Bab 39 (part 1)

Romance Series 8087

PERJALANAN menuju ke Langkawi terasa begitu memenatkan. Setelah menjejakkan kaki di pulau lagenda itu dari jeti feri, Farhan menyewa sebuah van untuk kegunaan dan kemudahan keluarganya untuk bergerak di pulau tersebut. Sebelum menuju ke rumah tumpangan yang sudah ditempah lebih awal, mereka mengambil peluang untuk bersiar-siar dahulu di sekitar kawasan yang menjadi pusat pelancongan. Memandangkan mereka masing-masing kepenatan dan hari juga semakin menghampiri senja, mereka tidak boleh berlama-lamaan untuk bersiar-siar. 

Tiba di rumah tumpangan, masing-masing merehatkan diri terlebih dahulu. Rumah yang hanya mempunyai tiga bilik itu dirasakan begitu sesuai untuk mereka. Alyaa memilih sebilik dengan Maryam manakala dua pasangan suami isteri pula masing-masing mengambil bilik tidur mereka. Selepas menunaikan solat maghrib dan isyak secara jamak, mereka sekeluarga menuju ke rumah Mak Ngah yang tidak jauh dari rumah tumpangan yang mereka sewa. Sudah menjadi adat jika ke tempat orang, perlulah berjumpa dengan tuan tanah dahulu. Itulah yang sering dikatakan oleh Maryam kepada anak-anaknya.

Safwan dan Alyaa di perkenalkan kepada keluarga ibu saudara Nadia. Mereka di sambut dengan ramah sekali. Sepanjang malam itu, masa mereka dihabiskan di rumah Mak Ngah dengan berbual dan dijamu dengan makan malam. Safwan dan Farhan juga membantu dalam urusan mendirikan khemah untuk majlis kenduri nanti. Khemah perlu didirikan terlebih dahulu pada hari tersebut memandang keesokannya sudah tiba hari rewang. Gotong royong akan dilakukan oleh penduduk kampung untuk memeriahkan majlis kenduri yang bakal berlangsung dua hari kemudian. Kerana kepenatan, mereka semua terus melelapkan mata setelah kembali ke rumah tumpangan pada lewat malam. 

Pada malam tersebut, Safwan hanya tidur tidak sampai tiga jam. Dia sudah mempunyai tabiat akan terjaga pada sekitar jam empat pagi untuk bertahajud. Walaupun kepenatan, Safwan tetap menggagahkan dirinya untuk menunaikan rutinnya itu. Malam yang tenang itu diisi dengan sujud kepada Tuhannya, yang memiliki segala isi dunia dan langit disaat orang lain masih enak dibuai mimpi. Munajatnya dilaksanakan sehinggalah azan subuh bergema memecah kesunyian, dan membangunkan manusia yang sedang berselimut. 

Setelah mentari pagi memunculkan diri, mereka sekeluarga mula bersiap untuk ke rumah Mak Ngah dan merewang bersama sanak saudara serta penduduk kampung. Setelah semua orang bersiap, Nadia pula masih belum mandi, membersihkan dirinya. Maryam yang tidak ingin kelewatan hadir ke acara rewang mengambil keputusan untuk bergerak terlebih dahulu bersama Alyaa, Farhan dan Nazirah. Safwan pula terpaksa menunggu isterinya itu mandi dan bersiap terlebih dahulu.

“Sayang.. Tak siap lagi ke mandi? Orang lain semua dah gerak pergi rumah Mak Ngah.. tinggal kita je ni.” Safwan memanggil Nadia yang masih di dalam bilik air.

“Sekejap la bang..” Nadia melaung dari dalam bilik air.

“Kalau lambat, abang pun tinggal.. Biar sayangan sorang-sorang.” Safwan mengusik isterinya.

“Jangan la..” Nadia menarik suara. Bergema suaranya kedengaran dari dalam bilik air.

Safwan pula ketawa kerana berjaya mengusik isterinya itu. Dalam masa yang sama, Alyaa yang baru tiba di rumah Mak Ngah menyedari dompetnya tertinggal di rumah tumpangan dan tidak dibawa bersama. Dia menjadi kurang selesa apabila meninggalkan dompet yang mengandungi pelbagai kad penting termasuklah kad pengenalan diri dan sedikit wang di rumah. 

“Mak, adik pulang ke rumah la dulu sekejap..beg duit tertinggal kat rumah.” Alyaa mengatakan hasratnya untuk kembali ke rumah tumpangan kepada Maryam. 

“Iya lah.. Abang Safwan dan Kak Nadia masih ada lagi kat rumah tu.. nanti adik datang la sama-sama dengan diorang. Hati-hati sikit berjalan tu.” Maryam memberikan nasihat. Rumah yang mereka berada hanya berjarak beberapa ratus meter dari rumah tumpangan mereka. Memadai jika mereka hanya berjalan kaki sahaja ke sana. Setelah menyatakan hasratnya, Alyaa langsung berjalan sendirian kembali ke rumah tumpangan.

Di rumah tumpangan, Safwan mulai merasa bosan kerana isterinya masih juga belum keluar dari bilik air. Dia menyandarkan tubuhnya ke sofa sementara menunggu isterinya yang masih belum selesai mandi. Seketika kemudian,  bunyi air yang mengalir keluar dari paip di bilik mandi pun berhenti. Safwan mengangkat kepalanya. Dia tahu isterinya itu baru sahaja selesai membersihkan diri. 

“Sayang.. Cepat la..” Safwan bangkit dari duduknya dan perlahan-lahan menuju ke arah bilik yang menjadi tempatnya dan Nadia tidur malam tadi.

Tiba sahaja di bilik, Safwan melihat Nadia baru keluar dari bilik air. Rambut Nadia yang panjang mengurai masih basah. Nadia yang hanya mengenakan tuala untuk membalut tubuhnya diperhatikan oleh Safwan. Tubuh mungil isterinya yang keputihan menyebabkan Safwan terpana. 

“Abang ni kenapa?” Nadia mula merasa pelik dengan kelakuan suaminya itu.

Safwan berjalan perlahan-lahan ke arah Nadia dan merangkul pinggang isterinya itu. Bau aroma sabun yang digunakan oleh Nadia untuk mandi sebentar tadi terhidu oleh hidung Safwan. Safwan menjadi tidak keruan dan tidak mampu untuk terus mengawal dirinya. Dia segera merapatkan bibirnya ke bibir Nadia. 

“Abang.. Nanti orang nampak la.. Pintu bilik pun tak tutup.” Nadia merona kemerahan wajahnya.

“Mana ada orang.. Semua orang dah pergi rumah Mak Ngah la.. Tinggal kita berdua je sekarang.” Safwan berbisik kepada isterinya. Sekali lagi kepalanya dirapatkan ke arah Nadia dan bibirnya menuju ke arah leher isterinya itu.

“Abang! Kak Nadia tak siap lagi ke?” Alyaa tiba-tiba muncul di muka pintu bilik. Kehadiran Alyaa itu sangat mengejutkan Safwan dan Nadia sehingga menyebabkan Safwan melepaskan pelukan tangannya di pinggang sang isteri.

“Oppss.. Sorry.. Tak sengaja mengganggu.. Siapa suruh tak tutup pintu.” Alyaa segera mengalihkan pandangannya dan berjalan meninggalkan muka pintu bilik abangnya itu.

“Kan sayang dah cakap.. Ishh..” Nadia yang merasa malu kepada Alyaa segera menampar tubuh Safwan. Safwan yang turut merasa malu terhadap adiknya itu hanya menggaru-garukan kepalanya yang tidak gatal. 

“Dah la..cepat la bersiap.. Dah lambat ni..” Safwan terpaksa mengawal perasaannya dan berlagak seperti tiada apa-apa yang telah berlaku.

“Hmm.. ingat.. Hutang lagi tau..” Nadia masih lagi cuba mengusik suaminya.

“Laa.. ini pun hutang juga?”

“Siapa suruh mulakan..” Nadia mengenyitkan sebelah matanya sambil menggigit bibirnya.

Safwan terpaksa bersabar melihat kelakuan Nadia yang menggeramkannya. Ingin sahaja dia menerkam isterinya itu namun terpaksa ditahan kerana Alyaa yang baru muncul di sana. Tak ingin melanjutkan melayan karenah isterinya, Safwan segera meninggalkan Nadia sendirian di bilik. Jika terus melayan, semakin lambat pula mereka menyertai anggota keluarga yang lain untuk bergotong-royong.

Alyaa yang baru mengambil dompetnya di dalam bilik, lantas keluar kembali di ruang tamu dan melabuhkan punggungnya di sofa untuk menunggu abang dan kakak iparnya. Dia akan kembali semula ke majlis merewang bersama mereka berdua, mengikut kata-kata Maryam kepadanya tadi. Safwan yang baru keluar dari bilik segera menghampiri adiknya itu dan turut duduk menyandarkan badannya ke sofa. Alyaa hanya tersenyum memandang ke arah abangnya.

“ Lain kali jangan main terjah je masuk bilik orang.. Ni balik sini buat apa? Bukan tadi dah pergi rumah Mak Ngah ke?” Safwan bersuara tegas menegur adik perempuannya itu. Dia terpaksa berlagak tegas untuk menutup rasa malunya kepada Alyaa sebentar tadi.

“Sorry la.. Adik tak sengaja. Dah nampak pintu bilik terbuka… Ni, adik balik ambil purse ni.. Tadi tertinggal kat bilik.” Alyaa menunjukkan dompetnya kepada Safwan.

“Tak sangka, abang ni romantik jugak..” Alyaa bersuara perlahan sambil melepaskan tawa.

“Hishh..adik.. Kau tak kahwin lagi, jangan nak macam-macam..” Safwan tidak ingin berbicara hal yang berlaku sebentar tadi. Baginya, Alyaa yang masih anak gadis tidak patut membicarakan hal-hal sedemikian.

“Adik minta maaf la sebab dah ganggu honeymoon abang dengan kak Nadia..” Alyaa menjelir lidahnya sambil membalikkan mata hitamnya ke atas.

“Adik ni kan..” Safwan membaling satu bantal kecil yang berada di sofa ke arah adiknya itu. 

Alyaa pula meneruskan tawanya, geli hati apabila berjaya membuat abangnya itu merasa malu. Tidak lama kemudian, Nadia yang sudah selesai bersiap mula keluar dari bilik. Mereka bersama-sama menuju ke tempat gotong-royong bagi melancarkan majlis kenduri keesokan harinya. Hari itu mereka menghabiskan masa seharian di rumah ibu saudara Nadia untuk bergotong-royong. Keesokannya juga, mereka menyertai majlis akad nikah pada waktu paginya di masjid yang berdekatan sebelum menghabiskan masa seharian pula di majlis kenduri.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience