MATAHARI sudah tepat terpacak di atas kepala. Bahang kepanasannya menerbitkan titisan jernih peluh pada dahi Aisyah yang bertudung labuh dan memakai purdah. Dari pagi, gadis itu sibuk menjaga gerai dan menjual sayur-sayuran kepada pelanggan yang mendatangi gerainya. Walaupun baru hari pertama perniagaan di gerai tersebut dijalankan, namun sambutan yang diterima dari orang kampung amat memberangsangkan. Kini hasil jualannya sudah habis terjual cuma dalam masa beberapa jam sahaja. Aisyah mengambil wang dari pelanggan terakhirnya dan langsung memasukkan wang tersebut ke dalam beg yang dipakai pada pinggangnya.
Baru sahaja pelanggan terakhirnya berlalu pergi, Safwan pula tiba di gerai tersebut dengan menunggang motosikal. Lelaki itu baru selesai menjaja sayurannya ke sekeliling kampung dan ke kedai makan yang berhampiran. Setelah motosikalnya dihentikan, Safwan segera mematikan enjin jentera tersebut dan langsung mendekati Aisyah.
“Wah, semua dah habis terjual ke?” Safwan memulakan bicara dengan sebuah pertanyaan apabila melihat sayur-sayuran yang di letakkan di atas meja pada pagi tadi sudah kosong tidak tersisa.
“Alhamdulillah.. Semua habis dibeli orang.” Aisyah tersenyum walaupun senyumannya itu tidak terlihat pada pandangan Safwan.
“Alhamdulillah.. Tak sangka pula secepat ini dah habis pada hari pertama.” Safwan mengambil sehelai kain dan mengelap meja yang menempatkan sayur-sayuran jualannya. Sedikit sisa sayuran yang terkoyak dan terputus di atas meja dibuang bagi membersihkan meja agar terlihat kemas dan bersih.
Aisyah kemudian menghulurkan wang hasil jualannya kepada Safwan. Wang yang dihulurkan disambut oleh Safwan dengan penuh girang. Setelah mengira jumlah wang yang dia perolehi pada hari tersebut, Safwan langsung menghulurkan sekeping not lima puluh ringgit dan dua keping duit sepuluh ringgit.
“Ini upah Aisyah untuk hari ni.. Terima kasih sebab dah tolong saya jaga gerai ni.” Safwan meleretkan senyuman. Wang yang di hulurkan terus di ambil oleh Aisyah.
“Eh, banyaknya.. Aisyah jaga sekejap je pun.. Berapa jam je berniaga..” Aisyah sedikit terkejut dengan jumlah yang diberikan oleh Safwan.
“Alah.. ada untung sikit, kita pakat kongsi la.. Kalau dapat lebih , saya bagi lebih lagi.. Lagipun Aisyah bukan setakat jaga gerai ni je.. Ni sekali dengan upah Aisyah duk packing sayur-sayur tu padi tadi.”
“Tapi berbaloi ke awak bagi banyak ni? Nanti rugi pula.. Nak bagi upah kat budak-budak kat pondok tu lagi..”
“Ya Allah.. Takde ruginya Aisyah.. Itu pun saya rasa tak cukup lagi bagi kat awak. Nanti kalau ada lebih, saya tambah lagi.”
“Eh, takpe la.. Ini pun dah banyak dah.. Saya buat kerja pun bukan lama. Kerja pun setakat tolong jual je. Bukannya ada kerja berat pun.”
“Aisyah dah sudi tolong saya pun, saya dah bersyukur.. Dah bernasib baik saya ni sebab Aisyah nak tolong. Kalau takde Aisyah, tak tahu la macam mana.. Terima kasih sebab sudi tolong saya jaga gerai ni.” Safwan ikhlas menyampaikan rasa berterima kasihnya kepada anak gadis Ustaz Razali itu.
Tiba-tiba sebuah kereta berhenti di depan gerai mereka. Cermin kereta yang gelap menyebabkan Safwan dan Aisyah tidak dapat melihat pemandu yang berada di dalam kereta tersebut. Setelah cermin kereta di turunkan, terlihat seorang lelaki memandang tepat ke arah mereka dengan renungan mata yang tajam.
