BAB 5

Horror & Thriller Completed 32488

Segala apa yang dikatakan oleh perempuan itu tidak boleh dipandang ringan. Dan dia juga tidak berani bercerita hal itu pada Danial. Dia sendiri tidak tahu siapa perempuan itu dan perkara itu masih samar-samar. Kalau sudah rasa terpaksa, baharulah dia akan cerita semua itu pada Danial walaupun terpaksa membuka rahsia yang disimpan kemas selama ini. Rahsia itu hanya dia dan kawan-kawannya sahaja yang tahu.

Di pejabat, Danish mula menyibukkan diri dengan kerja yang tidak pernah habis. Kertas kerja untuk projek di Kajang perlu diperiksa sebelum projek itu dihantar untuk kelulusan papa. Dia perlu siapkan semuanya sebelum jam lima petang nanti. Jam lima setengah petang nanti, Jefri ingin berjumpa dengannya di sebuah restoran di Bangsar. Entah apa yang ingin Jefri beritahu. Malam tadi, jefri menghubunginya sebelum dia melelapkan mata. Suara Jefri seperti ketakutan.

Tepat pukul lima petang, Danish bergegas pula ke destinasi yang dijanjikan. BMW hitam miliknya menderum laju membelah kesibukan jalanraya menuju ke sebuah restoran di Bangsar. Sejak kejadian malam tadi, dia perasan riak kawan-kawannya sudah mula berubah. Wajah masing-masing seperti pucat dan ketakutan. Hanya Zamrul sahaja yang tidak mahu percaya semua itu ada kaitan dengan gadis di Kampung Keladi dulu. Shuib dan Jefri pula masih sangsi dengan apa yang berlaku pada Razif, ada kaitan dengan gadis itu.

“Aku pelik la dia orang ni. Takkan percaya bulat-bulat yang Razif tu sudah hilang akal nak bunuh diri sendiri?” Danish berkata sendiri. Keretanya dipandu laju. Sepanjang perjalanan ke Bangsar, otaknya sarat dengan persoalan semua itu.

Kereta diparkir di depan restoran. Melilau Danish mencari kelibat Jefri. Dari dalam kereta jelas dia melihat setiap pengunjung yang masuk ke dalam restoran itu. Kelibat Jefri masih tidak nampak di situ. Danish mula menapak keluar dari perut kereta. Dia melangkah ke arah restoran.

“Danish! Danish!”

Danish menoleh ke arah kiri. Jefri sedang berlari ke arahnya.

“Jef! Mana kereta kau?” laung Danish. Dia intai kereta sport Fair lady putih milik Jefri. Memang tidak ada di tempat letak kereta di situ.

Jefri masih melangkah laju ke arah Danish. Tercungap-cungap.

“Jom kita ke restoran dulu.” Jefri segera mengajak Danish untuk minum di restoran.

Mereka berdua mula mencari meja kosong. Petang-petang begitu masih ramai pelanggan yang datang ke restoran yang menyediakan masakan barat itu. Pernah beberapa kali mereka berkumpul di situ, lepak dan berborak sehingga larut malam.

“Apa hal kau nak jumpa aku ni Jef?”

“Malam tadi, aku terima panggilan dari seorang perempuan selepas kita balik dari klinik Razif tu. Dia ugut aku. Dia kata aku adalah mangsa seterusnya. Aku..aku tak faham. Siapa perempuan tu?” Jefri menekup muka. Butir kata Jefri sudah kelam kabut.

Danish masih diam. Kata-kata Jefri tadi cukup membuatkan andaiannya selama ini adalah benar. Mungkin perempuan itu adalah gadis yang sama dari Kampung Keladi itu.

“Kau masih simpan nombor perempuan tu?” Danish pandang Jefri yang sudah pucat dan gelisah.

Jefri mengangguk. Dia keluarkan telefon bimbitnya dari poket seluar. Skrin di telefon bimbitnya diperhatikan seketika. Nombor perempuan yang menelefonnya malam tadi masih ada di dalam senarai ‘panggilan diterima’.

“Ni!” Jefri tunjuk kepada Danish.

Danish pula segera memeriksa nombor telefon perempuan yang menelefonnya dulu sebelum Razif meninggal. Dia cuba bandingkan nombor itu dengan nombor dalam telefon Jefri. Berkerut keningnya. Memang tidak sama.

“Hmm...siapa agaknya perempuan ni? Entah-entah perempuan di Kampung Keladi tu tak?” Danish mengusap dagu.

“Haish! Takkan perempuan tu! Kampung dia tu jauh di hulu kampung tu! Kau ni pun! Biarlah logik sikit. Kalau perempuan tu, takkan dia tahu nombor telefon kita, kat mana kita tinggal atau kita buat apa. Aku tengok dia pun aku dah tahu! Perempuan kampung macam tu, naif!” Jefri sengih.

Danish jeling Jefri yang sudah berubah riak. Tadi bukan main lagi pucat dan gelisah. Alih-alih sudah tersengih macam kerang busuk!

“Aku bukan apa..tak mustahil semua tu. Apa yang kita semua dah buat kat dia empat tahun dulu tu adalah salah Jef. Kita jangan ambil mudah semua tu! Dia pun ada perasaan. Tengok Razif tu, tiba-tiba bunuh diri. Tak pelik ke tu?” Danish mengetap bibir.

Jefri diam seketika. Kejadian empat tahun dulu di Kampung Keladi mula berputar satu persatu. Memang kejadian itu bukan sengaja dirancang. Semuanya kebetulan. Razif yang mulakan semua itu!

“Dah! Jangan difikirkan sangat. Kita tunggu laporan siasatan kes Razif tu. Betul ke dia bunuh diri atau dibunuh. Aku ingat lepas habis bedah siasat tu, aku nak ziarah keluarga dia. Kau nak ikut tak?” Danish menenangkan Jefri yang sudah mula diam.

...bersambung

Bab akan datang:

Apa yang telah Jefri lakukan empat tahun dulu di Kampung Keladi?

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience