SATU hembusan nafas yang kasar terhela oleh Safwan. Farhan, Nadia, Maryam dan Nazirah terlopong mendengar kisah hidup Safwan yang baru selesai diceritakan lelaki tersebut. Mereka tidak menyangka ujian hidup yang di lalui oleh Safwan begitu penuh dengan ranjau dan onak berduri.
Farhan tersenyum menatap wajah adik iparnya itu. Sekarang dia mulai faham maksud Ustaz Razali yang mengatakan takdir yang membawa Safwan ke sana untuk masa depan yang terbaik buat lelaki muda itu. Dari cerita yang disampaikan oleh Safwan, maka benarlah, suasana di pondok tersebut telah mengubah hidup Safwan secara menyeluruh. Farhan menepuk bahu Safwan yang sedang duduk disebelahnya.
“Sejak keluar dari penjara dulu, saya dah tak sentuh benda-benda haram tu.. Saya dah berjanji pada diri saya sendiri dan akan tetap pegang janji saya kepada Alyaa.” Safwan mengukirkan senyuman sambil menurunkan pandangan matanya.
“Tak lama lepas duduk kat pondok tu, Alyaa ada call saya. Dia masih tak tahu apa yang berlaku kat saya masa tu. Dia call bagitau dia perlukan duit untuk beli buku. Masa tu saya cuma ada duit lima puluh yang abang bagi kat saya tu je.. Duit tu la saya bank in, bagi kat adik saya tu. Kemudian saya terus berfikir, nanti dia pasti perlukan duit lagi. Sebab tu saya terlintas kat fikiran untuk gunakan tanah abang tu buat tanam sayur. Setidaknya hasil jualan sayur tu saya boleh bagi kat Alyaa sikit. Dia dah jadi tanggungjawab saya sebagai seorang abang. Saya berterima kasih dan terhutang budi kat abang sebab dah izinkan saya guna tanah tu. Sekarang dah semakin besar pula kebun tu. Segan pula saya duk guna tanah abang tapi abang tak nak ambil sewa.” Safwan melanjutkan kata-katanya. Farhan pula terus tersenyum dan menepuk-nepuk paha adik iparnya itu sebelum meluahkan kata.
“Saf.. tak perlu nak berterima kasih kat abang.. Sepatutnya kau patut berterima kasih kat Nadia. Sebenarnya dari pusaka arwah ayah, rumah ni kami berikan kepada mak, tanah tu milik Nadia. Abang pula dapat tanah getah kat hujung kampung tu. Tapi hasil getah orang duk toreh tu kami bahagi bersama. Abang pun tak pindah dari rumah ni sebab nak jaga mak dan Nadia. Abang tunggu Nadia kahwin je dulu, nanti baru abang dengan kak Ira akan pindah ke rumah lain. Sekarang kau dah jadi suami Nadia..Jadi, kau juga berhak gunakan tanah tu.. takkan la Nadia nak ambil sewa dari suami dia..tapi hal tu, kau tanyakan Nadia sendiri la.. Hahaha.. Apa pun, nanti abang akan pindah keluar juga dari rumah ni.” Farhan mengatakan perkara sebenar sambil menyampaikan hasratnya.
“Eh, abang tak payah la pindah.. Duduk je la kat rumah ni sama-sama.” Nadia cuba menghalang niat Farhan.
“Betul tu bang.. Ira pun kalau boleh nak duduk kat rumah ni je.. Boleh juga jaga mak sekali dengan Nadia. Lagipun, takde la Ira duk sorang-sorang kat rumah kalau abang takde. Kat rumah ni ada juga Nadia dan Mak untuk jadi kawan Ira.” Nazirah mula bersuara menyampaikan pendapatnya. Farhan memandang wajah isterinya sambil termenung seketika.
“Suka hati awaklah.. Abang nak awak dapat duduk kat rumah yang selesa bagi awak je. Kalau awak selesa untuk tinggal kat rumah ni pun, abang ikutkan je.. Apa yang baik untuk awak, baiklah untuk abang.” Farhan tersenyum kearah isterinya yang tercinta.
Dia kemudiannya mengalihkan pandangan ke arah Safwan yang duduk di sebelahnya. Adik iparnya itu diam membatu sambil termenung jauh. Entah apa yang sedang difikirkan oleh Safwan sehingga dia mengelamun jauh dan tidak mengendahkan orang lain di ruang tamu rumah mereka itu.
“Saf.. apa yang kau fikirkan lagi?” Farhan menyapa. Suara Farhan itu menyedarkan Safwan dari lamunan.
“Tak.. saya sebenarnya nak minta maaf kat kalian semua sebab selama ni saya tak berterus terang mengenai diri saya. Saya sembunyikan kejahatan yang dah saya lakukan.. Saya malu bang.. Saya bekas banduan.. Kalau kalian nak benci saya pun, takpelah.. Saya terima dengan redha..”
“Saf.. semua orang ada kisah silam.. Semua orang pernah berbuat salah.. Lagipun kau dah berubah. Jadikan masa lepas kau tu sebagai pengajaran.. Yang penting, jangan ulangi kesilapan yang sama. Sebesar apapun dosa kita, pintu taubat Allah sentiasa terbuka. Lagipun siapalah kami untuk menghukum.. Hanya Allah yang layak menghukum. Lihatlah, sekarang Allah dah ubah hidup kau..benarkan apa yang Ustaz Li katakan dulu? Hidup kau akan berubah lebih baik jika tinggal di pondok tu. Allah dah takdirkan perjalanan hidup kau. Sesungguhnya Allah takkan uji hambaNya itu melampaui kemampuan hamba tersebut. Pasti ada sebabnya Allah letakkan kau dalam dunia porak poranda dahulu, kemudian ubah hidup kau ke arah lebih baik. Kalau abang yang duduk di posisi kau, mungkin abang takkan mampu jadi macam kau sekarang.. Sebab Allah tahu abang tak mampu tanggung apa yang kau dah tanggung. Takdir Allah kita tak mampu ubah.. Tapi kita boleh ubah nasib diri kita. Macam kau, Allah takdirkan kau membesar dalam suasana macam tu dan hantarkan kau ke tempat ni. Tapi nasib kau, kau sendiri yang tentukan dan kau dah berjaya ubah nasib kau.. Andaikata kau tolak tawaran Ustaz Li dulu, tak tinggal kat pondok tu, mungkin sampai sekarang kamu masih menjadi gelandangan kat pekan tu. atau silap-silap kembali masuk penjara sebab mencuri, menyamun orang.. Allah tetapkan takdir kita tapi masih beri kita pilihan. Tergantung kita je nak pilih yang mana.. Jalan baik atau jalan buruk.. Tapi setiap tindakan kita akan dicatat dan di hari pembalasan nanti, Allah akan balas balik setiap perbuatan kita tu. Alhamdulillah, abang gembira kau mampu berubah dan pilih jalan yang di redhai oleh Allah.” Farhan bersyarah seperti memberi kuliah. Semua orang hanya menganggukkan kepala mereka mendengarkan kata-kata Farhan yang juga selaku guru mengaji al-quran itu.
“Siapa pun abang di masa lepas, yang penting sekarang abang dah berubah dan menjadi orang yang baik. Tetaplah menjadi diri abang yang sekarang.” Nadia duduk di hadapan Safwan sambil menompangkan kedua belah tangannya di atas paha suaminya yang sedang bersandar di sofa. Safwan tersenyum kelat dan memegang lengan Nadia.
“Yang lepas tu, biarlah lepas Safwan.. Tak perlu difikirkan lagi.” Maryam pula bersuara, menyemangati menantunya itu.
Ibu itu tidak mahu Safwan terus merasa bersalah mengenangkan masa lalunya. Safwan tersenyum lagi. Dia benar-benar bersyukur kerana diberikan keluarga yang baik seperti itu. Keluarga isterinya itu sangat harmoni dan bahagia. Sama sekali tidak sama seperti keluarganya walaupun Maryam dan Kartini sama-sama seorang ibu tunggal yang membesarkan dua orang anak.
Malah kedua anak mereka juga masing-masing seorang lelaki dan seorang perempuan. Fikir Safwan, mungkin kerana itulah pentingnya didikan serta pegangan agama dari sesebuah keluarga. Malah ketua keluarga seharusnya mempunyai sedikit harta yang boleh dipusakai oleh warisnya setelah meninggal untuk keluarganya mempunyai nafkah bagi meneruskan kehidupan mereka.
Walaupun harta itu bukanlah keutamaan, namun setidaknya dari kisah hidup Maryam, dia mampu membesarkan anak-anaknya dengan berbekalkan wang dari hasil kebun getah peninggalan suaminya. Kartini pula terpaksa keluar berniaga mencari nafkah sehingga menimbulkan fitnah ke atas dirinya serta anak-anak juga semakin terabai dan gagal mendapat kasih sayang secukupnya dari ibu mereka. Tidak lama kemudian, Safwan mengeluh sekali lagi dengan helaan nafas yang kuat.
“Kenapa lagi Saf? Tak baik duk mengeluh..” Maryam memberi nasihat.
“Bukan apa mak.. Saf cuma fikir, apa lagi yang si Azlan tu tak puas hati dengan Saf.. kenapa sampai sanggup buat fitnah sampai letakkan dadah, pil kuda tu untuk buat Saf kena tangkap kat polis.” Sebenarnya Safwan sebentar tadi memikirkan keadaan keluarga Ustaz Razali.
Walaupun keluarga ustaz itu di diberikan ilmu agama malah sosok Ustaz Razali sendiri disegani oleh masyarakat kerana ketokohannya dalam bidang agama, namun anak lelakinya pula bersikap sedemikian. Walaupun mempunyai latar belakang agama, namun mengapa Azlan masih sanggup berbuat kejahatan. Malah itu bukanlah kali pertama Safwan di fitnah oleh lelaki tersebut. Dahulu dia juga memfitnah Safwan dan Nadia berzina selepas dia gagal apabila cuba menodai Nadia. Sungguh berat fitnah-fitnah yang dia ciptakan.
“Begitulah perangai orang yang tidak mempunyai iman dan perasaan takut kepada Allah. Malu keluarga Ustaz Li dapat anak macam si Azlan. Menconteng arang ke muka keluarga. Betullah, iman tu tak dapat di warisi walau dari ayah yang bertakwa. Jangankan Azlan, anak nabi Nuh, anak nabi Luth pun boleh termasuk dalam golongan yang dimurkai oleh Allah, apatah lagi kalau cuma anak ustaz dan orang biasa.” Farhan menjawab persoalan yang diajukan oleh Safwan.
“Dah lewat malam ni, saya masuk tidur dulu la..” Safwan memaut lengan Nadia dan mendorong isterinya itu untuk bangkit berdiri bersamanya.
“Ah, jom la.. Semua orang masuk tidur.” Maryam turut bersuara sambil bergerak perlahan-lahan menolak tangannya ke lantai untuk bangkit berdiri. Mereka kemudian masuk ke bilik tidur masing-masing.
Di dalam bilik tidur, Safwan segera merebahkan badannya di atas tilam empuk katilnya. Dia ingin segera melelapkan mata. Terpaksa dikurung di lokap balai polis hari ini benar-benar mengganggu jiwanya. Namun Safwan turut merasa lega apabila dia akhirnya sudahpun menceritakan kisah sebenar hidupnya kepada keluarga barunya tadi.
Dia bersyukur keluarga isterinya itu menerima seadanya diri beliau. Udara sejuk yang terasa kerana hujan lebat pada malam itu membuatkan Safwan ingin lebih melelapkan matanya dengan kadar segera. Namun niat Safwan tiba-tiba tergendala. Dia membuka kembali kelopak matanya yang sudah dipejam apabila Nadia memeluk tubuhnya dan meletakkan kepala pada dada suaminya itu.
“Sayang??” Safwan bersuara perlahan memanggil Nadia.
“Mmm..” Nadia hanya mengeluarkan bunyi bergumam sambil menggeselkan pipinya ke dada Safwan. Kepala Nadia kemudian perlahan-lahan bergerak menuju ke leher suaminya itu. Tiba-tiba Safwan memejamkan kembali matanya apabila merasakan kehangatan dari bibir Nadia yang menyentuh lehernya. Dirinya kembali merasa segar serta merta. Tangan Safwan mula merayap dan merangkul pinggang isterinya itu. Malam yang dingin itu terasa sangat membahagiakan. Segala kesulitan yang dia alami pada hari tersebut hilang dari fikiran Safwan.
Share this novel