AWAN mendung berarak di dada langit yang luas terbentang. Angin juga dengan kasar menggoyangkan dedaunan pohon di waktu petang itu. Satu petanda hujan lebat bakal melanda tidak lama lagi. Selepas pulang dari pondok Ustaz Razali bagi menunaikan solat asar, Safwan segera menukar pakaian dan bergegas menuju ke kandang kambingnya. Pada waktu yang sama, Farhan yang baru pulang dari pondok sempat singgah di kandang kambing tersebut setelah melihat Safwan yang berlari menuju ke sana.
“Tukar kunci baru?” Farhan bertanya apabila melihat Safwan membuka mangga yang baru dibeli.
“Ah.. mangga lama dah pecah.” Safwan membuang mangga yang sudah pecah dari pintu kandang. Mangga yang digunakan untuk mengunci pintu kandang kambingnya itu dipecahkan oleh Amir malam tadi sudah tidak dapat digunakan.
“Pencuri datang lagi? Berapa ekor yang hilang?” Farhan segera meninjau kambing yang sedang berada di dalam kandang tersebut.
“Takde yang hilang bang.. Saya sempat tangkap pencurinya malam tadi.”
“Hah, kau dah tangkap pencurinya? Habis, kau dah bagi kat polis?”
“Tak.. saya lepaskan dia.”
“Ishh.. kenapa kau lepaskan pulak.. Nanti dia datang lagi.. Siapa pencurinya? Kau kenal ke?”
“Biarlah bang.. Kali ni saya lepaskan dulu. Kalau dia datang lagi lain kali, memang tiada maaf dah untuk dia.. Biarlah siapa pun dia.. Saya taknak buka aib sesiapa. Biarlah saya dan Allah je tahu bang. Saya taknak burukkan sesiapa.”
“Saf.. Saf.. ini bukan soal aib, tapi perbuatan jenayah.. Terpulanglah kat kau Saf.. Kalau kau nak lepaskan dia, beri dia peluang, itu hak kau.. Abang pun taknak paksa kau bagitau siapa pencuri tu.” Farhan menggelengkan kepala apabila memikirkan keperibadian Safwan yang terlalu baik.
Safwan hanya tersenyum sambil memasukkan mangga yang baru dibelinya ke pintu kandang kambingnya. Tiba-tiba mereka dikejutkan dengan kehadiran sebuah kereta peronda polis yang masuk ke lorong, menuju ke arah rumah mereka. Kereta pihak berkuasa itu kemudian berhenti tepat di hadapan kandang kambing. Seketika kemudian, dua orang anggota polis keluar dari kenderaan tersebut dan menuju ke arah Farhan dan Safwan yang berada di kandang tersebut.
“Assalamualaikum..” Farhan memberi salam sejahtera kepada dua anggota terbabit.
“Waalaikumussalam.. Ini kandang kambing awak?” Salah seorang anggota mula bertanya.
“Ini kandang kambing saya.. Kenapa tuan? Ada apa-apa yang saya boleh bantu?” Safwan tampil ke hadapan anggota tersebut.
“Jadi awak Safwan? Kami perlu periksa kandang ni.. Kami dapat maklumat, ada benda terlarang yang disorok kat sini.”
“Saya Safwan.. Bahan terlarang? Apa maksud encik?” Safwan mula merasa pelik.
“Bagi kami periksa dulu..” Dua anggota itu kemudian langsung berjalan menuju ke dalam kandang kambing dan disusuli oleh Farhan dan Safwan. Mereka menuju ke arah karung guni yang berisi dedak kambing. Karung yang sudah terbuka dan sudah diambil sebahagian isinya oleh Safwan sebelum ini masih tersisa lebih dari separuh bahagian itu di geledah oleh anggota polis. Salah seorang anggota pihak berkuasa terbabit memasukkan tangannya ke dalam guni yang berisi dedak tersebut. Beberapa saat kemudian, anggota polis tersebut mengeluarkan satu bungkusan plastik yang berisi beberapa biji pil yang tersorok di dalam dedak kambing dan menunjukkan bungkusan tersebut ke arah temannya yang bersama Safwan dan Farhan.
“Ini pil kuda.. Maaf, kami terpaksa menahan awak kerana menyimpan dan memiliki dadah jenis methamphetamine.. Sila ikut kami ke balai sekarang untuk membantu siasatan.” Anggota polis yang berada di sebelah Safwan segera memegang tangan Safwan dan memautkan kedua belah tangan lelaki itu ke belakang. Tangan Safwan segera digari.
“Ini salah faham tuan.. Pil kuda tu bukan saya yang punya..” Safwan tetap tenang memberikan penjelasan. Dia tidak melawan dan cuba memberikan kerjasama yang baik walaupun tangannya digari.
“Maaf.. kami hanya menjalankan tugas. Apa pun, kita selesaikan di balai.” Anggota polis tersebut terus mendorong Safwan untuk berjalan ke arah kereta peronda yang dibawa oleh mereka.
“Encik, tak mungkin adik ipar saya yang simpan benda macam tu.. ini semua salah faham..” Farhan cuba menahan salah seorang anggota polis tersebut.
“Maaf encik, kami hanya menjalankan tugas.. Tolong jangan cuba menghalang tugas kami.” Anggota polis tersebut memberikan amaran.
“Abang, tenanglah.. Allah sentiasa bersama orang-orang yang benar. Biarlah mereka jalankan tugas mereka. Kita patut beri kerjasama kat mereka. Tolong tengokkan Nadia..” Safwan tersenyum ke arah abang iparnya sebelum masuk ke dalam kenderaan pihak berkuasa untuk di bawa ke balai polis. Farhan hanya diam melihat dua anggota polis yang menangkap adik iparnya itu masuk ke dalam kenderaan mereka.
“Abang! Abang!.. Kenapa ni?” Nadia tiba-tiba berlari ke arah kereta peronda polis yang membawa suaminya itu. Dari dapur rumahnya, dia dapat melihat Safwan yang digari tangannya dan di dorong masuk ke dalam kenderaan polis. Melihatkan kejadian tersebut, Nadia segera berlari ke arah suaminya. Farhan yang menyedari tindakan Nadia yang berlari ke arah kereta peronda pihak berkuasa segera menahan adiknya itu.
“Nadia.. Sabarlah..” Farhan cuba memujuk sambil memegang tangan adik bongsunya itu.
“Kenapa? Kenapa Abang Safwan ditangkap? Lepaskan dia.. Lepaskan!” Nadia meraung seperti orang kerasukan.
Farhan sendiri menjadi sebak apabila melihat keadaan Nadia yang menangis dan menjerit. Namun dia sedar, mereka tidak mampu untuk menghalang penahanan Safwan oleh pihak berkuasa. Jika mereka cuba menghalang, malahan mungkin mereka juga akan turut di tahan bersama kerana menghalang penjawat awam melaksanakan tugas. Kini mereka hanya mampu berserah kepada Allah terhadap nasib Safwan.
Seketika kemudian, kenderaan polis yang membawa Safwan hilang dari pandangan mata dan hujan pula mula turun dengan lebat. Air hujan yang mencurah dari langit seakan menemani air mata Nadia yang terduduk di tanah sambil menangis, meratapi nasib suaminya. Farhan pula masih tegak berdiri di sisi Nadia. Dia cuba untuk mendorong adiknya itu untuk kembali berdiri namun Nadia tetap enggan untuk bangkit. Air matanya yang bersebati dengan air hujan deras membasahi bumi. Dari muka pintu dapur rumah, Maryam dan Nazirah berdiri melihat ke arah dua beradik yang basah kuyup di cucuri air dari langit. Mereka semua sedang bersedih, namun keadaan Nadia lebih menyedihkan pada pandangan mata mereka bertiga.
Share this novel