“Abang Lan.. abang baru sampai ke?” Aisyah segera menyapa setelah melihat wajah lelaki yang memandu kereta tersebut. Gadis itu segera mendekati lelaki yang masih duduk diam di dalam keretanya.
“Kau buat apa kat sini Aisyah? Duduk berdua dengan lelaki bukan mahram..” Lelaki itu mulai bersuara. Aisyah yang baru menghampiri lelaki tersebut tanpa menjawab, langsung bersalam terlebih dahulu dengan pemandu kereta yang menghulurkan tangan melalui ruang tingkap yang diturunkannya tadi.
“Itu Safwan.. Anak murid ayah.. Aisyah tolong dia berniaga kat gerai ni.. Bukan duduk berdua, buat benda bukan-bukan..” Aisyah memberi penjelasan. Lelaki yang memandu kereta itu adalah Azlan, abang kepada Aisyah serta tunang kepada Nadia.
“Anak murid ayah pun.. Dia tetap bukan mahram kau.. Lagipun, perempuan tak elok duk berniaga, jumpa dengan orang ramai.. Perempuan tu tempatnya di rumah.” Azlan mula memberi teguran kepada adik perempuannya.
“Ya Allah.. Abang ni.. Ayah sendiri pun dah izinkan Icah bekerja, meniaga kat sini. Lagipun dekat je dengan rumah. Bukannya Icah pergi merayau, jumpa orang tak tentu hala..” Aisyah tetap cuba memberi penjelasan.
“Dah..dah.. Jom balik.. Naik kereta cepat.” Azlan memberikan arahan.
“Tapi.. Icah nak kemas gerai ni dulu.. Kami baru habis berniaga..” Aisyah cuba memberikan alasan.
“Takpe la Aisyah. Awak balik la dulu.. Gerai ni saya boleh kemaskan.. Tak banyak pun..” Safwan segera mencelah supaya keadaan tidak bertambah panas. Sudah cukup baginya menahan panas terik mentari tengah hari tersebut.
“Dah.. naik kereta cepat.” Azlan mengulangi arahannya. Aisyah yang mendengarkan kata kedua orang lelaki tersebut tidak mampu untuk membantah dan langsung menuju ke arah pintu kereta di bahagian penumpang dan segera memasuki kereta abangnya itu. Setelah pintu kereta ditutup, Azlan segera memacu keretanya menuju ke arah simpang jalan dan memasuki simpang tersebut untuk terus pulang ke rumah Ustaz Razali yang dibina bersama dengan pondok agama.
Apabila kereta yang di naiki oleh Aisyah hilang dari pandangan, Safwan segera mengemas gerainya sebelum melingkari gerai tersebut dengan jaring berwarna hitam bagi menandakan gerainya sudah di tutup dan segala urusan jual beli pada hari tersebut sudah dihentikan. Tanpa berlengah, pemuda itu mula menghidupkan enjin motosikalnya dan segera berlalu dari kawasan tersebut, menuju ke arah yang sama dilalui oleh kereta Azlan tadi. Dia ingin pulang dan bersiap sedia untuk solat zohor secara berjemaah di pondok nanti.
AZLAN menghempaskan punggungnya ke sofa. Pandangan matanya saling bertatapan dengan Ustaz Razali yang duduk di hadapannya. Lelaki tua itu cuma diam memandang wajah anaknya yang terlihat kepenatan. Anak lelakinya yang bekerja di ibu kota negara itu baru sahaja tiba di rumah mereka.
“Kenapa ayah benarkan Aisyah duk berniaga berdua-duaan dengan lelaki kat simpang jalan sana? Kan tak elok..” Azlan menghembuskan sebuah nafas yang kasar.
“Apa yang tak eloknya? Kan dia bekerja, berniaga.. Kamu ni.. Jangan duk fikir yang bukan-bukan..”
“Nak berniaga pun, berniaga je la.. Tapi ni sampai duduk berdua-duaan dengan lelaki bukan mahram.. Itu boleh menjadi pintu kepada zina..”
