Bab 12

Romance Series 8087

“AHMAD Safwan Faruqi bin Muhammad.. Aku nikahkah kau dan aku kahwinkah kau dengan adik perempuanku, Nurul Nadia Amira binti Jasri dengan mas kahwinnya tujuh ratus ringgit tunai..” Farhan menggenggam erat tangan Safwan yang sedang duduk berhadapan dengannya. 

“Aku terima nikahnya Nurul Nadia Amira binti Jasri dengan mas kahwinnya tujuh ratus ringgit tunai..” Safwan tanpa menunggu, langsung menyelesaikan akad nikahnya. Dua orang saksi yang duduk di sebelahnya segera menganggukkan kepala dan memberi pengesahan bahawa mereka sudah pun mendengar lafaz ijab qabul tersebut dengan jelas.

“Alhamdulillah..” Farhan mengucapkan kalimah syukur kerana urusan akad nikah Safwan dan adik perempuannya sudah selesai. Dia kemudian langsung menadah kedua belah tangan untuk membacakan doa bagi pasangan pengantin tersebut. Semua orang yang hadir pada majlis tersebut turut menadah tangan mereka untuk sama berdoa. Selesai berdoa dan bersalaman, Safwan segera melakukan sujud syukur dan langsung meneruskan rasa syukurnya kepada Illahi dengan solat sunat dua rakaat.

Setelah selesai memberikan salam dari solatnya, Safwan segera menuju ke arah Maryam untuk bersalaman dan mencium tangan ibu mertuanya itu. Kemudian dia pun beralih mendekati Nadia yang sedang menundukkan pandangan ke lantai. Setelah Safwan menghulurkan tangan, Nadia segera menyambut tangan suaminya itu untuk bersalaman dan mencium tangan Safwan. Pandangan matanya masih tetap memandang ke lantai tanpa di angkat sedikit pun.

“Semoga saya mampu menjadi suami yang baik dan bertanggungjawab.. Tegurlah saya jika ada sebarang kesilapan.” Safwan separa berbisik kepada isteri yang baru di nikahinya itu. Namun Nadia tetap tidak menunjukkan sebarang reaksi selain terus menatap lantai. Menyedari keadaan Nadia, Safwan juga turut menjatuhkan pandangannya. Suasana menjadi sepi seketika. Farhan yang melihatkan suasana yang kaku tersebut langsung memainkan peranan dengan mengajak mereka untuk bergambar sebagai kenang-kenangan. Walaupun suasana menjadi yang agak meriah dan majlis berjalan dengan lancar, namun Safwan terasa sedikit janggal memandangkan dirinya yang menjadi raja sehari cuma bersendirian tanpa ditemani ahli keluarga. Semua yang hadir pada majlis perkahwinannya hanyalah ahli keluarga Nadia sahaja.

Majlis akad nikah yang berlangsung di rumah Firdaus itu kemudian diteruskan pula dengan majlis kenduri kesyukuran. Walaupun majlis dilakukan secara sederhana, namun masih terlihat meriah dengan kehadiran orang ramai dari kalangan orang kampung, sahabat handai dan sanak saudara Nadia. Safwan sesekali menyapa para tetamu yang hadir namun Nadia pula terlihat terus mendiamkan dirinya di meja makan yang disediakan untuk pasangan pengantin. Sedang majlis berlangsung, kelibat Aisyah baru terlihat. Gadis berpurdah itu baru hadir ke majlis tersebut bersama ibu dan ayahnya, Ustaz Razali. Sejak peristiwa yang hampir meragut keperawanan Nadia, kelibat Azlan langsung tidak terlihat. Walaupun lelaki itu masih berada di kampung tersebut, namun jarang sekali dia pulang ke rumah ibubapanya.

Aisyah yang baru tiba itu segera mendekati Nadia yang membatu sendirian di meja makan. Dengan kegirangan, dia memeluk Nadia yang terlihat menawan berpakaian pengantin.

“Selamat pengantin baru Nadia.. Semoga kau sentiasa bahagia dan di kekalkan jodoh sehingga akhir hayat.” Aisyah memberikan ucapan kepada temannya itu. Nadia hanya membalas ucapan Aisyah itu dengan senyuman yang kelat.

“Kenapa ni? Jangan la sedih-sedih.. Hari ni hari penting dalam hidup kau.. Jadikanlah hari ini sebagai hari paling bahagia dalam hidup kau..” Aisyah cuba memujuk sahabatnya itu. Dia tetap ingin mengekalkan persahabatannya dengan Nadia walaupun merasa sedikit ralat kerana perkahwinan hari itu sepatutnya berlangsung di antara Nadia dan abangnya. Namun pengantin lelaki pada hari tersebut telah bertukar dengan lelaki yang dia sendiri ada menyimpan perasaan. Namun Aisyah menerima semuanya dengan redha. Dia akur dengan jodoh yang ditentukan oleh Allah terhadap Nadia dan Safwan.

“Nadia.. Aku minta maaf kerana keadaan yang terjadi macam ni.. Azlan abang aku.. Kau pula teman baik aku.. Walaupun terjadi masalah diantara korang, aku harap kita akan terus berkawan macam biasa.” Aisyah meluahkan perasaannya. Nadia yang mendengar kata-kata Aisyah itu segera berubah wajahnya dan memegang tangan Aisyah. Pengantin wanita itu segera bangkit berdiri dan menghadap Aisyah.

“Icah.. kau takde buat salah apa pun.. Kau tak perlu minta maaf.. Kita masih tetap kawan.. Dulu, kini dan selamanya, kau adalah kawan baik aku..” Nadia terus memeluk Aisyah dengan erat. Air matanya tumpah membasahi pipi mulusnya. Nadia sendiri tidak tahu, apakah itu air mata gembira atau air mata kesedihan. Apabila dakapan mereka dileraikan, Aisyah segera mengesat air mata yang bercucuran di pipi Nadia.

“Ish.. kenapa kau menangis ni.. Jangan nangis-nangis la.. Hari ni hari perkahwinan kau.. Kau kena gembira.. Senyum sikit..” Aisyah masih memujuk temannya itu. Nadia sedikit tersenyuman setelah mendengar kata-kata Aisyah.

“Nadia.. Walaupun Azlan itu abang aku.. Tapi aku lebih percayakan kau.. Kau kena ingat, aku akan sentiasa bersama kau..” Aisyah melanjutkan percakapannya seraya menyeka sekali lagi air mata yang mengalir di pipi Nadia. Nadia sedikit terangguk dan tersenyum kepada temannya itu. Hatinya kembali menjadi sebak dan sekali lagi dia mendakap Aisyah.

“Icah.. maaf sebab aku tak jadi kakak ipar kau.. Aku juga minta maaf sebab dah kahwin dengan lelaki yang kau suka..” Nadia bersuara perlahan, seakan berbisik.

“Masyaallah.. Tak baik cakap macam tu.. kan jodoh itu di tangan tuhan. Jodoh itu rahsia Allah. Kita takkan tahu siapa jodoh kita sehingga ijab qabul di lakukan.. Kita hanya merancang.. Allah juga punya perancangan.. Namun perancangan Allah pasti lebih baik.. Redha saja dengan ketentuan yang Allah dah takdirkan untuk kita.” Aisyah memberikan nasihat.

“Tapi aku tak dapat la buli kau sebagai kakak ipar..” Nadia masih mampu berseloroh walaupun sebentar tadi hatinya penuh dengan rasa sebak dan kesedihan.

“La hawla wala quwwata illa billah.. Ke situ pula kau ni..” Aisyah menepuk lengan Nadia sebagai melepaskan geram terhadap sahabatnya itu. Dari kejauhan, Safwan hanya memerhati Nadia dan Aisyah yang sedang berbual. Bibirnya sedikit mengoles senyuman apabila melihat Nadia tertawa. Isteri yang baru dinikahinya itu terlihat sungguh cantik dan menawan lebih-lebih lagi apabila lesung pipit gadis itu muncul pada pipinya yang mulus.

TIBA waktu malam, urusan mengemas dan mencuci periuk belanga selesai di lakukan. Semua penghuni di rumah tersebut jelas terpapar keletihan pada wajah masing-masing. Safwan yang masih kekok untuk bersama keluarga barunya hanya mendiamkan diri sambil duduk di sofa. Sanak saudara Farhan dan Nadia masih ada beberapa orang yang belum pulang, berbual-bual sesama mereka. Nazirah dan Nadia pula masih mengemas barang-barang di dapur. Nazirah dari awal sudah melarang Nadia untuk membantunya dan hanya perlu berada di sisi Safwan, namun Nadia tetap berdegil dan seakan cuba menjauhi suaminya itu.

“Nadia.. Mai jumpa Mak Long dulu.. Mak Long dah nak balik ni..” Maryam sedikit menguatkan suara memanggil Nadia yang berada di dapur.

“Ya Mak.. sat.. nak siapkan susun barang ni dulu..” Nadia langsung menjawab.

“Ish, budak ni.. Tinggalkan dulu barang-barang tu.. pergi jumpa Mak Long dulu.. Barang tu nanti pun boleh buat.” Nazirah mula menegur sikap adik iparnya itu. Nadia kemudiannya mengikut kata-kata Nazirah dan segera menuju ke ruang tamu. 

“Haa.. dari tadi Mak Long duk tunggu.. Dah nak balik ni baru nampak muka kau..” Mak Longnya menyapa Nadia yang baru muncul di ruang tamu.

“Kemas barang kat dapur tu Mak Long.. Banyak lagi nak kena buat tu..” Nadia memberikan alasan.

“Eh, Hang tu kan raja sehari.. Takyah duk buat la kerja-kerja dapur tu untuk hari ni..”

“Ala..kesian kat Kak Ira tu Mak Long, sorang-sorang duk kemas.. Nadia nak ringankan kerja Kak Ira je.” 

“Dah la.. Mak Long pulang dulu la ye.. Selamat pengantin baru.. Semoga kau hidup bahagia sampai ke anak cucu..”

“Terima kasih Mak Long sebab sudi datang.. Hati-hati balik tu.. Pesan kat Pak Long jangan duk bawa laju-laju..” Nadia bersalaman dengan Mak Longnya. 

“Ingat Nadia.. Nak pikat suami, kena jaga perutnya..” Mak Long sempat berbisik, memberi pesanan kepada pengantin baru itu. Nadia hanya tersenyum sebagai tindak balas kepada Mak Longnya itu.

Setelah semua tetamu pulang, di ruang tamu hanya tinggal Safwan dan Farhan berdua sahaja. Farhan yang menyedari Safwan sudah kepenatan hanya tersenyum kepada lelaki yang baru menjadi adik iparnya itu. 

“Nampak dah penat kau Saf.. pergilah masuk tidur dulu.. Rehat la..” Farhan menepuk paha Safwan yang duduk di sebelahnya. 

“Mulai hari ni, kau tinggal je kat rumah ni. Tak perlu dah tidur ramai-ramai dengan budak-budak kat pondok sana.” Farhan tertawa kecil setelah mengusik adik iparnya itu. Safwan yang sudah berat matanya tersenyum dengan usikan tersebut sambil menggelengkan kecil. Dengan rasa malas, dia membetulkan duduknya di sofa.

“Penat betul melayan orang hari ni.. Lagipun sekarang, sepatutnya dah hampir waktu tidur biasanya kalau kat pondok.” Safwan menggosok matanya yang masih di paksanya untuk terus celik.

“Dah.. pergilah masuk tidur.. Biasalah kenduri.. Memang penat nak melayan orang.” Farhan mengulangi saranannya. 

“Baiklah bang.. Saya minta diri dulu ya..” Safwan segera bangkit dari duduknya dan mula membuka langkah menuju ke arah bilik tidur. Kepalanya dirasakan berat dan dia terpaksa menguatkan diri untuk menuju ke bilik. Di dapur, Maryam melihat Safwan yang sedang memasuki bilik tidurnya. Wanita separuh umur itu segera mengalihkan pandangannya kepada Nadia yang sedang berbual dengan Nazirah sambil menyusun pinggan dan gelas yang baru dibersihkan.

“Nadia.. Suami kau dah masuk bilik tu.. tinggalkan semua kerja tu, sambung buat esok.” Maryam segera menegur anak perempuannya itu.

“Nantilah mak.. Sikit lagi nak siap ni..” Nadia cuba memberi alasan untuk mengelak.

“Nadia.. kau tu dah bersuami.. Pergi teman suami kau sekarang..” 

“Orang period la mak..” 

“Jangan nak bagi alasan.. Ingat, keutamaan kau sekarang adalah suami kau.. Keredhaan hidup kau bergantung kepada keredhaan dia. Pergi temankan Safwan sekarang. Kalau dia tak redha kepada kau sehingga dia tidur, kau akan dilaknat sampai subuh esok tau.” Maryam memberi amaran keras kepada anak gadisnya.

“Betul tu Nadia.. Pergilah.. Jangan buat suami terasa hati dengan kita. Ingat, tugas kita sebagai isteri adalah melayan suami, biar suami senang hati..” Nazirah dengan lembut menasihati adik iparnya yang baru berkahwin itu. Nadia terpaksa mengalah dan mengikuti kata-kata ibu dan kakak iparnya itu. Dengan penuh malas dia mula berdiri dan perlahan-lahan melangkah menuju ke arah bilik tidurnya. Sambil berjalan, sebuah hembusan berat terluah dari mulutnya. 

Sesampainya di bilik, Nadia langsung menutup pintu. Dia perasan Safwan sedang berbaring di atas katil namun Nadia berusaha melarikan pandangannya ke arah lain dan tidak ingin melihat ke arah suaminya itu. Sambil membelakangi Safwan, Nadia perlahan-lahan membuka tudung yang menutup aurat di kepalanya. Ikatan rambutnya turut dibuka dan menguraikan rambutnya yang ikal, panjang melepasi bahu. Terdetik rasa malu dihatinya kerana untuk pertama kalinya dia menampakkan rambutnya kepada lelaki bukan mahramnya. Setelah menarik nafas yang dalam, Nadia dengan perlahan melabuhkan punggungnya di atas tilam namun pandangannya masih membelakangi Safwan yang sedang terbaring di atas katil.

“Maaf.. Saya period hari ni.. So tak boleh nak layan awak.” Nadia mengatakan apa yang dia pendamkan sejak dari tadi. Sebenarnya dia langsung tiada keinginan untuk bersama suaminya itu. Dia sendiri tidak ingin untuk meneruskan perkahwinannya apatah lagi bersama Safwan yang baru di kenalinya beberapa bulan yang lalu. Namun dia terpaksa menerima perkahwinan tersebut kerana permintaan keluarganya lebih-lebih lagi abangnya Farhan yang ingin menjaga maruah keluarga mereka.

Kini Nadia mula hairan. suaminya itu langsung tidak memberikan sebarang jawapan. Hatinya mula gementaran. Dia sangat takut jika suaminya itu kecewa dengan kata-katanya sehingga mendiamkan diri. Nadia mula berfikir bahawa dia sudah menjadi isteri yang derhaka dan akan dilaknat sepanjang malam sepertimana kata ibunya sebentar tadi.

“Saya minta maaf kalau dah buat awak sakit hati..” Nadia segera berpaling ke arah Safwan yang berada di belakangnya. Mulutnya terlopong apabila melihat Safwan sudah lena dibuai mimpi. Seketika kemudian, dia tersenyum sendirian. 

“Hmm.. dah tidur rupanya.. Patutlah diam..” Nadia bermonolog. Wajah Safwan yang sedang tidur itu ditatap oleh Nadia. 

“Boleh tahan juga handsome suami aku ni..” Nadia asyik menatap wajah Safwan. Walaupun sudah beberapa bulan mengenali lelaki itu, inilah kali pertama Nadia menatap wajah Safwan dengan lama pada jarak sedekat itu. Nadia mula memikirkan sikapnya yang tidak ingin menerima Safwan sebagai suaminya itu walaupun mereka sudah sah berkahwin.

Dia tidak ingin menerima suaminya itu kerana dia tidak pernah menaruh perasaan kepada lelaki tersebut. Malah dia juga tahu Aisyah sebenarnya sukakan Safwan. Keluarganya memilih Safwan untuk menjadi suaminya hanya kerana untuk menjaga nama baik keluarga tanpa memikirkan perasaannya.

Kemudian terdetik di hati Nadia, kenapa pula Safwan ingin menjadi suaminya? Adakah Safwan selama ini memang suka kepadanya? Atau adakah Safwan juga terpaksa berkorban kerana permintaan abangnya, memandangkan Safwan sangat rapat dengan Farhan? Persoalan tersebut terus bermain di minda Nadia sambil menatap wajah suaminya.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience