USTAZ Razali mendekati Safwan setelah selesai membacakan hadith selepas solat asar. Safwan menyalami gurunya itu sambil mencium tangan lelaki tua tersebut. Ustaz Razali terlihat lemah dan bengkak matanya. Pengasas pondok pengajian agama tersebut melurutkan tangannya di belakang badan Safwan dengan penuh lembut.
“Safwan, saya minta maaf apa yang Azlan dah lakukan pada kamu..” Ustaz Razali dilihat berkaca matanya. Mata tua yang bengkak itu mungkin kerana menangis dan meratapi nasib keluarganya sepanjang malam tadi.
“Ustaz tak perlu minta maaf.. “
“Dia itu anak saya.. Menjadi tanggungjawab saya untuk menanggung kesalahan yang telah dia lakukan kepada kamu. Saya yang gagal mendidik dia.” Ustaz Razali mula menangis, kesal dengan tindakan Azlan terhadap Safwan.
“Masyaallah.. Ustaz.. Azlan sudah besar. Dia sendiri yang perlu bertanggungjawab atas tindakan dia. Ustaz dah didik dia sebaik mungkin. Tapi apa yang dia lakukan, itu pilihan dia sendiri. Bukankah hidayah itu milik Allah? Kita hanya mampu menyampaikan ilmu dan berdoa untuk sesiapa agar diberikan hidayah. Tapi hanya Allah yang berhak menentukan, Dia ingin berikan hidayahNya kepada siapa.” Safwan cuba mengingatkan Ustaz Razali agar guru agamanya itu tidak terus menyalahkan dirinya sendiri kerana kesalahan yang di lakukan oleh anaknya.
“Kamu benar Safwan.. Tapi saya tetap merasa malu kepada kamu kerana yang berbuat jahat kepadamu itu bukan orang lain tapi anak saya sendiri..”
“Kita doakan sahaja Azlan akan diberikan hidayah dan segera bertaubat kepada Allah. Tentang saya, saya dah maafkan dia.. Sekarang hanya tinggal urusan dia dengan Allah sahaja.” Safwan berkata dengan ikhlas sambil memeluk dan mencium kedua belah pipi Ustaz Razali. Ustaz tua itu menangis semakin kencang. Adab dan akhlak Safwan jauh lebih baik berbanding anaknya sendiri. Dia yang tidak dapat menahan dirinya segera mengucup dahi dan ubung-ubun Safwan. Anak muda itu dikasihinya sama persis anaknya sendiri walaupun hanya baru beberapa bulan mengenali Safwan.
“Semoga Allah sentiasa merahmatimu Safwan..” Ustaz Razali mengucapkan kalimah doa buat anak muda yang menjadi muridnya itu. Safwan sangat terharu apabila mendengar ucapan gurunya yang mendoakan dirinya. Tangan Ustaz Razali segera dicapai oleh Safwan dan dia langsung mencium tangan yang sudah berkedut itu berkali-kali. Hati kecilnya berharap dia akan mendapat mengambil sedikit berkat dari orang alim tersebut.
Setelah pulang dari pondok Ustaz Razali, Safwan kembali ke rumahnya untuk menukar pakaian sebelum pergi ke kebun sayurnya. Baru sahaja masuk ke kawasan kebun yang sudah dipagarinya, Safwan terkejut apabila melihat Azlan sedang bersembunyi di kawasan penanaman sayur tersebut.
“Kau masih tak ditangkap rupanya.. Apa tujuan kau datang ke sini?” Safwan mula bertanya apabila melihat keadaan Azlan yang tidak terurus. Sejak malam tadi, dia tidak pulang ke rumah dan bersembunyi dari di tangkap oleh polis.
“Aku kesini untuk membalas dendam aku kat kau.. Jangan harap polis dapat tangkap aku.. Aku akan pastikan hari ini kau lenyap selamanya Safwan!” Azlan bersuara keras sambil menatap tajam ke arah Safwan. Tiba-tiba Azlan mengeluarkan sepucuk pistol dan menghalakan senjata tersebut ke arah Safwan.
“Mampus kau!” Azlan melepaskan satu das tembakan ke arah Safwan. Safwan yang bertindak pantas, dengan lincah dapat mengelakkan serangan peluru dari Azlan itu. Safwan yang tidak ingin menunggu nyawanya melayang hasil tembakan dari Azlan segera berlari ke arah lawannya itu dan berjaya memegang tangan Azlan yang sedang memegang pistol. Satu lagi tembakan dilepaskan apabila Azlan tertekan picu pistolnya namun peluru dari senjata tersebut hanya laju menyusur angin.
Safwan dengan cekap memaut tangan Azlan seraya memusingkan badannya ke arah belakang badan Azlan dan memijak lutut lelaki itu menyebabkan Azlan melutut ke bumi. Pistol di tangan Azlan di pulas dan dirampas oleh Safwan dan lelaki itu segera mencampakkan senjata tersebut agar tidak dapat digunakan oleh musuhnya itu.
Safwan seterusnya menumbuk telinga Azlan sehingga menyebabkan anak Ustaz Razali itu meronta kesakitan. Setelah meronta beberapa saat, Azlan berjaya melepaskan dirinya dari pegangan Safwan. Satu tendangan dari Azlan hinggap ke perut Safwan.
Azlan yang kelam kabut langsung menyerbu ke arah Safwan sambil menumbuk muka lelaki yang sering mengganggu rencananya itu. Mereka berdua rebah ke bumi sambil bergulingan. Pergelutan dan aksi tindih menindih serta tumbuk menumbuk pun berlaku. Badan mereka berdua sudah kotor berlumuran debu tanah. Ketika itu, Farhan dan Nadia mula keluar dari rumah mereka dan beberapa pelajar di pondok pengajian agama juga keluar ke arah kebun apabila dikejutkan dengan bunyi tembakan dari pistol sebentar tadi.
Safwan kemudian menendang Azlan sehingga lawannya terpelanting ke belakang dan bergolek beberapa kali. Namun malangnya, Safwan tidak sedar tindakannya itu telah menghantar Azlan mendekati pistolnya yang telah dilempar oleh Safwan tadi.
Safwan yang melihat sebatang kayu, segera mencapai objek keras tersebut dan berlari menuju ke arah Azlan. Azlan yang menyedari keberadaan pistolnya juga turut mendapatkan kembali senjatanya itu dan segera mengacukan senjata tersebut ke arah Safwan. Azlan langsung menarik picu dan satu tembakan dilepaskan.
Safwan tanpa membuang masa ingin menamatkan pergelutan itu dengan segara dan memukul kepala Azlan dengan kayu di pegangannya. Safwan mengulangi hanyunan kayu ke arah Azlan dan memukul lawannya sehingga berlumuran daran dan tidak sedarkan diri.
Setelah menyedari Azlan sudah terkulai layu, Safwan pun menghentikan serangannya. Kepalanya terasa sedikit pening. Kemudian Safwan baru menyedari bajunya sudah merah berlumuran darah. Telapak tangannya segera menyentuh perut dan Safwan merasa kesakitan pada perutnya itu.
Rupa-rupanya tembakan daripada Azlan tadi telah mengenai dan menembusi kulit Safwan pada bahagian perutnya. Safwan melihat tapak tangannya yang berlumuran darah. Dadanya pula berdebar kencang sambil menghela nafas yang tercungap-cungap. Kepalanya semakin pening akibat kehilangan darah yang banyak dan masih tidak berhenti mengalir keluar dari perutnya yang sudah tembus itu. Dunia dirasakan berputar laju dan pandangannya mulai kabur. Safwan kemudian terus rebah ke bumi, tidak mampu untuk terus berdiri. Penglihatannya mula gelap.
“Allah.. Allah.. La..ilaha.. Illallah.. Muhammadur..” Suara Safwan tersekat-sekat dan semakin perlahan. Kalimah tauhid yang disebutnya juga tidak jelas kedengaran sepenuhnya.
“Safwan!!” Farhan yang baru tiba segera memangku Safwan yang sudah tidak sedarkan diri. Beberapa orang remaja yang menghuni di pondok pengajian agama Ustaz Razali juga mula mengerumuni kawasan tersebut sebelum Nadia tiba.
Nadia sekali lagi seperti orang gila apabila melihat suaminya sudah terkulai layu berlumuran darah. Padahal baru semalam dia menangis sebegitu apabila suaminya itu ditahan dan dibawa pergi oleh anggota polis. Namun hari ini dia sekali lagi menjadi sasau setelah melihat suaminya ditembak di depan matanya sendiri.
“Abang!” Kenapa harus jadi begini Ya Allah? Selamatkanlah suamiku Ya Allah..” Nadia menumpahkan air matanya dengan deras sambil memeluk batang tubuh Safwan yang berada di pangkuan Farhan. Baru semalam menyaksikan adiknya itu seperti kerasukan, malah hari ini kejadian sama berulang lagi. Farhan juga sudah tidak mampu menahan empangan air matanya. Akhirnya air mata lelaki itu tumpah juga mengalir di pipinya.
“Mengucap Nadia.. Banyakkan istighfar..” Farhan mengelus kepala Nadia agar adiknya itu lebih tenang dan bersabar.
“Tolong.. Abang bangunlah.. Jangan tinggalkan sayang..” Nadia meraung dengan kuat sambil memeluk erat tubuh Safwan sambil menggoncangkan tubuh suaminya itu. Seketika kemudian esakan Nadia semakin perlahan seterusnya langsung diam. Farhan semakin cemas apabila melihat adiknya itu turut tidak sedarkan diri di pangkuan Safwan. Farhan tidak mampu untuk bergerak memandangkan dia sedang memangku tubuh Safwan manakala Nadia pula berada di atas badan suaminya itu.
“Tolong! Call ambulans..” Farhan meminta tolong kepada sekumpulan remaja yang masih berkerumun di sekelilingnya. Dari kejauhan, kelibat Aisyah dan Ustaz Razali terlihat sedang menghampiri. Bertentangan arah dengan mereka pula, Nazirah terkocoh-kocoh sedang berlari anak menuju ke arah yang sama.
Share this novel