Bab 39 (part 2)

Romance Series 8087

Hari ketiga di bumi Langkawi, urusan mereka bersama keluarga pengantin baru selesai. Kini acara melancong mereka ke pulau lagenda itu baru akan bermula. Farhan dan Safwan memutuskan untuk mula menjelajah pulau tersebut setelah mereka selesai menunaikan solat Jumaat di masjid yang berdekatan. Pulang dari masjid, mereka sekeluarga terus menuju ke arah Pantai Cenang bagi mencuci mata sambil mencari makan. Selesai mengambil angin di tepi laut, mereka meneruskan perjalan menuju ke Dataran Lang yang turut menjadi lokasi utama tarikan pelancong ke pulau tersebut. 

Perjalanan yang memakan masa hampir setengah jam itu tidak terasa penat oleh mereka apabila berjaya melihat tugu seekor burung helang yang bersaiz gergasi. Nadia, Nazirah dan Alyaa begitu bersemangat untuk bergambar dengan berlatar belakangkan monumen yang menjadi mercu tanda kepada pulau Langkawi itu. Maryam, Farhan dan Safwan juga malah dipaksa oleh mereka untuk turut bergambar bersama binaan ikonik pulau Mahsuri tersebut. Dikatakan, sesiapa yang tidak sampai ke Dataran Lang, bermakna mereka belum menjejakkan kaki ke Langkawi. Begitu identik sekali tugu helang gergasi yang sedang melebarkan sayapnya itu dengan nama pulau pelancongan tersebut. Mereka menghabiskan masa di sana sehingga melepasi waktu isyak. Suasana pada waktu malam berbeza sama sekali berbanding waktu siang. Di sana di penuhi dengan para pelancong termasuk dari dalam dan luar negara.

Dari Dataran Lang, mereka beralih pula untuk menyaksikan menara MAHA yang turut menjadi mercu baharu kepada pulau pelancongan itu. Keindahan menara itu pada waktu malam begitu memukau pandangan mata mereka. Walaupun Safwan tampak bersahaja dan tidak berminat untuk sering bergambar, namun dia benar-benar teruja dan gembira kerana buat pertama kali dalam hidupnya, dia keluar bersiar-siar bersama keluarga dan menikmati suasana melancong. Dia yang membesar dalam keadaan serba daif bersama ibu dan adiknya, Alyaa tidak pernah merasakan pengalaman melancong dan makan angin. Dalam diam, Safwan mengukir seulas senyuman apabila melihat Alyaa begitu gembira bergambar bersama Nadia dan Nazirah. Tiba-tiba hati kecilnya mengingatkan ibunya, Kartini yang sedang berada jauh di kampung halaman mereka. Alangkah bahagianya jika ibunya itu turut berada bersama mereka pada ketika itu.

Mereka menamatkan sisa malam tersebut dengan menjamu selera di kedai ikan bakar yang popular di sana. Pengunjung yang memenuhi ruang restoran menyebabkan mereka terpaksa menunggu sedikit lambat untuk mendapat hidangan yang dipesan. Setelah perut terisi, mereka kembali semula ke rumah tumpangan untuk beristirehat. Sesampainya di rumah tumpangan, Safwan dan Farhan bersama-sama merebahkan badan mereka untuk bersandar pada sofa di ruang tamu. Nazirah yang tadinya sudah masuk ke bilik, kembali keluar ke ruang tamu dan melihat dua orang lelaki yang sedang kepenatan.

“Abang nak minum air?” Nazirah bertanyakan suaminya. Farhan segera membetulkan duduknya di sofa sambil mengambil alat kawalan jauh televisyen untuk menghidupkan peralatan elektronik tersebut.

“Boleh juga.. Buat teh o pun takpe..” Farhan menjawab pertanyaan isterinya. Nazirah kemudian segera menuju ke arah dapur rumah tumpangan yang disewa oleh mereka itu. Seketika kemudian, Nadia turut keluar kembali dari biliknya selepas membuka tudung di kepalanya. Dia segera menuju ke arah dapur untuk bersama Nazirah. Alyaa turut keluar ke ruang tamu dengan menutup kepalanya dengan tuala. Di dalam rumah tersebut, hanya Alyaa dan Nazirah sahaja wanita yang perlu tetap menutup aurat mereka masing-masing terhadap pandangan Farhan dan Safwan. Sedangkan Nadia dan Maryam sudah tidak perlu menutup kepala mereka terhadap dua orang lelaki tersebut. Tidak lama kemudian, Nazirah dan Nadia kembali ke ruang tamu sambil membawa dulang yang berisi air teh o panas di dalam teko dan beberapa biji cawan bersama biskut kering.

“Macam mana perjalanan hari ni? Puas?” Farhan melontarkan pertanyaan.

“Belum.. Sebab tak naik kereta kabel lagi.” Nadia segera menjawab.

“Ish.. kereta kabel jauh la.. Nanti esok la kita pergi.” 

“Yeayy.. Boleh naik kereta kabel..” Nadia kegirangan selepas meletakkan pinggan yang berisi biskut kering di atas meja. 

“Ala, macam budak-budak pula..” Safwan ketawa melihat kelakuan isterinya.

“Abang tak nak naik sudah.. Biar adik dengan kak Nadia je yang naik kereta kabel.” Alyaa cuba berpihak kepada kakak iparnya.

“Tak penat lagi ke meronda seharian hari ni?” Maryam tiba-tiba muncul dari muka pintu biliknya.

“Tengah bersemangat lagi Nadia dengan Alyaa ni mak.” Nazirah tertawa kecil.

“Mak pun kena naik jugak kereta kabel esok.” Nadia tersenyum memandang ibunya itu.

“Kereta kabel? Kotak kecik yang tergantung atas udara tu? Haiishh.. Taknak la mak.. Jatuh nanti, tak sempat nak mengucap.” Maryam menggelengkan kepalanya. Gelagatnya itu mengundang ketawa besar seluruh penghuni rumah tersebut.

“Macam mana perancangan esok?” Safwan bertanya kepada Farhan.

“Esok pagi kita pergi ke beras terbakar dulu pun takpe.. Lepas tu kita pergi rumah Mahsuri.. Kalau nak naik kereta kabel sangat, kita lancar je la pergi sana. Bagi puas hati budak-budak ni..” Farhan menjelaskan perancangan yang berada di benaknya. 

“Eh, sedap mulut panggil kita budak..” Nadia menjuihkan bibirnya sambil mencuit paha Alyaa. Nazirah pula tersenyum, menggelengkan kepala menyaksikan gelagat adik iparnya sambil menuangkan air ke dalam cawan.

“Esok siapa lambat, kita tinggal..” Safwan pula bersuara.

“Nak kata kat sayang la tu..” Nadia mengerlingkan matanya kepada Safwan.

“Ye ke nak tinggal?.. Kot ada yang sengaja lambat-lambat lagi..opss..” Alyaa menutup mulutnya dengan tangan selepas tersasul dalam melepaskan kata-kata. Dia benar-benar tidak sengaja untuk terlepas cakap dan mula menyesali ucapannya itu. Nadia yang berada disebelahnya segera mencubit paha Alyaa.

“Ishh..kak..sorry la.. Tersilap cakap..” Alyaa pula yang merasa malu dan serba salah.

“Apa maksud Alyaa? Kenapa sengaja lambat-lambat?” Farhan tidak memahami maksud yang ingin disampaikan oleh adik Safwan itu. 

“Takde apa-apa lah! Dah..minum air tu.. sejuk pula air teh tu..” Nadia lantas menjawab sambil menunjukkan air teh o panas yang sudah di hidangkan oleh Nazirah sebentar tadi. Tangan kirinya pula menepuk paha Alyaa dengan geram. Farhan yang masih tidak memahami maksud mereka mengalihkan pula pandangannya kepada Safwan. Adik iparnya itu pula berlagak seperti tidak mengetahui apa yang sedang dibicarakan Alyaa dan Nadia dengan memandang ke arah siling sambil menggaru belakang lehernya.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience