BAB 54

Horror & Thriller Completed 32488

“Ya, ini memang kepunyaan kawan saya, Shuib Zakaria.” Danish tunduk. Dia mula terasa lemah lutut. Keadaan mayat Shuib sungguh menyedihkan. Kalau bukan kerana baju dan seluar yang masih melekat pada tubuh mangsa, sudah tentu dia juga tidak dapat mengenali mangsa.

“Kalau macam tu, ikut kami ke balai untuk kami ambil keterangan mengenai mangsa. Kami sudah cuba mencari waris si mati tetai kami tak dapat jumpa alamat mahupun nombor yang boleh kami hubungi. Hanya nombor encik Danish sahaja yang ada dalam senarai telefon bimbit mangsa.” Polis itu mula senyum. Dia mengarahkan pekerja hospital untuk melakukan bedah siasat ke atas mayat secepat mungkin.

Danish tercengang. Dia pandang Danial. Pelik mendengar kata-kata polis tadi. Nombor aku saja?? Dia melangkah lemah keluar dari bilik mayat. Terasa esok lusa gilirannya pula. Dia terduduk di kerusi di tepi bilik mayat yang disediakan di situ. Kedua tangannya memegang kepala sambil menundukkan wajah.

Danial cuba mententeramkan Danish yang ternyata sudah sebak dan sedih. Ada riak takut di wajah Danish.

“Danish, sabarlah. Itu semua kuasa Allah. Mari kita ke balai polis dulu. Lepas tu kita bincang apa yang patut.” Danial masih menenangkan adik kembarnya yang sudah sugul. Ada titis jernih mengalir ke pipi Danish.

Mereka berdua mula mengikuti polis tadi untuk memberi keterangan mengenai mangsa tadi.

DI RUMAH, Danish berehat di sofa di ruang tamu. Fikirannya mula berserabut semula. Tidak sangka Shuib juga turut menjadi mangsa sihir perempuan itu. Semasa memberi keterangan tadi, dia sedikit pun tidak menyebut soal itu kerana dia tahu perkara seperti itu siapa yang akan percaya. Tadi masa di bilik mayat, dia nampak Shuib masih memakai tangkal hitam itu.

“Danish..dah la. Shuib pun dah meninggal. Sedekahkan al fatihah untuk arwah. Cuma abang musykil, kenapa senarai nama dalam telefon bimbit Shuib hanya ada nama kau je? Dia tak ada kawan lain atau keluarga ke?” Danial melabuhkan punggung sebelah Danish yang sudah menundukkan wajahnya memandang lantai. Mata Danish masih merah dan berair.

Danish menarik nafas panjang seketika. Dia berpaling ke arah Danial di sebelah kiri.

“Entahlah bang. Saya pun pelik tadi. Takkan nama saya je dalam senarai nama contact person tu. “ Danish berkerut kening.

“Dia tak ada saudara mara ke?” Tanya Danial lagi.

“Abang, Shuib memang tinggal seorang diri di Malaysia ni. Dia anak tunggal. Mak dia sudah lama meninggal. Ayah dia pula berkahwin dengan orang Australia dan menetap di sana. Dia sudah lama tidak berhubung dengan ayahnya. Makcik dan pakcik dia sebelah mak dia pula sudah ramai yang tak ada. Sepupu sepapat sebelah mak dia pula, dia langsung tak kenal.” Danish bersuara lemah.

Danial angguk-angguk. Jadi Shuib meninggal sebatang kara. Tiada sesiapa di sisinya.

“Abang faham sekarang. Kalau macam tu kitalah yang selalu jenguk kuburnya nanti dan sedekahkan al fatihah.” Danial turut sugul mendengar kisah hidup Shuib yang tidak ada sesiapa lagi di dunia ini.

******

HAMPIRseminggu berlalu sejak kematian Shuib. Danish mula merasa tidak senang duduk . Kini hanya dia seorang sahaja lagi yang belum mendapat pembalasan dari permpuan itu. Jenuh dia mencari di merata tempat perempuan yang pernah dilihat dulu di bawah pokok Tanjung dekat dengan pejabatnya.

“Aku kena cari perempuan tu sampai dapat. Aku pernah nampak dia hari tu..” Danish garu kepala.

“Kau fikir apa sampai kusut rambut kau tu?” Danial menapak masuk ke dalam bilik Danish.

Danish tidak menjawab. Dia belek album. Segala kenangannya bersama Raif, Jefri,zamrul dan Shuib akan tetap menjadi kenangan indah buatnya biarpun mereka semua tidak ada lagi di dunia ini.

“Abang, sekarang semua kawan saya sudah meninggal. Mungkin esok lusa giliran saya pula..” Danish menekup muka.

“Ajal maut semua itu urusan Allah. Hanya Allah yang tahu. Apa yang perlu kita lakukan ialah dekatkan diri kepada Allah. Kutiplah sebanyak mungkin pahala, itu saja bekalan untuk kita bawa nanti.” Danial mengingatkan dan memberi semangat pada Danish yang nyata sudah mula memikirkan semua itu.

“Err...saya dengar abang nak bertunang? Bila?” Danish mula menukar topik.

“Ya, insyaAllah, bulan depan abang akan bertunang tapi abang belum lagi beritahu mama dan papa. Abang ingat nak tanya kekasih abang dulu pasal hal ni. Dia sudah letak syarat yang dia hanya bersedia bila novelnya sudah siap. Petang nanti, abang nak jumpa dia.” Danial senyum lebar.

Danish hanya angguk-angguk.

“Irene macam mana? Bila nak nikah? Rasanya dah agak lama korang bertunang.” Danial bertanya pula hal tunang Danish.

...bersambung

Bab akan datang:

Apakah jawapan Danish terhadap pertanyaan Danial tentang hubungannya dengan Irene?

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience