran mula berserabut tambah lagi ia melibatkan Danish sendiri. Tidak mustahil danish menjadi mangsa seterusnya.

“Joe..kau boleh temankan aku tak?” Danial mula merancang sesuatu.

“Kau nak pergi mana? Kalau kau nak melancong, boleh je aku temankan!” Johari sengih.

“Kau ni! Aku serius ni. Aku ingat nak siasat siapa perempuan yang telefon Danish tu. Dia tahu apa yang berlaku.” Danial teguk jus tembikai perlahan.

“Macam mana kau nak siasat? Kau pun tak tahu kat mana perempuan tu berada.” Johari pandang Danial tidak berkelip. Bukan senang hendak menyiasat semua itu.

“Ya tak ya juga. Aku pun dah buntu ni. Aku kesian tengok Danish tu. Suka berkurung dalam bilik sejak kematian Razif dan Jefri. Aku faham perasaan dia. Kalau aku pun aku rasa terpukul dengan semua tu. Bayangkan kawan rapat yang selama ini selalu bersama kita waktu susah dan senang, mati dengan cara macam tu.” Danial tunduk. Bunga ros merah sejambak tadi diletakkan atas kerusi sebelah.

...bersambung

Bab akan datang:

Adakah Danish juga akan diganggu oleh jelmaan gadis misteri itu?

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience