BAB 1

Horror & Thriller Completed 32488

Asap memenuhi segenap ruang rumah papan yang agak usang itu. Bekas kemenyan dibakar dan diperasap dengan jampi mentera. Terkumat kamit mulut seorang lelaki yang bersemutar kuning dan berpakaian serba hitam membaca sesuatu. Misai melentik di atas bibir bergerak-gerak mengikut rentak mentera yang dibaca. Lima biji limau turut dibelah dua tanpa putus dan diletakkan dalam sebekas air kosong. Sekali lagi lelaki bertubuh gempal dan berkulit gelap itu membaca jampi mentera. Bau kemenyan semakin ketara.

Dia capai pula patung kecil yang dibuat daripada jerami kering dan digantung di pokok kecil dalam pasu. Setiap patung itu diasapkan dengan kemenyan dan dipuja. Asap berkepul mula memasuki dalam jerami patung itu. Foto yang diterima dari pelanggannya tadi diletakkan di setiap patung itu. Sekali lagi lelaki bermisai lentik itu membaca mentera dan jampi dalam bahasanya tersendiri. Selesai baca mentera, semua foto dan patung itu ditiup perlahan dan menghalakan asap kemenyan tadi masuk ke dalam setiap patung jerami itu yang sudah ditandakan dengan foto berlainan.

“Hmm...bila nak mulakan?” Suara garau lelaki berbadan gempal itu mula bertanya.

“Maksud tok?”

“Foto ni...siapa nak jadi mangsa dulu?” Lelaki itu pandang tajam ke arah pelanggannya.

“Yang tu!” Jari dituding ke arah sekeping foto.

“Bila?” Lelaki itu jengilkan mata. Bagai nak tersembul biji mata.

“Malam ni!”

“Yang lain?”

“Saya dah tulis masa dan tarikh di belakang gambar.”

Lelaki yang memakai baju serba hitam dengan selendang kuning terlilit di pinggang hanya mengangguk tanda faham. Dia mula ambil foto yang ditunjukkan oleh pelanggannya tadi. Upacara memuja mula dilakukan. Terkumat kamit dia membaca mentera dan jampi serapah. Seketika kemudian rumah itu bergegar kuat. Lelaki itu sudah dirasuk sesuatu. Dia kemudian menghembuskan air sireh yang dikunyah sejak tadi ke arah foto itu. Bersembur warna merah pekat terkena foto dan perut patung jerami yang diletakkan berdekatan di depannya. Sebatang jarum halus dicucuk berkali-kali di perut patung. Patung itu dibiarkan tergantung di situ.

“Hmm... ada apa lagi?” Lelaki itu mula bertanya bila keadaan sudah reda. Dia pandang pelanggannya tidak berkelip.

“Tak ada tok. Saya nak dia terseksa sebelum mati.”

Lelaki itu angguk-angguk. Dia senyum bila menerima sebungkus habuan yang dibungkus dengan kain kuning yang diletakkan oleh pelanggannya tadi sebelum beredar. Itu pengeras untuk setiap khidmat yang diberikan. Tidak perlu beri wang ringgit.Perlahan dia buka bungkusan kuning itu. Ada ayam kampung panggang, beras kunyit dan benang hitam. Benang hitam itu dililit pada patung tadi.

“Kamu boleh balik. Sudah selesai. Sekejap lagi dia akan mati.” Lelaki berbadan gempal itu tersenyum puas.

“Baik tok!”

Lelaki itu masih bersila di depan bara api kemenyan yang diasapkan tadi. Sebiji limau diambil dan disapu pada keris kecil yang juga sudah diasapkan dengan kemenyan. Beberapa kali dia tiup keris itu dan dibasuh sekali lagi dengan air rendaman limau tadi. Dia senyum puas hati. Keris itu dilap dengan kain kuning yang dililit di pinggangnya dan terus disimpan dengan membungkus keris itu di dalam kain kuning. Keris itu akan dibuka untuk mangsa seterusnya mengikut masa dan tarikh yang telah ditulis di belakang gambar.

Sementara itu, di klinik Dr.Razif,suasana semakin cemas. Pembantu klinik Dr. Razif mundar mandir di luar klinik. Dia sudah bingung dengan sikap Dr. Razif tadi. Habis dihalaunya semua orang. Terpaksa dia tutup pintu dan diletakkan pelekat ‘CLOSE’. Dia masih mundar mandir di tepi kaunter depan. Dr. Razif sudah dirasuk. Dia perlu dapatkan pertolongan. Laju dia berlari ke arah deretan kedai yang kebanyakannya sudah tutup. Dia jeling jam sudah sebelas setengah malam.

Di dalam bilik rawatan pula, Dr.Razif masih bertarung dengan nyawa sendiri. Gunting yang digenggamnya seolah cuba merodok perutnya sendiri. Susah payah dia tarik tangan yang tergenggam gunting itu jauh dari perutnya tetapi seperti ada satu kuasa menolak gunting itu semakin dekat dengan perutnya.

Zup!

Terbeliak mata Dr. Razif. Gunting itu sudah terkena perutnya sendiri. Meleleh darah keluar dari tempat tikaman gunting itu. Sempat dia melihat kepulan asap di depannya dekat dengan meja yang selalu digunakan untuk merawat pesakit. Jelas dari kepulan asap itu, dia melihat satu susuk berupa seorang perempuan keluar dari asap itu. Perempuan itu memandang tajam ke arahnya dengan ketawa hilai yang sungguh nyaring.

Zup! Zup! Zup!

Kali ini bertubi-tubi gunting itu dirodok ke perut. Dr. Razif tidak mampu melawan kuasa yang telah mengawal tangan kanannya sendiri merodok perutnya berkali-kali. Dia rebah tidak bermaya.

Darijauh, seorang gadis melihat keadaan di sekitar kawasan klinik itu dengan penuh sabar.

...bersambung

Bab akan datang:

Gambar siapakah yang ditunjukkan pada bomoh itu? Mengapa lelaki itu mahu orang yang di dalam gambar itu mati?

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience