SUARA gelak ketawa menghiasi ruang tamu rumah pada malam itu, seperti kebiasaan. Kehadiran Alyaa menambahkan lagi kisah yang di kongsikan di antara mereka sekeluarga. Sudah menjadi rutin bagi keluarga tersebut untuk bersembang sambil menonton rancangan televisyen setelah selesai makan malam bersama.
“Ha.. mak lupa nak bagitau, tadi Makngah ada call mak. Dia nak buat kenduri kahwin anak dia, si Julia tu. Dia suruh kita pergi la ke sana hari Rabu ni. Kenduri dia buat hari Khamis. Dia buat majlis biasa-biasa je.. Ajak anak beranak terdekat je.”Maryam menyampaikan khabar.
“Aduh.. jauhnya mak nak pergi rumah Mak Ngah..” Farhan menyandarkan badannya ke sofa seraya menepuk pahanya dengan kedua tangannya. Sebuah hembusan nafas keras dihela dari mulutnya.
“Nak buat macam mana, takkan tak pergi.. Orang dah ajak. Lagipun bukan orang lain, mak sedara kau jugak..” Maryam turut merasa berat hati.
“Nadia kahwin dulu pun Mak Ngah tak datang kan?” Nadia bertanya.
“Biarlah, dah dia tak boleh datang.. Tapi kita jangan duk buat payah dengan anak beranak ni.. Apa pun yang jadi, tak lepas dengan dia jugak..”
“Tapi mak.. Makngah duk jauh la.. Langkawi tu.. kena naik feri nak pergi. Nanti kena sewa kereta pulak kat sana.. Nak bawa kereta masuk sana, naik roro tak berbaloi la kalau setakat pergi dua tiga hari..” Farhan meluahkan masalah yang akan mereka hadapi nanti.
“Dah tu, takkan tak pi.. Kalau hangpa taknak pi, biar mak pi sorang je la.”
“Eh, mak ni.. Takkan la mak nak pergi sorang.. Saya tak kata pun taknak pergi.. Cuma tu la.. Pergi dah sehari perjalanan, balik pun sehari pulak.. Duk sana dua hari.. Jadi empat hari sekurangnya. Kalau duk tiga hari, jadi lima hari..” Farhan cuba memujuk ibunya.
“Dah tu?” Maryam bertanya kembali.
“Takpe la.. Kita pergi je la dua tiga hari.. Saya cuti la berniaga lima hari nanti. Tapi sampai sana, kena sewa van je la.. Mana muat dah kalau nak sewa kereta sebiji. Kalau sewa dua biji, mahal la..”
“Tak muat kenapa pulak? Berapa puluh orang yang nak pergi?”
“Laa.. mak ni.. Dah tu Safwan lagi.. Alyaa tu.. Mak dah lupa ke Nadia tu dah kahwin?” Farhan ketawa apabila mengingatkan ibunya. Maryam dan orang lain turut tertawa mendengar penjelasan Farhan. Maryam menggaru kepalanya sambil tersengih apabila menyedari kealpaannya.
“Kalau orang taknak pergi boleh tak?” Nadia bertanya kepada Maryam.
“Ish kamu ni.. Kamu tu kan baru kahwin dengan Safwan. Makngah tu pun tak pernah tengok lagi laki kau.. Kau kena la ikut, bawa Safwan sekali. Kenal dengan keluarga Makngah kat sana tu. Alyaa pun ikut sama la.” Maryam memberi penegasan. Ibu tua itu sangat tegas dalam menerapkan adat budaya melayu dan ajaran agama kepada anak-anaknya.
“Hmm.. Adik ada kawan kat langkawi, yang belajar satu kelas kat UM. Ingat nak juga pergi sana jumpa dia sambil pusing-pusing langkawi.” Alyaa meluahkan hasratnya sambil melihat ke arah Safwan.
“Haa.. elok la kalau macam tu.” Maryam tersenyum mendengar kata-kata adik kepada menantunya itu.
“Ah, nanti kita jalan-jalan, pusing seluruh langkawi dik..Akak pun dah lama tak pergi langkawi.” Nadia yang berada di sebelah Alyaa memegang tangan adik iparnya.
“Amboi.. Kemain rapat dengan adik ipar dia. Tadi kata tak nak pergi, ni bersungguh pula..” Farhan mengusik Nadia yang terlihat tiba-tiba bersemangat untuk pergi ke Langkawi. Nadia yang merasa tersindir lantas menjelirkan lidahnya kepada Farhan sambil membuat memek muka.
“Nanti kedai kau pun tutup la Saf?” Farhan bertanya kepada Safwan.
“Rasanya tak perlu kot.. Nanti rosak pula sayur-sayur kat kebun tu kalau tak jual empat lima hari. Budak-budak ni boleh tolong uruskan je. Kambing ayam tu Amir dah jagakan.. Hasil kat kebun pun budak-budak tu akan kutip macam biasa je.. Saya boleh minta tolong Amir untuk siram, baja pokok tu semua.. Kat kedai pun, takde masalah.. Aisyah boleh uruskan. Amir pun ada untuk tolong budak Fendi dengan Kak Yah kat kedai tu.”Safwan memberikan penerangan untuk menjawab pertanyaan abang iparnya.
“Haa.. ni baru betul tauke berjaya.. Semua benda dah ada orang yang uruskan. Tauke boleh goyang kaki je..” Farhan tertawa lagi.
“Takdenya nak goyang kaki bang.. Upah orang-orang tu semua pun untuk tolong mereka jugak.. Bukan untuk senangkan kerja saya. Tapi dah ada orang bantu tu, jadi ringan la kerja saya.” Safwan memberikan jawapan yang ikhlas dari lubuk hatinya.
“Betul dah tu niat kau.. Bila kita niat baik, Allah pun akan tolong kita. Kita niat nak tolong mudahkan urusan orang, Allah balas pula dengan orang lain yang memudahkan urusan kita.” Farhan menepuk paha Safwan.
“Hmm.. boleh la kita honeymoon kat Langkawi bang.. Kita kan tak honeymoon lagi.” Nadia mengatakan hasratnya kepada Safwan.
“Eh, budak ni.. Dah mengandung pun masih fikir nak berhoneymoon.” Maryam menepuk paha Nadia.
“Hah! Akak dah mengandung?” Alyaa terkejut mendengar ucapan ibu mertua abangnya itu. Gadis itu memegang tangan Nadia seraya memandang kakak iparnya itu sebelum mengalihkan pandangannya kepada Safwan.
“La.. akak tak bagitau adik lagi ke?” Nadia tertawa.
“Mana ada.. Akak ni.. Abang pun sama.. Adik dah nak dapat anak saudara pun tapi masih tak bagitau..” Alyaa sedikit merajuk.
“Baru je lagi dik.. Baru beberapa minggu je, tak sampai sebulan pun lagi.” Nadia memberi penjelasan seraya memegang kembali tangan Alyaa yang berada di ribaannya.
“Nanti kalau dah lahir, adik nak bagi nama boleh tak?” Alyaa memandang Nadia dengan penuh pengharapan.
“Adik tanyalah abang Safwan.. Itu kan anak dia..” Nadia mengerlingkan matanya ke arah Safwan yang sedang duduk di sebelah Farhan. Alyaa turut mengalihkan pandangannya ke arah abangnya itu.
“Boleh tak bang?” Alyaa mengulangi pertanyaannya.
“Ya Allah adik ni.. Lambat lagi kak Nadia tu nak beranak.” Safwan tertawa dengan permintaan adiknya.
“Boleh ke tak?”
“Ye la.. Adik fikir je la nak bagi nama apa.. Asalkan nama yang ada maksud yang elok, yang baik-baik je..” Safwan tersenyum sambil sedikit menggelengkan kepalanya. Telatah adiknya itu benar-benar menggelikan hatinya. Semua orang yang berada di ruang tamu tersebut turut tersenyum sama.
DI kedai keesokannya, perniagaan Safwan berjalan lancar seperti biasa. Sebelum tiba waktu tengah hari, seorang lelaki tua mendatangi kedai sambil membawa satu bungkusan plastik yang dipenuhi dengan cili besar. Safwan yang melihat kehadiran lelaki tua itu segera menghampiri. Dia dapat rasakan lelaki itu bukan datang untuk menjadi pelanggan di kedainya berdasarkan tingkah laku lelaki tersebut.
“Assalamualaikum.. Apa yang saya boleh bantu pakcik?” Safwan memulakan saapan.
“Waalaikumussalam.. Ni, pakcik nak jual cili ni.. Pakcik tanam sendiri cili ni. Sejak kelmarin, pemborong yang selalu ambil cili dari pakcik tak datang. Pakcik telefon pun dia tak jawab. Pakcik taknak la biar cili ni lama-lama.. Nanti rosak pula. Rugi la pakcik. Pakcik dah penat-penat tanam, kutip cili ni..” Lelaki tua itu menyampaikan hasratnya.
“Oh, banyak ke cili pakcik tanam?” Safwan menjadi ingin tahu.
“Ada la sikit-sikit.. Kebun pakcik tu dalam setengah ekar tanah je. Pakcik banyak tanam pokok cili ni. Yang lain-lain pun ada la sikit-sikit pakcik tanam macam terung, petola. Limau nipis, limau kasturi pun ada.”
“Bagus la kalau macam tu.. macam ni la pakcik, semua hasil kebun pakcik tu, pakcik jual je kat saya.. Saya jual kat kedai ni. Biasa berapa pakcik jual cili ni?”
“Cili besar ni biasa pemborong tu ambil dalam empat ke lima ringgit je sekilo.”
“Ya Allah.. Macam ni la pakcik, pakcik jual je kat saya semua cili dan hasil kebun pakcik tu.. cili ni saya beli lapan ringgit dari pakcik, boleh?”
“Lapan ringgit? Ya Allah banyaknya.. Tak rugi ke kamu nanti..”
“Takde apa yang nak ruginya pakcik.. Saya jual balik nanti, saya dapat la untung.. Pakcik pun dapat untung..”
“Alhamdulillah.. Semoga Allah murahkan rezeki mu..” Lelaki tua itu bersyukur dengan tindakan Safwan yang sudi membeli cilinya dengan harga yang lebih mahal dari kebiasaan yang dia dapat.
“Aminn..” Safwan mengaminkan doa lelaki tua itu. Di hatinya, Safwan merasa gembira kerana telah membantu lelaki tersebut memperoleh pendapatan yang lebih. Dia segera mengambil bungkusan plastik yang mengandungi cili besar dari tangan lelaki tua itu.
“Ada banyak lagi ke sayuran pakcik?”
“Ada lagi.. Tapi pakcik nak bawa macam mana dengan motor tu. Nanti pakcik ulang alik la untuk hantar kau kedai ni.”
“Kebun pakcik kat mana? Kalau macam tu, biar saya yang pergi ambil kat kebun pakcik. Motor saya tu besar sikit. Dah ada gerabak untuk isi sayur banyak-banyak.” Safwan menunjukkan ke arah motosikalnya.
“Kat hujung kampung tu je.. Lepas surau hijau kat warung kopi tu, masuk lorong belah kiri. Lepas tu jumpa jambatan kecik, pergi terus je.. Jumpa simpang tiga, ambil kiri.. Lepas rumah kuning dua tingkat, ada wakaf tepi jalan. Masuk lorong kat wakaf tu, jumpa la kebun pakcik kat belah kanan.” Lelaki tua itu memberikan peta jalan secara lisan. Safwan menggaru-garu kepala untuk cuba mengingati.
“Jom la kita pergi kebun. Pakcik bawa saya ke sana..” Safwan menggunakan cara paling tepat dan mudah untuk ke kebun lelaki tersebut.
“Mai ikut pakcik.. Pakcik tunjukkan..” lelaki tua itu segera menghidupkan enjin motosikalnya. Safwan juga tanpa berlengah, mengikuti tindakan lelaki itu dengan segera menunggang motosikal miliknya. Motosikal mereka berdua kemudiannya meluncur merentasi jalan untuk menuju ke destinasi mereka. Safwan semakin gembira kerana masalah kekurangan bekalan sayur di kedainya bakal diselesaikan sebahagiannya.
Safwan menjadi teruja apabila melihat kebun milik lelaki tua itu. Pengetahuan orang lama dalam bercucuk tanam memukau pandangan petani muda seperti Safwan. Tanamannya tersusun dengan kemas dan padat. Tiada ruang yang dibazirkan untuk memaksimumkan tanaman dan mengurangkan ruang terbiar yang akan dinaiki rumput dan semak samun. Namun setiap pohon tanamannya tetap mendapat ruang yang bersesuaian bagi memastikan tanamannya mendapat nutrisi yang perlu dengan mencukupi. Di hujung kebun juga di tanam daun kesum, daun pandan, pegaga dan serai.
Safwan menyimpan hasrat di hatinya. Dia perlu banyak lagi belajar tentang pertanian dan menimba ilmu dari lelaki tersebut. Walaupun kebun lelaki itu terlihat dipenuhi dengan pokok cili, namun di sekelilingnya masih terdapat banyak jenis tanaman lain yang dijadikan tanaman sampingan. Teknik penanaman dan cara mengatur tanaman kebun itu mengagumkan Safwan.
“Banyak betul pakcik tanam.. Tadi kata sikit je.. Sikit apa macam ni.”
“Hahaha.. Boleh la..dengan kudrat orang tua. Nak buat lebih lagi, pakcik tak mampu dah.”
“Masyaallah.. Masih kuat lagi pakcik bertani sebanyak ni, dengan usia macam ni.. Ini pakcik pakai racun apa untuk kawal serangga.. Nampak cantik je daun, subur pulak tu..”
“Pakcik tak pakai racun pun..”
“Hah! Tak pakai racun?” racun organik pun tak?” Safwan sangat ingin tahu. Pada fikirannya, mustahil tanaman akan terlepas dari serangan serangga perosak jika tidak menggunakan racun untuk menghalau.
“Kadang-kadang pakcik sembur juga.. Tapi jarang sangat la.. Tu pun kalau nampak banyak kesan serangan serangga.. Pakcik tumbuk serai wangi je bancuh dengan air. Tambah bawang putih pun boleh..”
“Tapi macam mana pakcik elakkan serangan serangga kalau jarang pakai racun?”
“Kau tengok sekeliling kebun pakcik tu.. seluruh kebun ni pakcik buat pagar dengan tanam pokok yang jenis berbau kuat dan serangga takkan datang dekat dah sebab bau dari pokok-pokok tu secara semula jadi dah halau serangga tu semua. Tak boleh tanam sejenis pokok je.. Kena tanam pelbagai jenis, baru bau yang kuat tu pun terhasil berbagai jenis. Serangga ni tak suka bau ini, serangga tu tak suka bau tu.. kalau dah pelbagai bau dah ada, jarang la ada serangga yang akan lepas masuk ke kebun. Berjarak sikit dari pokok-pokok yang berbau, yang serangga tak suka tu, pakcik tanam juga pokok bunga. Biar serangga macam lebah dapat main kat situ je.. Sebenarnya pakcik pun ada bela lebah kat rumah pakcik, belakang sana tu. Boleh la nak dapat madu dua tiga botol sekali kutip.” Lelaki tua itu tersengih sambil menyampaikan ilmu baharu kepada Safwan secara terpeinci.
Safwan pula terlopong mendengar kata-kata lelaki tua tersebut. Dia langsung tidak menyangka adanya teknik mudah dan jimat dalam menghalau serangga sebegitu. Walaupun ilmu itu baru diketahui oleh Safwan, namun dia dapat menerima dengan mudah kerana konsepnya yang sangat logik dan masuk akal. Safwan mula mengukir senyuman. Ilmu pertama dah berjaya dia dapatkan dari lelaki tua itu. Lain kali dia akan terus mengcungkil ilmu rahsia yang lain pula dari insan yang sudah berusia itu.
Share this novel