BAB 43

Horror & Thriller Completed 32488

“Danish.. janganlah difikirkan sangat semua tu. Banyakkan berzikir. Ingat Allah. Berdoa semoga Allah permudahkan jalan untuk kita hadapi semua ini. Kita bukan datang nak cari gaduh tapi kita datang dengan tujuan baik.” Danial tenteramkan adik kembarnya yang dari tadi seperti kucing hilang anak.

“Bukan apa bang, saya risau. Mereka tak akan dapat terima kenyataan. Saya takut sebenarnya. Apa yang dirasakan oleh Shuib tu sebenarnya itulah yang saya rasa sekarang ini.” Danish sudah berpeluh. Walaupun suhu penghawa dingin dalam kereta sudah sejuk tapi terasa dahinya memercik peluh kecil.

“Itu perasaan saja. Zikir banyak-banyak. Sekarang ni dah hampir dua bulan berlalu. Tiada apa-apa jadi pada kau dan Shuib.” Danial mula perasan sudah agak lama sejak kematian Zamrul, tiada lagi perkara seperti itu berlaku.

“Kita tak boleh buat sambil lewa je bang. Mungkin dia tunggu masa saja tu. Mula-mula sekali Razif, sebulan lepas tu, Jefri dan dua minggu lepas tu, Zamrul. Macam ada satu pola tempoh untuk semua tu berlaku.” Danish masih risau. Dia lepaskan pandangannya ke arah luar tingkap kereta. Pemandangan yang pernah dilihat dulu.

“Memanglah tapi kena ingat ajal maut di tangan Allah. Kalau dia hantar sihir paling kuat sekalipun, jika Allah tak izinkan, tak akan jadi.” Danial pandang Danish yang masih tunduk.

Danish senyap. Dia sudah buntu memikirkan semua kejadian itu. Seorang demi seorang kawan rapatnya meninggal dengan cara mengerikan dan tidak boleh diterima akal.

Kereta Toyota kelabu Danial membelok ke simpang kiri menuju ke sebuah perkampungan sebaik keluar dari lebuhraya tadi. Agak ke dalam juga Kampung Keladi yang dimaksudkan oleh Danish tadi. Dia hanya mengikut arahan Danish mencari arah menuju ke Kampung Keladi itu. Tadi sepanjang jalan masuk dari jalan besar, memang di kiri kanan jalan banyak hutan kecil dan rumah pula jarang-jarang. Tidak berkelompok seperti kampung biasa.

“Macam pendalaman saja kampung tu..” Danial jenguk kiri kanan jalan yang masih ada hutan kecil dan sekali sekali berjumpa dengan monyet dan kera yang bergayut di pokok-pokok hutan itu.

“Kampung tu memang masuk ke dalam. Kena redah hutan dan ladang kelapa sawit dan ladang getah dulu baharu jumpa.” Danish masih ingat lagi jalan ke arah Kampung Keladi walaupun sudah empat tahun berlalu.

Danial memandu berhati-hati bila mula memasuki jalan merah yang tidak berturap. Jalan pula sangat becak. Mungkin hujan lebat malam tadi. Kiri kanan jalan kecil merah itu dipenuhi semak samun. Tidak terurus.

Tiba di simpang tiga, keretanya membelok lagi ke arah kanan dan terus menelusuri jalan kecil yang hanya muat satu kenderaan sahaja. Jika bertembung dengan kereta lain dari arah bertentangan, sudah sah-sah kena rapat ke bahu jalan yang dipenuhi semak tebal. Mungkin bagi mereka yang terlalu menjaga kereta, tak akan lalu di jalan macam ini. Kereta boleh tercalar!

“Jauh lagi ke?” Danial masih memandu berhati-hati. Jika tiba di selekoh, dia akan membunyikan hon. Bimbang jika kenderaan dari arah bertentangan dibawa laju dan merempuh kereta mereka nanti.

“Dah dekat dah. Kat depan tu ada satu lagi simpang. Belok kiri dan jumpalah kampung tu!” Danish beri arahan lagi.

Kereta Toyota kelabu Danial terus bergerak mengikut arahan Danish tadi. Dia membelok ke kiri sebaik tiba di simpang terakhir itu. Dari situ dia sudah nampak sebuah kampung yang sangat tersusun dan cantik dengan tanaman pokok bunga kertas yang berbunga lebat di sepanjang jalan kecil menuju ke setiap rumah. Tidak terjangkau olehnya adanya sebuah kampung yang cantik seperti itu di tempat yang jauh ke dalam setelah meredah hutan kecil dan semak samuin tadi. Kalau dari jalan besar memang dia tak akan terfikir semua tu. Mungkin dia akan menganggap hanya hutan dan binatang buas sahaja di situ.

Kereta diparkir di tepi pondok kecil yang dijadikan tempat berteduh oleh penduduk kampung di situ. Danish dan Danial masih berada di dalam kereta memerhati sekitar situ.

“Danish..betul ke ni Kampung Keladi yang kau maksudkan tu?” Danial mula bertanya. Pelik melihat kehidupan di kampung itu yang begitu harmoni. Beberapa orang lelaki dilihat berbual mesra di bawah pokok. Perempuan pula dilihat sibuk bergotong-royong mengupas bawang di sebuah bangsar di salah satu rumah di situ. Agaknya akan ada kenduri di kampung itu.

“Betul la. Kalau abang pergi ke depan sikit, ada satu lorong kecil menuju ke sebuah sungai dan air terjun di situ.” Danish tuding ke arah depan melalui beberapa rumah penduduk di situ. Ingatannya masih kuat lagi.

“Oh..err...yang mana satu rumah keluarga angkat Razif?” Terjenguk-jenguk Danial melihat dari tempat duduknya.

...bersambung

Bab akan datang:

Adakah mereka dapat menjumpai gadis itu?

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience