Bab 28 (part 1)

Romance Series 8087

HATINYA terasa sangat bahagia apabila berjaya mengisi makan perutnya yang sudah kelaparan selama dua hari. Safwan yang keluar dari kedai makan melihat wang baki di tangannya sebanyak dua ringgit. Wang tersebut kemudian dimasukkan ke dalam saku seluar dan Safwan mula menyambung menghayunkan langkah kakinya, meneruskan perjalanan hidupnya sebagai gelandangan yang tiada arah tujuan.

Sedang berjalan menikmati pemandangan sekitar, telinga Safwan menangkap bunyi gema laungan azan. Safwan tahu itu adalah laungan azan yang menandakan telah masuk waktunya solat zohor. Walaupun mendengar azan setiap hari, namun Safwan sering mengabaikan seruan yang mengajak kepada kejayaan tersebut. Tetapi kali ini hati Safwan tiba-tiba terusik apabila mendengar laungan azan yang berkumandang itu. Dia segera menggerakkan langkah kakinya untuk mencari arah masjid yang menjadi punca laungan tersebut.

Apabila tiba di pekarangan masjid, suara iqamah pun kedengaran. Safwan pula cuba mengabaikan panggilan untuk solat dan hanya mencari tandas terlebih dahulu di sekitar pekarangan masjid. Dia yang sudah beberapa hari tidak mandi mula membersihkan dirinya di tandas masjid tersebut. Safwan memejamkan matanya sambil menjirus air di kepala. Terasa dingin dan damai apabila air mula menyentuh kulitnya. Setelah berulang kali menyiram air ke suluruh tubuh, Safwan menggosok badannya untuk menyental daki-daki yang sudah bersarang, menempel memenuhi setiap ruang tubuhnya. Air yang memenuhi baldi di cedok lagi oleh Safwan menggunakan gayung dan menyiram lagi badannya. Tubuhnya terasa kembali segar. Penglihatan dan fikirannya juga terasa lebih jernih dan lapang. Selesai mandi, Safwan mengenakan kembali baju dan seluarnya yang agak lusuh dan berbau. Dia tiada pilihan lain selain memakai pakainnya itu. Baju dan seluar yang sehelai itulah satu-satunya pakaian yang dimiliki oleh Safwan. 

Setelah keluar dari tandas, Safwan melihat para jemaah di masjid sudah pun bersurai dan ramai yang mula beredar meninggalkan pekarangan masjid tersebut. Solat zohor berjemaah sudah pun selesai dilaksanakan oleh mereka. Safwan pula langsung menuju ke arah bangunan masjid. Apabila memasuki ruang solat, terlihat masih terdapat beberapa orang yang sedang bersolat sunat sendirian dan ada juga yang sedang mengaji al-quran.

Safwan meletakkan punggungnya ke lantai dan duduk bersandar di dinding masjid sambil memerhatikan tindak tanduk setiap orang. Alunan suara orang yang sedang membaca musyaf al-quran terdengar di telinga Safwan. Safwan memejam matanya, menghayati bacaan ayat suci tersebut walaupun dia langsung tidak memahami makna dari ayat berbahasa arab itu.

Fikirannya mula melayang, mengingati perjalanan hidupnya sejak keluar dari penjara. Sejak peristiwa dia di tuduh mencuri duit dari tabung surau di kampungnya, Safwan tidak lagi menunaikan solat dan membaca al-quran. Dia mula merasakan dirinya penuh dengan dosa dan menyesal dengan perbuatannya. Kerana tidak berpuas hati dengan Paksu Nasir dan beberapa orang yang menyindirnya sebagai berlagak alim setelah keluar dari penjara, Safwan langsung meninggalkan ibadat yang di perintahkan oleh Allah kepada setiap hambaNya.

Dia juga meninggalkan rutin membaca al-quran sejak berada di dalam penjara dahulu. Terdetik di hati Safwan, kehidupannya di penjara adalah lebih baik berbanding di dunia luar yang bebas itu. Setidaknya, di dalam penjara, dia sentiasa solat dan mengaji al-quran dengan bimbingan ustaz. Tapi apa maknanya kehidupan jika dia terus terkurung ibarat burung di dalam sangkar. Sebagai manusia, tugasnya adalah menjadi khalifah untuk memakmurkan bumi ini. Maka kerana itu, manusia memerlukan kebebasan untuk memakmurkan bumi seraya beribadat kepada Allah.

Tiba-tiba Safwan tersedar dari lamunannya apabila pahanya ditepuk oleh seseorang. Safwan segera melihat ke arah orang yang menepuk pahanya.

“Apa yang kau fikirkan anak muda?” Seorang lelaki tua duduk di sebelah Safwan seraya menyapa anak muda itu.

“Takde apa-apa..” Safwan tersenyum kelat kepada orang tua tersebut sambil menggelengkan kepalanya.

“Jika ada kesulitan, mohonlah kepada Allah untuk di permudahkan.. Jika ada kesempitan, mohonlah kepadaNya untuk dilapangkan..” Orang tua itu tersenyum kepada Safwan. Wajahnya yang berkedut itu terlihat berseri dan mendamaikan mata yang memandang.

“Iya..” Safwan mengangguk sambil menjatuhkan pandangannya. Dia tidak tahu apa yang harus dibualkan bersama lelaki tua itu. 

“Saya pergi dulu..” Safwan meminta diri untuk beredar seraya bangkit berdiri secara perlahan. Dia terasa kekok untuk bersua muka bersama lelaki tua yang terlihat ramah itu.

“Ingatlah anak muda.. Allah sudah beritahu caranya untuk kita mendekatkan diri kepadaNya. Carilah Allah, insyaallah Allah akan sentiasa bersamamu.” Orang tua itu memberikan nasihat terakhir sebelum mereka berpisah. Safwan tersentak mendengar kata-kata orang tua itu. 

“Adakah dia sindir aku sebab aku tak solat? Padahal aku sudah berada di masjid, tapi tak juga solat, mendekatkan diri kepada Allah..” Safwan bermonolog.

Hatinya terasa bergetaran. Dia mula merasa takut jika mendapat kemurkaan Allah. Namun lelaki muda itu tetap dengan egonya dan mula berjalan meninggalkan lelaki tua itu. Apabila menghampiri pintu keluar dari ruang solat masjid berkenaan, Safwan melihat ke arah tabung masjid yang diletakkan berhampiran muka pintu. Dia teringat baki wangnya yang masih tersisa dua ringgit. 

“Setakat dua ringgit, nak beli nasi pun tak lepas.. Baik sedekah kat masjid je la.. Nak solat pun aku dah malas..setidaknya biar la ada sedikit amal untuk akhirat.” Hati Safwan terus bermonolog.

Tangannya laju menyeluk saku seluar dan mengeluarkan duit terakhir yang masih dimilikinya lantas di masukkan ke dalam tabung masjid tersebut. Safwan terus melangkah keluar dari ruang solat dengan hayunan kaki yang laju. 

Di muka pintu masuk sebelah muslimah, Nadia dan Aisyah sedang berjalan menuju ke ruang solat. Aisyah yang berada sedikit lebih terkebelakang dari Nadia segera menarik lengan sahabatnya itu apabila melihat Safwan yang keluar dari pintu ruang solat lelaki.

“Nadia.. Itu bukan ke lelaki yang tolong tangkap peragut tadi?” Aisyah menginginkan kepastian dari sahabat yang bersama dengannya ketika itu. Nadia mengalihkan pandangan dan mula memfokuskan penglihatannya ke arah yang di tunjuk oleh Aisyah.

“Ah.. betul la dia.” Nadia memberi pengesahan.

“Tak sangka, orang serabai macam dia pun tetap menjaga solat.” Aisyah mula kagum dengan lelaki yang menjadi wira di mata mereka tadi.

“Itulah, jangan bersangka buruk kat orang.. Dia pun dah tolong kita tadi. So, jelas la dia orang yang baik.. Mungkin nasibnya tak sebaik kita dan terpaksa hidup sebagai gelandangan.” Nadia mengulangi nasihat yang diberikannya kepada Aisyah tadi.

“Dari percakapan dia, rasanya dia bukan orang sini..” Aisyah melihat Safwan yang sedang menuruni anak tangga masjid dari kejauhan. 

“Dah la.. Jom la kita solat dulu.” Nadia pula yang menarik lengan Aisyah untuk segera menuju ke ruang solat bagi menunaikan kewajipan yang telah di syariatkan.

Setelah memakai selipar, Safwan berjalan untuk meninggalkan masjid. Di pekarangan masjid, anak muda itu terlihat seorang lelaki yang sedang menggaru-garukan kepalanya di hadapan sebuah van.

Dari raut wajah lelaki tersebut, Safwan dapat mengagak bahawa lelaki itu pasti sedang mempunyai masalah dengan kenderaannya. Dia yakin kenderaan lelaki itu tidak dapat dihidupkan enjinnya berdasarkan situasi yang terlihat. Walaupun tiada pengetahuan dan kemahiran mengenai enjin, namun Safwan cuba mendekati lelaki tersebut untuk menghulurkan bantuan. 

“Kenapa bang? Enjin tak hidup ke?” Safwan mula menyapa. Dia sendiri tidak tahu mengapa dia harus menyapa lelaki berkenaan dan mempunyai niat untuk membantu walaupun dia sendiri tiada kemahiran mengenai enjin untuk membantu. 

“Ah.. tak tahu kenapa..tiba-tiba enjin tak hidup pula.. Saya dah la nak kena cepat ni.. Dah terlambat nak hantar ikan keli.” Farhan menggarukan kepalanya yang tidak gatal. 

“Boleh saya tolong tengokkan? Abang cuba start enjin..” Safwan menawarkan diri untuk membantu walhal dia sendiri tidak tahu apa yang harus di lakukan terhadap enjin kenderaan itu. 

“Ada sepanar?” Safwan meminta peralatan membaiki dari Farhan. Farhan kemudian mengeluarkan bekas peralatan miliknya dan Safwan segera mencari alat yang dia perlukan. Walaupun tidak tahu masalah sebenar enjin van itu, Safwan tetap ingin mencuba. 

“Cuba hidupkan enjin sekali lagi..” Safwan berlagak seperti seorang mekanik yang mahir. Farhan hanya mengikut arahan yang diberikan kepadanya. Lelaki itu kemudian tersenyum apabila enjin kenderaannya kembali berfungsi dan mengeluarkan bunyi menderam.

“Alhamdulillah.. Nasib baik awak datang tolong.. Kalau tak, tak tahulah saya macam mana.. Terima kasih.. Terima kasih dah tolong saya.” Farhan merasa sangat beryukur dan tidak lupa mengucapkan rasa terima kasihnya kepada Safwan.

“Saya pun sebenarnya tak tahu pasal enjin ni.. Cuma tadi saya tengok, skru bateri macam dah longgar je.. Jadi saya tolong ketatkan. Itu je..” Safwan merasa segan menerima pujian dan menjelaskan keadaan yang sebenar.

“Awak ni dari mana? Awak bukan orang sini kan?” Farhan ingin tahu. Dia dapat mengenal pasti bahawa Safwan bukanlah orang tempatan sekitar kawasan tersebut memandangkan loghat percakapannya. Malahan lelaki muda itu terlihat tidak terurus dan kelihatan seperti gelandangan.

“Ah.. saya bukan orang sini bang.. Saya dari Tanah Merah. Macam-macam dah berlaku sampai saya pun jadi bingung dan tak tahu macam mana boleh sampai ke sini. Sekarang saya tak tahu kemana patut saya pergi. Saya ikut je kaki saya nak pergi kemana.. Sekarang duit pun dah takde.” Safwan tidak tahu kenapa dia harus berterus terang dengan lelaki yang baru dijumpainya itu. 

“Masyaallah.. Kalau begitu jom la ikut abang.. Abang dah lambat ni nak kena hantar ikan keli. Jom naik van ni dulu.. Nanti kita sambung bersembang.” Farhan mempelawa Safwan untuk menaiki kenderaan bersamanya. Safwan yang sedar dirinya masih tiada arah tujuan, tanpa menolak langsung mengikut saranan Farhan dan mengambil tempat duduk di tempat duduk penumpang kenderaan lelaki yang baru dikenalinya itu.

Farhan yang mengejar masa segera meluncurkan kenderaannya meninggalkan pekarangan masjid. Ketika sedang menghala ke arah pintu pagar masjid, Safwan sempat melihat seorang lelaki tua sedang berjalan kaki yang baru keluar dari masjid tersebut. Dari kejauhan, Safwan masih dapat mengenalpasti wajah lelaki itu. Dia adalah lelaki tua yang menyapa Safwan ketika di dalam masjid tadi. Kini, lelaki tua itu tersenyum sambil memandang tepat ke arah Safwan yang sedang berada di dalam van bersama Farhan. Setelah Farhan melencongkan kenderaannya memasuki jalan utama dan meninggalkan pagar masjid, kelibat orang tua itu pun hilang dari pandangan Safwan.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience