HAMPIR sepuluh minit perjalanan, mereka sudah pun berkenalan dan Safwan serba sedikit menceritakan pengalaman dirinya yang bergelandangan selama tiga hari sejak kawannya, Mat Kedah ditangkap oleh polis. Namun lelaki itu langsung tidak menceritakan tentang asal-usulnya dan penyebab dia boleh berada di sana. Akhirnya Farhan menghentikan kenderaan yang dipacunya di hadapan sebuah pondok pengajian agama. Setelah turun dari van, Safwan membantu Farhan mengangkat tong yang berisi ikan keli yang sudah siap disiang oleh Farhan. Tong berisi ikan itu dibawa ke bahagian dapur pondok tersebut dan diletakkan pada suatu sudut.
“Ini pondok Ustaz Razali.. Hari ni nak bagi budak-budak yang belajar kat sini makan ikan keli. Sebenarnya, abang pun salah seorang yang mengajar kat sini. Abang ajar budak-budak ni mengaji al-quran. Cuma sebelah pagi, abang meniaga ikan keli kat pasar. Rumah abang pun belakang tu je.. Dari sini pun nampak.. Tu ha..” Farhan memperkenalkan dirinya dengan lebih lanjut seraya menunjukkan rumahnya yang tidak jauh dari pondok agama tersebut. Safwan langsung melihat ke arah rumah yang dimaksudkan oleh Farhan. Jarak rumahnya hanya hampir seratus meter dari pondok agama dimana mereka berada sekarang. Di antara jarak tersebut, terlihat tanah kosong yang hanya dipenuhi semak samun dan sebuah kandang kambing.
“Ohh.. rumah yang sebelah kandang kambing tu la rumah abang?” Safwan bertanya sekadar untuk meneruskan perbicaraan. Padahal hanya sebuah rumah sahaja yang terdapat di situ.
“Ah.. itulah rumah abang.. Kandang kambing tu pun, abang yang punya.. Saja bela kambing buat isi masa lapang.. Lagipun bela kambing pun antara sunnah yang rasulullah pernah lakukan.”
“Semak samun ni tanah siapa?”
“Hahaha.. Semak tu pun abang la yang punya.. Tak sempat nak jaga. Terbiar macam tu je tanah, naik semak samun. Dari rumah tu, sampai tiang tu, kat situ ada batu penanda. Sampai situ tanah milik arwah ayah abang.. Sekarang dah jadi pusaka, dapat kat abang dengan adik perempuan abang. Belah sini sampai depan jalan sana, tanah Ustaz Li. Sebab tu dia buat pondok ni, bersambung dengan rumah dia.”
“Uihh..luas juga kawasan ni..” Safwan meluahkan kekaguman melihat kawasan tersebut. Hati kecil Safwan tiba-tiba terdetik, alangkah bagus jika tanah terbiar yang penuh dengan semak samun itu diusahakan dengan pertanian sayur-sayuran. Dia mula terkenangkan tanaman kangkung dan cilinya di rumah. Semoga tanamannya itu hidup subur dan dia dapat memetik hasil apabila kembali ke rumahnya nanti.
“Haa.. lambat kau hari ni Farhan..” Tiba-tiba terdengar suara menyapa Farhan dari belakang. Farhan dan Safwan segera berpaling ke arah suara tersebut. Terlihat Ustaz Razali sedang berdiri sambil memegang tongkat kayu di tangannya.
“Ah, Ustaz.. Tadi van saya meragam, taknak hidup.. Nasib baik ada budak Safwan ni.. Dia la yang tolong saya tadi. Kalau takde dia, tak tahu la macam mana.. Sekarang pun belum sampai ke sini lagi agaknya..” Farhan memberikan penjelasan kepada Ustaz Razali. Ustaz Razali merenung Safwan seketika. Dia melihat pemuda yang kusut masai itu dari hujung rambut ke hujung kaki.
“Siapa namamu? Safwan?” Ustaz Razali bertanya kepada Safwan.
“Iya.. Safwan.. Ahmad Safwan Faruqi..” Safwan memperkenalkan diri dengan nama penuh.
“Kau nak tinggal di sini? Belajar agama kat sini.. Muda muda ni elok la kalau nak belajar..” Ustaz Razali tersenyum sambil menawarkan tempat tinggal kepada Safwan. Safwan pula kebingungan kerana tiba-tiba sahaja orang tua di hadapannya itu berkata sedemikian. Padahal orang tua itu langsung tidak mengenali dirinya dan tidak tahu pun asal-usulnya. Entah kenapa lelaki tua itu seperti ingin menyelamatkan Safwan dari terus hidup sebagai gelandangan walhal dia tidak tahu pun keadaan Safwan ketika itu. Safwan masih diam, terpempan dengan tawaran yang diberikan pemilik pondok agama tersebut dan tidak membalas ucapan Ustaz Razali.
“Hmm.. abang rasa, itu yang terbaik untuk kau sekarang Saf. Lagipun kau sendiri pun tiada arah tujuan kan sekarang? Dari hidup tak tentu arah kat jalanan, lebih baik kau tinggal kat sini..” Farhan menyetujui tawaran yang diberikan oleh Ustaz Razali kepada Safwan walaupun dia sendiri merasa aneh dengan tindakan Ustaz Razali itu. Farhan tahu Ustaz Razali itu dikurniakan beberapa karamah oleh Allah dan tidak mustahil lelaki yang membangunkan pondok pengajian agama itu juga memiliki kasyaf dan di izinkan oleh Allah untuk melihat takdir Safwan. Walaupun Ustaz Razali tidak pernah mengatakan apa-apa mengenai perihal kelebihan yang Allah berikan kepadanya, namun Farhan meyakini hal tersebut.
“Tapi.. saya tiada duit nak bayar yuran..” Safwan cuba memberikan alasan kerana tidak tahu bagaimana untuk menolak tawaran tersebut.
“Saya tak minta pun dibayarkan yuran..” Ustaz Razali tersenyum kepada anak muda itu. Lidah Safwan terus menjadi kelu apabila mendengar kata-kata lelaki tua itu. Dia sudah tiada alasan munasabah untuk terus menolak tawaran dari Ustaz Razali.
“Farhan, ayuh, ke sini sebentar..” Ustaz Razali segera berpaling punggung dan berjalan meninggalkan tempatnya berdiri sebentar tadi. Farhan menunjukkan tapak tangannya kepada Safwan sebagai isyarat agar anak muda itu tunggu sebentar di tempatnya dan seraya itu juga Farhan bergerak mengikut arah tuju Ustaz Razali dari belakang. Kedua mereka hilang dari pandangan Safwan. Safwan yang menggaru-garu kepalanya hanya menanti sambil melihat ke sekeliling kawasan sekitar. Seketika kemudian, Farhan kembali mendapatkan Safwan.
“So, macam mana Saf? Kau sendiri pun tiada tempat tinggal dan tiada duit kan? Nak makan pun susah.. Abang rasa lebih baik kau tinggal di sini je.. Semuanya free.. Makan minum disediakan..”
“Tapi bang.. Saya ni pakaian pun takde.. Ni je yang saya ada..sehelai sepinggang..takkan nak duduk sini pakai baju buruk ni je..” Safwan menarik baju yang dipakainya ketika itu.
“Takpe.. Nanti kau ikut abang ke pekan.. Kita cari baju yang sesuai.”
“Kan saya dah cakap, saya takde duit..” Safwan seakan mengeluh. Tanpa di duga, Farhan tiba-tiba memegang tangan Safwan dan meletakkan duit lima puluh ringgit di tangan Safwan.
“Eh, apa ni bang? Kenapa bagi duit ni kat saya?”
“Ambil je la..buat belanja.. Ni saguhati dari abang sebab kau dah tolong abang kat masjid tadi, dan kau juga dah tolong angkat tong ikan abang letak kat sini..”
“Tapi, takkan la sampai sebanyak ni.. Saya ikhlas je tolong abang.”
“Abang pun ikhlas juga bagi kat kau..”Farhan menepuk lengan Safwan sambil tersenyum.
“Tadi Ustaz Li ada cakap kat abang.. Hanya di sini tempat yang terbaik untuk kau Saf.. Kalau kau dipekan, kau hidup tak tentu arah, bergelandangan.. Kalau kau balik rumah, kau juga dalam masalah.. Abang tak tahu apa maksud dia, kau akan ditimpa masalah.. Tapi abang yakin, dia tahu apa yang abang tak tahu selepas melihat kau tadi. Katanya lagi, takdir kau memang di sini.. Kau datang ke sini bukan kerana kebetulan. Tiada yang berlaku secara kebetulan dalam dunia ni. Semuanya Allah dah rancang, dan perancangan Allah adalah sebaik-baik perancangan. Allah dah takdirkan untuk kau datang ke sini melalui abang. Terimalah takdirmu ini Saf..” Farhan bercakap dengan pandangan matanya yang terlihat seakan sedang mengelamun.Safwan pula tersentak dan terperanjat besar apabila mendengar kata-kata yang diucapkan oleh Farhan itu.
“Takdir? Apakah Allah sedang membawa aku ke jalan yang benar? Jalan yang diredhai oleh Nya? Bagaimana lelaki tua itu tahu kalau aku akan di timpa masalah kalau pulang ke rumah?” Safwan bermonolog dihatinya. Fikirannya mula memikirkan ayah tirinya, Tengku Badrul. Ayah tirinya itu pasti tidak akan berdiam diri dan pasti akan membalas dendam kepadanya suatu hari nanti. Suami ibunya itu sudah dipukul dengan teruk oleh Safwan. Wajar sahaja kalau dia akan membalas perbuatan Safwan yang sudah memalukannya sebagai seorang pemimpin yang mempunyai ramai anak buah dan pengikut.