“Astaghfirullah al azim.. Jauh betul kau berfikir Lan.. sampai ke situ pula. Tak baik berburuk sangka begitu.. Lagipun kau bukan tak kenal dengan adik kau tu.. pandai la dia menjaga maruah diri dia.. Safwan, lelaki tu pun, budak baik je.. Aisyah tolong dia berniaga je.. Lagipun mereka berniaga kat tepi jalan besar tu.. tempat awam.. Bukannya duduk tempat tersorok, takde orang nampak.” Ustaz Razali bersuara lembut menjawab tomahan anak lelakinya.
“Itu lah.. Icah bukannya duduk kat tempat sembunyi.. Lagipun sejak pagi, Aisyah sorang je berniaga kat gerai tu. Safwan tak duduk kat situ pun. Dia pergi menjaja keliling kampung. Tadi dah habis meniaga, dia datang nak ambil duit, kemas gerai je.. Waktu tu juga la abang datang.. Padahal kami pun takde la bersembang bermanja bagai.. Ishh.. abang ni..” Aisyah cuba mempertahankan dirinya. Azlan hanya mendiamkan diri apabila mendapat penjelasan dari ayah dan adiknya itu.
“Ingat Cah, kau kena jaga maruah diri dan keluarga..” Azlan masih memberikan nasihat kepada adiknya.
“Iyee… Icah tau la..”
“Kau bukan boleh kira.. Kot la dah gatal nak kahwin.. Pergi buat benda bukan-bukan..”
“Ishh..” Aisyah segera membaling bantal kecil yang berada di sofa ke arah Azlan. Gadis itu geram dengan kata-kata abangnya yang memperolokkan dirinya. Azlan hanya ketawa apabila bantal yang di campak oleh Aisyah mengenai mukanya. Ustaz Razali pula hanya menggelengkan kepala menyaksikan ulah kedua orang anaknya itu.
“Dah.. Azlan, pergi bersiap.. Kita solat zohor berjemaah kat pondok tu. Sekejap lagi nak azan dah.” Ustaz Razali segera bangkit berdiri dari sofa. Tongkat kayu di tangannya digunakan untuk menyokongnya berdiri dan menstabilkan tubuhnya. Perlahan-lahan langkah kakinya di buka dan dia mula beransur pergi meninggalkan ruang tamu rumahnya itu.
“Icah.. bagi aku air segelas..” Azlan cuba mengarah Aisyah.
“Malas.. Nak minum, pergi ambil sendiri kat dapur.” Aisyah mula berpaling punggung dan membuka langkah untuk meninggalkan Azlan. Namun tanpa disangka, bantal kecil yang di campak olehnya tadi kini kembali di campak oleh Azlan dan tepat mengenai belakang badan Aisyah sehingga menyebabkan Aisyah menjerit kerana terkejut. Dengan penuh geram, Aisyah mengambil kembali bantal tersebut dan melontar sekali lagi ke arah Azlan yang sedang ketawa terbahak-bahak. Lontarannya kali ini gagal mengenai sasaran apabila Azlan berjaya menempis bantal tersebut dengan menggunakan tangannya.
USAI solat zohor secara berjemaah dan mendengar pembacaan hadith dari Ustaz Razali, Azlan segera mendekati Safwan. Dia menghulurkan tangan untuk berjabat sebagai bersalaman selepas solat.
“Kau Safwan kan?” Azlan memulakan sapaan.
“Ya saya..” salam dari Azlan di sambut oleh Safwan.
“Maaf tadi tak sempat bertegur sapa.. Aku penat sebab baru sampai dari KL. Nama aku Azlan. Abang kepada Aisyah.” Azlan memperkenalkan diri.
“Takpe.. Saya faham.. Saya Safwan.. Safwan Faruqi.”
“Aku dengar kau ada buat kebun kat belakang pondok ni.. Kat tanah Farhan tu ke?”
“Ah.. ya.. Saya buat kebun kat tanah abang Farhan.”
“Kau bukan orang sini, kenapa kau datang duduk kat pondok ni? Dah tua baru nak belajar ke? Yang lain semua budak-budak je duk belajar kat pondok ni.” Azlan berseloroh sambil melepaskan tawa.
“Saya orang merantau.. Hari tu kebetulan kenal dengan Abang Farhan kat pekan sana. Dia yang ajak saya datang ke sini. Ustaz Li pun suruh saya tinggal kat sini je sambil belajar. Dalam belajar, takde kenal usia.. Itulah, saya masa muda-muda dulu nakal, hanyut di buai dunia..hahaha, sekarang baru terbuka hati nak belajar agama. Alhamdulillah, Allah hantar saya ke sini. Dikenalkan dengan orang baik-baik kat sini.” Safwan tetap merendah diri.
“Berapa lama dah kau kat sini?” Azlan masih terus menyoal.
“Rasanya dah hampir lima bulan..”
“Patutlah.. Aku balik tujuh bulan lepas, kau takde lagi kat sini. Takpe la kalau macam tu.. Ah.. cuma aku nak ingatkan, jaga jarak dan percakapan kau dengan Aisyah. Jangan duk lebih-lebih pulak. Dia tu anak ustaz.. Tolong jaga nama baik keluarga aku.” Azlan memberi peringatan kepada Safwan.
“Insyaallah.. Saya akan ingat.. Semoga Allah melindungi kami dari fitnah dan perbuatan terkutuk.. Terima kasih juga atas nasihat.” Safwan tersenyum. Dia sangat memahami tutur kata Azlan tersebut. Walaupun terdengar agak kasar dan seolah ancaman, namun Safwan mengerti, sebagai seorang abang, Azlan pastilah ingin memastikan adik perempuannya terjaga maruah diri dan keluarganya.
“Aku bukan nak tuduh kau buat bukan-bukan kat adik aku.. Aku cuma nasihat.. Ingatkan je..” Azlan turut tersenyum seraya menepuk-nepuk lengan Safwan.
“Takpe.. Takpe.. Saya faham.. Kalau saya pun, saya akan cakap benda yang sama.. Sebagai abang, kita yang perlu bertanggungjawab terhadap adik perempuan kita.” Safwan meluahkan rasa pengertiannya terhadap tindakan Azlan.
“Ke kau dah suka kat adik aku tu?” Azlan cuba serkap jarang.
“Eh, takdelah.. Aisyah tu budak baik.. Anak ustaz lagi.. Mana la layak saya nak simpan perasaan kat dia.” Safwan segera menafikan.
“Ye ke? Aku tak kisah pun.. Tapi kalau betul kau ada perasaan kat dia, elok kau bagitau aku awal-awal.. Jangan duk main luah kat Aisyah sendiri. Nanti lain pula jadinya korang. Bagitau aku dan ayah aku. Kalau ayah aku setuju, aku takde masalah.. Kau nak buat apa pun dengan adik aku, pastikan halalkan dulu hubungan korang.” Azlan masih meneruskan nasihat kepada Safwan.
“Astaghfirullah.. Ya Allah.. Tak pernah terdetik pun rasa untuk saya nak kat Aisyah.”
“Aku lelaki.. Kau pun lelaki.. Kita tahu cara pemikiran orang lelaki..”
“Wallahi.. Saya tak pernah terniat untuk ada apa-apa dengan Aisyah. Cuma sekadar kagum dengan akhlak, peribadi dia tu ada la.. Jarang nak jumpa gadis sebaik dia zaman sekarang ni.. Lagipun dia anak Ustaz Li.. didikan agama yang dia terima pun pasti bukan biasa-biasa.. Tak padan la dengan saya yang baru nak belajar agama ni.. Alif ba ta pun baru belajar..” Safwan masih tetap merendahkan dirinya.
“Sekarang dah masuk waktu makan tengah hari.. Jom la makan sama..” Safwan melajutkan kata-kata dengan mempelawa Azlan untuk makan bersama para pelajar di pondok tersebut.
“Takpe la.. Korang makan la dulu. Aku nak rehat jap. Lepas subuh tadi terus turun dari KL. Drive kereta sorang-sorang dari KL.. penat tubuh.. Nanti jumpa lagi. Kita sambung sembang..” Azlan meminta diri untuk pergi berehat. Safwan yang masih meleretkan senyuman turut berpaling punggung dan berlalu dari situ untuk menuju ke ruang makan bagi pelajar pondok tersebut.
Share this novel