“Nanti ikut abang ke pekan, abang belikan kau baju.”
“Ikutlah yang mana pun bang..” Safwan sudah mati kutu untuk berbahas. Dengan lima puluh ringgit yang diberikan, Safwan sepatutnya sudah mampu membeli tiket bas untuk pulang. Namun apabila memikirkan kembali kata-kata Ustaz Razali yang diucapkan oleh Farhan, Safwan mula pasrah dan terpaksa mengakui, tinggal di pondok tersebut adalah jalan terbaik buatnya bagi masa sekarang. Malah dia juga akan berkesempatan belajar dan mendalami ilmu agama di pondok tersebut, sama seperti ketika dia berada di dalam penjara dahulu. Bahkan di situ, pasti sahaja ilmu yang akan dia dapatkan melebihi dari yang dia pelajari di dalam penjara.
“Kau OK ke tak Saf?” Farhan bertanya apabila melihat Safwan yang mengelamun jauh.
“Eh, saya OK bang..” Safwan tersengih sambil menggaru kepala. Kemudian sebuah kereta berhenti di hadapan pondok pengajian agama itu. Safwan dan Farhan melihat ke arah kereta tersebut. Beberapa saat kemudian, Nadia dan Aisyah keluar dari kereta tersebut. Setelah dua orang gadis yang menjadi penumpangnya itu turun, pemandu kereta tersebut segera melakukan pusingan dan beredar dari kawasan itu.
“Ah, itu adik abang, Nadia.. Yang berpurdah itu anak Ustaz Li, Aisyah..” Farhan menunjukkan jarinya ke arah dua gadis berkenaan kepada Safwan. Safwan memicingkan matanya ke arah dua gadis yang baru tiba itu. Dia sepertinya pernah melihat dua orang gadis tersebut. Safwan seterusnya membeliakkan matanya apabila teringat gadis yang menjadi mangsa ragut di pekan pagi tadi. Lelaki itu segera membalikkan badannya dan malu untuk berhadapan kembali dengan dua orang gadis tersebut. Dia terbayang kembali perbuatannya yang meminta wang dari gadis yang hampir menjadi mangsa ragutnya tadi.
“Eh, kenapa awak ada kat sini?” Aisyah mula menegur Safwan apabila menyedari kehadiran lelaki itu di pondok ayahnya. Safwan yang sedar dirinya sudah ketahuan dan dia gagal menyembunyikan diri hanya tersengih kepada Aisyah.
“Hangpa dah kenal ke?” Farhan menjadi pelik.
“Tadi dia la yang menolong Nadia masa Nadia kena ragut kat pekan tadi..” Nadia memberi penjelasan kepada abangnya.
“Nadia kena ragut?” Farhan menjadi cemas.
“Ya.. Nasib baik takde apa-apa.. Beg Nadia pun dah dapat balik.. Sebab dia la yang tolong.. Dia yang tangkap peragut tu.” Nadia memuji kehebatan dan keberanian Safwan yang menjadi wira ketika itu.
“Lepas tu, kat masjid pun kami ada nampak tadi dia solat masa zohor.” Aisyah pula mencelah. Mendengar kata-kata Aisyah, Safwan mula menjadi malu. Dia tidak tahu bahawa dua gadis berkenaan melihat kelibat dirinya di masjid tadi. Namun dia sungguh malu apabila dikatakan dia solat di sana sedangkan dia hanya masuk ke masjid untuk berehat dan langsung tidak menunaikan solat.
“Laa.. hangpa pun ada kat masjid ke tadi? Abang pun ada ja kat masjid masa zohor tadi. Abang jumpa Safwan ni pun kat masjid tu la.. Tadi van abang rosak, taknak hidup. Safwan ni la yang tolong baiki van tu.. Sebab kalut nak balik hantar ikan kat pondok, tu abang ajak dia ikut abang balik sama.. Sambil berkenalan, berterima kasih kat dia..”
“Dia pun tolong abang?” Nadia semakin kagum dengan Safwan.
“Tapi lepas ni awak nak pergi ke mana?” Aisyah bertanya kepada Safwan.
“Takde kemana-mana dah.. Tinggal kat sini je la kot..” Safwan menjawab dengan jujur. Namun Nadia dan Aisyah ketika itu menganggap Safwan sedang bergurau maka mereka mula tertawa kecil.
“Ah, mulai sekarang, Safwan akan tinggal kat sini je.. Ustaz Li sendiri yang ajak dia tinggal kat sini.” Farhan membenarkan kata-kata Safwan sebentar tadi.
“Hah? Dia betul-betul akan tinggal kat sini?” Dua orang gadis itu terperanjat. Wajah Safwan ditatap oleh mereka berdua dengan mata yang terbeliak. Safwan pula terus tersengih sambil menggaru-garukan kepalanya yang tidak gatal.
Share this novel